Pages

Wednesday, March 30, 2011

Penulis nafi tuduh Gandhi biseksual



BUKU biografi "Great Soul:Mahatma Gandhi and His Struggle With India" yang ditulis olehJoseph Lelyveld.


NEW DELHI, India - Seorang penulis Amerika Syarikat (AS) semalam menafikan sekeras-kerasnya bahawa buku terbarunya tentang Mahatma Gandhi menuduh bapa kemerdekaan India itu seorang biseksual dan berfahaman rasis yang meninggalkan isterinya demi seorang ahli bina badan.
Akhbar-akhbar di India berang dengan ulasan di AS dan Britain mengenai buku biografi Gandhi tulisan Joseph Lelyveld itu. Ia menceritakan tentang hubungan pemimpin itu dengan seorang arkitek dan ahli bina badan amatur berdarah campuran Jerman-Yahudi, Hermann Kallenbach.
Gandhi menetap di Kallenbach, Johannesburg selama dua tahun dari tahun 1907 sebelum meninggalkan Afrika Selatan untuk kembali ke India pada 1914.
"Anda telah memiliki seluruh tubuh saya," Gandhi dipetik sebagai berkata dalam sepucuk surat kepada Kallenbach yang dipaparkan dalam buku tersebut.
Akhbar Britain, Daily Mail menyiarkan tajuk utama "Gandhi meninggalkan isterinya untuk hidup bersama seorang kekasih lelaki, dakwa buku baru", manakala akhbar Daily Telegraph menyatakan, beliau berfahaman perkauman terhadap penduduk kulit hitam Afrika Selatan.
Namun, Lelyveld, seorang bekas pengarang eksekutif akhbar New York Times menegaskan: "Buku berjudul, Great Soul: Mahatma Gandhi And His Struggle With India telah disalah tafsir oleh media cetak.
"Saya tidak menuduh Gandhi seorang rasis atau biseksual. Perkataan biseksual langsung tidak digunakan dalam buku ini," katanya.
"Perkataan rasis hanya digunakan sekali bagi menggambarkan komen-komen Gandhi ketika beliau baru menetap di Afrika Selatan. Ia langsung tidak merumuskan bahawa Gandhi seorang yang rasis," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, saudara-mara Gandhi di India, di mana buku tersebut belum lagi dipasarkan, mengecam dakwaan terhadap kehidupan cinta Gandhi oleh Lelyveld.
"Penulis-penulis Barat begitu taksub tentang seksualiti Gandhi. Cerita ini cuma dapat membantu menjual buku mereka," kata cicit pemimpin itu, Tushar Gandhi. Buku tersebut mula dipasarkan di AS semalam.
Gandhi meninggal dunia pada 30 Januari 1948 akibat ditembak oleh seorang ekstremis Hindu. - AFP

No comments: