Pages

Tuesday, November 16, 2010

Metro Makkah mula beroperasi




2010/11/16

Tren ringan dikhaskan bawa jemaah Arab ke Arafah, Mina

MINA: Arab Saudi semalam mula memperkenalkan pengangkutan rel ringan bagi membawa jemaah haji bagi memudahkan kira-kira 2.5 juta umat Islam yang mengerjakan Rukun Islam kelima itu. 

Dinamakan sebagai Metro Makkah, kereta api ringan baru sepanjang 18 kilometer itu semalam mula mengangkut jemaah ke Arafah, Muzalifah dan Mina. Buat permulaan, ia akan dihadkan untuk kegunaan warga Arab Saudi dan negara Arab lain sehingga ia beroperasi sepenuhnya tahun depan.Langkah memperkenalkan perkhidmatan metro itu bertujuan mengelak kejadian tidak diingini seperti yang pernah berlaku pada tahun sebelumnya.
Kereta api itu sebahagian daripada perancangan besar untuk menjadikan Makkah bandar raya moden dan berteknologi tinggi serta menambahkan jemaah daripada 10 juta sekarang kepada 50 juta menjelang 2020. 

“Kami berusaha menjadikan Makkah bandar raya pertama di dunia yang memenuhi kehendak penduduk dan pelawat sepanjang tahun dengan menggunakan kaedah perancangan perbandaran terbaik dan teknologi tercanggih bagi memastikan perjalanan jemaah selamat, mudah dan menyeronokkan,” kata Datuk Bandar Makkah, Ossama al-Bar. 

Katanya, perancangan 10 tahun yang dibuat tahun lalu juga meliputi jalan raya baru, penjagaan kesihatan lebih baik dan makmal bagi mengkaji virus, inisiatif hijau serta rangkaian jalur lebar baru bagi membolehkan jemaah berhubung antara satu sama lain. 

Hiburan berbentuk keagamaan termasuk acara budaya bagi menjelaskan sejarah Islam dan Makkah, juga sedang dalam persediaan. 
Satu lagi langkah yang diambil kelmarin adalah perjanjian membangunkan lapangan terbang paling dekat di Jeddah berharga AS$7 bilion (RM21.7 bilion) bagi menampung 30 juta pelawat setahun. 

Katanya, fasa pertama projek Metro Makkah itu akan mengangkut jemaah di antara Mina, Arafah dan Muzalifah. Terdapat 12 tren sekarang, setiap satu dengan kapasiti untuk mengangkut 3,000 orang, kata operatornya, Ahmed Hosny. 

Ia bermula semalam, dan beroperasi dengan kira-kira 33 peratus daripada kapasiti yang dijangkakan. 

Tren berharga AS$2 bilion (RM6.2 bilion) itu tidak berhenti di Makkah dan dibina oleh sebuah syraikat China. – AP

No comments: