Pages

Monday, April 25, 2011

Pemberontak tolak usul Ali Abdullah


SANAA: Penunjuk perasaan yang berkumpul di ibu negara Yaman ini dan Taez, bandar raya kedua terbesar negara itu semalam menuntut Presiden Ali Abdullah Saleh meletak jawatan serta-merta.
Gesaan itu dibuat meskipun parti presiden itu menerima rancangan Majlis Kerjasama Teluk untuk Ali meletak jawatan dalam masa 30 hari.

“Kami menolak cadangan yang dikemukakan Majlis Kerjasama Teluk itu,” kata Abdulmalik al-Yusufi, tokoh tunjuk perasaan di Dataran Universiti Sanaa.

Parti Kongres Rakyat yang diketuai Ali Abdullah berkata sebelum itu, ia menerima seluruh cadangan Majlis Kerjasama Teluk untuk melaksanakan pemindahan kuasa secara aman.

Rancangan itu akan menyaksikan beliau mengemukakan peletakan jawatan kepada Parlimen dalam masa 30 hari dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya.

Pilihan raya Presiden akan diadakan dua bulan selepas itu.


Pakatan pembangkang turut bersetuju terhadap rancangan berkenaan tetapi berkata, ia tidak akan mengambil bahagian dalam kerajaan sementara selepas peletakan jawatan Ali Abdullah.

Bagaimanapun, penunjuk perasaan yang menguasai jalan raya di Sanaa dan beberapa bandar lain menolaknya. “Kami akan terus mengadakan tunjuk perasaan untuk membantah rancangan itu,” kata Abdulmalik. - AFP

No comments: