Pages

Tuesday, July 27, 2010

Stesen al-Arabiya di Iraq diserang




TENTERA Iraq berdiri di hadapan lubang besar kesan daripada letupan bom yang turut merosakkan bangunan pejabat stesen televisyen al-Arabiya setelah seorang pengebom berani mati yang memandu sebuah bas mini meletupkan diri di Baghdad, Iraq, semalam. - AP




BAGHDAD 26 Julai - Seorang pengebom berani mati meletupkan kenderaan di hadapan pejabat televisyen al-Arabiya di bandar raya ini hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh.
Insiden itu berlaku sebulan selepas pegawai memberi amaran bahawa stesen televisyen yang diasaskan oleh Arab Saudi itu menerima ancaman pemberontak.
Letupan berlaku pada kira-kira pukul 9.30 pagi (2.30 petang waktu Malaysia) di hadapan stesen televisyen itu dan meninggalkan satu kawah besar serta kepulan asap ke udara yang boleh dilihat sejauh beberapa kilometer.
Seorang pegawai kementerian dalam negeri yang enggan dikenali menuduh al-Qaeda bertanggungjawab ke atas serangan itu, yang turut menyebabkan 16 lagi cedera.
"Satu letupan besar telah berlaku dan menggegarkan bangunan stesen televisyen itu serta mengakibatkan semua bilik rosak," kata seorang wartawan al-Arabiya, Tareq Maher kepada saluran televisyen itu yang disiarkan secara langsung.
Menurutnya, dua pengawal keselamatan dan pembantu pejabat wanita berusia 50 tahun terbunuh dan seorang pembantu pejabat lelaki warga Bangladesh telah hilang.
Jurucakap keselamatan Baghdad, Major Jeneral Qassim Atta yang bercakap kepada al-Arabiya, menuduh al-Qaeda menjadi dalang salam serangan itu.
Al-Arabiya menutup pejabatnya di Baghdad pada Jun lalu selepas kerajaan mengeluarkan amaran ancaman serangan pemberontak.
Saluran televisyen dunia Arab itu tidak memiliki orang asing untuk diserang oleh suspek pemberontak Sunni Arab atau menerima tekanan daripada kerajaan pemerintahan Syiah Iraq.
Pada September 2008, ketua biro stesen itu di Baghdad, Jawad Hattab terselamat daripada maut tetapi mengalami kecederaan selepas sebutir bom diletakkan di keretanya.
Pada Oktober 2006 pula, satu letupan kenderaan yang disasarkan ke atas saluran televisyen ini mengorbankan tujuh orang dan 20 lagi cedera. - AFP

No comments: