Pages

Sunday, June 26, 2011

AS bantu risikan Filipina


MANILA 25 Jun - Washington akan membantu meningkatkan keupayaan risikan Filipina di Laut China Selatan, ketika perebutan wilayah maritim dengan China semakin tegang di perairan itu, kata Manila hari ini.

Perkara itu dicapai dalam pertemuan antara Pengarah Risikan Kebangsaan Amerika Syarikat (NDI), James Clapper dengan Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario di Washington.

"Pegawai AS berikrar untuk meningkatkan perkongsian risikan NDI dengan Filipina berhubung pemantauan situasi maritim di Laut China Selatan,'' kata Jabatan Luar Filipina dalam satu kenyataan.

Clapper dipetik sebagai berkata, mereka akan membantu Filipina dalam aspek berkenaan selain melahirkan kebimbangan berhubung perkembangan yang berlaku di kawasan perairan tersebut.

Keputusan itu dibuat dua hari selepas AS menyatakan kesediaan untuk membekalkan kelengkapan moden tentera kepada Filipina berhubung isu sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Jepun berkata, sebanyak 11 kapal perang China dikesan di kawasan perairan antarabangsa berdekatan Okinawa.

Jepun tidak mendakwa berlakunya sebarang pencerobohan, tetapi kedudukan kapal perang itu Khamis lalu menimbulkan kebimbangan ekoran perbalahan tuntutan kawasan perairan berkenaan.

Jurucakap kementerian itu, Shuichi Fukuya berkata, kapal-kapal perang itu dipercayai dalam perjalanan pulang daripada latihan ketenteraan di kawasan perairan kira-kira 1,500 kilometer dari Okinawa. - AP/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: