Mohammad Kaleem memiliki sepasang tangan raksasa berikutan penyakit ganjil dihidapinya sejak lahir. AGENSI
Daily Mail melaporkan, Mohammad Kaleem, 8, dari sebuah perkampungan kecil di Jharkhand, timur India dilahirkan dengan tapak tangan dan lengan luar biasa besar, malah terus membesar seiring peningkatan usianya.
Mohammad Kaleem serta keluarganya sering dipandang serong oleh orang kampung, malah dituduh memiliki tangan syaitan dan didakwa mengamalkan ilmu sihir, manakala masyarakat setempat pula mendakwa dia terkena sumpahan.
Dia juga tidak diterima masuk ke sekolah atas alasan kea­daan tangannya akan menakutkan pelajar-pelajar lain, malah dia se­ring dibuli oleh budak-budak lain di kampung tersebut.
Keadaan itu juga membuatkan budak lelaki tersebut sukar melakukan aktiviti harian seperti memakai baju, makan atau mandi.
Kedua ibu bapanya yang bukan sahaja sudah tua, malah tidak berpendidikan serta miskin dengan gaji hanya sebanyak RM90 sebulan menyebabkan kanak-kanak itu tidak mendapat perhatian bagi mengubati penyakitnya.
Penderitaan Mohammad Kaleem akhirnya berakhir apabila seorang doktor pakar dalam bidang pembedahan mikro, Dr. Sabapathy dari Hospital Ganga di Combiatore, Chennai menawarkan pembedahan secara percuma kepadanya penghujung tahun lepas.
Sabapathy bersama kum­pulannya berjaya melakukan pembedahan yang memakan masa lebih lapan jam itu dan berjaya mengecilkan satu daripada tangan budak tersebut.
Ibu Kaleem, Haleema Begum yang pada awalnya hanya berserah kepada Tuhan bagi memulihkan anaknya, akhirnya akur dengan nasihat Sabapathy yang mendapat tahu keadaan kanak-kanak itu melalui sebuah dokumentari khas yang di­siarkan media tempatan.
“Saya bersyukur kerana akhirnya anak saya dapat hidup normal seperti kanak-kanak lain, walaupun ramai sering mengejek kononnya telah disihir, namun kini semuanya telah berubah,” katanya.