Pages

Saturday, July 24, 2010

Zionis ikrar sekat bantuan

NEW YORK: Israel semalam memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa dua kapal membawa bantuan yang bersiap sedia untuk belayar dari Lubnan ke Gaza tidak akan dibenarkan tiba ke destinasi mereka.
“Matlamat kapal itu ialah untuk melanggar sekatan di laut yang dikuatkuasakan terhadap Gaza,” kata duta Israel ke badan dunia itu, Gabriela Shalev dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Duta Nigeria, Joy Ogwu, Presiden Majlis Keselamatan ketika ini.
Israel baru-baru ini mula mengendurkan kepungan terhadap Gaza selepas dikecam berhubung serangan komandonya terhadap kapal misi bantuan kemanusiaan yang ditaja Turki 31 Mei lallu.

Meskipun membenarkan lebih banyak makanan dan bantuan lain memasuki wilayah berkenaan menerusi jalan darat, rejim Zionis itu tetap mengekalkan kepungan di laut.

Gaza dikuasai oleh kumpulan Hamas sejak 2007.

“Menurut undang-undang antarabangsa, Israel berhak menggunakan apa juga cara untuk menghalang kapal berkenaan daripada melanggar kepungan itu,” katanya.

Gabriela mendakwa kapal itu membawa senjata atau individu yang berniat mencetuskan kekacauan.

Pegawai PBB sebelum ini menggesa semua negara supaya tidak cuba melanggar kepungan Israel itu.

Setiausaha Rendah PBB untuk Hal Ehwal Politik, Lynn Pascoe semalam berkata, misi bantuan seumpama itu tidak dapat membantu masalah asas ekonomi yang dihadapi penduduk Gaza, sebaliknya boleh menjadi punca peningkatan keganasan. - Reuters

No comments: