Pages

Sunday, March 20, 2011

Mimpi ngeri nuklear Jepun






PEMBUNUHAN Alexander Litvinenko, 44, pada penghujung tahun 2006 menjadi kisah sensasi dunia perisikan. Litvinenko, seorang ejen badan perisikan Rusia, KGB, jatuh sakit pada 1 November 2006 selepas makan di sebuah restoran sushi di London. Dia baru sahaja menerima bukti tentang satu kes pembunuhan lain semasa makan di situ.
Pada 3 November, kesihatan Litvinenko bertambah buruk dan dia terpaksa dikejarkan ke Hospital Barnet di London. Pihak berkuasa Britain mengenal pasti bahawa Litvinenko telah diracun menggunakan bahan radioaktif polonium-210.
Gambarnya di hospital menunjukkan dia berkepala botak dan kelihatan tenat. Dia meninggal dunia tiga minggu kemudian.
Pembunuhan Litvinenko dikatakan mirip kisah dalam filem Hollywood bahkan ia didakwa sengaja dirancang oleh pihak berkuasa Rusia sendiri.
Insiden yang dialami Litvinenko boleh dikatakan merupakan kes keracunan bahan radioaktif terbaru yang menarik perhatian dunia sebelum beberapa siri letupan loji nuklear berlaku di Jepun lebih seminggu lalu. Loji nuklear Fukushima Daiichi meletup selepas utara Pulau Honshu dilanda tsunami sekali gus mendedahkan penduduk Negara Matahari Terbit itu kepada radiasi yang dikhuatiri boleh mengancam nyawa.
Radiasi boleh ditemui secara semula jadi di persekitaran hidup manusia. Haba, cahaya dan ketuhar mikro semuanya menghasilkan radiasi tetapi tidak berbahaya kepada tubuh manusia.
Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (AS), kira-kira 80 peratus radiasi datang daripada sumber semula jadi manakala selebihnya daripada sumber buatan manusia terutama mesin sinaran X di hospital.
Semasa letupan nuklear, manusia terdedah kepada jumlah radiasi yang tinggi dalam tempoh yang singkat dan boleh menyebabkan sindrom radiasi akut.
Bagaimanapun, insiden di Fukushima dikatakan tidak memberi kesan langsung kepada penduduk Tokyo apatah lagi Malaysia yang terletak sejauh 6,000 kilometer dari Jepun.

KEROSAKAN teruk pada bangunan loji nuklear yang meletupkan reaktor akibat tsunami menjadi kebimbangan Jepun dan negara serantau.


Ini diakui oleh Ketua Program Sains Nuklear, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Redzuwan Yahaya.
Redzuwan yang lebih suka menggunakan perkataan sinaran berbanding radiasi memberitahu, sinaran nuklear tersebut tidak mendatangkan kesan terhadap manusia seperti kebarangkalian mendapat kanser dan menyebabkan kematian.
“Bagi rakyat di Jepun, sinaran tersebut tidak berbahaya kerana penyebarannya adalah kecil. Inikan pula kita yang berada jauh di Malaysia,” katanya kepada Jurnal.
Tahan 30 tahun
Menurutnya, sememangnya sinaran nuklear tersebut akan tersebar dan wujud di udara dalam tempoh masa yang lama tetapi ia tidak memberikan kesan. Sebagai contoh, bahan radioaktif paling berisiko daripada 250 bahan radioaktif lain seperti caesium dan strontium.
Dua bahan radioaktif ini dikatakan jika tersebar di ruang udara mampu bertahan selama 30 tahun.
Namun di Jepun, kesan sinaran nuklear yang tersebar hanya diibaratkan seperti rakyatnya menjalani satu rawatan sinaran X. Itu pun jika mereka duduk di luar sepanjang hari untuk beberapa hari tanpa perlindungan.
SEORANG petugas perubatan menggunakan alat pengukur radiasi Geiger di Niigata, Jepun pada 16 Mac lalu.


Bagaimanapun, Redzuwan yang berpengalaman selama hampir 20 tahun mengajar dalam bidang sains nuklear juga tidak menolak sinaran nuklear pada paras tertentu boleh membahayakan kesihatan dan nyawa manusia.
Antara yang mungkin terjadi, jika kesan sinaran berukuran 100 rems, ia akan merosakkan sistem peredaran darah dan menyebabkan sel limposit dalam darah berkurangan.
“Pendedahan kepada sinaran berukuran 200 rems pula akan mengakibatkan keguguran rambut dengan cepat, kerosakan saluran usus yang menyebabkan mual, muntah-muntah dan cirit birit,” katanya.
Mandul
Pada kekuatan ini juga ia boleh menjejaskan sistem peranakan wanita.
Ujarnya, sinaran nuklear yang berukuran 1,000 rems pula akan mengakibatkan kerosakan pada pembuluh darah.
Bagi mereka yang terdedah secara langsung terhadap sinaran berukuran lebih 5,000 rems pula akan menyebabkan sel otak rosak. Lebih teruk lagi, ia boleh menyebabkan perubahan pada asid deoksiribonukleik (DNA) sehingga menyebabkan kematian.
Ulasnya, disebabkan itu pekerja yang bekerja di kawasan teknologi nuklear untuk tempoh masa yang lama akan dipindahkan ke bahagian dalam pejabat bertujuan untuk menghilangkan atau mengurangkan kesan sinaran yang mungkin terkena semasa bekerja.
Redzuwan juga menolak kemungkinan kesan sinaran di Jepun akan meningkat dan menyamai kesan sinaran akibat letupan kuat loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986.
FUKUSHIMA merupakan wilayah paling aktif dengan industri nuklear di Jepun.


Tragedi Chernobyl menyebabkan 32 orang terbunuh akibat kesan langsung keracunan radiasi sementara 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif akibat bahan radioaktif tersebar ke udara sehingga ke barat Eropah.
“Kebiasaannya kesan radioaktif hanya berlaku di kawasan lingkungan yang terlibat malah kesan tersebut tidak akan mencecah tahap yang lebih tinggi kerana Jepun telah pun melakukan tindakan bagi menyejukkan loji jana kuasa nuklear yang lebur dengan mencurahkan air laut ke dalam loji dengan menggunakan helikopter,” katanya.
Menerangkan lebih lanjut mengenai loji nuklear tersebut, Redzuwan memberitahu, apabila loji nuklear tersebut lebur ia akan mengeluarkan tiga jenis bahan radioaktif ke udara iaitu caesium, iodin dan strontium.
Ulasnya, selepas seminggu letupan itu berlaku, loji nuklear tersebut masih panas ibarat seperti memasak 620,000 biji telur dalam masa tiga minit sekali gus menyebabkan penyebaran sinaran nuklear. Namun begitu, Jepun sedang bertungkus-lumus berusaha untuk menyejukkan loji nuklear tersebut.

No comments: