Pages

Monday, December 13, 2010

Rakyat Kosovo tagih perubahan




2010/12/13

PETUGAS pilihan raya menunggu pengundi di  pusat mengundi bergerak di Kosovo, semalam.
PETUGAS pilihan raya menunggu pengundi di pusat mengundi bergerak di Kosovo, semalam.
Pilihan raya umum pertama dijangka kurangkan cengkaman kuasa Thaci 

PRISTINA: Kosovo mengadakan pilihan raya umum pertama semalam sejak diisytiharkan merdeka pada 2008, yang dijangka mengurangkan cengkaman kuasa Perdana Menteri, Hashim Thaci.
Tinjauan pendapat terakhir yang dilakukan menjelang pilihan raya menunjukkan saingan sengit di antara Parti Demokratik Kosovo (PDK) pimpinan Thaci dengan pencabar utamanya, Liga Demokratik Kosovo (LDK) dipimpin datuk bandar Pristina, Isa Mustafa.Thaci kelihatan tenang ketika mengundi di sebuah sekolah di tengah Pritina, diiringi isteri dan anak lelakinya. 

“Rakyat Kosovo keluar mengundi hari ini untuk masa depan Eropah, untuk liberalisasi visa dan integrasi ke dalam Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya kepada pemberita yang menunggunya. 

Kebanyakan rakyat daripada 1.6 juta pengundi tidak yakin dengan kepemimpinan sekarang berikutan skandal rasuah membabitkan pegawai parti Thaci, yang mencemarkan reputasinya. 

Jumlah pengundi yang keluar dikatakan menjadi penentunya. Peratusan rendah yang keluar mengundi akan membeli kelebihan kepada parti PDK pimpinan Thaci, yang mempunyai sokongan kuat di kawasan luar bandar. 
“Thaci akan menang. Beliau patut diberikan empat tahun lagi dan anda akan lihat beliau sebagai perdana menteri terbaik di Kosovo,” kata Feriz Krasniqi, seorang peniaga gerai berusia 29 tahun di Pristina. 

Namun ramai orang muda dan golongan elit berpendidikan di bandar tidak lagi menyokong bekas pemimpin gerila itu.

“Saya bangun awal untuk mengundi kerana tidak suka dengan cara negara ini ditadbir. Orang ramai menderita sementara ahli politik mendapat macam-macam faedah dan kami perlu menghentikannya,” kata seorang jurutera, Shaqir Zeneli, 39. 

Selepas lebih 10 tahun terbabit peperangan di antara golongan majoriti Albania yang menuntut kemerdekaan dan pasukan keselamatan yang setia dengan pemimpin Serbia, Slobodan Milosevic, ia masih menjadi salah satu rantau termiskin di Eropah. 

Ia mempunyai kadar pengangguran sebanyak 48 peratus, menurut Bank Dunia. Hampir separuh penduduknya hidup di bawah garis kemiskinan. 

Penganalisis meramalkan cengkaman kuasa Thaci akan berkurangan dan parti lain akan memperoleh manfaat berikutan kekecewaan pengundi. 

Pilihan raya semalam adalah yang pertama sejak golongan majoriti etnik Albania mengisytiharkan Kosovo merdeka pada Februari 2008. Kemerdekaannya diiktiraf oleh 72 negara termasuk Amerika Syarikat dan semua kecuali lima anggota Kesatuan Eropah. – AFP 

No comments: