Pages

Wednesday, April 28, 2010

Bilik RM35,000 satu malam





GAMBAR menunjukkan sebuah bilik di Hotel Armani di bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa di Dubai.



DUBAI - Dengan satu bilik berharga hingga AS$11,000 (RM35,000) untuk penginapan satu malam, pereka fesyen ternama dari Itali, Giorgio Armani merasmikan hotel pertamanya di menara tertinggi dunia, Burj Khalifa di sini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.
"Kelmarin, saya melihat hotel ini hidup (beroperasi) dan saya berasa amat tersentuh," kata Armani dalam satu sidang media di Burj Khalifa.
Harga penginapan di hotel berkenaan yang dinamakan Hotel Armani diakui mahal tetapi reka bentuk, hiasan dalaman dan susun atur hotel berkenaan menampilkan konsep ringkas tetapi elegan.
Menggunakan kombinasi warna hitam dan coklat, hotel itu menduduki sebahagian ruang tingkat bawah sehingga tingkat lapan Burj Khalifa manakala suit mewah terletak di tingkat 38 dan 39.
Ia turut dilengkapi beberapa restoran mewah dan sebuah spa, tetapi keahlian spa tersebut terhad kepada 300 ahli kelab Gaya Armani sahaja.
Pereka fesyen itu turut mereka bentuk sejumlah apartmen mewah, Armani Residence di tingkat sembilan sehingga tingkat 16 bangunan tersebut yang dijual kepada pembeli persendirian. - AFP

No comments: