Pages

Tuesday, December 14, 2010

New Zealand tingkat eksport produk daging halal



Perjanjian yang dimeterai dijangka akan meningkatkan jumlah eksport daging dan produk tenusu halal dari New Zealand ke Malaysia. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Malaysia dan New Zealand semalam mencapai persetujuan bagi pelaksanaan piawaian Notis 2010 Keperluan Halal Daging dan Produk Berasaskan Daging Malaysia (Pemberitahuan Akses Pasaran Seberang Laut) ke atas produk pengeluaran ladang ternakan di New Zealand untuk tujuan pengeksportan ke Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin berkata, penggunaan piawaian itu dijangka bermula pada bulan Januari tahun hadapan dan jika usaha itu berjaya, ia akan dikembangkan ke negara lain termasuk Eropah, Amerika Latin dan Amerika Syarikat.
"Melalui persetujuan ini, rakyat Malaysia tidak perlu lagi merasa ragu dengan hasil ternakan dan tenusu dari New Zealand yang dijual di dalam negara.
"Selain itu, pihak berkuasa New Zealand akan dapat meningkatkan penglibatan mereka untuk memantau loji-loji ternakan yang ingin mengeksport produk mereka ke Malaysia dengan mengguna pakai piawaian halal dan keselamatan makanan dari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu di sini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Perbadanan Keselamatan Makanan New Zealand, Wayne MacNee; Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, David Kersey dan Pengarah Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar.
Abd. Aziz berkata, persetujuan tersebuat bakal meningkatkan jumlah eksport daging dan produk tenusu New Zealand ke Malaysia yang turut dapat menampung keperluan rakyat di negara ini.
Beliau memaklumkan, sebelum ini 16 daripada 30 ladang New Zealand yang membekalkan produk ke Malaysia dihentikan pengeksportan mereka kerana tidak memenuhi syarat halal yang ditetapkan, menyebabkan jumlah nilai pengeksportan ke Malaysia berkurangan kepada RM130 juta setahun berbanding jumlah yang lebih besar sebelum ini. - Bernama

No comments: