Pages

Sunday, September 12, 2010

Dilema Kampung Baru Cina



TARIKAN pekerjaan di bandar yang ideal turut menjadi faktor penggalak golongan muda meninggalkan kampung halaman mereka. - Gambar hiasan


KAMPUNG BARU yang dibuka semasa Darurat dari 1948 hingga 1960 sebagai strategi ketenteraan menentang Komunis di bawah Rancangan Briggs, hari ini sinonim dengan masyarakat Cina.
Perak adalah negeri dengan bilangan terbanyak Kampung Baru Cina iaitu 134 buah berbanding negeri lain seperti Johor (84 buah) dan Pahang (55 buah).
Antara ciri struktur dan fizikal Kampung Baru Cina adalah jalan grid yang seragam dan saiz kawasan rumah yang umumnya sebesar 60 x 80 kaki persegi (18 x 24 meter persegi). Kampung itu juga ditempatkan berdekatan dengan kemudahan awam dan berjauhan dengan laluan masuk dan keluar utama.
Dari segi demografi, terdapat sekurang-kurangnya lima negeri iaitu Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Perlis dan Terengganu dengan lebih 90 peratus penghuni kampung baru terdiri daripada masyarakat Cina.
Kini selepas wujud lebih 60 tahun, Kampung-kampung baru ini semakin dimamah usia. Ada antara kampung baru yang diberi wajah baru hasil kemajuan bandar dan pekan yang berhampiran. Namun, terdapat juga kampung baru khasnya di luar bandar yang semakin tidak berdaya.
Kehidupan baru
Penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina kepada Menteri Besar Perak, Datuk Chang Ko Youn berkata, kampung baru Cina telah melalui transformasi ketara sejak negara mencapai kemerdekaan.
Kampung baru yang terletak di bandar atau dekat dengan bandar kini menjadi sebahagian daripada bandar dan pekan. Kampung tersebut mampu menjana ekonomi sendiri selain mempunyai pusat pentadbiran sendiri.
Ko Youn yang juga Timbalan Presiden Parti Gerakan memberi contoh Kampung Baru Rimba Panjang, Jalong dan Sungai Buluh di Perak yang kini menjadi sebahagian daripada pekan Sungai Siput sementara Kampung Baru Bercham kini menjadi bandar satelit kepada bandar raya Ipoh.
Jika menyusuri Kampung Baru Bercham, kelihatan pasar raya besar terkenal, deretan bangunan moden yang menjadi pusat perniagaan, jaringan jalan raya yang baik dan kemudahan perbankan yang menandakan tahap ekonomi kawasan. Kawasan itu disertai projek perumahan baru yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan infrastruktur mengikut keperluan penduduknya.
Kemajuan sosioekonomi yang dirasai oleh penduduk Kampung Baru Cina sekarang ini adalah hasil pendekatan kerajaan negeri dan pusat untuk terus membangunkan penempatan itu seiring dengan kepesatan ekonomi negara.
Hijrah ke bandar
Pada masa yang sama, terdapat kampung baru di luar bandar yang semakin hari semakin 'lesu' disebabkan oleh penghijrahan golongan muda.
Ko Youn berkata, hal ini lebih ketara di kampung baru yang terletak di luar bandar di mana ramai golongan muda berpindah ke bandar-bandar besar seperti Ipoh, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan luar negara untuk cari kerja.
"Saya juga tahu ada sekolah di kampung baru yang mengalami penurunan bilangan murid sebanyak 10 peratus setiap tahun.
"Sekarang apabila kita masuk ke kampung baru, jarang kita lihat golongan muda. Namun, apabila tiba Tahun Baru Cina, penduduk kampung baru bertambah sekali ganda dan menjadi sesak. Kira-kira 80 peratus golongan muda telah meninggalkan kampung baru," katanya.
Bagaimanapun kata beliau, golongan muda tidak boleh dipersalahkan dalam dalam hal ini kerana mereka berpendidikan tinggi dan tiada kerjaya yang sesuai dengan mereka di kampung baru.
"Saya masih ingat ketika 1960-an, mahu cari seorang graduan di kampung baru pun hampir tiada langsung. Sekarang sudah berbeza, sudah ramai yang mengisi jawatan profesional di dalam dan luar negara.
"Ini bermakna dasar pendidikan kerajaan terutama dalam mengeluarkan generasi baru yang berkemahiran tinggi dan berilmu tinggi telah berjaya.

KESESAKAN di bandar akan beralih ke kawasan kampung apabila tiba perayaan Tahun Baru Cina. - Gambar hiasan


Apabila mereka berjaya, kampung baru tidak lagi sesuai untuk mereka dan ini tidak dapat dielakkan," ulasnya.
Namun, Ko Youn bimbang penghijrahan yang tidak dapat dielakkan itu dan ketiadaan sumber-sumber ekonomi untuk diusahakan oleh penduduk akan menyumbang kepada kepupusan kampung baru.
Ekonomi baru
Bagi menjamin kelestarian kampung baru, Ko Youn berkata kerajaan dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) perlu mengenal pasti potensi yang sedia ada bagi mengatasi masalah tersebut.
"Misalnya, Kampung Baru Bukit Merah di Menglembu mempelopori kegiatan membuat kasut sejak 1970 kerana penduduk di situ ada kepakaran dalam membuat kasut. Produk mereka turut dipasarkan ke luar negara.
"Sememangnya Kampung Baru Cina boleh mewujudkan ekonomi baru khasnya melalui industri kecil dan sederhana," katanya.
Beliau turut memberi contoh Kampung Baru Coldstream di Bidor yang terkenal dengan pertanian buah-buahan yang dieksport ke Singapura dan Hong Kong.
Ko Youn berharap, kerajaan negeri dapat bersikap lebih liberal dalam memberi kelulusan tanah kepada penduduk kampung baru bagi tujuan pertanian.
Tambah beliau, mereka yang terlibat sebenarnya bersedia memoden dan membuat pelaburan besar untuk lot tanah pertanian seperti di Changkat Kinding, Tanah Hitam dan Kuala Kuang (semua kawasan ini berada di Kanthan, Cemor).
"Ini satu cara baik untuk mengelak penghijrahan besar-besaran penduduk kampung ke bandar-bandar," ujarnya.
Jika semua golongan muda berpindah ke bandar ia akan mengakibatkan masalah sosial. Sekiranya potensi dan keupayaan ekonomi di kampung baru boleh diwujudkan, maka ekonomi luar bandar boleh berkembang dan boleh menjamin kestabilan sosial.
Beliau berharap, kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri yang membawa kemajuan dapat memelihara nilai kebudayaan, sejarah serta warisan penduduk setempat.
Integrasi kaum
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, satu kelemahan ketara pada kampung baru ialah ketiadaan integrasi kaum.
Ini kerana penduduk kampung baru adalah rata-rata daripada masyarakat Cina dengan sebilangan kecil penduduk Melayu serta India dan itu tidak mencerminkan semangat 1Malaysia.
Bagaimanapun, keadaan ini mungkin berubah pada masa depan dengan penghijrahan keluar masyarakat Cina yang membuka ruang bagi anggota masyarakat lain turut menghuni kampung baru.
"Pada masa ini, Kampung Baru Changkat Keruing turut dihuni oleh kaum India," katanya memberi contoh. - Bernama

No comments: