Pages

Tuesday, April 26, 2011

Cubaan NATO bunuh Gaddafi





PEJABAT Muammar Gaddafi dibom oleh jet tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara 
di Tripoli awal semalam.



TRIPOLI - Bom-bom yang digugurkan jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memusnahkan pejabat Muammar Gaddafi (gambar kecil) di kediaman pemimpin Libya itu di sini semalam selepas tentera pemberontak terus mara untuk menggempur tentera Gaddafi di bandar Misrata.
Beberapa letupan kuat menggegarkan bandar raya ini sejurus selepas tengah malam apabila pesawat-pesawat NATO terbang melintasi ibu kota Libya itu.
Seorang pegawai Libya yang mengiringi sekumpulan wartawan di halaman kediaman pejabat Gaddafi menyatakan, 45 orang cedera dengan 15 parah dalam serangan tersebut.
Pegawai berkenaan berkata, beliau tidak tahu sama ada terdapat mangsa yang maut atau cedera di bawah timbunan runtuhan berkenaan.
"Serangan itu satu percubaan untuk membunuh Gaddafi," katanya.
Anak lelaki pemimpin Libya itu, Saif Al-Islam menyifatkan pengeboman oleh NATO tersebut sebagai perbuatan pengecut.
"Serangan pengecut ini ke atas pejabat Gaddafi mungkin menakutkan kanak-kanak tetapi kami tidak akan meninggalkan medan perang ini dan kami tidak takut," katanya.
Terdahulu pada petang Jumaat lepas, jet-jet NATO telah menyerang daerah Al-Aziziyah yang menempatkan pekarangan istana Gaddafi.
Sementara itu di Misrata yang terletak 215 kilometer ke timur bandar ini, askar-askar pemberontak mencatat kemenangan besar dalam pertempuran sengit di sebatang jalan utama di bandar berkenaan kelmarin.
Kemenangan pemberontak dicapai selepas 50 hari penduduk Misrata menjadi sasaran serangan meriam dan peluru penembak tepat Gaddafi.
"Saya dan keluarga terpaksa bersembunyi selama 50 hari untuk mengelakkan diri daripada tembakan penembak tepat," kata seorang penduduk Misrata, Muftah Emeitiq, 45, yang gembira dengan kemaraan pemberontak di bandar itu.
Pergolakan di Libya bermula sejak 15 Februari lalu apabila penduduk bandar Benghazi berhimpun menuntut lebih banyak kebebasan hak asasi.
Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi pertempuran melibatkan kumpulan pemberontak dengan tentera Gaddafi.
Tentera Barat diketuai Amerika Syarikat kemudian melakukan serangan bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya selepas dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Serangan itu kemudian diambil alih oleh NATO bagi mengelak tentera Gaddafi melakukan serangan ke atas orang awam. - Agensi, kosmo

No comments: