Pages

Thursday, March 11, 2010

Anwar gelar ahli lompat parti 'katak'


SEREMBAN 10 Mac - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan mereka yang keluar daripada parti itu sebagai 'katak' dan bukan manusia.
Sambil menegaskan tindakan parti itu adalah benar dan tepat dalam isu pemecatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, beliau menegaskan tidak akan tunduk kepada mereka.
"Sebab itu apabila ditanya mengapa kita pilih untuk memecat ahli-ahli Parlimen walaupun jumlah kita semakin menurun, kita (katakan) masih pecat sebab kita mesti berani mengambil keputusan yang tepat dan benar dan tidak tunduk kepada mereka.
''Orang kena tahu, kita masuk (PKR) berjuang kerana prinsip, bukan kerana dapat projek dan wang atau jawatan. Jadi bila tak dapat (projek), lompat parti, itu kerja katak bukan kerja manusia," katanya.
Anwar berkata demikian dalam ceramahnya di kawasan Perindustrian Oakland dekat sini malam tadi.
Terdahulu Ketua Pembangkang itu sekali lagi menggunakan pentas ceramah untuk melemparkan tuduhan kepada pemimpin negara.
Beliau menggunakan tempoh sejam itu mengkritik dasar kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menggunakan perkataan kesat seperti 'bahlul', 'poodah', 'kepala bxxxx kau' dan 'kepala oxxx kau'.
Anwar turut mengulangi keputusan pakatan pembangkang yang mahu beliau terus kekal sebagai Ketua Pembangkang sungguhpun PKR bukan lagi pemegang kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

No comments: