Pages

Sunday, June 26, 2011

20 maut, 25 cedera letupan di Afghanistan

PULI ALAM, Afghanistan 25 Jun - Kira-kira 20 orang terbunuh, sementara 25 yang lain cedera apabila satu letupan kereta menggegarkan sebuah hospital di wilayah Logar, selatan Kabul hari ini.
Kementerian Kesihatan Awam dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak dan wanita merupakan antara yang terbunuh dalam kejadian itu.
"Tindakan ini tidak berperikemanusiaan kerana mensasarkan tempat orang yang cedera menerima rawatan,'' jelas kenyataan itu.
Jurucakap wilayah Logar, Din Mohammad Darwaish berkata, letupan itu dipercayai merupakan serangan berani mati.
Ketua Majlis Wilayah Logar, Abdul Wali Wakeel yang mengesahkan angka korban berkata, pegawai tempatan telah menghubungi pasukan antarabangsa bagi meminta bantuan menyelamatkan mangsa-mangsa yang cedera.
Taliban menafikan pihaknya mendalangi serangan bom tersebut.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, pihaknya mengutuk serangan itu dan ia merupakan satu cubaan untuk memfitnah kumpulan militannya.
Serangan bom tersebut berlaku beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengumumkan pengunduran 33,000 tenteranya dari Afghanistan bermula musim panas akan datang. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: