Pages

Wednesday, August 11, 2010

Kisah kejayaan Royal Selangor





HARI ini Royal Selangor merupakan nama yang gah dalam industri piuter di negara ini. Sebelum menempa kejayaan tersebut, banyak pahit maung yang terpaksa ditempuhi oleh pengasasnya.
Di sebalik premis pameran moden di Suria KLCC, Clarke Quay di Singapura, Harrods of London, Yintai Centre di Beijing dan daerah Ginza di Tokyo, hayat Royal Selangor sebenarnya bermula di sebuah kedai kecil di No. 23, Cross Street kini dikenali dengan nama Jalan Silang, Kuala Lumpur pada tahun 1885.
Sejarah Royal Selangor bermula dengan kisah seorang pemuda berketurunan Hakka bernama Yong Koon Seong. Dia telah meninggalkan kampung halamannya di China bersama perkakasan pertukangan lalu belayar ke Malaya pada tahun 1885.
Zaman sukar di China menjadikan dia seorang kanak-kanak yang matang. Pada usia 11 tahun, Koon Seong menjadi perintis tukang piuter di bandar pelabuhan di Shantou iaitu sebuah pusat utama piuter di China. Di situ, dia mendalami seni pertukangan piuter selama tiga tahun.
Pelayaran meninggalkan kampung halaman itu didorong oleh berita penemuan bijih timah di Malaya. Ribuan kaum Cina menuju ke sebuah pekan lombong baru. Di situ jugalah Koon Seong menemui adik-beradiknya yang merupakan tukang timah.
Koon Seong mula bekerja bersama abang sulungnya Chin Seong dan adiknya, Wai Seong yang terlebih dahulu menempa nama sebagai tukang timah di bandar-bandar perlombongan bijih timah.
Selepas beberapa tahun, Koon Seong menentukan sendiri hala tujunya dengan memulakan bisnes di Cross Street. Selain menjalankan perniagaan membuat perkakasan rumah menggunakan timah, kedainya juga membuat peralatan sembahyang seperti pembakar setanggi, pemegang colok dan pemegang lilin bagi menghiasi tempat pendupaan para pelombong kaya dan tokong-tokong Cina.
Namun, kejayaan yang menjadikannya tukang piuter pertama di Kuala Lumpur bertembung dengan ujian. Era 1930-an merupakan zaman kemelesetan ekonomi ekoran Perang Dunia Kedua.

ROYAL Selangor kini diterajui oleh generasi ketiga dan keempat keluarga Koon Seong.


Dengan wang simpanan yang ada, keluarga Koon Seong telah berpindah ke rumah kedai mereka sendiri di No. 219 Jalan Pudu. Di situlah bertapaknya Malayan Pewter Works.
Koon Seong dan anak-anaknya mula mencipta produk ala-Eropah untuk orang British dan ekspatriat apabila permintaan untuk piuter bagi kegunaan istiadat semakin berkurangan.
Ia merupakan titik perubahan penting bagi perniagaan tersebut malah menjadi asas untuk pasaran eksport pada masa akan datang.
Lewat tahun 1930-an hanya terdapat tiga buah syarikat piuter iaitu Tiger Pewter, Selangor Pewter dan Lion Pewter yang diasaskan anak-anak lelaki Koon Seong, Peng Pow, Peng Kai, Peng Seong dan Peng Sin. Namun, Selangor Pewter yang dikendalikan Peng Kai terus bertahan.
Selepas menempuhi zaman perang pada tahun 1945, negara kembali aman namun perniagaan piuter tidak mendapat sambutan.
Peng Kai dan isterinya Soh Eng menyewa separuh lot kedai di kawasan beli-belah paling sibuk di Kuala Lumpur, Jalan Batu (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman) dengan menjual pasu, kendi, bekas abu rokok serta kotak rokok daripada piuter kilangnya di Jalan Pudu dan mula berkembang sejajar dengan pembangunan negara.
Lewat tahun 1960-an, Selangor Pewter mula mengeksport produknya ke Singapura, Hong Kong, Jerman, Denmark, Jepun, Australia dan United Kingdom. Dalam pada itu, syarikat tersebut mula mempelbagaikan produk perniagaannya dengan membuat dan memasarkan barang kemas berharga dan perak tulen di bawah nama Selberan dan Comyns.
Populariti produk Selangor Pewter yang berjaya mengangkat nama negeri Selangor menyebabkan syarikat tersebut menerima anugerah diraja daripada Sultan Selangor pada 1ahun 1979. Selangor Pewter kemudian menukarkan namanya kepada Royal Selangor pada tahun 1992.
Tanggungjawab besar
Royal Selangor yang diterajui oleh generasi ketiga dan keempat keluarga Koon Seng berjaya mengangkatnya menjadi Royal Selangor dikenali di peringkat global.
Kini, salah seorang cicit Yong Koon, Yong Yoon Li, 40, menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Besar Royal Selangor International Sdn. Bhd. bagi memastikan Royal Selangor tampil dengan produk-produk baru sejajar dengan kehendak pengguna dan pasaran.
“Selaku penerus legasi perniagaan turun-temurun ini, ia merupakan satu tanggungjawab yang amat besar bukan kerana ia sebuah syarikat yang besar tetapi satu jenama yang telah dikenali ramai selama 125 tahun.

KOON SEONG (bulatan) di hadapan kedainya di Cross Street atau kini dikenali dengan nama Jalan Silang, Kuala Lumpur.


“Generasi dahulu bertahan bertahun-tahun lamanya, berjaya mengharungi apa jua masalah, kemelesetan ekonomi, perang, masalah ekonomi dan sebagainya, kini kami perlu memastikan syarikat ini terus bertahan sehingga 125 tahun lagi atau lebih,” katanya bangga kerana tidak banyak syarikat atau jenama di dunia yang dapat bertahan seperti mereka.
Walaupun baru lima tahun menguruskan perniagaan keluarga, Yoon Li dilahirkan dan membesar dalam dunia piuter. Zaman kecilnya banyak dihabiskan bersama datuknya, Yong Peng Kai di kilang.
“Kami terdedah pada jenama, perniagaan dan material sejak kami bertatih lagi. Cuti sekolah dihabiskan di kilang dengan melakukan eksperimentasi seperti memotong piuter, mematri dan sebagainya.
“Jika dilihat ia memang mudah, tetapi apabila saya cuba membuatnya, semuanya lebur dan tidak menjadi kerana ia memerlukan kemahiran, ketekunan dan kesabaran yang tinggi,” kongsi bapa kepada dua orang anak itu.
Sejak melibatkan diri secara serius pada tahun 2005, Yoon Li mula belajar memahami mengenai dan mendalami industri perkakasan barang hiasan, dekorasi rumah dan cenderamata.
Golongan muda
“Saya tidak lihat yang saya akan memperluaskan perniagaan ini tetapi tujuan saya adalah untuk menarik pelanggan yang bukan peminat piuter untuk memiliki produk kami kerana sebelum ini ia hanya digemari oleh kelompok peminatnya tersendiri.
“Masalah kami dari dulu ialah untuk menarik minat golongan muda mencintai piuter kerana piuter itu membawa identiti produk yang tradisional dan konservatif,” katanya yang kini mempunyai 800 orang pekerja.

LAI WEH memateri teko kopi pada tahun 1970.


Sehubungan itu, Royal Selangor giat memberi nafas baru kepada barisan produknya dengan menumpukan kepada kumpulan sasaran dengan rekaan moden, kasual. dan boleh digunakan dengan menerapkan hasil tukangan yang kreatif bagi menarik minat golongan muda.
“Banyak perancangan bagi meneruskan kesinambungan legasi ini. Buat masa ini kami akan terus menambah jumlah kedai baik di dalam negara mahupun di luar negara dan tumpuan kepada penjenamaan produk, gaya hidup dan tidak hanya piuter semata-mata.
“Buat masa ini, kami mempunyai 24 buah kedai di seluruh negara dan 27 buah di China,” katanya yang mewakili 11 sepupunya yang lain dalam generasi keempat.
Ujarnya, walaupun Royal Selangor merupakan perniagaan keluarga, namun tiada definisi cuti dalam kamus hidup mereka.
“Makan bersama keluarga juga bekerja. Apabila berkumpul kami akan mengadakan sesi lampas otak, bertukar-tukar fikiran bagaimana untuk mengembangkan lagi perniagaan ini.
“Tiada seorang pun di dalam keluarga kami dipaksa untuk melibatkan diri dalam perniagaan ini. Kami benar-benar berminat dalam bidang ini,” ujarnya penuh teruja.
Sepanjang riwayat 125 tahun, semangat keusahawanan dan bakat menghasilkan barangan berinovasi telah membawa Royal Selangor melalui liku-liku dua perang dunia dan kemelut ekonomi, namun sehingga kini ia menjadi salah satu syarikat piuter terulung di dunia yang menjadi kebangsaan Yoon Koon.
Dalam pada itu, pekerja paling lama berkhidmat, Lee Hoe, 63, memberitahu dia seronok bekerja di Royal Selangor sepanjang 49 tahun mencurahkan bakti kepada syarikat.
“Pak cik Peng Kai (datuk Yoon Li) melayan kami seperti ahli keluarga.

Bekas teh dan alat pertukangan yang digunakan untuk membuat piuter.


“Saya berharap generasi yang menerajui Royal Selangor dapat meneruskan perniagaan warisan ini untuk ratusan tahun lagi kerana bukan mudah untuk membinanya,” katanya yang kini bekerja sambilan di Royal Selangor selepas pencen sejak tujuh tahun lalu.
Chin Yoke Lan, 58, yang mula berkhidmat pada usia 15 tahun turut bersetuju dengan pendapat dengan rakannya itu.
“Ini adalah pekerjaan pertama saya. Selama 43 tahun berkhidmat di sini saya dapat membantu suami membesarkan anak-anak.
“Pengalaman manis yang sentiasa kekal dalam ingatan ialah saya ialah apabila berpeluang ke luar negara untuk melakukan demonstrasi kerja tangan piuter ketika umur saya 20 tahun kerana ia merupakan kali pertama saya ke luar negara,” katanya.
Suasana kekeluargaan yang diterapkan majikan di tempat kerja dapat mengubat rasa bosan, penat dan putus asa ketika bekerja.
“Kerja di kilang ini memerlukan perhatian, ketekunan dan fokus 100 peratus jika tidak produk yang dihasilkan tidak bagus,” katanya yang membuat 35,000 ketukan pada permukaan 25 buah kole pewter setiap hari tanpa jemu.

No comments: