Pages

Saturday, July 24, 2010

Israel ancam halang 2 kapal


NEW YORK 23 Julai - Israel menggesa Lebanon dan masyarakat antarabangsa menghalang dua kapal bantuan berlepas dari sebuah pelabuhan di Lebanon menuju ke Genting Gaza bagi mencabar sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis itu di wilayah Palestin tersebut.
Rejim Yahudi itu memberi amaran, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menghalang kapal-kapal berkenaan.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Gabriela Shalev, menuduh penganjur kapal bantuan Junia dan Julia itu 'sebagai cubaan mencetuskan konfrontasi dan meningkatkan ketegangan di rantau tersebut'.
Pada 31 Mei lalu, Israel telah menerima kecam di peringkat antarabangsa apabila komandonya telah bertindak menyerang sebuah kapal bantuan dari Turki yang membawa bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza, mengakibatkan sembilan aktivis terbunuh.
Insiden itu juga telah menarik perhatian dunia terhadap sekatan yang dikenakan Israel ke atas Gaza, yang dikuatkuasa selepas pejuang Hamas mentadbir wilayah Palestin itu pada 2007.
Dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Majlis Keselamatan yang diperolehi The Associated Press semalam, Shalev berkata, 'Israel mempunyai hak di bawah undang-undang antarabangsa untuk menggunakan semua kaedah bagi menghalang kapal-kapal tersebut daripada mencabar sekatan tentera laut'.
Beliau turut meminta kerajaan Lebanon menjalankan tanggungjawab dan menghalang kapal Junia dan Julia daripada belayar menuju ke Gaza dari pelabuhan negara itu.
"Israel dan Lebanon masih bermusuh. Tindakan sedemikian hanya akan memburukkan lagi keadaan.
"Sehubungan itu, Israel meminta masyarakat antarabangsa menggunakan pengaruhnya bagi menghalang kapal-kapal itu daripada menuju ke Gaza dan tidak menggalakkan negara masing-masing mengmbil langkah serupa," katanya.
Shalev berkata, pihaknya juga tidak boleh mengenepikan kemungkinan Junia dan Julia membawa senjata 'atau individu yang mempunyai niat jahat'.
Di bawah peraturan sekatan yang sedia ada, hanya makanan asas dan bekalan perubatan dibenarkan masuk ke Gaza, namun selepas serangan komando Israel itu, rejim Zionis itu telah membenarkan kemasukan lebih banyak barangan pengguna. - AP

No comments: