Pages

Tuesday, February 2, 2010

Kanak-kanak Haiti yang cuba diseludup bukan yatim


Gambar adalah antara 33 kanak-kanak yang cuba diseludup keluar dari Haiti pada 29 Januari lalu. – AFP


CROIX DES BOUQUETS, Haiti 1 Feb. – Kebanyakan daripada 33 kanak-kanak Haiti yang dibawa oleh sekumpulan anggota gereja Amerika Syarikat (AS) dalam percubaan untuk membawa mereka keluar dari negara ini ‘mempunyai ahli keluarga’ yang terselamat dalam gempa bumi.

Status sebenar kanak-kanak berkenaan didedahkan oleh ketua pusat jagaan antarabangsa, Patricia Vargas kepada AFP semalam.

Menurut Vargas, pegawai di Institut Kebajikan Masyarakat Haiti, agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap urusan pengambilan anak angkat, memberitahu beliau ‘kebanyakan kanak-kanak berkenaan mempunyai keluarga’.

Vargas sendiri turut mengadakan perbualan dengan kanak-kanak yang berusia lebih daripada tujuh tahun dalam kumpulan itu.

“Sesetengah kanak-kanak itu memberitahu kami, ibu bapa mereka masih hidup dan mereka memberikan alamat dan nombor telefon kepada kami,” kata beliau.

Kanak-kanak yang berusia 2 bulan hingga 12 tahun itu kini mendapat perlindungan di pusat jagaan antarabangsa di Croix des Bouquet, sebuah pekan ke barat ibu negara, Port-au-Prince.

Sementara itu 10 anggota gereja Baptis AS yang ditangkap ketika cuba membawa keluar kanak-kanak tersebut mendakwa, mereka hanya cuba melakukan tindakan yang betul dengan mengamalkan ajaran Kristian bagi menyelamatkan kanak-kanak Haiti.

Tindakan mereka itu bagaimanapun membangkitkan kemarahan Perdana Menteri Haiti, Max Bellerive yang berkata, beliau amat marah dengan percubaan kumpulan itu untuk ‘menyeludup kanak-kakak’ di negara yang sudah lama dibelenggu masalah penyeludupan kanak-kanak.

Kerajaan Haiti menghentikan segala urusan pengambilan anak angkat kecuali proses tersebut sudah bermula sebelum gempa bumi 12 Januari lalu, ekoran kebimbangan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa atau hilang lebih terdedah kepada ancaman diculik dan dijual.

Tanpa dokumen sah dan usaha bersungguh-sungguh untuk menjejaki ibu bapa mereka, kanak-kanak berkenaan mungkin terpisah selama-lamanya daripada ahli keluarga yang mampu dan sanggup menjaga mereka.

Kelulusan Bellerive sendiri kini diperlukan sebelum seseorang kanak-kanak Haiti dibenarkan keluar dari negara ini. – AP

No comments: