Pages

Monday, September 6, 2010

Pakistan kukuhkan benteng banjir



Beberapa penduduk Pakistan membantu seorang lelaki dan seorang wanita setelah motosikal yang dinaiki mereka terperosok ke dalam banjir di Basira, wilayah Punjab, kelmarin. - AFP


KARACHI 5 Sept. - Pihak berkuasa Pakistan mengambil langkah mengukuhkan lagi benteng penghalang banjir di selatan wilayah Sindh bagi melindungi bandar-bandar lain di selatan wilayah itu daripada ditenggelami banjir.
Banjir terus mengancam bandar-bandar di selatan Sindh, di mana 19 daripada 23 daerahnya telah ditenggelami air dan menyebabkan lebih sejuta penduduknya hilang tempat tinggal.
Pakistan dilanda banjir buruk sejak bulan lalu dengan kawasan terjejas teruk meliputi kawasan hampir sama besar dengan England dan lapan juta penduduknya kini bergantung kepada bantuan yang agak perlahan untuk meneruskan hidup.
"Kami sedang mencuba yang terbaik untuk melindungi bandar Johi, yang diancam banjir," kata ketua pentadbiran daerah, Iqbal Memon kepada AFP.
Bandar berkenaan, yang terletak 315 kilometer di utara Karachi mempunyai penduduk seramai 60,000 orang dan pihak berkuasa khuatir benteng penghalang banjir itu pecah dan memusnahkan kawasan sekitar melainkan mereka mengukuhkannya dengan cepat.
"Banjir pantas menuju ke arah bandar Johi, selepas sebahagian besar bandar Khairpur Nathan Shah dan bandar Mehar tenggelam serta beberapa perkampungan di sekitar daerah Dadu turut dinaiki air.
"Kami mengambil pekerja dan menggunakan semua cara untuk memperkuatkan benteng banjir di sekitar Johi, namun masih terdapat ancaman," katanya, sambil menambah kata, 70 peratus penduduk bandar itu telah berpindah ke tempah yang lebih selamat.
Menon berkata, 90 peratus penduduk Khairpur Nathan Shah, bandar Mehar dan kampung-kampung sekitar, yang dianggar berjumlah 300,000 orang telah berpindah ke bandar berhampiran.
"Bagaimanapun beribu-ribu penduduk lagi, yang masih terkandas di Khairpur Nathan Shah, bandar Mehar dan kampung sekitar telah dipindahkan ke tempat lebih selamat menggunakan bot tentera laut dan helikopter. - AFP

No comments: