Pages

Thursday, June 23, 2011

Enggan bayar ganti rugi, bank hampir disita



UMMUL Habibah Mohd. Nasir (kiri) menerangkan cek yang diberi oleh pihak bank kepada Mat Saman atas arahan Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 22 Jun - Sebuah bank terkemuka di sini hampir disita hari ini berikutan kegagalannya membayar ganti rugi kepada seorang pelanggannya yang berjaya memenangi satu kes saman terhadap bank tersebut.

Perintah penyitaan tersebut dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini, Rashid Mustafa.

Bagaimanapun bagi mengelak daripada disita, pihak bank telah bersetuju membayar ganti rugi tersebut melalui cek bernilai RM81,805,63 kepada Mat Saman, 54, setelah mengadakan perbincangan dengan peguam plaintif, Ummul Habibah Mohd. Nasir.

Jumlah tersebut merangkumi jumlah tuntutan baki pinjaman sebanyak RM46,215.99, ganti rugi teruk dan teladan RM20,000, ganti rugi am RM12,000 manakala bakinya untuk faedah jumlah ganti rugi pada kadar lapan peratus dari tarikh penghakiman sehingga selesai bayaran.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi ini, Ummul Habibah telah pergi ke bank tersebut untuk menjalankan perintah penyitaan namun mendapat bantahan daripada pihak bank terbabit.

Bertindak atas budi bicara pihak plaintif, pihak bank telah menghubungi ibu pejabatnya di Kuala Lumpur dan kemudian bersetuju membayar jumlah wang yang dituntut.

Dalam kes tersebut, Mat telah memfailkan tuntutan undang-undang terhadap bank berkenaan tiga tahun lalu ekoran kegagalan bank terbabit menjelaskan baki bayaran pinjaman yang telah diluluskan kepadanya.

Jelas plaintif, pada 2004, beliau telah mendapat kelulusan pinjaman rumah sebanyak RM100,000 daripada bank berkenaan di cawangan Tanah Merah.

''Selepas mendapat pinjaman RM50,000 pihak bank menyekat bakinya atas alasan saya telah disenaraikan sebagai bankrap dan tidak berkelayakan untuk mendapat pinjaman.

''Masalahnya saya sendiri tidak tahu disenaraikan bankrap dan sepatutnya pihak bank menyelidik latar belakang saya dahulu sebelum bersetuju memberi pinjaman tersebut,'' ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, dia telah membersihkan namanya daripada senarai bankrap dan memohon semula pihak bank menyerahkan baki pinjaman namun pihak bank enggan berbuat demikian.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments: