Pages

Monday, October 25, 2010

Brand hadiahkan Perry seekor harimau betina




HARIMAU betina yang dibelikan Rusell Brand untuk isterinya, Katy Perry.


RANTHAMBORE, India - Pelawak dari Britain, Russell Brand memberikan hadiah seekor harimau betina kepada isterinya, Katy Perry yang merupakan penyanyi lagu I Kissed a Girl, lapor sebuah akhbar semalam.
Harimau yang diberi nama Machli itu dibeli pada harga ribuan dolar.
Haiwan itu tinggal di Taman Negara Ranthambhore, India yang menjadi lokasi pasangan tersebut melangsungkan perkahwinan.
Brand dikatakan memilih Machli daripada puluhan harimau yang berkeliaran di taman itu selepas ia dianggap oleh seorang renjer taman tersebut sebagai cantik.
Bagaimanapun, Perry akan meninggalkan haiwan itu berkeliaran di hutan itu.
Wang yang digunakan suaminya untuk membeli harimau tersebut akan dilaburkan untuk skim pemuliharaan taman berkenaan.
Sementara itu, majlis resepsi perkahwinan pasangan itu diadakan di Jaipur semalam sehari selepas mereka melangsungkan perkahwinan.
Brand yang membintangi filem Forgetting Sarah Marshall dan Get Him to the Greek berkahwin dengan Perry kelmarin dalam satu majlis tertutup di taman negara tersebut.
Majlis perkahwinan mereka dipenuhi dengan ciri-ciri budaya India dengan Brand mendahului acara apabila dia menaiki kuda diekori berpuluh ekor gajah dan unta.
Antara tetamu selebriti yang dikatakan menghadiri majlis itu ialah penyanyi Rihanna dan hos bual bicara popular, Jonathan Ross.
Majlis resepsi yang diadakan di Hotel Taj Rambagh palace di Jaipur semalam mempunyai tema Timur bertemu Barat.
Penyanyi rap, P. Diddy dan beberapa penari klasik India membuat persembahan dalam majlis itu.
Brand, 35, dilaporkan melamar Perry, 25, di hotel itu semasa cuti tahun baru selepas mereka berkenalan. - Agensi

No comments: