Pages

Wednesday, March 30, 2011

Radiasi merebak ke negara Asia


MANILA: Sejumlah kecil radiasi daripada loji nuklear Jepun yang bocor sudah merebak ke beberapa negara Asia, kata pihak berkuasa, meningkatkan lagi kebimbangan jutaan penduduk yang semakin bimbang untuk makan makanan Jepun.
Kerajaan China, Korea Selatan, Filipina dan Vietnam melaporkan radiasi dikesan di wilayah negara masing-masing.

Bagaimanapun, mereka menegaskan, paras itu amat kecil dan tidak mengancam kesihatan.

“Kami meminta orang ramai tidak cemas. Jumlahnya begitu sedikit di udara,” kata jurucakap Institut Kajian Nuklear Filipina, Tina Cerbolis. Pegawai di beberapa negara lain sebelum ini turut menyuarakan perkara yang sama.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa jumlahnya tidak akan memberi kesan kepada rakyat biasa Korea,” kata Ketua Institut Keselamatan Nuklear, Yun Choul-Ho kepada wartawan di Seoul.

Namun, perkembangan itu adalah satu lagi peringatan kepada orang ramai di seluruh Asia Pasifik mengenai kesan teruk akibat kerosakan loji nuklear Fukushima selepas gempa bumi dan tsunami melanda Jepun dua minggu lalu.

Kesan radiasi pada hakikatnya sudah merebak hingga ke Amerika Syarikat dengan air hujan di Ohio dikesan tercemar Isnin lalu, kata pihak berkuasa alam sekitar.

Kerajaan dan orang ramai yang tinggal berjiran dengan Jepun sudahpun mengambil langkah berjaga-jaga apabila krisis itu meningkat.
Pihak berkuasa di rantau berkenaan mula menguji makanan import untuk mengesan radiasi sementara beberapa jenis sayur yang ditanam berhampiran Fukushima diharamkan sama sekali.

Di China, dua pengunjung dari Jepun dimasukkan ke hospital minggu lalu selepas pegawai lapangan terbang mengesan tahap radiasi yang tinggi pada mereka. Pihak berkuasa negara itu juga berkata minggu lalu, radiasi dikesan pada sebuah kapal dagang dari Jepun.

Majlis Tenaga Atom Taiwan semalam melaporkan, sejumlah kecil zarah radioaktif dikesan pada 43 penumpang dari Jepun sejak krisis itu bermula. - AFP

No comments: