Pages

Monday, July 27, 2015

Kisah tragis, pengemis tercantik di dunia

Kisah tragis, pengemis tercantik di dunia

BEIJING - CHINA. Mempunyai rupa paras cantik bak ‘supermodel’, namun siapa sangka si gadis yang bernama Han Biyao ini 'bekerja' sebagai pengemis.

Han Biyao merupakan seorang gadis Tionghua, disebut-sebut sebagai pengemis tercantik di dunia.

Di mana sebalik rupa parasnya yang rupawan, ada kisah tragis yang pernah melanda dirinya.

Memetik laporan Rocket News baru-baru ini melaporkan, bahawa sebelum meninggal ayah Biyao merupakan seorang jutawan.

Sepeninggalan ayahnya menyebabkan ibunya jatuh sakit sehingga tidak mampu bekerja bagi menyara hidup.

Keperitan keluarga Biyao tidak terhenti di situ, apabila dilaporkan bahawa keluarga itu dihimpit dengan hutang hingga mencecah ratusan ribu yuan, hingga hampir memaksa Biyao untuk menjual keperawananya dek kerana untuk melangsaikan hutang tersebut. 

Itulah kehidupan, hidup bagai roda kadangkala di atas kadangkala di bawah, itulah terjadi kepada Biyao di mana dahulu hidupnya dikelilingi dengan harta.

Namun dalam sekelip mata gadis berwajah cantik ini jatuh miskin dan hidup menderita, Biyao mengaku pernah bekerja sebagai seorang pelayan restoran demi menyambung hidup dan merawat ibunya.

Kini, Biyao memilih menggunakan kelebihan suaranya untuk menjadi penyanyi selain masih mengemis di sudut-sudut kota metropolitan Beijing, China.

Sempat rakam gambar UFO

Sempat rakam gambar UFO
Mahmood menunjukkan gambar didakwanya UFO yang berjaya dirakam ketika atas jambatan yang menghubungkan sempadan Pinang Tunggal Kedah dan Pulau Pinang.

SUNGAI PETANI – Seorang pengawal keselamatan mendakwa terlihat objek terbang tidak dikenali (UFO) dan merakamkannya dengan telefon bimbit sebelum ia hilang.

Mahmood Hamid, 65, mendakwa, ternampak pemandangan matahari terbenam luar biasa ketika melalui jambatan menghubungkan Pinang Tunggal Kedah dengan Pulau Pinang, kira-kira jam 7 malam kelmarin.

"Cahaya itu nampak cantik, jadi saya rakamkan gambarnya. Lepas itu, bila dongak semula, saya nampak ada objek macam piring terbang di lokasi sama," katanya.

Menurutnya, disebabkan tidak bersedia dia hanya sempat mengambil gambar bahagian tepi objek.

"Objek ini sangat besar, menutupi jambatan dan sungai. Seakan tak percaya dengan apa yang saya nampak.

"Saya pernah dengar cerita mengenai UFO dan sangka ia sekadar dongeng atau rekaan fiksyen. Tapi, bila lihat dua gambar yang saya ambil, objek itu memang wujud," katanya.

Katanya, terdapat dua corong udara pada objek itu.

"Satu daripada corong itu hasilkan kabus warna ungu yang sangat cantik," katanya.

Sementara itu, Arifin Azin, 53, turut mendakwa pernah melihat objek sama ketika usianya lima tahun di Kampung Pengkalan Semeling tidak jauh dari Sungai Merbok.

"Objek setinggi 0.5 meter itu datang dekat hingga saya cuba untuk tangkap. Tapi tak berjaya dan ia hilang di kawasan hutan," katanya.

Rakan mereka, Md Shah Ismail, 59, yang membuat rujukan di laman sesawang menjumpai beberapa contoh rujukan maklumat seperti UFO yang dipaparkan.

“Berdasarkan bahan bacaan yang ditemui, lebih 140 kes kemunculan UFO di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 30 tahun sekitar 1981 hingga 2008.

"Tanjung Sepat dan Sungai Petani antara lokasi paling kerap ia muncul,” katanya.

Pulau Santa Cruz del Islote paling padat di dunia


Santa Cruz del Islote yang dihuni kira-kira 1,200 orang penduduk
SANTA CRUZ DEL ISLOTE yang dihuni kira-kira 1,200 orang penduduk diiktiraf sebagai pulau paling padat di dunia iaitu empat kali ganda lebih padat daripada bandar Manhattan, New York. AGENSI
BOGOTA, Colombia 26 Julai – Sebuah pulau kecil di utara negara ini, diiktiraf sebagai pulau paling padat di dunia selepas dihuni kira-kira 1,200 orang penduduk iaitu empat kali ganda lebih padat daripada bandar Manhattan, New York.
Mail Online melaporkan, pulau yang dikenali sebagai Santa Cruz del Islote yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari negeri Cartagena, Colombia berkeluasan 2.4 hektar.
Pulau yang ditemui kira-kira 150 tahun lalu oleh sekumpulan nelayan yang mencari hasil laut di sekitarnya itu mempunyai 90 buah rumah, dua buah kedai runcit, sebuah restoran dan sebuah sekolah.
Oleh kerana keluasannya yang agak terhad berbanding penduduk yang ramai, kawasan ber­kenaan tidak mempunyai tapak perkuburan dengan mereka yang meninggal dunia akan disemadikan di pulau-pulau berhampiran.
Pulau Santa Cruz del Islote tidak mempunyai kemudahan asas seperti sistem saliran dan elektrik, di mana air bersih diperolehi daripada sumbangan tentera laut Colombia yang menghantarnya setiap tiga minggu sekali.
Sementara itu, bekalan elektrik diperolehi melalui satu mesin janakuasa yang hanya beroperasi selama lima jam sehari.
Satu-satunya bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada penduduk di pulau berkenaan adalah perkhidmatan pengawal ke­selamatan yang bertanggungjawab memantau keselamatan kira-kira 80 orang pelajar sekolah di pulau itu.
Kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan, selain menjadi pemandu pelancong kepada mereka yang terpesona dengan keindahan pulau berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pulau-santa-cruz-del-islote-paling-padat-di-dunia-1.117311#sthash.6943mvrC.dpuf

Sunday, July 26, 2015

'The untold story of 'imam penjara''

'The untold story of 'imam penjara''

ADA hikmah, demikian luah seorang anak muda yang dikenali sebagai 'imam penjara' ketika menceritakan kembali kenangannya menghuni penjara Machang, Kelantan tahun lalu.

Tidak semena-mena pemilik nama Muhammad Nafis Yaakub, 20-an, menjadi sebutan apabila sebuah video dimuatnaik di YouTube memperlihatkan dia sedang mengalunkan bacaan al-Quran di sebalik tirai besi.

Video yang bertebaran di media sosial sejak awal Ramadan tahun lalu turut menggamit hati Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kemudian menjadikannya sebagai anak angkat sebaik tamat hukuman penjara.

Bercakap kepada Sinar Online hari ini, Muhammad Nafis berkata, siapa sangka kehidupannya di penjara yang disangkakannya sebagai malang pada awalnya, rupa-rupanya berlaku sebaliknya.

"Saya ditahan dalam lokap selama 11 hari dan selepas itu saya dibawa ke penjara Machang, Kelantan... di sana selepas tersebarnya rakaman itu dengan takdir ALLAH, saya dimuliakan apabila saya diangkat menjadi ustaz oleh penjara.

"Saya ditugaskan untuk menjadi imam, tenaga pengajar kepada rakan banduan yang lain... Alhamdulillah selama empat bulan saya dalam penjara saya sudah jelajah semua blok di penjara itu, untuk menumpang mengajar kepada rakan banduan yang lain termasuk warden sekali.... itulah bagi saya dalam ujian itu ada  manfaat dan hikmahnya," katanya.

Malah menurut Muhammad Nafis, dia yang sepatutnya dikenakan hukuman penjara selama enam bulan, namun atas faktor tertentu pihak penjara telah meringankan hukuman tersebut.

"Sebenarnya saya sepatutnya menjalani hukuman penjara selama enam bulan, tetapi telah dipotong menjadi empat bulan, apa-apa pun saya dilayan dengan baik oleh pihak penjara," katanya.

Sementara ketika ditanya mengenai rutinnya kini, Muhammad Nafis berkata, dia kini sibuk menjadi pengajar di Madrasah Tahfiz Al-Qalam di negara kelahirannya Kemboja.

"Kadang-kadang saya datang ke Malaysia dan Brunei untuk menjadi imam dan mengajar," katanya.

Untuk rekod Muhammad Nafis ditahan akhir Jun tahun lalu dan dihantar ke Penjara Machang selepas Mahkamah Majistret Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah.

Saturday, July 25, 2015

China bina teleskop terbesar dunia


Agensi - TELESKOP radio terbesar di dunia yang sedang dalam pembinaan di China.


BEIJING – China mula memasang sebuah teleskop radio terbesar di dunia yang akan mempunyai piring menyamai saiz 30 padang bola apabila siap kelak, lapor media pemerintah.
Teleskop Radio Apertur Sfera (FAST) berdiameter 500 meter itu dibina di sebuah lembah berbentuk mangkuk di antara bukit-bukau di wilayah Guizhou, barat daya China.
Sejumlah juruteknik mula memasang 4,450 panel pada pemantul teleskop itu kelmarin, lapor agensi berita rasmi Xihua.
FAST akan menjadi teleskop apertur tunggal terbesar di dunia, kata Xinhua sekali gus mengatasi teleskop Balai Cerap Arecibo yang memiliki diameter 305 meter di Puerto Rico, Amerika Syarikat.
Selama bertahun-tahun, saintis China bergantung kepada data terpakai yang dikumpulkan oleh orang lain untuk kajian mereka. FAST, menurut Xinhua akan memberi peningkatan amat besar kepada keupayaan China mengkaji angkasa lepas.
“Memiliki sebuah teleskop yang lebih sensitif membolehkan kami menerima isyarat radio yang lebih lemah dan jauh,” kata Ketua Pengarah Persatuan Astronomi China, Wu Xiangping.
Beijing sedang memesatkan program penjelajahan angkasa lepasnya yang dilihat sebagai simbol kemajuan negara.
Ia merancang menempatkan sebuah stesen angkasa lepas di orbit Bumi menjelang 2020 dan seterusnya menghantar manusia ke Bulan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0725&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3grCkQCmr 
Hakcipta terpelihara 

Friday, July 24, 2015

Lelaki 254 kg berbasikal jelajah AS

Tiverton (Rhode Island): Seorang lelaki yang berat badannya 254 kilogram, berbasikal menjelajah seluruh Amerika Syarikat bagi mengurangkan berat badannya.
The Daily News melaporkan, rim basikalnya yang bengkok menyebabkan Eric Hite terkandas di Tiverton sejak minggu lalu, kira-kira 140 kilometer dari tempat dia memulakan penjelajahan di Falmouth, Massachusetts.
Syarikat Newport Bicycle sedang menyediakan basikal yang sesuai dapat menampung berat badannya.
Menurut Hite, 40, selepas dua minggu berbasikal, berat badannya turun 27 kilogram.
Lelaki itu kini memakai seluar bersaiz 70 manakala kemeja T bersaiz 10X dan berharap dapat mengurangkan 45 kilogram serta mengumpul bahan untuk bukunya melalui jelajah itu.
Buku pertamanya sebelum ini, bercorak masakan yang kelakar mengandungi 50 resipi yang dihasilkannya ketika di kolej. - AP
Gambar yang dirakam pada 27 Julai lalu, menunjukkan Hites berehat di tepi khemahnya di Tiverton, menunggu basikal baru. - Foto The Daily News/AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 8:56 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65756#sthash.6zPU7LtO.dpuf

Thursday, July 23, 2015

5 gunung meletus serentak

Jakarta: Letusan lima gunung berapi di Indonesia semalam menyebabkan beberapa bahagian di negara itu dilitupi awan debu tebal yang mengakibatkan tiga lapangan terbang ditutup.
Pakar gunung berapi Indonesia, Surono berkata, gunung Raung di Pulau Jawa sejak beberapa minggu lalu memuntahkan debu dan batuan ke udara setinggi dua kilometer.
Gunung berapi Gamalama dan Dukono yang terletak di kepulauan Moluccas turut meletus serta mengeluarkan debu ke udara.
Keadaan diburukkan lagi selepas gunung Sinabung di Sumatera dan gunung Karangetang di pulau Siau turut meletus, semalam.
Lebih 13,000 penduduk yang majoritinya tinggal di kaki gunung Sinabung telah dipindahkan akibat aktiviti gunung berapi berkenaan sejak bulan lalu.
Kata Surono, letusan lima gunung berapi secara serentak itu bukan dicetuskan oleh aktiviti luar biasa.
“Penilaian kami menunjukkan tiada fenomena luar biasa yang menyebabkan letusan lima gunung berapi secara serentak ini,” ujarnya.
Menurutnya, semua letusan berkenaan berlaku secara semula jadi dan perkara normal di negara yang mempunyai kira-kira 130 gunung berapi aktif.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Julius Adravida Barata berkata, lapangan terbang Jember dan Banyuwangi ditutup lewat kelmarin manakala lapangan terbang Bali ditutup selama beberapa jam semalam.
Media melaporkan, 37 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali terpaksa dibatalkan.
Letusan gunung Raung pada awal bulan ini menyebabkan kekecohan di lapangan terbang berkenaan apabila menyebabkan ribuan pelancong terkandas.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:20 AM


SEORANG penunggang motosikal melintasi Gunung Raung yang masih mengeluarkan debu ke udara kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65573#sthash.9iD8lv4l.dpuf

Remaja main piano ketika tidur

Wellington: Seorang remaja perempuan berusia 12 tahun mengejutkan keluarganya apabila bermain piano dengan baik ketika tidur.
Isabelle yang menghidap penyakit berjalan dalam tidur tiba-tiba bermain piano walaupun baru mengikuti kelas alat muzik berkenaan.
Aksi Isabelle bermain piano sambil tidur dirakam oleh bapa saudaranya, James Hodgson dan dimuat naik di laman YouTube.
Dalam video berkenaan Isabelle bermain piano dengan baik walaupun matanya tertutup dan berdengkur.
Beberapa ahli keluarga remaja itu kelihatan terpegun melihat dia bermain alat muzik berkenaan.
Hodgson berkata, Isabelle sering berjalan di dalam tidur, tetapi ini kali pertama dia bermain piano.
“Isabelle baru mengikuti kelas piano dan belum mampu bermain piano dengan baik.
“Bagaimanapun, aksinya bermain piano ketika tidur sangat mengejutkan kerana dia seperti sudah bertahun-tahun bermain alat muzik berkenaan.
“Lebih pelik lagi Isabelle kembali semula ke katil selepas bermain piano dan keesokan harinya dia tidak mengingati apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, Isabelle juga tidak boleh bermain piano dengan baik seperti dilakukannya ketika tidur.
Tambahnya, Isabelle sebelum ini pernah menyanyi ketika tidur dan keesokan harinya remaja itu memberitahu dia bermimpi bernyanyi di satu konsert.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:22 AM


AKSI Isabelle bermain piano ketika tidur.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65575#sthash.H1LMdyn6.dpuf

Sambutan Aidilfitri terbesar di Eropah


SEBAHAGIAN daripada 70,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri
SEBAHAGIAN daripada 70,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Small Heath Park di Birmingham, Britain, kelmarin. AGENSI
LONDON 18 Julai - Kira-kira 70,000 umat Islam berkumpul menunaikan solat sunat Aidilfitri di Small Heath Park di Birmingham, semalam dalam satu perhimpunan terbesar umat Islam di Eropah bagi menyambut Aidlfitri pada tahun ini.
Sejurus selesai menunaikan solat sunat, kumpulan itu kemudiannya berpecah mengunjungi gerai-gerai makanan dan taman hiburan berhampiran.
Pengurus Masjid Green Lane, Amer Ijaz berkata, persediaan untuk mengadakan majlis besar-besaran itu dirancang sejak enam bulan lalu.
"Menerusi acara ini, kami menyatukan masyarakat. Agak penting kami meneruskan majlis ini sebagai satu acara kekeluargaan,’’ katanya sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Masjid Green Lane dan Pusat Komuniti Birmingham, mula menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri pada 2012 yang menyaksikan lebih 12,000 umat Islam menghadirinya dan jumlah itu terus meningkat sehingga sekarang.
Sementara itu, sebahagian besar daripada kira-kira 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri, semalam manakala sebahagian lagi termasuk penduduk Islam di India, Iraq, Iran, Pakistan dan Bangladesh menyambut hari kemenangan melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan itu, hari ini.
Sambutan itu diraikan secara sederhana oleh umat Islam ketika beberapa negara seperti Syria, Iraq, Yemen, Palestin, Myanmar dan selatan Thailand masih dibayangi keganasan akibat perang saudara, penindasan dan pemberontakan.
Di Indonesia, kemeriahan Aidilfitri sedikit terjejas selepas sebahagian besar penduduk tidak dapat pulang ke kampung bagi meraikannya bersama keluarga, setelah banyak pesawat tidak dapat berlepas ekoran letusan gunung berapi.
Portal Channelnewsasia.com melaporkan, bagaimanapun lapangan terbang antarabangsa di Surabaya, bandar kedua terbesar selepas Jakarta dan sebuah lapangan terbang kecil di Jawa Timur yang ditutup sejak kelmarin dibuka semula semalam menyaksikan syarikat penerbangan menyambung operasi mereka pada sebelah petang.
Lapangan terbang Surabaya dan empat buah lapangan terbang kecil ditutup sejak kelmarin menjelang cuti hari raya berikutan letusan Gunung Berapi Raung di kepulauan Jawa, manakala sebuah lapangan terbang di kawasan terpecil Ternate ditutup ekoran debu yang dihemburkan dari Gunung Berapi Gamalama.
Dalam perkembangan berasingan, ribuan penduduk Islam Palestin di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki Israel mengunjungi Masjid al-Aqsa semalam bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri, yang disambut selama tiga hari di wilayah tersebut.
"Saya mahu menghabiskan hari pertama Aidilfitri di Bandar Lama Baitulmaqdis. Ini mungkin peluang terakhir saya untuk melawat al-Aqsa sehingga Ramadan yang akan datang,’’ kata Jihad Kioswani, 40, yang keluar dari rumahnya di bandar Tebing Barat sejak pukul 5 pagi waktu tempatan bagi melawat masjid berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/sambutan-aidilfitri-terbesar-di-eropah-1.114601#sthash.xwcIiCiA.dpuf

Rakyat China paling ramai hisap rokok



Gambar hiasan, seorang lelaki warga China sedang merenung jauh sambil menghisap rokok. – AGENSI
LONDON 21 Julai - Sepuluh tahun lalu, adalah menjadi satu kebiasaan melihat penduduk barat menghisap rokok di bar-bar, restoran-restoran dan malahan dalam pengangkutan awam di bandar-bandar utama di Eropah.
Namun, selepas kempen mengurangkan amalan merokok di tempat-tempat awam dijalankan dengan giat di Eropah, tabiat merokok telah berubah dengan drastiknya di Barat Eropah.
Ketika penggunaan tembakau mengalami kejatuhan di Barat, kajian terbaharu pula menunjukkan tabiat itu meningkat dalam kalangan negara membangun. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), daripada satu bilion penghisap rokok global, hampir 80 peratus perokok adalah di negara-negara berpendapatan rendah dan pertengahan.
Jumlah perokok di negara China merupakan yang tertinggi daripada gabungan perokok di negara berpendapatan rendah dan pertengahan.
Sehubungan itu, kerajaan China kini memperhebatkan kempen untuk menangani gejala itu dengan meningkatkan larangan menghisap rokok, mengenakan denda yang lebih tinggi dan larangan merokok sepenuhnya di tempat awam di Beijing.
Daripada 5.8 trilion perokok pada 2014, penduduk negara manakah yang paling ramai menghisap rokok?
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rakyat-china-paling-ramai-hisap-rokok-1.115599#sthash.fNTut5IY.dpuf

Helaian al-Quran tertua

Dijumpai pasukan penyelidik di Universiti Birmingham


Beberapa helaian muka surat al-Quran paling tua di dunia dijumpai
Beberapa helaian muka surat al-Quran paling tua di dunia dijumpai di Universiti of Birmingham. Agensi
BIRMINGHAM 22 Julai - Beberapa helaian muka surat al-Quran dipercayai paling tua di dunia, dijumpai di Universiti Birmingham, lapor saluran penyiaran BBC.
Jelas laporan berkenaan, pe­meriksaan radiokarbon mendapati, helaian muka surat menggunakan kulit kambing biri-biri atau kambing tersebut berusia sekurang-kurang 1,370 tahun, menjadikannya antara al-Quran terawal di dunia.
Helaian muka surat al-Quran tersebut berada di perpustakaan universiti itu sejak satu dekad lalu, tetapi tidak pernah dikenal pasti kewujudannya.
Ujian yang dilakukan oleh Unit Radiakarbon Universiti Birmingham memberikan beberapa tarikh penghasilan kitab suci itu dengan lebih 95 peratus keberangkalian bertarikh antara 568 dan 645 tahun Masihi.
Pakar Perpustakaan Britain, Dr. Muhammad Isa Waley berkata, penemuan luar biasa tersebut pasti disambut kegembiraan umat Islam.
Helaian tersebut sebelum ini ditempatkan bersama koleksi buku-buku dan dokumen Asia Barat lain tanpa dikenal pasti sebagai antara helaian muka surat al-Quran tertua di dunia.
Perkara itu disedari apabila seorang penyelidik sarjana menemukannya dan membuat keputusan untuk melakukan proses ujian radiokarbon.
Pengarah Koleksi Khas Universiti Birmingham, Susan Worrall berkata, beliau tidak menjangka usia helaian muka surat al-Quran tersebut.
“Penemuan ini sangat menarik,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/helaian-al-quran-tertua-1.115894#sthash.W1CdVoWC.dpuf

Wednesday, July 22, 2015

Wanita rancang berkahwin dengan anjing

London: Seorang wanita merancang berkahwin dengan anjing peliharaannya selepas ‘suaminya’ yang juga seekor kucing mati baru-baru ini.
Dominique Lesbirel, 41, berkahwin dengan seekor kucing lapan tahun lalu, tetapi haiwan itu mati baru-baru ini akibat masalah buah pinggang.
Kini wanita itu jatuh cinta dengan anjing peliharaannya yang dikenali sebagai Travis dan merancang berkahwin tidak lama lagi.
Berkahwin dengan haiwan bukan perkara asing bagi Dominique kerana dia menguruskan laman web yang mengeluarkan sijil perkahwinan kepada pengguna Internet yang mahu berkahwin dengan haiwan kesayangan mereka.
Bagaimanapun, Dominique mengeluarkan sijil perkahwinan kepada mereka yang berkahwin dengan haiwan peliharaan dan bukan haiwan liar seperti harimau atau beruang.
“Saya perlu memastikan mereka sangat mencintai dan menghormati haiwan peliharaan mereka sebelum saya keluarkan sijil perkahwinan ini.
“Saya tidak akan mengeluarkan sijil kepada sesiapa yang mahu berkahwin dengan haiwan liar seperti singa, harimau atau beruang,” katanya.
Menurutnya, laman web itu menggalakkan orang ramai menyatakan komitmen untuk menyayangi haiwan peliharaan mereka dan sentiasa menjaganya.
“Saya sanggup lakukan apa sahaja bagi mengingatkan orang ramai supaya melayan haiwan dengan rasa kasih sayang dan penuh rasa hormat.
“Selepas kematian kucing yang saya kahwini selama lapan tahun kini hidup saya sunyi, sebab itu saya merancang untuk berkahwin dengan Travis,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:05 AM


DOMINIQUE bersama haiwan peliharaannya, Travis.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65335#sthash.MMw9yhLV.dpuf

Surat beralamat kepada ‘Henderson, lelaki berkaca mata’


ALAMAT surat yang dikirimkan dari Belfast untuk Henderson.- AGENSI


BELFAST, Ireland – Sepucuk surat misteri yang dihantar kepada pelajar jurusan sejarah yang hanya dinamakan sebagai “Henderson, budak lelaki yang berkaca mata itu” sampai kepada penerimanya selepas dikirimkan sejauh 160 kilometer baru-baru ini.
Barry Henderson, 32, menerima surat tersebut daripada isterinya, Roisin selepas seorang posmen di kampung Buncrana, Donegal mendapati keterangan pendek itu bersesuaian dengan suaminya.
Henderson ialah penerima yang dimaksudkan dalam keterangan “sedang menyiapkan pengajian di peringkat doktor falsafah (Ph.D) di Universiti Queen di Belfast,” yang turut tertera pada sampul tersebut.
Hanya suaminya di Buncrana yang mengambil ijazah Ph.D dalam bidang sejarah moden.
“Posmen itu menyerahkan sampul ini di pejabat ketika saya keluar. Dia menyatakan surat ini mungkin untuk suami saya. Saya fikir dia sangat pintar,” ujar Roisin yang memuat naik gambar sampul surat itu di laman sosial Facebook.
Bagaimanapun, selepas dibaca, kandungan surat tersebut kurang menarik berbanding ungkapan pada sampulnya.
Surat itu hanya mengandungi satu lipatan kertas kecil tertulis, “jika surat ini sampai, kamu tinggal di sebuah kampung”. Turut tertera pada kertas itu ialah satu senyuman besar yang dilukis menggunakan pen.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0721&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3gZYVUiKt 
Hakcipta terpelihara 

CEO tinggal dalam karavan



HSIEH memilih untuk tinggal di dalam sebuah karavan di Las Vegas berbanding kediaman mewah. - AGENSI


LAS VEGAS – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Amerika Syarikat (AS) yang memiliki aset berjumlah AS$820 juta (RM3.12 bilion) memilih untuk tinggal di dalam sebuah karavan berbanding rumah mewah.
Tony Hsieh (gambar kecil) yang merupakan CEO kepada rangkaian kedai pakaian dan kasut atas talian, Zappos sebelum firma itu dijual kepada laman web Amazon mampu membeli banglo atau rumah ladang mewah.
Namun, dia yang dikenali sebagai jutawan paling berjimat cermat dalam komuniti ahli perniagaan memilih untuk tinggal di dalam sebuah karavan seluas 18.58 meter persegi di sebuah taman di Las Vegas.
Hsies yang memiliki taman tersebut berpindah ke kawasan itu selepas keluar daripada kediamannya di sebuah kondominium mewah pada tahun lepas, menurut portal The New York Times.
Hsieh telah menggelarkan karavan miliknya itu sebagai Llamapolis dan berkongsi ruang kecil itu bersama seekor alpaka peliharaannya yang bernama Marley.
“Dia tetap gembira walaupun hanya mempunyai wang AS$1 (RM3.80) di dalam bank. Dia bergaul dengan orang, dia ambil berat atau mengambil berat terhadapnya,” ujar seorang pelabur awal Zappos, Erik Moore kepada portal Business Insider. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3gZXhclJ9 
Hakcipta terpelihara 

Polis buru ‘tupai’ si pencuri kacang walnut



FACEBOOK rasmi polis Michigan ini menunjukkan seekor tupai yang seolah-olah menjadi buruan kerana mencuri 12,700kg kacang walnut.


MICHIGAN, Amerika Syarikat – Pasukan polis mencari seekor ‘tupai’ yang dipercayai menjadi dalang kehilangan 12,700 kilogram (kg) kacang walnut dalam satu kejadian di sini baru-baru ini.
Gambar pencuri cilik itu turut dimuat naik ke Facebook rasmi polis Michigan sebagai makluman kepada orang ramai bagi tujuan penangkapan ‘tupai’ tersebut.
Bagaimanapun iklan berkenaan cuma merupakan taktik Jabatan Polis Shelby Township bagi menarik perhatian orang ramai supaya dapat membantu menyalurkan maklumat mengenai kes kecurian kacang berkenaan yang bernilai lebih AS$128,000 (RM485,964) itu.
“Tupai itu bukan suspek sebenar tetapi cuma gambar. Kami gunakan untuk menarik perhatian ramai. Tolong jangan ganggu tupai-tupai yang ada,” tulis polis berkenaan dalam keterangan gambar di Facebook.
Menurut jurucakap polis, sebuah trak dan treler yang membawa 18 palet walnut dan makanan lain dicuri dalam satu insiden pada 27 Jun lepas.
Kedua-dua kenderaan tersebut telah ditemui di Detroit, Amerika Syarikat pada 1 Julai lepas, namun kesemua barangan telah hilang. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0721&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3gZWcQmtp 
Hakcipta terpelihara