Pages

Tuesday, June 28, 2011

Janda dera anak didenda RM34,000

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM34,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan mendera anak lelakinya berusia lapan tahun termasuk meletakkan tangan kanak-kanak itu di atas api dapur, November tahun lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Lai Sok Phing, 37, dan turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara selama tiga tahun serentak jika gagal membayar jumlah denda berkenaan berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 27 November 2010.
Bagi tuduhan pertama, Sok Phing didenda RM15,000 atau penjara satu tahun bagi kesalahan mendera dengan merotan kedua-dua paha anak kandungnya, Tham Ming Tong sebanyak enam kali di bilik rumahnya di Nombor 18A, Jalan Gelang Off, Jalan Sungai Besi di sini, jam 10.30 malam, 27 November tahun lalu.
Bagi tuduhan kedua, dia didenda RM15,000 atau satu tahun penjara kerana mendera Ming Tong dengan meletakkan kedua-dua tangan anaknya itu di atas api dapur pada masa, tarikh dan tempat sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Sok Phing didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Sok Phing yang bekerja sebagai promoter jualan didenda RM4,000 atau satu tahun penjara atas tuduhan ketiga iaitu membiarkan kanak-kanak terbabit tanpa pengawasan, antara jam 10 pagi hingga 10.30 malam, pada tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, Sok Phing mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan berkenaan sebelum Zaki Asyraf menetapkan jaminan sebanyak RM45,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias manakala Sok Phing diwakili peguam, Wan Azmir Wan Majid.
Berita Harian Online | Janda dera anak didenda RM34,000

No comments: