Pages

Thursday, August 13, 2015

Jerung paling besar pernah dirakam?

Jerung paling besar pernah dirakam?

Sedutan video yang dimuatnaik Mauricio Hoyos Padilla pada Isnin lepas

MEXICO CITY - MEXICO. Seekor jerung yang berukuran 20 kaki panjang dan berusia 50 tahun didakwa jerung terbesar pernah dirakam oleh penyelidik.

Laporan CNN mengatakan sekumpulan penyelidik, Pelagios Kakunja yang menamakan jerung tersebut 'Deep Blue' berjaya merakam haiwan berkenaan berdekatan pulau Guadaluope.

Pengarah Pelagios Kakunja, Mauricio Hoyos Padilla memuatnaik video tersebut ke laman sosial Facebook Isnin lepas dan berjaya menarik perhatian hampir 3 juta pelayar.

Kumpulan penyelidik juga sedang menjalankan kempen mengumpul dana untuk melindungi jerung 'Deep Blue' tersebut.

Difahamkan, video yang dirakam pada 2013 tersebut adalah untuk kegunaan sebuah dokumentari di Discovery Channel pada 2014.

Pelayar laman sosial kebanyakannya terkejut dengan saiz jerung tersebut.

"Ini salah satu video terbaik pernah salah satu lihat. Saiz jerung tersebut sangat mengejutkan!" kata Benjamin.

"Video yang sangat menarik, kawan! Saya terkejut selepas televisyen tempat menyiarkan video ini di televisyen. Sangat hebat!" kata Phil.

"Jerung ini sebesar kereta kebal. Sebuah kereta kebal!" kata Sharon terkejut.

Wednesday, August 12, 2015

Objek plastik dalam dubur

Beijing: Seorang lelaki di Guangzhou menimbulkan tanda tanya apabila silinder plastik sepanjang 25 sentimeter ditemui dalam duburnya.
Lelaki itu dikenali sebagai Cai enggan menjelaskan bagaimana kejadian berlaku selepas menjalani pembedahan kompleks bagi mengeluarkan objek berkenaan.
Malah, kedudukan objek itu begitu jauh ke dalam badannya menyebabkan polis terpaksa mengeluarkannya dengan membedah menerusi abdomennya.
Objek berbentuk seperti lampu suluh itu dengan diameter dua sentimeter dikeluarkan selepas pembedahan selama dua jam.
Doktor yang merawatnya, Sun Feng berkata: “Dia dalam keadaan stabil dan akan dipantau untuk dua hari bagi memastikan tiada pendarahan usus.
“Sepanjang 10 tahun menjadi doktor ini kali kedua saya melihat kes seperti ini. Pengalaman sebelum ini membabitkan seorang chef yang mempunyai timun besar di dalam duburnya.”
Keluarga mangsa mendakwa objek itu dirodok dalam punggung Cai ketika pergaduhan di sebuah bar karaoke. Cai sendiri bagaimanapun masih memilih berdiam diri. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 7:23 AM


X-RAY menunjukkan objek yang ditemui dalam dubur Cai.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69598#sthash.NqkftK36.dpuf

Datuk bandar paksa pelajar Islam makan daging babi


PLATRET


DIJON – Sebuah mahkamah di Perancis akan memutuskan pada minggu ini berhubung keputusan seorang datuk bandar berhaluan kanan yang mahu pelajar Islam dan Yahudi diberi makan daging babi di sekolah, kata peguamnya.
Datuk Bandar Gilles Platret mengumumkan pada Mac lalu bahawa pelajar di bandarnya, Chalon-sur-Saone, dekat Dijon, timur Perancis sebelum ini boleh memilih hidangan bebas babi semasa makan tengah hari namun mereka tidak lagi diberi pilihan mulai musim persekolahan baharu pada September depan.
Keputusan itu mencetuskan kontroversi di seluruh negara termasuk dalam kalangan anggota partinya, Parti Republikan pimpinan bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.
Menteri Pendidikan Najat Vallaud-Belkacem menuduh Platret menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa permainan politiknya.
Satu aduan di mahkamah berhubung isu tersebut telah difailkan oleh sebuah pertubuhan Islam tempatan, Liga Pelindungan Kehakiman Islam.
“Kanak-kanak Islam akan mengalami trauma jika da­ging babi dihidangkan dan mereka perlu memakannya selepas diberitahu sejak dari kecil lagi bahawa babi haram dimakan,” kata peguam pertubuhan itu, Karim Achoui.
Perancis mempunyai po­pulasi penduduk Islam terbesar di Eropah. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3iYBjxjjS 
Hakcipta terpelihara 

Pengunjung pantai rakam imej jerung di bawah peluncur


Rakaman drone oleh Dustin McCaslin menunjukkan ikan jerung putih
Rakaman drone oleh Dustin McCaslin menunjukkan ikan jerung putih (dalam bulatan) berenang di bawah peluncur di Pismo State Beach, California, baru-baru ini. Agensi
CALIFORNIA 11 Ogos – Seorang pengunjung Pismo State Beach yang berhasrat merakam aksi peluncur air menggunakan drone miliknya, terkejut apabila mendapati bayangan jerung berada betul-betul di bawah beberapa orang peluncur di pantai berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Daily Mail, Dustin McCaslin dari Bakerfirled menggunakan drone DJI Phantom 3 ketika me­rakamkan pemandangan tersebut.
“Saya ternampak objek hitam yang pelik, namun pada mulanya menyangka itu hanya rumpai laut. Selepas meneliti rakaman, saya dapati objek tersebut mempunyai bayang sirip dan ekor yang mengepak tajam seolah-olah se­perti seekor ikan jerung putih yang sangat besar.
“Sejurus itu saya terus ke pantai dan menunjukkan rakaman tersebut kepada anggota penyelamat pantai. Mereka mengesahkan objek tersebut seekor jerung putih sebesar kira-kira tiga meter.
McCaslin berkata, selepas penyelamat pantai melihat rakaman itu, mereka segera ke lokasi berkenaan dengan bot untuk menyiasat.
Tambahnya, jerung sentiasa berlegar berhampiran pantai, cuma orang ramai tidak dapat melihat haiwan berkenaan melainkan terdapat alat pengesan seperti drone.
Menurut laporan Universiti Stanford, risiko serangan jerung di California telah berkurangan hampir 91 peratus sejak 1950, biarpun pantai California masih penuh dengan kehadiran jerung yang sentiasa berlegar di kawasan perairan itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pengunjung-pantai-rakam-imej-jerung-di-bawah-peluncur-1.123319#sthash.92ayTGQn.dpuf

Budak miliki tangan raksasa


JHARKHAND, India 11 Ogos – Seorang budak lelaki yang memiliki sepasang tangan ‘raksasa’ berikutan menghidap penyakit ganjil, akhirnya dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain, setelah berjaya melalui proses pembedahan di sebuah hospital di Chennai, baru-baru ini.
Mohammad Kaleem memiliki sepasang tangan raksasa berikutan penyakit ganjil dihidapinya sejak lahir. AGENSI
Daily Mail melaporkan, Mohammad Kaleem, 8, dari sebuah perkampungan kecil di Jharkhand, timur India dilahirkan dengan tapak tangan dan lengan luar biasa besar, malah terus membesar seiring peningkatan usianya.
Mohammad Kaleem serta keluarganya sering dipandang serong oleh orang kampung, malah dituduh memiliki tangan syaitan dan didakwa mengamalkan ilmu sihir, manakala masyarakat setempat pula mendakwa dia terkena sumpahan.
Dia juga tidak diterima masuk ke sekolah atas alasan kea­daan tangannya akan menakutkan pelajar-pelajar lain, malah dia se­ring dibuli oleh budak-budak lain di kampung tersebut.
Keadaan itu juga membuatkan budak lelaki tersebut sukar melakukan aktiviti harian seperti memakai baju, makan atau mandi.
Kedua ibu bapanya yang bukan sahaja sudah tua, malah tidak berpendidikan serta miskin dengan gaji hanya sebanyak RM90 sebulan menyebabkan kanak-kanak itu tidak mendapat perhatian bagi mengubati penyakitnya.
Penderitaan Mohammad Kaleem akhirnya berakhir apabila seorang doktor pakar dalam bidang pembedahan mikro, Dr. Sabapathy dari Hospital Ganga di Combiatore, Chennai menawarkan pembedahan secara percuma kepadanya penghujung tahun lepas.
Sabapathy bersama kum­pulannya berjaya melakukan pembedahan yang memakan masa lebih lapan jam itu dan berjaya mengecilkan satu daripada tangan budak tersebut.
Ibu Kaleem, Haleema Begum yang pada awalnya hanya berserah kepada Tuhan bagi memulihkan anaknya, akhirnya akur dengan nasihat Sabapathy yang mendapat tahu keadaan kanak-kanak itu melalui sebuah dokumentari khas yang di­siarkan media tempatan.
“Saya bersyukur kerana akhirnya anak saya dapat hidup normal seperti kanak-kanak lain, walaupun ramai sering mengejek kononnya telah disihir, namun kini semuanya telah berubah,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-miliki-tangan-raksasa-1.123315#sthash.KT85pOLm.dpuf

Kereta cair akibat cuaca panas terik


Kereta jenama Renault Megane yang diletakkan berhadapan kawasan
Kereta jenama Renault Megane yang diletakkan berhadapan kawasan pantai mencair ketika suhu persekitaran di bandar Caorle, utara Itali dianggarkan mencecah 37 darjah Celcius. AGENSI
ROM 11 Ogos - Seorang pelancong Britain tidak menyangka sama sekali akan menyaksikan satu kejadian aneh iaitu sebuah kereta tiba-tiba ‘mencair’ selepas terkena gelombang panas di Itali, baru-baru ini.
Mail Online melaporkan, kejadian yang jarang-jarang berlaku itu berjaya dirakamkan oleh seorang pelancong yang dikenali sebagai John Westbrook, ketika dia sedang bersiar-siar di bandar Caorle, utara Itali, baru-baru ini.
Westbrook berkata, kereta jenama Renault Megane yang diletakkan berhadapan kawasan pantai itu mencair, ketika suhu persekitaran dianggarkan mencecah 37 darjah Celcius.
“Saya berjaya merakamkan bagaimana lampu, pintu dan cermin sisi kereta tersebut cair selepas gelombang panas melanda kawasan tersebut.
“Saya berasa terkejut dengan kejadian yang jarang-jarang berlaku itu,” jelasnya.
Kata Westbrook lagi, suhu di bandar Caorle berada pada ba­caan 35 darjah Celcius sepanjang se­minggu percutiannya di sana, menyebabkan banyak aktiviti pada siang hari dihabiskan di kawasan yang berteduh.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Itali mengeluarkan arahan kepada orang ramai termasuk pelancong supaya tidak banyak melakukan aktiviti luar pada waktu siang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kereta-cair-akibat-cuaca-panas-terik-1.123317#sthash.cNutE7iw.dpuf

Tuesday, August 11, 2015

Lelaki beli cincin guna duit syiling

Lelaki beli cincin guna duit syiling

Kakitangan kedai barangan kemas bertungkus lumus mengira wang syiling lelaki berkenaan.

ANHUI - CHINA. Seorang lelaki membeli sebentuk cincin berlian untuk melamar kekasihnya dengan menggunakan duit syiling 12,000 yuan (RM7,620) yang dikumpulkan.

Liang Liang, 30, yang mengenali teman wanitanya sejak 20 tahun lalu, berjanji untuk melamar kekasihnya sejak mereka kecil lagi.

"Saya akhirnya berjaya mengumpul wang membeli sebentuk cincin untuk melamarnya," katanya dipetik SCMP.

Liang Liang hanya menggunakan basikal untuk membawa wang syilingnya yang mempunyai berat kira-kira 150 kg ke kedai barang kemas itu.

Kakitangan kedai tersebut mengambil masa setengah hari untuk mengira duit syiling berkenaan.

Sementara itu, pengurus kedai barangan kemas berkenaan mengambil keputusan untuk mempamerkan wang syiling berkenaan di kedai tersebut kerana terharu dengan komitmen yang ditujukkan oleh lelaki berkenaan.

"Pengorbanan lelaki itu melambangkan kesucian sebuah cinta," katanya dipetik Yingzhou Evening News.

Terumbu karang terbesar dunia

Terumbu karang terbesar dunia

JIKA dilihat dari pandangan atas, pantai timur Australia seperti berada dalam sebuah oval gergasi. Tetapi sebenarnya, ia adalah The Great Barrier Reef iaitu struktur terumbu karang terbesar di dunia yang dihasilkan oleh organisma hidup.
Terletak di antara pantai Queensland dan pesisir Laut Pasifik, Great Barrier Reef menjangkau keluasan lebih 2,000 kilometer dan mengandungi lebih 2,900 terumbu individu serta lebih 900 pulau.
Disebabkan kepelbagaian jutaan hidupan laut di dalamnya, ada yang menggelar kawasan ini seperti sebuah bandar hidup dalam air yang kesemuanya saling berkaitan.
Mula ditubuhkan sebagai taman negara pada tahun 1975, The Great Barrier Reef telah ditetapkan sebagai Tapak Warisan Dunia enam tahun selepas itu lapor National Geographic. 
Hari ini, 33 peratus daripada kawasan ini dilindungi sepenuhnya, dan pelbagai usaha sedang dijalankan untuk menangani pencemaran, aktiviti memancing dan akibat perubahan iklim.
Dalam satu kajian diterbitkan pada Oktober tiga tahun lalu oleh Proceedings of the National Academy of Sciences, terumbu karang telah kehilangan lebih daripada separuh kulitnya sejak 1985.
Pada November tahun lalu, Google telah melancarkan Google Underwater Street View dalam 3D di Great Barrier Reef. 

Tarikan baharu Gua Cavern 20

Tarikan baharu Gua Cavern 20

KADANG kala, harta alam semula jadi paling luar biasa wujud tanpa ada yang menyedarinya.

Seperti yang terjadi di Somerset, England, lebih tiga tan bahan letupan dan ribuan peledak digunakan untuk mendedahkan gua bawah tanah menakjubkan dengan pembentukan batu yang jarang berlaku.

Pemilik tarikan Wookey Hole nyata terkejut dengan penemuan gua baharu itu yang secara rasmi dikenali sebagai Cavern 20 lapor  Mail Online.

Menurut pengarah Wookey Hole, pelaburan untuk membangunkan gua itu adalah pembangunan paling menarik yang dilakukan terhadap kawasan tarikan tersebut sejak lebih 40 tahun lalu.

Gua yang kini boleh diakses oleh pengunjung untuk kali pertama itu adalah tarikan terbesar di West Country dan mempunyai tasik bawah tanah di mana ia sebelum ini hanya mampu dilihat oleh segelintir penyelam.

Pembentukan batu luar biasa itu juga menghairankan pakar kerana ia biasanya terbentuk oleh air yang mengalir. Bagaimanapun, adalah jarang untuk menemui gua yang mempunyai air mengalir di dalamnya seperti     gua tersebut.

Difahamkan, kerja membangunkan gua itu mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan, dan menelan belanja antara AS$2 juta hingga AS$3 juta (RM8 juta hingga RM12 juta).   

Jumpa semula dompet hilang selepas 30 tahun

Jumpa semula dompet hilang selepas 30 tahun
Derek menunjukkan dompet yang dijumpai semula selepas 30 tahun.
11 OGOS 2015

 NORTHAMPTONSHIRE - BRITAIN. Seorang petani terkejut selepas menjumpai semula dompetnya yang hilang ketika menaiki kereta api sejak 30 tahun lalu.

Derek Gamble, 66, berusia 30an ketika dia kehilangan dompetnya ketika dalam perjalanan menaiki kereta api di kawasan Loughborough.

Apa yang mengejutkan, dompet yang berisi wang kertas £1 dan beberapa duit syiling masih tersimpan rapi malah resit dan slip tempahan percutian masih ada.

Dompet tersebut ditemui tersembunyi di belakang tempat duduk kereta api oleh seorang sukarelawan Michael Massey, 70, ketika dia sedang membaiki kerusi kereta api berkenaan.

Michael kemudianya mengambil keputusan untuk mengembalikan dompet tersebut kepada pemilik asalnya berdasarkan maklumat yang  diperoleh melalui resit yang dijumpai dalam dompet berkenaan.

Derek berkata, dia begitu gembira dan terkejut apabila menjumpai semula dompetnya yang pernah hilang suatu ketika dulu.

"Dompet ini mengimbas kembali kenangan 30 tahun lalu," katanya dipetik Mirror.uk

‘Doktor jalan’ di India


Guna duit pencen baiki lebih 1,000 jalan berlopak

Gangadhara Tilak Katnam digelar sebagai doktor jalan kerana usaha
Gangadhara Tilak Katnam digelar sebagai doktor jalan kerana usaha gigihnya membaiki lebih 1,000 kerosakan jalan di Hyderabad sejak 2011 dengan menggunakan duit pencen sendiri. AGENSI
NEW DELHI 10 Ogos - Kebiasaannya duit pencen akan digunakan untuk menampung kehidupan apabila bersara, tetapi berbeza dengan seorang warga emas di India, yang sanggup menggunakan wang pencen untuk membaiki lebih 1,000 jalan yang berlopak di kampung halamannya di Hyderabad.
Lebih mengagumkan, Gangadhara Tilak Katnam yang dikenali sebagai ‘doktor jalan’, sanggup menghabiskan masa meronda pada setiap hari untuk mencari jalan yang berlopak dan membaikinya sendiri.
Menurut portal Oddity Central, lelaki berusia 66 tahun itu memulakan misi murni tersebut sejak tahun 2011 dengan membawa empat guni kosong bagi mengumpulkan bahan terbuang termasuk tar untuk digunakan menampal jalan berlubang di seluruh bandar.
Menurut bekas pekerja syarikat Kereta Api South Central itu, dia bersara pada Oktober 2008 dan berehat selama setahun selain berkunjung ke Amerika Syarikat (AS) untuk menziarahi anaknya pada 2009 sebelum pulang semula ke Hydershakote di Hyderabad pada 2010 untuk bekerja sebagai perunding agensi perisian komputer.
Jelasnya, pada hari pertama ke pejabat, kereta yang dipandunya terlanggar lopak sehingga menyebabkan lumpur terpercik, ter­kena kepada seorang murid sekolah mengakibatkan baju kanak-kanak itu kotor dan kejadian sama berulang beberapa kali.
“Kemudian satu kemalangan yang berlaku di depan mata saya di Langer House apabila sebuah bas merempuh beca tiga roda akibat terlanggar lopak, menyebabkan seorang mangsa terbunuh.
“Insiden mengerikan itu memberi kesedaran kepada saya untuk membaiki sendiri jalan yang rosak bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan maut berulang,” katanya.
Pada awalnya, Majlis Perban­daran Greater Hyderabad (GH­MC) tidak menggalakkan Katnam memperbaiki jalan kerana mereka mampu menguruskan masalah itu, tetapi terpaksa akur dengan kesungguhan lelaki tersebut sehingga mereka menyediakan sumber dan bahan membaiki jalan.
Malah, Katnam turut mempunyai surat daripada Kementerian Perumahan yang memberi kebenaran kepadanya melakukan kerja-kerja pembaikan jalan bagi mengelakkan salah faham kepada pihak polis jika curiga dengan peralatan yang dibawanya.
“Saya mendapat pencen sebanyak 20,000 rupee (RM1,228) dan menggunakan kira-kira 25,000 rupee (RM1,536) pada setiap bulan untuk membaiki jalan, tetapi selepas mendapat bantuan GHMC, kos berkurangan kepada 15,000 rupee (RM921),” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/8216-doktor-jalan-8217-di-india-1.122949#sthash.he8iK0TH.dpuf

Pengembaraan solo pemuda ke 50 negara


Will Hatton mengembara ke hampir 50 buah negara di seluruh dunia
Will Hatton mengembara ke hampir 50 buah negara di seluruh dunia seorang diri sejak tujuh tahun lalu. AGENSI
LONDON 10 Ogos – Seorang lelaki Britain berjaya melakukan satu perkara yang disifatkan sebagai berbahaya dalam kalangan pengembara apabila menjelajah hampir 50 buah negara di seluruh dunia seorang diri.
Mail Online melaporkan, sejak tujuh tahun lalu, Will Hatton sudah mengunjungi hampir 50 buah negara secara solo tanpa ditemani oleh sesiapa.
Hatton berkata, banyak pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang pengembaraan ber­­kenaan antaranya berjaya men­jelajah ke seluruh pelosok Venezuela, negara yang terkenal dengan aktiviti penculikan de­ngan selamat.
“Sukar untuk melihat pengembara seperti saya di negara berkenaan, walaupun di sana semua barangan murah-murah. Ramai yang kata saya gila apabila berhasrat untuk mengembara ke Venezuela.
“Tidak dapat disangkal negara itu sukar untuk dilawati ter­­utamanya dalam proses pertukaran wang yang melibatkan individu dalam pasaran gelap, namun bagi saya itu semua perkara kecil,” jelasnya.
Kata Hatton lagi, dia pernah dirompak ketika berada di Nepal, India, dan Nicaragua serta mengalami sakit teruk semasa di Banjaran Himalaya.
Ujarnya, pengembara-pengembara yang tidak pernah meninggalkan zon selesa disaran supaya memulakan pengembaraan di negara-negara Asia Tenggara kerana lebih selamat selain mempunyai penduduk yang ramah.
“Persediaan mental dan fizikal amat perlu sebelum memulakan pengembaraan kerana apa sahaja boleh berlaku dan kita perlu pandai menyelesaikan masalah,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pengembaraan-solo-pemuda-ke-50-negara-1.122951#sthash.2W8OqKPO.dpuf

Monday, August 10, 2015

'Tak selamat di sini'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor 
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: It's not safe here (tak selamat di sini), nanti I (saya) jumpa you (wartawan)," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Amerika Syarikat di sini, sebentar tadi.
Mohd Shukri berkata, beliau akan bertemu media dalam tempoh terdekat namun, terpaksa menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu.
Usaha wartawan untuk menemubualnya gagal kerana beliau dilihat tergesa-gesa meninggalkan terminal sebelum menaiki sebuah kenderaan rasmi.
Ketibaan Mohd Shukri turut disambut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali.
Difahamkan, Mohd Shukri sempat berbual hampir 15 minit di Bilik Orang Kenamaan KLIA di sini sejurus mendarat.
Mohd Shukri berada di Amerika Syarikat sejak 10 hari lalu bagi menghadiri tugasan rasmi SPRM.
Pada Jumaat lalu, Mohd Shukri menarik perhatian media apabila meminta dua pegawainya kanannya yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu Pengarah Bahagian Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Bahagian Strategik Komunikasi Datuk Rohaizad Yaacob dikembalikan semula ke SPRM.
Menurutnya, beliau sedia menawarkan dirinya sebagai ganti kerana kedua-dua pegawai kanan itu bertindak atas arahannya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 11:04 PM


TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dikawal ketat sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Fariz Iswadi Ismail.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69355#sthash.VKhTlW0E.dpuf

Bigfoot wujud
di Carolina Utara?


Gambar bigfoot yang berjaya dirakam oleh seorang pelancong ketika
Gambar bigfoot yang berjaya dirakam oleh seorang pelancong ketika makhluk berkenaan melintas jalan di daerah Henderson, dalam satu kejadian dekat Ashville, di Carolina Utara baru-baru ini. - AGENSI
NEW YORK 9 Ogos - Seorang pelancong mendakwa dia berjaya merakam video yang membuktikan kewujudan Bigfoot di Carolina Utara selepas melihat makhluk berkenaan melintas jalan di daerah Henderson, dalam satu kejadian dekat Ashville, kelmarin.
Bagaimanapun, video itu tidak akan dapat dirakam Eric Walters tanpa bantuan anjingnya, Zippy yang mengesan makhluk berkenaan terlebih awal sehingga mengakibatkan Bigfoot tersebut melarikan diri ke dalam belukar berhampiran.
Menurut Walters kepada Citizen-Times, ketika kejadian pada pagi kelmarin, dia membawa anjingnya bersiar-siar sebelum mengesan seekor Bigfoot sedang berjalan berhampiran bahu jalan menuju kawasan belukar.
“Sama ada memang betul terdapat Bigfoot di luar sana atau seseorang cuba bergurau dengan kami,’’ kata Walters sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Walters kemudiannya merakam makhluk besar itu menggunakan telefon pintarnya ketika Bigfoot berkenaan sedang berjalan tanpa menghiraukan tindakannya mengambil video dan salakan anjing peliharaan Walters.
Orang ramai sebelum itu memberi amaran kepada Walters bahawa terdapat beruang di kawasan ber­kenaan, sekali gus membuatkan lelaki tersebut memastikan bahawa anjing­nya sentiasa ada dekat dengannya.
“Zippy berubah menjadi haiwan yang berani dan menghalau Bigfoot itu, sekali gus menyelamatkan saya. Saya amat sayangkannya,’’ kata Walters.
Ini bukan pertama kali Bigfoot dikesan di Carolina Utara kerana pada 2011, seorang penduduk Thomas Byers pernah merakam video Bigfoot melintas jalan di daerah Rutherford.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bigfoot-wujud-8232-di-carolina-utara-1.122581#sthash.kbIP5lFy.dpuf

360 batu karang dalam perut wanita


Sebanyak 360 biji batu karang dikeluarkan daripada pundi hempedu
Sebanyak 360 biji batu karang dikeluarkan daripada pundi hempedu Mousumi di sebuah hospital di Bengal Barat, baru-baru ini. AGENSI
MUMBAI 9 Ogos – Doktor di India yang memeriksa punca sakit perut yang dialami seorang wanita terkejut selepas menemukan sebanyak 360 biji batu karang dalam pundi hempedu wanita tersebut.
Mousumi Dam, 49, dari negeri Kolkata di timur India memberitahu bahawa dia mengalami sakit perut yang kronik dan keasidan sejak beberapa bulan lalu sehingga akhirnya wanita itu terpaksa berjumpa doktor bagi memeriksa penyakitnya.
Doktor yang memeriksanya kemudian mendapati, Mousumi menderita akibat batu karang yang teruk dengan ujian mendedahkan, wanita itu mempunyai kelompok besar batu marmar bersaiz kecil di dalam pundi hem­pedunya,
Portal Mirror.co.uk me­la­porkan, Mousumi kemudiannya dirujuk ke hospital di Bengal Barat yang menyaksikan doktor mengeluarkan sebanyak 360 biji batu karang dalam pembedahan yang berlangsung selama sejam.
Dr. Makhan Lal Saha, 59, pakar bedah di hospital itu berkata, dia tidak pernah melihat batu karang dalam jumlah yang banyak dalam badan seorang penyakit sebelum ini.
“Sepanjang menjadi doktor selama 37 tahun, saya tidak pernah melihat batu karang sebanyak ini dalam sebuah pundi hempedu. Ini kali pertama dalam sejarah perubatan di Bengal Barat seorang perlu menjalani pembedahan bagi mengeluarkan sebanyak 360 biji batu karang,’’ katanya.
Makhan berkata, mereka mengambil masa selama 50 minit bagi mengeluarkan batu karang berukuran lima milimeter setiap satu itu.
“Malah, tangan saya terasa kebas apabila saya mengeluarkan batu yang terakhir, dan adalah mengejutkan bahawa kesemua batu karang itu mempunyai saiz dan bentuk yang sama,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/360-batu-karang-dalam-perut-wanita-1.122584#sthash.adEVW8aC.dpuf