Pages

Monday, April 11, 2011

Lagi maut protes antikerajaan di Yemen


SANAA 10 April - Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan berpuluh lagi cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di Sanaa dan Taiz semalam.

Presiden Ali Abdullah Saleh yang terus didesak berundur daripada jawatannya itu sejak Januari lalu, menolak rancangan negara-negara Teluk untuk menamatkan pemerintahan autokratiknya.
Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan pada minggu ini.
Semalam, cubaan beratus-ratus penunjuk perasaan merempuh sekatan polis di Taiz ketika berarak ke Istana Presiden mendorong pasukan keselamatan melepaskan tembakan dan gas pemedih mata.
''Seorang terbunuh dan 43 orang cedera ditembak termasuk tiga orang yang kini berada dalam keadaan kritikal. Kira-kira 30 orang cedera dipukul dengan belantan dan dilempar batu,'' kata seorang doktor, Rahim al-Samiei.
Di Sanaa, pertempuran berlaku ketika penunjuk perasaan cuba meluaskan kem mereka, kata penduduk.
''Berpuluh-puluh cedera apabila lelaki berpakaian awam dipercayai pegawai pasukan keselamatan melepaskan tembakan,'' kata ahli perubatan.
Dalam pada itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Sanaa berkata, 24 kanak-kanak terbunuh dan 638 lagi cedera ekoran pertempuran dengan pasukan keselamatan itu.
''Sebanyak 24 kanak-kanak maut dan 638 cedera dalam krisis politik dari 18 Februari hingga 5 April lalu,'' kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan yang diperolehi agensi berita China, Xinhua. - Reuters/Bernama

No comments: