Pages

Monday, June 20, 2011

Jepun digesa tutup loji nuklear



TOKYO 19 Jun – Rakyat Jepun mahu kerajaan menutup loji-loji tenaga nuklear di negara ini ekoran krisis nuklear di Fukushima.
Ia berdasarkan satu tinjauan pendapat oleh akhbar Tokyo Shimbun yang menunjukkan empat daripada lima orang atau 82 peratus penduduk mahu loji berkenaan ditutup.
Lebih sembilan peratus mahu kesemua reaktor ditutup segera, manakala hampir 19 peratus menyatakan ia perlu ditutup apabila pemeriksaan rutin dilakukan.
Lebih 54 peratus responden pula mahu reaktor berkenaan ditutup apabila keadaan untuk menyalurkan bekalan elektrik mencukupi.
Hanya 14 peratus responden menyatakan tiada perubahan perlu dilakukan.
Jepun bergantung kepada tenaga nuklear untuk membekalkan satu pertiga bekalan elektrik dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Naoto Kan menyatakan ia akan kekal sebagai penyumbang utama tenaga negara.
‘‘Tinjauan pendapat itu memaparkan ketidakyakinan orang awam terhadap polisi nuklear kerajaan,’’ kata akhbar itu.
Tinjauan itu juga menunjukkan 67 peratus daripada 1,853 responden berkata, Jepun tidak perlu membina lebih banyak reaktor, manakala 22 peratus responden lagi mahu jumlah pembinaan reaktor baru dikurangkan.
Hanya enam peratus responden berkata, kerajaan perlu meneruskan projek untuk membina 14 reaktor baru menjelang 2030. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: