Pages

Wednesday, March 2, 2011

Pakar bedah diheret ke mahkamah kerana bil $26j


PERTAHAN BIL: Dr Lim berhujah kadar bayaran yang dikenakannya telah disetujui Pengiran Anak Hajah Damit, yang akhirnya meninggal dunia pada 2007. -- Foto fail


SINGAPURA


Antara lain dikata naikkan lipat kali ganda bil khidmat doktor lain kepada pesakit diraja Brunei


KES seorang pakar bedah mengenakan bil setinggi $26 juta terus mendapat perhatian ramai, terutama sektor perubatan, selepas doktor terbabit, Dr Susan Lim, mendakwa jumlah 'menjolok mata' itu telah dipersetujui pesakitnya, seorang kerabat diraja Brunei.
Dr Lim mendakwa pesakitnya, Pengiran Anak Hajah Damit, adik perempuan Permaisuri Brunei dan sepupu Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah, tahu dan setuju tentang kadar rawatan purata antara $100,000 dengan $200,000 yang dikenakan sehari itu.Jumlah tinggi itu bagi khidmat pakar yang disediakan Dr Lim antara 15 Januari 2007 dengan 16 Jun 2007 dan termasuk bayaran yang dikenakan doktor-doktor dan kakitangan perubatan lain yang merawat pesakit barah buah dada itu.Pengiran Anak Hajah Damit, 51 tahun, namun meninggal dunia lewat Ogos 2007.Fakta itu dibentang dalam kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi antara Dr Lim dengan Majlis Perubatan Singapura (SMC), yang mendakwa beliau mengenakan bayaran terlalu tinggi.Dakwaan SMC itu timbul setelah Dr Lim meminta Mahkamah Tinggi mengadakan Semakan Kehakiman ke atas langkah SMC membentuk jawatankuasa disiplin (DC) kedua bagi menyiasat kesnya.Ini selepas perbicaraan DC pertama ditamatkan pada Julai lalu ekoran pengunduran anggotanya menyusuli dakwaan peguam Dr Lim bahawa ia tidak berlaku adil.Namun, Kementerian Kesihatan (MOH) telah mengenakan ke atas Dr Lim tuduhan menyalah guna kepercayaan pesakit yang dikenali dengan mengenakan bayaran terlalu tinggi.Kesemuanya, MOH mengenakan 94 tuduhan ke atas Dr Lim, 10 daripadanya melibatkan khidmat yang disediakan para pakar lain.Sebanyak 10 tuduhan itu mendakwa Dr Lim menaikkan bil, salah satunya sehingga 526 ganda.Antara bil itu ialah invois $3,000 daripada Dr Chan Tiong Beng yang dinaikkan Dr Lim kepada $285,000, dengan beliau mengenakan bayaran tambahan bagi tugas 'kontraktor utama'.Menurut Dr Lim, beliau perlu berada di sisi Pengiran Anak Hajah Damit setiap masa, bahkan pesakitnya itu tidak akan meneruskan sebarang prosedur tanpa kehadirannya.Dr Lim berkata malah beliau perlu mengorbankan banyak masa keluarga dan janji temu dengan pesakit lain, termasuk dari luar negara, kerana terpaksa melayan kehendak pesakitnya itu.Beliau dikenali sebagai doktor Asia pertama berjaya melakukan pembedahan pemindahan hati.Sejauh ini, lima doktor telah memfailkan afidavit masing-masing berkenaan 10 dakwaan itu.Kandungan afidavit yang difailkan Dr Chan Tiong Beng, Dr Koo Chee Choong, Dr Khor Tong Hong, Dr Yap-Whang Hwee Yong dan Dr Tanny Chan, yang dibentangkan di mahkamah kelmarin rata-rata menyatakan mereka tidak rasa ditipu atau dipermainkan oleh Dr Lim.MOH mula mendapat tahu tentang kes Dr Lim pada Julai 2007 setelah pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan Brunei (MOHB) menemui rakan sejawatannya di sini, Profesor K. Satku, untuk mendapatkan diskaun bagi bil Dr Lim.Profesor Satku bagaimanapun menggesa MOHB menulis surat kepada MOH mengenai bil itu, yang dianggapnya 'terlalu tinggi dan boleh memberi kesan buruk pada Singapura'.Profesor Satku kemudian mengarahkan klinik Dr Lim digeledah bagi mencari bukti.Pada Ogos 2007, Dr Lim menulis surat kepada pegawai di Brunei supaya mengabaikan bayaran bagi khidmat yang disediakan doktor-doktor lain dan memberi diskaun 25 peratus ke atas khidmat yang beliau berikan.Beliau juga memohon maaf atas 'kesilapan yang tidak disengajakan'.Namun, MOHB meminta MOH campur tangan setelah mendapati beberapa invois yang dikeluarkan Dr Lim - termasuk bagi khidmat yang belum dilakukan - terlalu tinggi dan tidak dapat diterima.Menyusuli itu, Dr Lim mengurangkan lagi bil yang dikenakan kepada $3.25 juta.Malah beliau dan suaminya, pegawai bank Deepak Sharma, pergi ke Brunei pada Januari 2009 bagi menyarankan semua bil bagi khidmat yang disediakannya dan pihak ketiga tidak dikenakan, dengan syarat kerajaan Brunei mengeluarkan kenyataan tidak meneruskan kes itu.Tawaran beliau tidak diterima.



Urutan kes Dr Susan Lim

  • 2001: Pengiran Anak Hajah Damit hidap barah buah dada dan menemui pakar bedah swasta, Dr Susan Lim, bagi mendapatkan rawatan. Kerajaan Brunei membayar semua bayaran yang dikenakan sehingga 27 Mac 2007. Antara 2004 dengan Mac 2007, Dr Lim menerima $40 juta.




  • 2007: Antara 8 Mac hingga 28 Jun, Dr Lim menghantar beberapa invois, yang terakhir turut mengandungi anggaran bil bagi khidmat yang belum disediakan antara Jun dengan Ogos.




  • Jun 2007: Dr Lim ke Brunei selama 33 hari untuk mendirikan kemudahan perubatan bagi pesakitnya.




  • 16 Julai 2007: Keadaan Pengiran Anak Hajah Damit bertambah buruk. Dr Lim pulang ke Singapura. Dr Lim mengenakan baki bil $26 juta (termasuk GST) bagi khidmat dari 15 Januari hingga 16 Jun 2007. Dokumen mahkamah mendedahkan beliau mengenakan bayaran antara $29,600 dengan $660,000 sehari (sebelum GST).




  • Lewat Julai 2007: Pengarah perkhidmatan perubatan Brunei menemui rakan sejawatannya dari Singapura, Profesor K. Satku, bagi mendapatkan diskaun bil tinggi. Pegawai Brunei menemui Ketua Eksekutif Parkway Group, Dr Lim Cheok Peng, bagi mendapatkan bantuan agar bil dikurangkan. Kumpulan itu mengendalikan Hospital Gleneagles dan Mount Elizabeth, yang menempatkan dua klinik Dr Lim.




  • 1 Ogos 2007: Dr Lim menulis kepada pegawai di Brunei supaya mengabaikan bil bagi perkhidmatan yang disediakan doktor-doktor lain dan memberi diskaun 25 peratus bagi perkhidmatan yang beliau beri.




  • 18 Ogos 2007: Dr Lim mohon maaf pada MOHB atas 'kesilapan yang tidak disengajakan' oleh pihaknya.




  • 27 Ogos 2007: MOHB minta agar MOH campur tangan kerana bil tinggi itu tidak boleh diterima.




  • Lewat Ogos 2007: Pengiran Anak Hajah Damit, 51 tahun, meninggal dunia.




  • 12 November 2007: Dr Lim menulis kepada MOHB untuk mengurangkan bil kepada $3.25 juta. Ia termasuk bayaran perkhidmatan oleh pakar perubatan lain dan sewa pesawat untuk membawa pesakit dari Singapura ke Brunei.




  • Januari 2009: Dr Lim dan suaminya, pegawai bank Deepak Sharma, ke Brunei dan menawarkan semua bayaran bagi khidmat yang disediakannya dan pihak ketiga tidak dikenakan, dengan syarat MOHB mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Brunei tidak akan meneruskan isu tersebut.




  • Januari 2010: Dr Lim dihadapkan ke SMC bagi perbicaraan disiplin berkaitan bil tinggi itu menyusuli aduan MOH.




  • 29 Julai 2010: Jawatankuasa disiplin (DC) SMC letak jawatan dan menamatkan siasatan tanpa memberi sebarang keputusan. Dr Lim diberitahu DC kedua dibentuk.




  • Februari 2011: Dr Lim memohon agar Mahkamah Tinggi menghentikan langkah SMC membicarakan kesnya.




  • 21 Februari 2011: Kes Dr Lim dengan SMC mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi secara terbuka




  • Cyberita Online Singapura

    No comments: