Pages

Monday, February 28, 2011

Angka korban gempa bumi makin meningkat, mungkin lebih 200



CHRISTCHURCH 27 Feb. – Angka kematian akibat gempa bumi 6.3 pada skala Richter yang melanda bandar raya ini Selasa lalu dijangka meningkat melebihi 200, lapor pihak berkuasa hari ini.
Superitendan polis David Cliff berkata, sehingga kini seramai 147 telah disahkan maut dan pihaknya menjangkakan angka kematian akan terus meningkat berdasarkan bilangan 200 lagi mangsa yang dilaporkan hilang.
“Anggota penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa di bawah runtuhan, jumlah itu mungkin meningkat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kenyataan beliau itu membayangkan bencana gempa bumi kali ini adalah yang terburuk di New Zealand selepas satu gempa bumi melanda Napier, North Island pada 1931 yang mengakibatkan 256 maut.
Di Christchurch, satu majlis memperingati kebangsaan yang dijadual terpaksa dibatalkan selepas ia dibimbangi boleh menghalang laluan operasi menyelamat, ketika penduduk di bandar raya kedua terbesar New Zealand itu berkabung dan meratapi kematian insan tersayang dalam upacara-upacara di gereja seluruh negara.
Jurutera dan perancang bandar berkata, sebahagian besar kawasan bandar raya itu yang musnah mungkin tidak boleh digunakan dalam masa berbulan-bulan akan datang dan sekurang-kurangnya satu pertiga bangunan perlu dirobohkan dan dibina semula selepas gempa bumi menggegar minggu lalu.
Sebelum itu, seorang inspektor polis, Rusell Gibson berkata, pasukan penyelamat telah menjumpai beberapa mayat di celah runtuhan dan ia hanya akan dikeluarkan hari ini.
Pasukan penyelamat hari ini masih menjalankan operasi mencari mangsa di celah-celah runtuhan di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Walaupun operasi tersebut disifatkan sebagai kerja-kerja menyelamat, tiada satu pun mangsa berjaya diselamatkan sejak tengah hari Rabu lalu dan harapan untuk menemui mangsa yang hidup juga semakin tipis.
Bekalan elektrik telah pulih semula ke kira-kira 85 peratus Christchurch dan 65 peratus rumah kini telah mendapat bekalan air bersih, namun sistem kumbahan bandar dilapor masih belum diperbaiki.
Beribu-ribu sukarelawan boleh dilihat membantu kerja-kerja pembersihan di jalan-jalan. – Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: