Pages

Saturday, November 20, 2010

Putera William cetus kebimbangan



Putera William dan tunangnya Kate Middleton semasa menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka Harry Mead dan Rosie Bradford di Northleach, England pada 23 Oktober, 2010. - AP


LONDON 19 Nov. - Majlis perkahwinan Putera William dan Kate Middleton yang dirancang pada tahun depan, mungkin menjadi satu mimpi buruk kepada perancang perkahwinannya.
Ia kerana majlis itu bukan sahaja perlu memuaskan hati ahli keluarga pengantin dan kerabat diraja, tetapi juga perlu sesuai dengan keadaan semasa, ketika rakyat Britain sedang berhadapan kemelesetan ekonomi.
Ia mestilah hebat, tetapi tidak terlalu menjolok mata; indah, tetapi dengan sentuhan biasa; mewah, tetapi tidak mencetuskan kebimbangan pembayar cukai.
Pasangan diraja itu menjadi tumpuan media seluruh dunia selepas mengumumkan pertunangan mereka kelmarin dan memberitahu majlis perkahwinan akan dilangsungkan pada tahun depan selepas lapan tahun bercinta.
Pasangan tersebut akan disatukan dalam satu majlis perkahwinan diraja terbesar Britain sejak majlis perkahwinan Putera Charles dan Puteri Diana di Gereja St. Paul pada Julai 1981.
Middleton bukan berasal daripada kerabat diraja. Dia merupakan anak jutawan perniagaan perancang majlis yang dikenali sebagai Party Pieces.
"Saya sendiri tidak mempunyai duit cukup untuk majlis perkahwinan saya, biarkan mereka menguruskannya sendiri. Mereka mempunyai kekayaan, kenapa tidak menggunakannya?" kata seorang pekerja pembinaan di London, Scott Northgrave, 39 tahun.
Siapa yang akan membiayai perkahwinan yang dianggarkan berjumlah berjuta-juta pound itu masih belum dapat dipastikan, tetapi kerabat di raja tahu mereka tidak boleh berharap kepada dana kerajaan ketika rakyat sedang menghadapi kegawatan ekonomi.
Menurut pejabat William, pasangan itu sedar tentang keadaan ekonomi ketika ini.
Disebabkan William adalah pewaris kedua takhta Britain selepas ayahnya, Putera Charles, majlis itu bukanlah majlis rasmi negara seperti majlis perkahwinan neneknya, Ratu Elizabeth pada 1947 atau perkahwinan ayahnya, Putera Charles pada 1981.
Perdana Menteri David Cameron berkata, adalah sukar untuk menolak memberikan cuti umum di negara ini sempena majlis perkahwinan itu.
Dana untuk majlis itu mungkin datang daripada pembiayaan tahunan kerajaan berjumlah $7.9 juta pound (RM36.2 juta) untuk membayar upah pekerja dan acara rasmi di raja atau daripada kekayaan peribadi Ratu Elizabeth.
Putera Charles turut dijangka membiayai majlis perkahwinan itu, manakala keluarga Milddleton yang merupakan jutawan perniagaan perancang majlis juga akan menyumbang.
Bagaimanapun pembayar cukai akan turut terpaksa membiayai kos keselamatan, termasuk sejumlah besar polis yang bertugas ketika majlis perkahwinan berlangsung.
Dana awam akhirnya terpaksa diluluskan oleh Parlimen dan mungkin mencetuskan reaksi daripada rakyat Britain, walaupun beberapa penduduk negara ini menyuarakan kesanggupan untuk menyumbang. - AP

No comments: