Pages

Tuesday, February 15, 2011

Hosni Mubarak jatuh sakit




SEBAHAGIAN kecil penunjuk perasaan Mesir masih berada di Dataran Tahrir di Kaherah semalam.


KAHERAH - Media Mesir mengeluarkan pelbagai laporan berhubung tahap kesihatan presiden Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak, lapor sebuah akhbar semalam.
Kelmarin, sebuah akhbar Bahrain, Alwasat News menyatakan, Hosni kini tidak sedarkan diri. Sebuah lagi akhbar tempatan, Al Masry Al Youm pula melaporkan pemimpin tersebut tidak sedarkan diri sejak Sabtu lepas dan beliau berada di bawah penjagaan perubatan yang rapi.
Sebuah akhbar tempatan lain melaporkan Hosni jatuh sakit tetapi beliau enggan menerima rawatan perubatan.
Agensi berita rasmi Roee Nahmias semalam menafikan bekas presiden Mesir itu kini koma tetapi mengakui bahawa beliau jatuh sakit.
Bekas presiden berusia 82 tahun itu mengalami tekanan mental yang teruk dan menolak untuk dirawat walaupun beliau jatuh sakit, lapor sebuah lagi akhbar, Al-Gomhuria yang memetik beberapa sumber yang rapat dengan Hosni.
Menurut laporan tersebut, Hosni kini dipercayai berada di resort tepi pantai di Sharm el-Sheikh.
Dalam perkembangan berkaitan, Duta Mesir ke Amerika Syarikat (AS), Sameh Shoukry semalam tidak menolak bahawa kesihatan Hosni semakin terjejas ketika ditanya berhubung laporan media bahawa beliau mungkin diserang strok atau berada dalam keadaan koma.
"Saya mengikuti desas-desus dan laporan media tentang kesihatan beliau (Hosni) dan mendapat maklumat yang menunjukkan kesihatan beliau kini terjejas," kata Sameh dalam satu temu bual dengan program bual bicara Today Show terbitan NBC.
Bagaimanapun, duta berkenaan menegaskan: "Saya tidak mendapat maklumat mencukupi. Justeru saya tidak mahu membuat spekulasi tentang punca Hosni jatuh sakit."
Pada tahun lalu, Hosni berkunjung ke Jerman untuk menjalani pembedahan pundi hampedu.
Hosni meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada tentera Mesir pada Jumaat lalu selepas 18 hari berdepan tunjuk perasaan anti-pemerintah.
Kepimpinan tentera yang baru telah membubarkan Parlimen dan menggantung perlembagaan negara kelmarin.
Sementara itu, pihak tentera yang memerintah negara itu selepas Hosni meletakkan jawatan meminta semua pekerja tidak melancarkan mogok dan protes di Dataran Tahrir.
Permintaan itu dianggap sebagai satu amaran sebelum pihak tentera melarang semua bentuk perhimpunan dan mogok.
Semalam, askar-askar membersihkan sampah sarap dan timbunan bangkai kereta serta khemah di Dataran Tahrir yang menjadi tempat para penunjuk perasaan berkampung sejak 25 Januari lalu bagi menuntut Hosni meletakkan jawatan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments: