Pages

Sunday, January 24, 2010

Anak dakwa Osama berjaya

Friday, January 22, 2010
Anak dakwa Osama berjaya
WASHINGTON 21 Jan. - Anak lelaki kepada Osama bin Laden, Omar (gambar) percaya pemimpin nombor satu al-Qaeda itu telah berjaya mencapai tujuan menundukkan Amerika Syarikat namun memberi amaran kematian bapanya mungkin menyebabkan serangan yang 'sangat-sangat dahsyat' oleh militan.

Dalam wawancara bersama majalah The Rolling Stone di kawasan kelab malam Damsyik, Omar mendakwa Presiden AS, Barack Obama telah membuat kesilapan dengan menambah bilangan tentera AS di Afghanistan.

"Ia seperti menambah air ke atas pasir, pasir akan bertambah berat iaitu pepatah dalam dunia Arab. Kalau saya di tempat beliau, perkara pertama yang akan saya lakukan adalah berdamai.
"Kemudian dalam tempoh enam bulan atau setahun, tiada pertempuran dan tiada askar.

Afghanistan tidak akan dapat dimenangi. Ia tiada kaitan dengan bapa saya, ia berhubung rapat dengan rakyat Afghanistan," ujarnya lagi.

Omar mula mendapat perhatian pada 2007 apabila mengambil keputusan berkahwin dengan seorang wanita Britain yang hampir dua kali lebih tua daripadanya selepas bertemu di Piramid Giza, Mesir.

Pasangan itu telah dilarang memasuki Qatar, Mesir dan Britain malah Sepanyol turut menolak permintaan suaka.

Omar adalah seorang daripada 11 anak Osama dan pernah melalui pengalaman pahit zaman kanak-kanak dengan latihan pejuang di Sudan dan Afghanistan namun meninggalkan bapanya pada 2001, beberapa bulan sebelum serangan 11 September di AS.

Rolling Stone berkata, Omar yang kini menyara hidup sebagai peniaga besi buruk di bandar Jeddah, Arab Saudi, membandingkan dirinya dengan bintang filem Mel Gibson dan memasang impian bekerja dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain bertemu dengan Obama dan Setiausaha Negara, Hillary Clinton.

Kata Omar, bapanya gembira apabila pengundi di AS memilih George W. Bush pada tahun 2000, dengan jangkaan beliau adalah jenis Presiden yang 'akan menyerang dan menghabiskan duit dan memecah belahkan negara ini.'

"Keadaan akan menjadi lebih buruk jika bapa saya mati. Dunia akan menjadi sangat kucar-kacir. Bencana besar akan berlaku.

"Bapa saya mempunyai tujuan agama. Dia dikawal oleh peraturan jihad dan hanya membunuh apabila dirasakan perlu," katanya lagi.

Walaupun tidak bertemu Osama selama hampir sedekad, Omar percaya bapanya tidak akan dan tidak perlu melancarkan serangan besar yang baru kerana sebaik AS menceroboh Afghanistan, rancangannya sudah berjaya. - REUTERS

No comments: