Pages

Thursday, March 11, 2010

Jika pilihan raya diadakan sekarang PKR akan kalah teruk – Zulkifli Noordin


KUALA LUMPUR 10 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu muhasabah diri dan mengelak daripada menyalahkan pihak lain sebagai dalang dalam setiap krisis dalaman yang dihadapinya.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, pimpinan parti itu tidak perlu terlalu cepat melatah dengan menuduh UMNO kononnya telah menawarkan sejumlah ganjaran kepada ahli-ahli Parlimen PKR yang bertindak keluar parti.
“Adalah lebih baik PKR dan pakatan pembangkang melihat muka masing-masing di cermin, bermuhasabahlah daripada menyalahkan orang lain di atas kekurangan dan kelemahan sendiri,” katanya dalam program NST Live Chat secara maya selama kira-kira dua jam hari ini.
Zulkifli berkata, masalah kronik yang melanda PKR segalanya berpunca daripada peranan firaun kecil yang disifatkan sebagai anai-anai yang merosakkan keteguhan parti secara perlahan-lahan.
Beliau berkata, sekiranya tiada langkah drastik dilakukan dan ‘firaun kecil’ dibiarkan terus menguasai parti, PKR tidak perlu menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 untuk hancur.
“Malah jika diadakan PRU sekarang, saya pasti PKR akan kalah teruk, mereka sedang menggali kubur sendiri dengan cita-cita besar menuju ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti bakal beralih arah ke Penjara Sungai Buloh!” katanya.
Mengulas mengenai tindakan beliau menarik diri daripada mewakili Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam permohonan qazaf, Zulkifli berkata, ia merupakan tindakan profesional yang langsung tiada kaitan dengan kepentingan peribadi.
“Seorang peguam perlu memiliki hubungan baik penuh profesional dan kepercayaan dengan pelanggan bagi membolehkan pembelaan dilakukan secara penuh jujur,” katanya.

No comments: