Pages

Tuesday, November 16, 2010

Penduduk tidak endahkan Merapi


GUNUNG Merapi jelas masih memuntahkan asap ketika seorang penduduk memungut barangan keperluan daripada runtuhan rumahnya di Kampung Kali Tengah di Sleman, dekat Yogyakarta, semalam. - REUTERS


YOGYAKARTA 15 Nov. - Beribu-ribu keluarga yang tinggal berhampiran dengan Gunung Merapi di Jawa Tengah, Indonesia hari ini kembali ke kampung mereka walaupun saintis memberi amaran gunung berapi itu masih merbahaya, ketika lebih banyak mayat ditemui.
Dengan membawa barangan milik mereka menggunakan motosikal dan trak pikap, lebih 30,000 orang meninggalkan pusat perlindungan kecemasan selepas kerajaan mengurangkan kawasan larangan 20 kilometer yang melibatkan lebih separuh daripada daerah yang dikenakan larangan sebelum ini.
Pegawai-pegawai bagaimanapun berkata, gunung berapi paling aktif di Indonesia itu masih merbahaya, ketika pasukan penyelamat menemui 17 lagi mayat dari debu yang membaluti daerah di Jawa Tengah itu.
"Proses letupan masih berterusan tetapi kekuatannya telah berkurang. Merapi masih diletakkan pada tahap berjaga-jaga," kata pakar gunung berapi, Subandrio kepada AFP.
Jurucakap Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, seramai 367,548 orang masih menetap di pusat perlindungan hari ini iaitu berkurangan kira-kira 30,000 berbanding semalam.
Kebanyakan mereka yang pulang ialah dari daerah Boyolali, Klaten dan Magelang, di mana zon bahaya telah dikurangkan.
"Kami menjangkakan lebih ramai lagi yang akan pulang hari ini," kata Sutopo.
Angka korban akibat letupan Gunung Merapi dilaporkan meningkat kepada 259 hari ini sejak ia meletup pada 26 Oktober lalu.
Jumlah itu meningkat selepas pasukan mencari memasuki kawasan bahaya dan menemui banyak mayat.
Kebanyakan mangsa yang ditemui terbunuh ketika letupan pada 5 November lalu, letupan Gunung Merapi yang terkuat dalam tempoh seabad. - AFP

No comments: