Pages

Tuesday, November 16, 2010

Kedai kopi tradisi Vienna


Di Vienna banyak kedai kopi masih mengekalkan gaya lama.


JIKA Paris terkenal dengan bistro, London dengan kehebatan pub, Rom sinonim dengan bar wain, Vienna pula terkenal dengan kedai kopinya.
Seorang penulis Austria, Stefan Zweig pernah melabelkan budaya Vienna sebagai satu institusi yang tiada tolok bandingnya di mana-mana tempat di dunia.
Menu minuman kopi Vienna yang pelbagai seperti hidangan kopi klasik grosser brauner merupakan kopi espreso berganda bersama susu dan melange iaitu campuran espreso kurang pekat yang diminum bersama susu kukus.
"Ia tidak ubah seperti kelab demokratik yang boleh disertai oleh semua golongan untuk secawan kopi murah.
"Tetamu boleh meluangkan masa berjam-jam sambil berbincang, menulis, bermain kad, menerima kiriman surat tanpa perlu mengeluarkan wang yang banyak," katanya dalam catatan yang ditulis pada tahun 1942.
Meredah khalayak
Ibu kota Austria itu bukan kota pertama di dunia yang menghidangkan kopi secara terbuka bahkan kedai kopi telah wujud sejak tahun 1530 pada zaman Empayar Uthmaniah terutama di Kaherah, Damsyik dan di Istanbul.
Populariti kedai kopi di London dan Venice memuncak lebih pantas jika dibandingkan dengan Vienna. Ramai berpendapat kedai kopi pertama diperkenalkan di Vienna pada tahun 1685 apabila seorang warga Armenia bernama Johannes Diodato membuka kedai kopinya.
Sumber lain pula menyatakan, Georg Franz Kolsckitzy merupakan pengasas kedai kopi di Vienna. Beliau sepatutnya membuka Kafe Blue Bottle setahun sebelum Diodato menggunakan pelbagai guni biji kopi yang ditinggalkan oleh orang Turki selepas Peperangan Vienna yang kedua pada tahun 1683.
Apa pun, yang pasti hari ini terdapat lebih daripada 500 kedai kopi berselerakan di Vienna. Istimewanya, kebanyakan kedai kopi itu masih mengekalkan gaya uniknya.
Kedai kopi di Vienna merupakan tempat untuk penduduk membelek akhbar dan buku, membincangkan agenda harian atau bermain catur bersama teman-teman rapat.

KOPI espreso antara kopi klasik yang dihidangkan di kedai kopi di Vienna.


Ia merupakan lokasi untuk seseorang itu 'meredah' khalayak dan meluangkan masa berjam-jam lamanya di atas kerusi upholsteri di meja beralas marmar.
Seorang penulis, Alfred Polgar menyifatkan pelanggan yang berkunjung ke kedai kopi mahu bersendirian tetapi mereka masih memerlukan teman untuk menemani mereka.
Beliau berasa seperti di rumah apabila berada di Kafe Central bersama Hugo von Hoffmansthal, Arthur Schnitzler dan Peter Altenberg.
Altenberg terkenal di kedai-kedai kopi di Vienna dengan jolokan individu yang pandai berjenaka dan berpuisi dan menjadi figura 'hidup' yang sentiasa berada di pintu masuk Kafe Central.
Penulis lain pula telah dipilih untuk mewakili kedai-kedai kopi yang lain.
Kafe Hawelka yang menjadi kafe legenda tetap kekal dengan gaya seni Nouveau yang asli, sebagai contoh paparan hasil seni sejarawan dan pegawai seranta, Alfred Schmeller.
"Jika saya tiada di rumah, saya akan berada di Hawelka. Jika saya tiada di Hawelka, saya dalam perjalanan ke sana," katanya sambil mengakui gemar berada di Hawelka yang terletak di gereja besar St Stephan's.
Seperti berada di rumah
Leopold Hawelka yang genap umurnya 99 tahun tahun ini menjadi penyambut tetamu menyapa setiap pelanggan sejak penubuhan kedai kopinya pada bulan Mei 1939.
Pada awal kemunculan kedai kopi, kadangkala pelukis singgah di kedai kopi kegemaran mereka sehingga larut malam. Amalan itu dilakukan bukan sekadar bertukar-tukar pandangan bersama golongan intelektual tetapi untuk menikmati kopi.
Mereka lebih suka memilih kafe yang suasananya seperti berada di rumah. Segelintir penulis pula sanggup menempuh perjalanan yang jauh untuk mengambil kiriman pos di kafe kegemaran masing-masing.

KEDAI kopi di Vienna menjadi lokasi penduduk membaca akhbar, berbincang agenda harian dan bermain catur.


Hari ini, kedai kopi tradisional menjadi daya tarikan utama kepada pelancong di Vienna. Selain Central dan Hawelka, terdapat banyak lagi kedai kopi lain seperti Landtmann, Sperl, Griensteidl dan sebagainya.
Seperti masa lalu, pelakon lelaki, pelakon wanita dan para pelukis boleh dilihat di kedai-kedai kopi yang menunya telah dipelbagaikan termasuk kopi dari luar Austria iaitu capucino dan latte.
Seperkara lain yang tidak berubah walaupun pelanggan memesan pelbagai jenis kopi ialah kopi yang dihidangkan dengan cara tradisional Vienna. Ia dihidang bersama segelas air di dalam dulang perak yang kecil. - Dpa

No comments: