Pages

Sunday, July 11, 2010

Bina kapal besar di kampung






KAMPUNG Sijangkang di Teluk Panglima Garang, Banting, Selangor kelihatan sama sahaja seperti perkampungan lain di negara ini.
Realitinya, kebanyakan penduduk kampung itu bekerja sebagai petani manakala golongan muda menjadi pekerja industri ataupun berhijrah ke bandar.
Namun, pembinaan sebuah limbungan kapal di situ membuatkan kampung yang terletak menghadap Selat Melaka ini semakin terkenal.
NGV Tech Sdn. Bhd., milik 100 peratus bumiputera, telah berjaya membina lebih 200 buah kapal sejak tahun 2000. Ini termasuk kapal peronda, kapal marin dan kapal penumpang.
Pengarah Urusannya, Jamalolail Mohd. Yatim, 50, berkata, sebelum ini syarikat itu hanya menumpukan pada perniagaan membekalkan gas asli untuk kenderaan (NGV) sebelum beralih kepada bidang pembinaan kapal.
Setakat ini lebih 80 peratus pelanggan mereka terdiri daripada pelanggan luar negara, antaranya dari Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Britain.
Menurut Jamalolail, proses untuk membina sebuah kapal bukan semudah membina rumah.
"Membina rumah tidak memerlukan kita mereka dan membina sudut-sudut yang sukar. Rumah juga tidak boleh terapung di laut," katanya ketawa.
Bicaranya, NGV Tech mengupah pereka dari Singapura atau New Zealand untuk membuat rekaan kapal.
Rekaan menggunakan komputer ataupun lakaran kertas itu mesti memenuhi spesifikasi yang diminta pelanggan seperti lebar, kelajuan, bilangan anak kapal, jumlah bilik dan kelengkapan yang diperlukan.
NGV Tech telah menyiapkan lebih 200 buah kapal pelbagai jenis sejak mula beroperasi pada awal tahun 2000.


Calar
"Selepas pelanggan bersetuju, proses, membina kapal akan dimulakan.
"Secara amnya, ia mengambil masa di antara setahun hingga dua tahun untuk disiapkan bergantung kepada saiz kapal.
"Selepas siap, kita akan melakukan ujian dermaga bagi memastikan kapal itu dapat belayar manakala peralatan di dalamnya boleh berfungsi dengan sempurna," katanya.
Jamalolail memberitahu, memuaskan hati pelanggan merupakan satu cabaran besar.
"Jika kapal calar sedikit pun, mereka tidak akan terima. Malah, kadangkala kami perlu membaiki semula kapal itu sehingga memakan masa berbulan lamanya.
"Selain itu, terdapat badan pemantau piawaian pembinaan kapal seperti Bereau Veritis dari Perancis, American Bureau Shipping, AS, Detnork Veritis, Belanda dan Llyodsm, Britain yang cukup ketat syaratnya bagi tujuan keselamatan," katanya.
Ujarnya lagi, bagi pembinaan kapal besi, ia boleh dilakukan di kawasan terbuka manakala kapal aluminium adalah sebaliknya.
Ini kerana kualiti kimpalan aluminium akan terjejas sekiranya terdedah pada habuk, angin dan air.
Namun, Jamalolail memberitahu, kelebihan kapal aluminium ialah ia lebih laju iaitu sehingga 40 knot berbanding kapal besi yang selaju 12 knot kerana ia lebih ringan.

KEBANYAKAN pelanggan NGV Tech terdiri daripada pelanggan luar negara.


Lucu
Katanya lagi, setakat ini, kapal paling mahal yang dibina syarikatnya ialah kapal penumpang sepanjang 52 meter bernilai RM30 juta dan akan siap pada hujung tahun hadapan.
"Namun, kami berhadapan dengan kesukaran kerana kira-kira 20 peratus sahaja bahan dapat diperoleh daripada pembekal tempatan manakala selebihnya diimport.
"Malah, kayu untuk dek kapal pun perlu diimport dari China selain tenaga pakar yang kurang di negara ini," katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya yang pernah bekerja di Jabatan Laut serta beberapa syarikat perkapalan luar negara, Jamalolail memberitahu, kapal yang paling panjang yang pernah beliau periksa ialah US Supertanker sepanjang 180 meter.
TEMPOH masa membina sebuah kapal bergantung pada saiz kapal berkenaan.


"Bayangkan pada masa itu (tahun 1999 ketika bekerja di Jabatan Laut) saya mengambil masa sebulan untuk memeriksa keseluruhan kapal. Malah, saya periksa dari awal pagi hingga pagi keesokannya.
"Tambahan pula ketika itu bulan puasa, cukup letih dibuatnya," katanya.
Beliau juga menceritakan pengalaman lucunya semasa belajar dalam bidang perkapalan di Akademi Kejuruteraan Marin di Maine, AS.
"Selepas mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya terus belajar dalam bidang perkapalan yang saya sendiri tidak menguasainya. Kampung saya, Ayer Tawar (Perak) bukannya perkampungan nelayan.
"Malah, saya jarang tengok kapal dan laut. Sebaik sahaja belajar di AS, saya sangkakan kapal berhenti sendiri seperti kereta," katanya.
Ujarnya, sebenarnya kapal perlu berundur beberapa meter ke belakang sebelum berhenti dan sauh dijatuhkan ke laut.

No comments: