Pages

Wednesday, August 25, 2010

Jimena Miss Universe 2010


Jimena Navarrete


LAS VEGAS 24 Ogos - Jimena Navarrete dari Mexico dinobat sebagai Miss Universe 2010 malam tadi dalam satu kemenangan mengecewakan dan mengejutkan dunia pertandingan ratu cantik yang meramal kemenangan peserta dari Ireland, Venezuela atau Amerika Syarikat.
Gadis berusia 22 tahun dari Guadalajara yang kelihatan anggun ketika mengenakan gaun merah, memulakan karier sebagai model pada usia 15 tahun, namun itu tidak cukup membuatkan dia bersedia menerima kemenangannya.
"Saya berasa terkejut. Saya terus tergamam. Tiada apa yang saya fikirkan. Saya berada dalam keadaan terperanjat," kata jelitawan berambut perang itu mengenai kemenangannya.
Tiara bertatah berlian dipakaikan di atas kepalanya apabila hos mengumumkan dia mengatasi Miss Jamaica, Yendi Phillipps yang menduduki tempat kedua, Navarrete menerima biasiswa Akademi Filem New York dan bekalan kasut, pakaian dan produk rambut selama setahun.
Kemenangannya yang turut menerima ucapan tahniah melalui mesej Twitter oleh Presiden Mexico, Felipe Calderon menamatkan tempoh Miss Universe 2009 yang dipegang Stefania Fernandez dari Venezuela.
Seandainya Miss Venezuela tahun ini, Marelisa Gibson, 21, memenangi gelaran tersebut, negara Amerika Selatan itu dapat mencipta rekod kemenangan tiga tahun berturut-turut.
Gibson, bagaimanapun diketepikan awal-awal lagi, begitu juga dengan Miss USA Rima Fakih, 24, ketika jumlah peserta dikurangkan daripada 83 kepada 15 orang.
Acara kemuncak selama dua jam kali ini tidak melibatkan drama politik yang biasa berlaku seperti tahun-tahun sebelum ini, walaupun terdapat potensi kontroversi apabila Fakih, wanita Islam Amerika pertama mewakili negara itu, mengecewakan pemimpin Islam pada Sabtu lalu apabila menyatakan tentangan terhadap pembinaan masjid di tapak Ground Zero, New York.
Jutawan hartanah, Donald Trump yang juga pemilik Miss Universe Organization, turut membantah pembinaan masjid tersebut.
Peserta peringkat akhir juga berjaya mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi dalam sesi soal jawab.
Hakim Evan Lysacek, pemenang pingat emas luncur ais bertanya kepada Navarrete mengenai pandangannya tentang masalah penggunaan Internet tanpa pengawasan oleh kanak-kanak.
"Saya percaya Internet adalah sangat diperlukan dan alat yang penting masa kini. Kita perlu mengajar mereka nilai yang kita pelajari sebagai keluarga," jawabnya secara langsung. - AFP

No comments: