Pages

Tuesday, July 27, 2010

Rekod tentera AS bocor


WASHINGTON 26 Julai - Kira-kira 90,000 rekod ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang bocor, disiarkan di Internet semalam, sekali gus mendedahkan apa yang berlaku dalam tempoh perang selama enam tahun di Afghanistan.
Antara yang didedahkan adalah insiden-insiden yang tidak dilaporkan seperti pembunuhan penduduk awam Afghanistan serta operasi sulit memerangi pemimpin Taliban.
Laporan berkenaan disiarkan semalam di laman web WikiLeaks, sebuah pertubuhan antarabangsa yang mendedahkan laporan sulit kerajaan dan organisasi-organisasi lain.
Akhbar The New York TimesThe Guardian dan akbar Jerman, Der Spiegel merupakan media pertama yang diberi kebenaran mengakses laporan itu.
White House mengutuk pendedahan dokumen itu dengan menyatakan bahawa 'ia meletakkan nyawa rakyat AS dan sekutunya dalam keadaan bahaya'.
Rekod yang bocor itu termasuk butiran serangan-serangan yang dilancarkan oleh unit operasi khas AS, Pasukan Petugas 373, yang berperanan memerangi pemberontak berprofil tinggi dan sasaran pengganas.
Bagaimanapun, rekod itu menunjukkan, sebahagian serangan mengakibatkan kematian yang tidak disengajakan di kalangan penduduk awam Afghanistan.
Antara kematian yang disenaraikan oleh unit sulit itu ialah militan Afghanistan, Shah Agha, yang disifatkan The Guardian sebagai seorang pegawai risikan bagi rangkaian alat letupan yang diubah suai (IED) yang mati bersama empat yang lain pada Jun tahun lalu.
The Guardian melaporkan, lebih 2,000 pemimpin kanan Taliban dan al-Qaeda berada dalam senarai 'bunuh atau ditahan' dikenali sebagai Senarai Sasaran Utama Bersama (JPEL), yang diperoleh daripada senarai sasaran Pasukan Petugas 373.
The New York Times menyifatkan, dokumen berkenaan yang merangkumi penilaian sulit antara tentera dan diplomat, turut mendedahkan kebimbangan AS bahawa perkhidmatan risikan Pakistan sebenarnya membiayai pemberontak Afghanistan.
Menurut Times, dokumen itu menyatakan bahawa Pakistan 'membenarkan wakil risikannya bertemu secara terus dengan Taliban dalam satu sesi strategi sulit untuk mengatur rangkaian kumpulan militan yang memerangi tentera AS di Afghanistan selain merancang komplot untuk membunuh pemimpin-pemimpin Afghanistan'. - AP

No comments: