Pages

Friday, March 4, 2011

AS tidak mahu Libya jadi Somalia




SEORANG tentera pemberontak menutup telinganya ketika bom yang dilancarkan dari pesawat pejuang tentera udara Libya yang setia kepada Muammar Gaddafi meledak di padang pasir dekat Brega, kelmarin. - REUTERS


WASHINGTON 3 Mac - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton semalam berkata, satu keutamaan bagi AS semasa krisis di Libya ialah mencegah negara di Afrika Utara itu daripada menjadi seperti Somalia atau pangkalan bagi pengganas.
Clinton dalam ucapan kepada Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat bagi mempertahankan bajet Jabatan Negara berkata, ramai aktivis al-Qaeda yang ditahan di Afghanistan dan Iraq 'datang dari Libya, termasuk timur Libya yang kini dikatakan kawasan bebas Libya'.
"Satu perkara yang sangat membimbangkan kita ialah Libya terjerumus ke dalam huru-hara dan menjadi sebuah Somalia gergasi," kata Clinton.
Somalia dibelenggu krisis, tanpa kerajaan pusat yang berfungsi, sejak awal 1990-an dan kekosongan itu diisi oleh kumpulan militan seperti al-Shabaab yang dikaitkan dengan al-Qaeda.
Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi sejak beberapa hari lalu mendakwa pemberontakan menentang rejimnya didalangi oleh al-Qaeda dan bukan pemberontakan rakyat untuk menegakkan demokrasi.
Clinton menolak cadangan para Senator supaya AS bertindak segera untuk menyokong penguatkuasaan zon larangan terbang di ruang udara Libya bagi menghalang Gaddafi mengebom penunjuk perasaan.
Beliau menyebut tentang ketidakpastian mengenai 'siapa yang mempunyai kedudukan yang sah, siapa yang tidak' dan berkata, masih terlalu awal untuk mengiktiraf sesuatu kumpulan.
Pegawai kanan pertahanan kelmarin berkata, menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya seperti dilakukan di Iraq pada 1990-an adalah sangat rumit dan sukar.
"Kita juga perlu memikirkan soal menggunakan tentera AS di sebuah lagi negara di Asia Barat," kata Setiausaha Pertahanan, Robert Gates. - dpaUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: