Pages

Monday, April 25, 2011

Pemimpin suku kaum gesa pemberontak letak senjata


TRIPOLI: Pemimpin suku kaum Libya berusaha memujuk pemberontak di bandar Misrata meletak senjata mereka dalam masa 48 jam, sehari selepas pertempuran sengit antara kumpulan penentang dengan tentera kerajaan.
Timbalan Menteri Luar, Khaled Kaim berkata, jika rundingan gagal, pemimpin suku kaum itu akan mengerah penyokong mereka menyerang pemberontak di bandar berkenaan.

Dalam pada itu, Kaim berkata, tentera Libya yang setia kepada Muammar Gaddafi akan menghentikan serangan terhadap bandar terbabit.

Bagaimanapun, Misrata tidak mempunyai jumlah suku kaum yang besar dan pemberontak mempersoalkan berapa banyak sokongan yang boleh diperoleh Gaddafi daripada mereka.

Ia juga tidak jelas sama ada anggota suku kaum bersedia untuk menuruti arahan pemimpin mereka.

Sementara itu, pemimpin pemberontak mengesahkan tentera Gaddafi sudah berundur dari Misrata tetapi menyuarakan rasa curiga sama ada ia pengunduran yang akan berkekalan.


Misrata ialah satu-satunya bandar yang dikuasai pemberontak di barat Libya dan dan menjadi medan pertempuran sengit sejak kebangkitan rakyat bermula Februari lalu.

Beratus-ratus penduduk dilapor terbunuh ekoran pertempuran selama dua bulan.
Menurut Khaled, tentera kerajaan sudah menghentikan operasi di Misrata sejak Jumaat lalu sebagai sebahagian daripada usaha untuk membolehkan pemimpin suku kaum berunding dengan pemberontak untuk mencari satu jalan penyelesaian.

Namun, penduduk melaporkan, pertempuran sengit, serangan meriam dan letupan di timur dan selatan bandar itu masih berlaku.

Pasukan perubatan menyifatkan serangan pada Sabtu sebagai paling sengit.

Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan 75 cedera, sebahagian besarnya parah, kata seorang doktor di Hospital Misrata. - AP

No comments: