Pages

Thursday, December 17, 2015

2 ular gergasi ditemui


Dipercayai berusia lebih 100 tahun

Seekor daripada dua ekor ular yang ditemukan pekerja lebuh raya sepanjang 3.75 meter di Yunnan dipercayai berumur 100 tahun. AGensi
BEIJING 16 Dis. - Sekumpulan buruh yang sedang membina sebuah lebuh raya di Yunnan terkejut apabila menemui dua ekor ular sawa gergasi dipercayai berusia lebih 100 tahun.
Mail Online melaporkan, kedua-dua ekor ular yang masing-masing berukuran panjang 3.76 meter dan berat 31 kilogram serta 2.2 meter dan berat tujuh kilogram ditemukan di sebuah gua besar di Chuxing Yi.
Kedua-dua ekor haiwan reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhutanan yang kemudiannya melepaskannya di satu kawasan hutan.
Menurut stesen televisyen tempatan, Dushi Channel, buruh-buruh berkenaan sedang bekerja di gua berkenaan apabila ternampak sesuatu bergerak di dalam gelap.
Mereka menggunakan asap untuk menghalau haiwan berkenaan.
Menurut pakar Jabatan Perhutanan, ular sepanjang 3.76 meter itu dipercayai berusia lebih 100 tahun, manakala haiwan reptilia yang lebih kecil itu berusia 60 tahun.
Menurut petani tempatan, kedua-dua ekor ular berkenaan telah lama berada di kawasan berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/2-ular-gergasi-ditemui-1.169672#sthash.YgnLI04J.dpuf

Wednesday, December 16, 2015

Pertambahan billionaire wanita lebih pantas berbanding lelaki

SELASA, 15 DISEMBER 2015 @ 11:24 PM

ZURICH: Jumlah billionaire wanita dunia meningkat dengan lebih pantas dalam tempoh dua dekad lalu berbanding lelaki, kebanyakannya membabitkan usahawan wanita Asia, menurut satu kajian diterbitkan hari ini. Terdapat 145 billionaire wanita hingga akhir 2014 berbanding hanya 22 pada 1995, menurut kajian terbabit. Ia adalah penyelidikan bersama bank UBS dan firma pengauditan PwC. Billionaire lelaki masih mendominasi seramai 1,202 orang tetapi jumlah mereka meningkat hanya 5.2 kali ganda dalam tempoh sama berbanding peningkatan 6.6 kali ganda dalam kalangan wanita. Di Asia, jumlah billionaire wanita naik lebih lapan kali ganda, iaitu daripada tiga kepada 25 orang. Mengikut kajian itu, sekurang-kurangnya separuh wanita terkaya Asia adalah generasi pertama ketua korporat. Mereka menuntut di Eropah atau Amerika Syarikat sebelum membuat kekayaan di negara masing-masing. Sebagai perbandingan, kebanyakan billionaire wanita di Eropah dan Amerika Syarikat mewarisi kekayaan mereka. Kajian itu menunjukkan, mereka sering aktif dalam membangunkan perniagaan berbanding generasi wanita sebelumnya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/105431

Keunikan pokok jabuticaba


SPESIES pokok anggur Brazil digelar jabuticaba yang boleh ditemui di Minas Gerias dan Sao Paulo, selatan Brazil ini mempunyai keunikan tersendiri.
Ini kerana buah-buahan tersebut dihasilkan dari dahan dan batang pokok tersebut.
Menurut amusingplanet.com pokok jabuticaba yang menghasilkan buah berbentuk bulat kecil itu dengan diameter berukuran kira-kira 3 hingga 4 sentimeter itu hanya berbuah sekali atau dua kali setahun.
Tetapi, buah yang mempunyai rasa manis itu boleh didapati sepanjang tahun di kawasan tropika.
Buah ini biasanya digunakan untuk membuat jem atau tart kerana ia tidak tahan lama selepas dipetik.
Selain itu, buah ini turut mempunyai banyak kegunaan dalam bidang perubatan.
Ia digunakan secara meluas untuk rawatan batuk berdarah, asma, cirit birit dan ubat kumur bagi radang tonsil kronik.
Buah yang mempunyai banyak khasiat ini juga mempunyai beberapa ciri antioksida, antiradang dan antibarah. 

Ubahsuai bas sekolah jadi rumah mini


Bas sekolah yang diubahsuai menjadi rumah mini bergerak

CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki bersama bapanya mengambil inisiatif mengubahsuai sebuah bas sekolah kepada sebuah rumah mini bergerak.
Patrick Schmidt yang tidak bekerja dan tinggal di California membeli bas sekolah dengan harga AS$ 4,500 (RM 19,366) pada Mac lalu dan kemudian memperuntukkan tiga bulan untuk menjadikan bas tersebut sebuah rumah mini bergerak.
Dengan bantuan bapanya, Patricks  mengubahsuai bas yang berkeluasan 189 kaki persegi kepada sebuah rumah mini menggunakan bahan-bahan yang dibeli dari kedai serba guna dan secara dalam talian.
Projek tersebut yang menelan belanja £5,919 (RM28, 063) dilengkapi dengan penghawa dingin, dapur, bilik tidur serta tandas.
Patrick turut mengembara bersama rumahnya iaitu lebih 10,000 batu perjalanan merentasi 30 negeri termasuklah California, Colorado dan New York.
"Saya akan terus menambahbaik Skoolieslove (rumah mininya) dan mempromosikan kehidupan ringkas. Meneruskan pengembaraan, bertemu orang ramai dan mencari pengalaman baru,' kata Patrick dipetik MailOnlin
e

Fenomena lautan kapucino


JIKA dilihat sekali imbas, kita mungkin akan menyangka pemandangan menakjubkan di Cape Town, Afrika Selatan ini adalah sebuah pantai beku.
Tetapi, fenomena jarang berlaku ini sebenarnya adalah buih yang menyebabkan laut tersebut bertukar menjadi seperti lautan kopi kapucino.
Ia berlaku akibat tindak balas air laut dengan kotoran bahan organik seperti plankton, bangkai hidupan akuatik dan elemen lain yang terapung di permukaannya.
Arus yang kuat menyebabkan air laut tersebut membentuk buih kecil yang akan menghasilkan fenomena unik itu lapor Daily Mail.
Kajian saintis menunjukkan arus yang kuat menyebabkan air membentuk gelembung kecil yang mempunyai kecenderungan untuk 'bergabung' dan menghasilkan buih tersebut.
Buih yang melekat antara satu sama lain itu dibawa dari bawah permukaan laut oleh arus ke permukaan tepi pantai.
Apabila ia mula terbentuk pada permukaan, pergerakan air menyebabkan gelembung tersebut berpusar dan 'bergabung' untuk menjadi buih.
Pada 2007, fenomena jarang berlaku itu turut berlaku di utara pantai Sydney.
Hampir keseluruhan pantai dan bangunan berhampiran di Yamba, New South Wales tersebut dilitupi buih. 

Jual udara segar dari pergunungan di Kanada

Beijing: Sejak pencemaran udara di Beijing mencecah tahap amaran merah pada minggu lalu, jualan botol yang mengandungi udara segar dari kawasan pergunungan di Kanada semakin popular di China.
Dua usahawan dari Alberta, Kanada menjual botol udara segar yang dikenali sebagai Vitality Air lebih setahun lalu, tetapi dalam dua minggu terakhir ini jualan mereka di China meningkat mendadak.
Amaran merah diisytiharkan pihak berkuasa Beijing pada 7 Disember lalu dan bertahan selama tiga hari apabila pencemaran udara mencecah tahap bahaya.
Pencemaran udara di Beijing berpunca daripada pelepasan asap kilang dan kenderaan.
Vitality Air diasaskan dua rakan baik Moses Lam dan Troy Paquette pada 2014.
Syarikat itu mengambil udara segar dari kawasan pergunungan di Alberta sebelum dibotolkan dan dieksport ke luar negara.
Wakil Vitality Air di China, Harrison Wang berkata, mereka baru memasarkan produk berkenaan di China lebih sebulan yang lalu, tetapi sambutan diterima sangat luar biasa.
“Kami memasarkan produk ini di Internet dan ia habis dalam tempoh beberapa hari sahaja,” katanya.
Menurutnya, Vitality Air dijual pada harga mencecah 400 yuan (RM266) sebotol bergantung pada saiz botol. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 7:32 AM


SEORANG model lelaki di China menunjukkan cara menghirup udara segar dari botol Vitality Air.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/100365#sthash.drsn4c9s.dpuf

Budak dianggap ‘Pinocchio’


Kanak-kanak dari Wales hidap otak membesar dari dalam bahagian hidung

Ollie Trezise yang dianggap sebagai Pinocchio sebenar oleh ibunya selepas pembedahan dilakukan ke atasnya. AGENSI
CARDIFF 15 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki dari Wales disifatkan oleh ibu­­nya sebagai ‘Pinocchio se­benar’ selepas otaknya didapati membesar dari dalam bahagian hidungnya hingga membentuk wajahnya sama seperti watak animasi itu yang popular pada tahun 1940.
Ollie Trezise dari bandar Maesteg dilahirkan dengan menghidap penyakit misteri yang belum pernah ditemui sebelum ini yang mengakibatkan bahagian otaknya membesar melalui rekahan dalam tengkoraknya hingga memasuki ke dalam hidungnya.
Mail Online melaporkan, kea­daan itu memaksa Trezise, 21 bulan menjalani beberapa pembedahan bagi membantunya bernafas dan menutup ruang pada bahagian tengkoraknya itu.
Ibu Trezise, Amy Poole, 22, berkata, sejurus kelahiran anaknya itu, dia sering menerima ejekan daripada orang yang tidak dikenalinya termasuk ada yang membe­ritahu ‘Trezise tidak sepatutnya dilahirkan’, dan ada yang mencemuh anaknya sebagai ‘hodoh’.
“Penghinaan itu amat menya­kitkan. Pernah ada seorang wanita memberitahu bahawa saya tidak sepatutnya melahirkan Trezise, saya terus menangis.
“Bagi saya. Ollie adalah sempurna. Dia merupakan Pinocchio sebenar dan saya amat berbangga dengannya,’’ kata Poole, ibu kepada dua orang anak.
Poole berkata, dia hanya mengetahui tentang keganjilan pada diri anaknya itu semasa dia melakukan imbasan pada minggu ke-20 selepas dia dilahirkan setelah doktor memaklumkan terdapat tisu yang sedang membesar pada wajah anaknya itu.
Poole yang selepas itu berpisah dengan bapa Trezise berkata, dia amat terkejut semasa pertama kali diberikan peluang memegang anaknya malah hampir tidak dapat berkata-kata.
“Dia terlalu kecil namun terdapat gumpalan besar seperti bola golf pada hidungnya.
“Pada mulanya saya tidak tahu sama ada saya dapat berdepan dengan situasi itu, namun saya tahu saya akan mencintainya tanpa mengira bentuk wajahnya,’’ kata Poole.
Sementara itu, seorang pakar di Hospital Kanak-Kanak Birmingham, Martin Evans berkata, kes Trezise dianggap sebagai ganjil dan mungkin berlaku sekali dalam setahun.
“Kami gembira kerana pembedahan ke atasnya berjaya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depannya,’’ kata Evans.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-dianggap-8216-pinocchio-8217-1.169349#sthash.WOjEr8Rq.dpuf

Nelayan China jumpa cicak purba


Salamander yang dijumpai di sebuah gua batu kapur di China. Agensi
BEIJING 15 Dis. – Seorang nelayan di barat daya China berjaya menangkap seekor haiwan purba menyerupai cicak salamander yang dikategorikan sebagai haiwan amfibia tertua di dunia yang tidak mengalami sebarang perubahan fizikal sejak kira-kira 170 juta tahun lalu.
Mirror Online melaporkan, Wang Yong menemukan cicak gergasi berukuran 122 sentimeter panjang itu secara tidak sengaja selepas terpijak badan haiwan pelik tersebut ketika sedang berjalan di dalam gua batu kapur di daerah Chingqing.
“Ia merupakan haiwan paling tua di dunia dan haiwan berusia 200 tahun itu ditemui di dalam gua selepas saya terpijak sesuatu yang lembut dan berlendir.
“Haiwan ini merupakan spesies paling tua di dunia. Ketika ia dilahirkan Raja George IV sedang menaiki takhta dan Britain sedang terlibat dalam perang Waterloo,” katanya.
Yong kemudian bertindak menelefon beberapa pakar hidupan liar yang mengambil haiwan amfibia itu untuk dipindahkan ke habitat semula jadinya selepas mendapati ia sakit.
Haiwan pelik itu yang dipanggil wa wa yu atau ikan bayi kerana tangisannya berbunyi seperti tangisan seorang bayi yang baru lahir.
Haiwan itu juga disenarai sebagai spesies paling terancam dalam Senarai Merah oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Hidupan Liar (ICUN) dan dilindungi di China.
Haiwan itu mampu membesar sehingga 1.8 meter panjang dan berat melebihi 50 kilogram.
Walaupun diletakkan sebagai spesies terancam, cicak salamander masih menjadi buruan golongan kaya di China ekoran kepercayaan bahawa daging haiwan itu boleh mengatasi ketuaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nelayan-china-jumpa-cicak-purba-1.169352#sthash.t8SIDUTZ.dpuf

Ikan keli gergasi ditangkap di sungai Itali


Yuri El Diablo bergambar bersama ikan keli gergasi yang berjaya ditangkapnya ketika memancing di Sungai Po. AGENSI
Menurut laman web Mirror.com, lelaki berkenaan, Yuri El Diablo Grisendi berjaya menewaskan ikan tersebut ketika memancing di Sungai Po selepas bertarung selama sejam untuk menaikkan ikan gergasi berkenaan,
Lelaki berusia 38 tahun dari Renggio Nell Emilia itu, yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam dunia memancing, mengakui tidak pernah melihat ikan keli sebesar itu sebelum ini.
“Saya berpengalaman dalam memancing selama 20 tahun lalu namun tidak pernah melihat ikan sebesar ini,” ujarnya yang terlalu teruja selepas berjaya menangkap ikan berkenaan.
Grisendi berkata, pengalaman menangkap ikan keli gergasi itu sangat menakjubkan dan dia terpaksa bergelut selama sejam bersendirian di atas bot kecil miliknya sebelum berjaya membawa ikan itu ke darat.
“Walaupun berdepan dengan kepayahan ketika menangkap ikan gergasi ini, tetapi ia memberi kepuasan kepada saya,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ikan-keli-gergasi-ditangkap-di-sungai-itali-1.169374#sthash.NC10x7Bv.dpuf

Monday, December 14, 2015

Tawaran menginap di hotel tanpa bumbung



RUMAH Pokok Bangkok di Thailand dibina di tengah-tengah hutan bagi memberi peluang 1pelancong menyaksikan keindahan alam semula jadi. - Agensi


LONDON – Beberapa hotel unik di seluruh dunia menawarkan pengalaman menginap di bilik-bilik yang dibina di kawasan terbuka sambil menyaksikan keindahan alam semula jadi.
Hotel-hotel itu ada yang dibina di atas pokok, di dalam hutan dan lereng bukit untuk memberikan pengalaman berbeza kepada pelancong.
Beberapa gambar yang dimuat naik di internet menunjukkan sebuah hotel mewah lima bintang dibina di atas beberapa batang pokok di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan.
Hotel itu dibina di atas pokok untuk membolehkan pengunjung melihat hidupan liar seperti singa, gajah, harimau bintang secara semula jadi.
Bilik hotel itu dilengkapi dengan sebuah katil, sofa dan meja makan.
Sementara itu, Hotel L’Albereta Relais & Chateaux di Erbusco, Itali pula menyediakan bilik yang tidak berbumbung.
Hotel unik itu mampu menimbulkan suasana romantis pada waktu malam khusus untuk pasangan kekasih dan suami isteri. Pengunjung akan tidur berbumbungkan langit sambil memerhatikan kerlipan bintang.
Sementara itu, Rumah Pokok Bangkok di Thailand memberi peluang kepada pelancong untuk menyaksikan keindahan alam semula jadi.
Para pelancong boleh menginap di atas pokok serta mandi-manda di sebuah kolam semula jadi di tengah hutan.
Malah, Rumah Pokok Bangkok itu mempunyai peraturan untuk mengeluarkan 1 kilogram sampah dari Sungai Chao Phraya setiap kali menerima tempahan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3uGuptGIf 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, December 13, 2015

Gambia diisytihar negara Islam


Penduduk Gambia kini berjumlah 1.8 juta dengan 95 peratus adalah beragama Islam.

BANJUL - GAMBIA . Presiden Gambia, Yahya Jammeh, semalam, mengisytiharkan negara bekas sekular itu sebagai republik Islam.
Beliau berkata, langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan jurang negara Afrika Barat itu dengan era kolonialnya.
"Sejajar dengan nilai dan identiti negara, saya mengisytiharkan Gambia sebagai sebuah negara Islam. Keputusan ini adalah muktamad.
"Pengumuman ini tidak bermakna kod etika pemakaian dikuatkuasakan serta merta," katanya
.

Wanita Saudi keluar mengundi

Riyadh: Menutup tubuh dari kepala hingga ke kaki dan ditemani waris lelaki, wanita di Arab Saudi mengundi buat kali pertama, semalam.
Buat kali pertama juga, wanita dibenar menjadi calon dalam pilihan raya majlis tempatan, satu-satunya badan perundangan yang dipilih di negara itu.
“Kini wanita mempunyai suara,” kata Awatef Marzooq selepas membuang undi di sebuah sekolah di sini.
“Saya menangis. Biasanya kami menonton di televisyen wanita di negara lain mengundi ketika pilihan raya,” katanya.

Walaupun pilihan raya itu turut ditandingi beberapa calon wanita, Awatef memberitahu, dia mengundi calon lelaki.
“Saya mengundi calon lelaki, tetapi saya berharap ada calon wanita yang menang,” jelasnya.
Arab Saudi adalah negara pemerintahan beraja mutlak dan mempunyai sekatan yang ketat terhadap wanita termasuk larangan memandu.
Ia juga adalah negara terakhir di dunia yang membenarkan wanita mengundi dan bertanding dalam pilihan raya.
Di luar sebuah pusat pembuangan undi untuk wanita di sini, pengundi wanita yang memakai jubah hitam tiba menaiki kereta yang dipandu lelaki.
Sebilangan wanita meminta jurugambar tidak merakamkan gambar mereka sebelum bergegas masuk ke dalam kereta.
Seorang lelaki, Mohammed al-Shammari yang menghantar anak perempuannya berkata, dia menyokong wanita mengundi.
“Selagi anak saya tidak bercampur dengan lelaki apa salahnya untuk dia mengundi?” jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:09 AM


SEORANG wanita memasukkan kertas undi ke dalam peti undi di Riyadh, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99868#sthash.ilrU8jKF.dpuf

Wanita berat badan 294kg salahkan ibu bapa kerana obes


AGENSI - WEBSTER yang memiliki berat badan 294kg merupakan salah seorang daripada 12 peserta program realiti televisyen TLC, My 600 lb Life musim keempat.


TEXAS – Seorang wanita yang memiliki berat badan 294 kilogram (kg) menyalahkan kedua-dua ibu bapanya kerana menyebabkan dia ketagih kepada makanan sekali gus mengalami masalah obesiti yang kronik.
Nikki Webster, 33, berkata, sejak kecil lagi ibu dan bapanya akan menyediakan apa sahaja makanan yang dia mahu makan, malah mela­yannya seperti seorang permaisuri.
“Sejak kecil saya menjadi seorang yang ketagih kepada makanan dan akhirnya semua ini ‘membunuh’ saya.
“Sebaik bangun tidur, saya menjadi tidak sabar untuk makan. Ibu atau bapa saya pula akan menyediakan makanan, malah saya tidak perlu turun ke bawah untuk sarapan di bilik tidur,” kata Webster dengan linangan air mata.
Dia menceritakan demikian dalam satu program realiti tele­visyen TLC, My 600lb Life musim keempat yang akan mula ditayangkan pada 6 Januari depan.
Webster merupakan salah seorang daripada 12 individu obes yang memaparkan kisah hidup mereka selain bertanding antara satu sama lain untuk menurunkan berat badan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3u9buGb3L 
Hakcipta terpelihara 

Friday, December 11, 2015

Batal kahwin kerana gagal jawab soalan matematik


Gambar hiasan
MAINPURI - INDIA . Gara-gara gagal menjawab soalan matematik yang dikemukakan, seorang pengantin perempuan mengambil keputusan nekad dengan membatalkan perkahwinannya yang berlangsung di Gulariapur, India Isnin lalu.
Menurut tetamu yang hadir, wanita itu merupakan lulusan tahap 8 dan ingin menjadi seorang guru.
Bapa pengantin perempuan, Srikrishna Babu Saxena, berasal dari Gulariapur menetapkan perkahwinan anak perempuannya Khushboo dengan seorang lelaki yang berasal dari Saraia, Omveer.
Semasa upacara perkahwinan bermula, salah seorang rakan pengantin perempuan memberitahu kepada wanita itu bahawa bakal suaminya itu gagal untuk membaca mentera perkahwinan dengan sempurna.
Perkara tersebut menyebabkan Khusboo mengambil keputusan untuk bertanya beberapa soalan matematik kepada bakal suaminya sebelum mereka berkahwin.
Walaupun pada mulanya dihalang oleh ibu-bapnya, Khusboo tetap melakukan perkara demikian kerana dia tidak mahu berkahwin dengan seorang lelaki yang buta huruf dan kurang bijak.
Pengantin lelaki gagal mengira wang syiling malah turut tidak mampu untuk membezakan antara nombor 69 dan 79.
Selepas gagal menjawab beberapa soalan yang dikemukan Khusboo, dia nekad membatalkan perkahwinan dengan lelaki berkenaan.
Sementara itu, penduduk kampung bangga dengan tindakan Khusboo malah bapanya turut memohon maaf kerana mengaturkan perkahwinan dengan orang yang tidak mempunyai berpendidikan.
" Kami hanya melihat lelaki berkenaan dari jauh, malah turut tidak dibenarkan untuk bercakap.
"Oleh itu, kami tidak boleh membuat penilaian dan mengetahui bahawa lelaki berkenaan kurang bijak,' kata bapa pengantin perempuan dipetik Hindustantimes.
Walau bagaimanapun, pengantin lelaki tersebut kemudiannya berkahwin dengan wanita lain pada Rabu.

Thursday, December 10, 2015

Tujuh rakyat Australia mahu hidup di Marikh




ILUSTRASI menunjukkan misi kehidupan baharu di Planet Marikh menjelang 2023. - Agensi


CANBERRA – Seramai tujuh warga Australia semakin hampir merealisasikan impian mereka untuk hidup di Planet Marikh selepas menewaskan lebih 200,000 calon lain untuk projek perintis berkenaan sejak 2013.
Mereka yang terdiri daripada empat wanita dan tiga lelaki merupakan antara 100 calon utama untuk misi ke Marikh itu.
Sekiranya terpilih, mereka akan dihantar ke planet itu oleh sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan, Mars One yang merancang menghantar empat penduduk Bumi ke Marikh menjelang 2023. Mereka tidak akan kembali ke Bumi.
Setibanya di Marikh mereka akan tinggal dalam sebuah kediaman seluas 50 meter persegi setiap seorang yang dilengkapi kemudahan seperti tempat tidur, ruang tamu, dapur dan ruang untuk menanam tumbuhan.
Salah seorang calon tersebut merupakan bekas anggota komando yang kini menjadi pelawak, Joshua David Richards, 30, dari Melbourne.
“Jika berpeluang, saya akan membawa sebuah kamera bagi berkongsi pengalaman bersama penduduk di Bumi,” kata Richards. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3trrWgGOE 
Hakcipta terpelihara 

Fosil dua dinosaur dijumpai di Yunan


Imej merakamkan fosil dinosaur yang dijumpai di Yunan, China, baru-baru ini. Agensi
BEIJING 9 Dis. - Sebahagian penduduk di China gempar apabila sekumpulan pekerja binaan menemukan dua fosil haiwan prasejarah dinosaur berleher panjang yang berukuran 9.14 meter panjang di tapak projek pembinaan jalan raya di Yunan di sini, baru-baru ini.
Portal berita Mail Online melaporkan, fosil dinosaur itu dipercayai milik spesies Lufengosaurus magnus dan Lufengosaurus huenei yang hidup kira-kira 180 juta tahun lalu.
Fosil tersebut ditemukan pada jarak 500 meter antara satu sama lain ketika sekumpulan pekerja binaan jalan raya membersihkan tanah dan batuan bagi membina lebuh raya baru di kota Lufeng, Yunan.
Beberapa pakar palaeontologi berkata, rangka dinosaur Lufengosaurus magnus ditemukan bersama tulang belakang yang lengkap dan dua kaki belakangnya.
Jumlah keseluruhan panjang fo­sil itu secara purata berukuran lima meter panjang, namun para pakar percaya haiwan tersebut mungkin berukuran sembilan meter panjang semasa hidupnya.
Namun sayangnya, kepala fosil dinosaur itu hilang akibat hakisan cuaca.
Sementara itu, fosil Lufengosaurus huenei pula dijumpai dalam keadaan kurang sempurna bersama dua tulang kaki serta beberapa bahagian ekor.
Pengarah Jabatan Perlindungan Warisan Geologikal, Wang Tao, di Biro Sumber Lufeng Land berkata, sebuah muzium mungkin dibina di kawasan berkenaan bagi memelihara fosil tersebut.
Langkah itu bermaksud, projek pembinaan jalan raya yang dirancang sebelum ini mungkin dilencongkan bagi memelihara fosil berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/fosil-dua-dinosaur-dijumpai-di-yunan-1.167346#sthash.yxQbPxIT.dpuf

Wednesday, December 9, 2015

Telefon pintar pertama boleh dibasuh


Digno Rafre yang boleh dibasuh dengan sabun

TOKYO - JEPUN. Bagi menggelakkan telefon pintar penuh dengan kotoran dan bakteria, sebuah syarikat pengeluar telefon di Jepun telah mencipta sebuah telefon pintar yang boleh dibasuh dengan sabun.
Telefon pintar kalis air sudah mula dipasarkan namun Syarikat KDDI berkata, rekaan yang dinamakan 'Digno Rafre" akan dilancarkan secara rasmi di Jepun pada minggu depan hadapan dan akan menjadikan satu-satunya telefon pintar yang boleh dibasuh dengan sabun.
"Pasukan pembangunan rekaan kami telah membasuh telefon pintar tersebut lebih 700 kali untuk menguji ketahanannya," kata jurucakap syarikat kepada AFP.
Telefon pintar tersebut dicipta untuk ibu -bapa yang sentiasa mahukan telefon bimbit bebas bakteria dan selamat untuk anak-anak.
Namun, menurut jurucakap syarikat, hanya beberapa jenis sabun yang boleh digunakan untuk membasuh telefon tersebut dan hanya akan dijual di Jepun buat masa ini
.

Peristiwa dunia sepanjang 2015



KONFLIK  
di rantau Asia Barat menjadi antara peristiwa hitam yang tercatat dalam sejarah dunia sepanjang 2015.
Selain konflik Palestin-Israel yang tidak pernah berpenghujung, negara-negara seperti Lubnan, Yaman dan Mesir terus berdepan dengan masa depan tidak menentu ekoran pergolakan politik dan perang saudara.
Malah, episod paling malang dan menyayat hati berlaku di bumi Syria selepas puluhan ribu rakyatnya terbunuh manakala ratusan ribu yang lain menjadi pelarian kerana perang saudara.
Campur tangan Amerika Syarikat (AS), Rusia, Perancis dan Britain mengusutkan lagi situasi di negara tersebut.
Dalam pada itu, seperti tahun-tahun sebelum ini juga, bencana alam yang mengorbankan ratusan nyawa dan kemusnahan dalam skala besar turut mengisi jendela dunia 2015.
Tahun ini, Nepal berdepan amukan alam cukup hebat apabila negara itu dilanda gempa bumi berkekuatan 7.8 magnitud pada 25 April lalu.
Hampir 10,000 penduduk terkorban manakala puluhan ribu lain hilang tempat tinggal ekoran bencana alam tersebut.
Berikut adalah antara peristiwa yang menggemparkan dunia sepanjang tahun ini.
Perancis diserang
Beberapa kartunis terkenal adalah antara 12 orang yang terbunuh apabila lelaki bersenjata menyerbu pejabat akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo di Paris pada 7 Januari lalu.
Ketua Pengarang, Stephane Charbonnier yang dikenali sebagai Charb dan kartunis yang dikenali sebagai Cabu, Tignous dan Wolinski adalah antara mereka yang terbunuh.
Pada 13 November lalu, Perancis sekali lagi digemparkan dengan serangan keganasan di enam lokasi sekitar Paris yang meragut 153 nyawa.
Presiden Perancis, Francois Hollande mengisytiharkan darurat susulan serangan berkenaan yang disifatkan sebagai ‘serangan keganasan tidak dijangka’, memaksa penutupan sempadan-sempadannya selain pengerahan kira-kira 1,500 anggota tentera tambahan ke Paris.
Enam hari selepas kejadin itu, polis Perancis mengumumkan dalang serangan berdarah di Paris, Abdelhamid Abaaoud disahkan terbunuh dalam serbuan polis di sebuah apartmen di St. Denis, pinggir Paris.
Nahas pesawat Germanwings
Pesawat Airbus penerbangan tambang murah Lufthansa, Germanwings terhempas di kawasan pergunungan Alps di selatan Perancis, pada 24 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Barcelona, Sepanyol ke Duesseldorf, Jerman.
Sumber berkata, pesawat itu mengeluarkan isyarat kecemasan pada pukul 9.47 pagi waktu tempatan (5.47 petang waktu Malaysia).
Difahamkan, kesemua 150 penumpang dan kru pesawat malang itu terbunuh.
Menurut pendakwa raya, pembantu juruterbang Germanwings, Andreas Kubitz memang berniat menjunamkan pesawat tersebut di pergunungan Alps.
Serangan berdarah di universiti Kenya
Empat lelaki bertopeng daripada kumpulan pelampau al-Shebab dari Somalia membunuh sekurang-kurangnya 147 pelajar selepas menyerbu sebuah universiti di Kenya pada 2 April lalu.
Serangan itu adalah yang terburuk di Kenya selepas pengeboman terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Nairobi pada 1998 yang menyebabkan 213 orang terbunuh.
Lelaki berkenaan yang lengkap bersenjata dan memakai jaket yang disalut bahan letupan, meletupkan diri selepas serangan selama 16 jam di pusat pengajian tinggi itu berakhir.
Penyerang yang melontarkan berpuluh bom tangan dan menembak daripada senjata automatik, kumpulan lelaki berkenaan menyerbu universiti itu pada waktu subuh dan mula menahan tebusan bukan beragama Islam.
Kesemua penyerang terbunuh selepas meletupkan diri apabila tentera kerajaan mula menyerbu universiti itu untuk membebaskan tebusan.
Hungary tutup sempadan
Kerajaan Hungary menutup sempadannya dengan negara jirannya Croatia pada 17 Oktober lalu  bagi mengekang kemasukan pelarian.
Menurut laporan AFP, askar dan polis Hungary memasang kawat berduri di laluan utama sempadan ke negara ini selepas menerima sekurang-kurangnya 1,500 pelarian yang tiba menaiki kereta api.
Tindakan Budapest itu memaksa Croatia mengambil keputusan untuk mengalihkan laluan pelarian ke Slovenia, langkah yang menyebabkan pelarian tidak mempunyai pilihan sama ada kekal di Croatia atau bergerak ke Slovenia.
Namun kerajaan Slovenia bertindak menggantung perkhidmatan kereta api dengan Croatia, sekali gus merumitkan lagi krisis tersebut.
Tiga penganut Islam AS dibunuh
Tiga sekeluarga Islam, ditembak mati oleh seorang lelaki berfahaman aties di rumah mereka di Carolina Utara, Amerika Syarikat dalam satu kejadian pada 10 Februari lalu.
Portal berita Independent melaporkan, mangsa yang merupakan penganut Islam Amerika dikenali Deah Shaddy Barakat, 23, isterinya, Yusor Mohammad Abu Salha, 21, dan adik perempuan Yusor, Razan, 19.
Deah yang baru sebulan berkahwin, merupakan pelajar jurusan perubatan pergigian di Universiti Carolina Utara dan sukarelawan yang membantu memberi rawatan pergigian percuma kepada kanak-kanak di Palestin.
Beberapa sumber memberitahu WRAL News, ketiga-tiga mangsa ditembak di kepala.
Suspek, lelaki tempatan dikenali sebagai Craig Hicks, 46, telah ditahan kerana disyaki membunuh ketiga-tiga mangsa.
Indonesia laksana hukuman mati
Pada 29 April lalu, pihak berkuasa Indonesia telah melaksanakan hukuman mati terhadap tujuh pengedar dadah, termasuk dua rakyat Australia oleh skuad penembak khas meskipun mencetuskan kemarahan dan tentangan antarabangsa.
Tujuh yang dihukum mati itu termasuk seorang pesalah lelaki tempatan yang menjalani hukuman selepas tengah malam di sebuah penjara yang berciri keselamatan tinggi.
Bagaimanapun, hukuman terhadap seorang lagi pesalah warga Filipina, Mary Jane Veloso, ditangguhkan selepas seseorang disyaki merekrutnya menjadi keldai dadah dengan membawa masuk dadah ke Indonesia.
Kematian tragis Aylan Kurdi
Berita penemuan mayat seorang kanak-kanak yang juga salah seorang pelarian dari Syria, Aylan Kurdi ternyata menggemparkan dunia.
Aylan, 3, adik kepada Galip Kurdi, 5 adalah antara dua beradik yang mati lemas selepas bot mereka karam dan ditemui hanyut di pantai Bodrum, Turki dalam kejadian 2 September lalu.
Media Turki melaporkan Aylan dan Galip berasal dari Kobane, sebuah bandar yang terletak berhampiran sempadan Turki.
Kemalangan di Makkah
Lebih 100 jemaah haji termasuk dari Malaysia terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah dalam kejadian 9 September lalu.
Difahamkan, tragedi itu berlaku kira-kira pukul 5 petang (waktu tempatan).
Susulan itu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud, mengarahkan pemberian pampasan kepada semua mangsa yang meninggal dunia sebanyak satu juta riyal Saudi (RM1.1 juta). Sementara, mereka yang mengalami kecederaan ringan pula itu akan menerima wang pampasan sebanyak 500,000 riyal Saudi (RM573,610).
Bagaimanapun, pada 24 September Saudi sekali lagi degemparkan dengan tragedi rempuhan di Mina.
Difahamkan, kematian akibat rempuhan itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,633 orang, menurut kiraan diberikan oleh pegawai asing.
Jumlah kematian tersebut menjadikan tragedi pada 24 September lalu itu sebagai kejadian paling berdarah dalam sejarah musim haji.
Arab Saudi sebelum ini menyatakan, sebanyak 769 jemaah terbunuh dalam tragedi berkenaan
.

11,950 batu karang



MASALAH
 pedih ulu hati dan sakit perut yang dialami seorang wanita di India selama dua bulan akhirnya terjawab selepas doktor berjaya mengeluarkan 11,950 batu karang, sekali gus mencipta rekod dunia baharu.
Minati Mondal, 51, dimasukkan ke Hospital Debdoot Sevayan di Kolkata, Bengal Barat selepas imbasan ultrabunyi menunjukkan wanita tersebut menderita penyakit batu karang.
Dr Makhan Lala Saha berkata, beliau terkejut selepas mengeluarkan hampir 12,000 batu karang ketika prosedur laparoskopi yang berlangsung selama sejam.
"Saya tidak menyangka hempedu mampu menampung jumlah batu sebanyak itu. Pembantu saya mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengira jumlah batu berukuran antara 2 milimeter (mm) dan 5 mm tersebut," jelasnya.
Menurutnya lagi, beliau juga telah menghantar surat kepada Royal College of Pathologists di London untuk menyimpan spesimen tersebut di muzium. - Daily Mai
l

Pokok tukar jantina


Spesies Fortingall Yew

SEBATANG 
pokok yang dipercayai tertua di Eropah telah bertukar jantina.
Spesies Fortingall Yew berusia 5,000 tahun yang tumbuh di Perthshire, Scotland dikatakan mula mengeluarkan beri yang biasanya dihasilkan oleh pokok betina.
Saintis di Taman Botani Diraja di Edinburg berkata, mereka juga terkejut apabila melihat fenomena jarang berlaku tersebut.
Dr Max Coleman memberitahu, pokok jantan mempunyai struktur kecil bulat yang melepaskan debunga apabila ia mencapai tempoh matang manakala pokok betina pula akan menghasilkan beri pada musim luruh hingga sejuk.
"Pertukaran jantina itu mungkin akibat faktor persekitaran," katanya.
Menurutnya lagi, legenda masyarakat tempatan mendakwa tokoh Empayar Rom, Pontius Pilate yang didakwa kononnya dilahirkan dalam bayang-bayang pokok tersebut. - BB
C