Pages

Thursday, August 5, 2010

Pembinaan masjid tapak runtuhan WTC dibenarkan



NEW YORK 4 Ogos - Rancangan membina sebuah masjid dan pusat Islam berhampiran Ground Zero iaitu tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang musnah dalam serangan 11 September 2001 melepasi halangan terakhir di bandar raya ini semalam.
Suruhanjaya Pemeliharaan Mercu Tanda New York sebulat suara tidak mengisytiharkan bangunan lama di tapak binaan yang dirancangkan sebagai mercu tanda yang mesti dilindungi.
Ia membolehkan bangunan itu diroboh dan masjid serta pusat Islam itu dibina.
Bangunan pusat Islam yang merangkumi masjid, kemudahan sukan, teater, restoran dan kemungkinan pusat jagaan kanak-kanak itu akan dibuka kepada semua pelawat bagi membuktikan Islam adalah sebahagian komuniti di sekeliling mereka.
Namun lokasi yang dicadangkan, dua blok dari Ground Zero, di mana WTC musnah dalam serangan al-Qaeda pada 11 September, mencetuskan bantahan keras.
Tepukan gemuruh kedengaran apabila kesemua sembilan anggota suruhanjaya tersebut mengundi untuk tidak melindungi bangunan yang dibina pada 1850-an itu.
Penunjuk perasaan melaungkan bantahan termasuk seorang membawa sepanduk berbunyi, 'jangan raikan pembunuhan 3,000 orang, tolak masjid 11 September'.
Penyokong pula berkata, projek itu akan membina jambatan antara Barat dengan dunia Islam, memperbaharui wajah usang kawasan Lower Manhattan dan mengubah tanggapan rakyat AS terhadap umat Islam sejak serangan pada 2001 itu.
Datuk Bandar, Michael Bloomberg yang menyokong projek itu berkata, kebebasan beragama merupakan nilai hidup utama di AS menjadi isu dalam kontroversi tersebut.
"Inilah bandar raya paling bebas di dunia. Kebebasan itu yang menjadikan New York istimewa, berbeza dan kuat.
"Pintu kita sentiasa terbuka kepada sesiapa saja yang menaruh impian dan mempunyai kesediaan untuk bekerja keras dan mematuhi peraturan," kata Bloomberg.
Penggerak utama projek itu ialah Imam Feisal Abdul Rauf daripada Inisiatif Cordoba. - AFP

No comments: