Pages

Monday, February 28, 2011

Raja Hamad pecat empat menteri






MANAMA 27 Feb. - Pemerintah Bahrain, Raja Hamad al-Khalifa semalam memecat empat anggota Kabinetnya ketika pemimpin pembangkang, Hassan Mushaima (gambar) kembali dari buangan dan menggesa pemerintah negara ini menyokong pembaharuan yang akan disusuli dengan tindakan.
Ribuan penunjuk perasaan menyuarakan tuntutan mereka dengan berhimpun di bangunan kerajaan di ibu negara ini.
Dua anggota kerabat diraja adalah antara mereka yang dipecat, sebagai tindak balas kepada aduan penunjuk perasaan yang mengatakan dewan pemerintah al-Khalifa memegang terlalu banyak kuasa.
Perdana Menteri Bahrain, Khalifah ibn Sulman al-Khalifah yang merupakan bapa saudara kepada Raja Hamad yang telah berkuasa selama lebih empat dekad dan menjadi sasaran penunjuk perasaan menuntut pembaharuan, bagaimanapun masih kekal memegang jawatan itu.
Kepulangan Mushaima, pemimpin senior yang kembali ke Bahrain selepas hidup dalam buangan, mungkin akan mencetuskan fasa baru pergerakan antikerajaan.
Mushaima yang sebelum ini dituduh berkomplot menggulingkan pemerintahan negara, menggesa kerajaan supaya lebih responsif dengan tuntutan penunjuk perasaan. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: