Pages

Monday, December 9, 2013

Gunung Marapi di tahap amaran

Gunung Marapi di tahap amaran9 Disember 2013
Marapi terus aktif sejak semalam.

BUKIT TINGGI - INDONESIA. Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) melaporkan, Gunung Marapi terletak antara Tanah Datar dan Agam, Sumatera Barat, meletus jam 10.10 pagi, semalam, waktu tempatan.

Pegawai PVMBG Warseno berkata, letusan itu memuntahkan lahar, abu dan asap setinggi 350 meter ke udara.

“Kami masih kekalkan tahap waspada peringkat ke dua. Penempatan dalam lingkungan 3 kilometer sekitar kawasan itu dikategorikan sebagai tidak selamat,” katanya menurut laporan Antara.

Pada 3 Ogos 2011, gunung itu pernah memuntahkan lahar hingga meliputi kawasan Agam, Padang Panjang, Padang, Pariaman dan Tanah Datar.

Gunung Marapi terletak berhampiran Gunung Singgalang dan Gunung Tandikek merupakan destinasi pelancongan popular di Sumatera Barat.

Thursday, December 5, 2013

Buaya, aligator cerdik umpan mangsa


Buaya dan aligator dikatakan lebih kreatif mencari makanan dengan menggunakan batang kayu kecil untuk mengumpan burung. - AGENSI
NEW YORK 4 Dis. - Buaya dan aligator lebih kreatif dan cerdik dalam mencari dan mengumpan makanan berbanding yang disangkakan sebelum ini.
Penyelidikan terbaharu mendapati reptilia itu menggunakan beberapa alat termasuk ranting kecil untuk mengumpan burung.
Buaya di India, selain buaya dan aligator di Florida dan Louisiana, Amerika Syarikat (AS) dilihat menggunakan teknik berkenaan ketika musim burung mengawan apabila mereka mencari ranting untuk membina sarang.
Ahli zoologi Universiti Tennessee berkata, buaya dan aligator meletakkan ranting berkenaan di bahagian hidung mereka untuk menarik perhatian burung.
Penyelidik mengkaji perbuatan itu dalam kalangan haiwan reptilia berkenaan berdekatan sarang burung gagak di Louisiana dan semasa burung bangau dan burung pucung bersarang antara Mac dan April.
Penyelidikan berkenaan merupakan yang pertama memberikan maklumat terperinci mengenai kelakuan reptilia itu menggunakan peralatan tersebut dan kes pertama pemangsa mengatur waktu menyerang mangsa semasa musim mengawan.
Saintis berkata, beberapa spesis burung memilih untuk bersarang di atas pokok yang tumbuh berdekatan kawasan buaya dan aligator bagi menggunakan haiwan reptilia itu sebagai perlindungan daripada pemangsa yang boleh memanjat pokok termasuk ular dan monyet. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131205/lu_10/Buaya-aligator-cerdik-umpan-mangsa#ixzz2mYDtcd9C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki habiskan sandwic gergasi


Aksi James Brettle ketika menghabiskan sandwich gergasi pada pertandingan makanan di sebuah restoran di Southend-on-Sea, Essex, baru-baru ini. - AGENSI
LONDON 4 Dis. - Seorang lelaki kurus Britain mempamerkan kehebatannya berjaya menghabiskan sebiji sandwic gergasi seberat 2.49 kilogram mengandungi 8,000 kalori dengan hanya mengambil masa 36 minit.
James Brettle, 26, menjadi orang pertama menghabiskan sandwic gergasi terbabit mengatasi 116 peserta lain pada pertandingan makanan di restoran Mangetout Bistro, Southend-on-Sea, Essex.
Brettle, seorang juruukur bertauliah, berjaya menghabiskan sandwic bersaiz seorang bayi kecil yang mengandungi sosej, empat jenis daging dan kentang selain pelbagai jenis keju, telur, tomato, timun, salad, mayonis, sos barbeku, mustard dan bawang.
Ramuan sandwic berkenaan terletak antara enam lapisan roti, dan peserta perlu membayar sebanyak 17.95 pound (RM93.30) jika gagal menghabiskannya dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 45 minit.
Brettle memenangi sehelai baju khas, Gigantwich dan wang sebanyak 116 pound (RM602) yang dikumpul daripada setiap peserta yang gagal menghabiskan hidangan masing-masing.
Pemilik restoran, Will Fishenden berkata, dia menawarkan cabaran menghabiskan sandwic berkenaan selama setahun namun semua peserta gagal melakukannya sehinggalah kejayaan Brettle pada Sabtu lalu.
"Idea ini diambil berdasarkan rancangan Man vs Food (Manusia lawan Makanan) dan saya menganjurkan cabaran tersendiri dengan menghasilkan sandwic gergasi.
"Saya kagum melihat keupayaan Brettle menghabiskan sandwic gergasi yang disediakan kerana dia hanya mempunyai saiz badan yang lebih kecil berbanding peserta lain," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131205/lu_09/Lelaki-habiskan-sandwic-gergasi#ixzz2mYDCdH00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lautan awan di Taman Negara Grand Canyon



LAUTAN awan kelihatan di kawasan Taman Negara Grand Canyon di Arizona pada Jumaat lalu.


PHOENIX, Amerika Syarikat - Lautan awan menyelubungi kawasan pergunungan Taman Negara Grand Canyon di Arizona pada Jumaat lalu, lapor agensi berita Reuters semalam.
Fenomena unik itu berlaku disebabkan keadaan cuaca panas dan sejuk yang saling berinteraksi di kawasan tersebut.
Seorang pegawai meteorologi di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di Flagstaff, Robert Bohlin berkata, fenomena itu berlaku apabila udara sejuk terperangkap di bawah lapisan wap panas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1205&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2mY8GUoiw 
Hakcipta terpelihara 

Roket milik bilionair berlepas ke angkasa lepas



ROKET Falcon-9 berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida kelmarin.


CAPE CANAVERAL - Roket Falcon 9 yang tidak mempunyai juruterbang dan membawa sebuah satelit komersial berlepas ke angkasa lepas kelmarin.
Roket itu membawa satelit sebuah syarikat dari Luxembourg.
Syarikat Space Exploration Technologies milik bilionair internet di Amerika Syarikat, Elon Musk.
Ia juga merupakan satelit pertama yang dilancarkan oleh syarikat itu.
Roket tersebut berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida pada pukul 5.41 petang waktu tempatan.
Sebelum ini dua percubaan untuk melancarkan roket tersebut mengalami kegagalan ekoran masalah teknikal.
Para jurutera kemudian mendapati masalah itu berpunca daripada oksigen yang terdapat di dalam sistem enjin roket tersebut.
Roket itu membawa satelit seberat 3,175 kilogram yang dimiliki syarikat SES.
Sebelum ini, syarikat SES menggunakan roket Proton buatan Rusia dan European Ariane milik Agensi Angkasa Lepas Eropah untuk menghantar satelitnya ke angkasa lepas.
Satelit itu akan digunakan untuk menyediakan perkhidmatan memancarkan siaran televisyen kabel dan untuk perkhidmatan komunikasi lain di negara China, India dan Vietnam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1205&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2mY7qQsl1 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, December 4, 2013

Barangan kemas dijumpai di loteng dilelong


Sebahagian daripada barangan kemas yang dijumpai di dalam sebuah kotak kulit di bahagian loteng sebuah rumah di utara Scotland, baru-baru ini. - AGENSI
EDINBURGH 3 Dis. - Satu koleksi 22 barangan kemas berlian abad ke-19 yang ditemukan di loteng sebuah rumah di utara Scotland, akan dilelong esok oleh firma lelongan Bonhams di sini dan dianggarkan bernilai sekitar 55,000 pound (RM 290,378).
Pengarah Barangan Kemas Bonhams di Scotland, Clare Blatherwick berkata, barangan yang terdiri daripada cincin, gelang, kerongsang dan juga rantai itu dimiliki seorang wanita yang enggan identitinya didedahkan.
Blatherwick berkata, individu berkenaan menjumpai barang bernilai itu di dalam sebuah kotak kulit tertutup selepas lebih 70 tahun tersimpan di bahagian loteng sebuah rumah di utara Scotland.
"Pemiliknya berkata, kunci kotak tersebut telah pun hilang dan dia menganggap kotak itu hanya sebuah kotak lama yang mengandungi beberapa dokumen keluarga dan sepatutnya dibuang.
"Namun, dia yang berasa curiga dengan isi kandungan kotak itu mengambil keputusan membukanya sebelum menjumpai koleksi barangan kemas berlian,'' kata Blatherwick.
Jelas Blatherwick lagi, berlian berkenaan merupakan barangan milik nenek dan dua orang ibu saudara wanita tersebut.
Antara barangan yang ditemukan adalah sepasang anting- anting berlian tujuh karat yang dianggarkan bernilai 15,000- 20,000 pound (RM 79,194 - RM105,592) dan kalung India abad ke-19 bersama-sama loket Vishnu yang dianggarkan bernilai 2000-3000 pound (RM10,559- RM15,838).
"Cerita di sebalik penemuan ini seperti satu kisah dongeng yang unik dan setakat ini ramai pihak telah menyatakan minat untuk memiliknya,'' ujar Blatherwick lagi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131204/lu_07/Barangan-kemas-dijumpai-di-loteng-dilelong#ixzz2mSQU0b9u
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, December 3, 2013

Dron dicipta untuk hantar barang


GAMBAR tidak bertarikh yang disiarkan Amazon.com kelmarin menunjukkan sebuah dron membawa sebuah bekas yang dicipta untuk menghantar barang bergerak di udara.


WASHINGTON - Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos kelmarin mendedahkan bahawa syarikatnya merancang untuk menggunakan dron mini bagi menghantar barang kepada pelanggan dalam tempoh hanya 30 minit.
Amazon merupakan syarikat peruncitan gergasi di Amerika Syarikat (AS) yang menjual pelbagai jenis barang menerusi internet.
Namun, dron ciptaan syarikat itu masih perlu menjalani ujian keselamatan dan memperoleh kelulusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS.
Satu rakaman video yang disiarkan di laman web syarikat tersebut menunjukkan dron itu menghantar barang kepada pelanggan dalam tempoh 30 minit selepas pembelian dibuat menerusi Amazon.com.
"Kami boleh menghantar barang dalam tempoh 30 minit. Ia (dron) boleh membawa barang sehingga 2.3 kilogram.
Barang itu diletakkan di dalam sebuah kotak kecil yang kemudian akan digugurkan di rumah pelanggan.
Dron kecil itu dijana dengan kuasa elektrik dan mampu menghantar barang dalam jarak lingkungan 16 kilometer dari pusat penghantaran," kata Bezos dalam program 60 Minutes terbitan stesen televisyen CBS.
Dron itu dilengkapi dengan sistem penentu kedudukan global.
Menurut Bezos, penggunaan dron itu adalah lebih baik berbanding trak kerana ia boleh mengurangkan pencemaran alam sekitar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2mMX4TrsE 
Hakcipta terpelihara 

Monday, December 2, 2013

Lembing batu tertua wujud sebelum kemunculan manusia


Mata lembing berusia 280,000 yang ditemukan di kawasan Zaman Batu Ethiopia, kini dikaji bagi mencari kaitannya dengan spesies manusia prasejarah. - Agensi
ADDIS ABABA 1 Dis. - Lembing batu tertua di dunia yang berusia 280,000 tahun ditemukan di Afrika, menunjukkan ia wujud sebelum kemunculan manusia iaitu kira-kira 80,000 tahun kemudian.
Penemuan lembing tersebut membawa maksud senjata itu mungkin dicipta oleh nenek moyang kepada manusia purba berbanding spesies sama dengan manusia moden.
Ia juga menunjukkan nenek moyang manusia dengan nama saintifiknya, Homo heidelbergensis mempunyai teknologi lebih maju daripada yang disangkakan.
Penyelidik dari Universiti California di Pusat Penyelidikan Evolusi Manusia Berkeley, kini mengkaji mata lembing diperbuat batu tersebut yang baru-baru ini ditemui di kawasan Zaman Batu Ethiopia atau dikenali sebagai Gademotta di sini.
Dalam jurnal PLos ONE, mereka mendakwa senjata itu diperbuat daripada obsidian, sejenis gelas yang terhasil secara semula jadi melalui aktiviti gunung berapi.
"Penemuan ini sangat penting kerana ia memberi bukti langsung kepada kelebihan teknologi kompleks yang wujud sebelum kewujudan Homo sapiens,'' kata saintis berkenaan.
Penyelidik mempercayai, nenek moyang kepada Homo sapiens di Afrika, Neanderthal di Eropah dan Asia berasal daripada spesies Homo heidelbergensis.
Bukti sebelum ini menunjukkan Homo heidelbergensis mempunyai kemahiran bertukang dan membunuh haiwan besar.- AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131202/lu_10/Lembing-batu-tertua-wujud-sebelum-kemunculan-manusia#ixzz2mHAYrCxn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rumah permainan berharga RM28,491 untuk dijual



BRIAN MCDONOUGH bergambar di samping rumah permainan yang dibelinya 11 tahun lalu untuk dua orang cucunya di Britain.


OXFORDSHIRE, Britain - Sebuah rumah permainan kanak-kanak akan dijual pada harga AS$8,837 (RM28,491).
Pemiliknya Brian McDonough, 69, telah membeli rumah dua tingkat mini tersebut 11 tahun lalu untuk dijadikan tempat permainan dua cucunya, Sophie dan Olivia.
McDonough mahu menjual rumah permainan itu berikutan cucu-cucunya telah meningkat dewasa dan tidak lagi berminat untuk bermain di dalamnya.
Dia menggunakan khidmat ejen hartanah untuk menjual rumah permainan tersebut.
Walaupun kecil, rumah setinggi 2.4384 meter itu lengkap dengan ruang tamu dan bilik tidur yang mempunyai dua katil di tingkat atas.
Kediaman tersebut, kata pemiliknya, turut dilengkapi bekalan elektrik dan air.
McDonough enggan menjual kediaman itu di laman niaga ebay kerana bimbang pembeli akan menyangka ia seperti rumah permainan lain yang dibuat daripada plastik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2mGvy0caU 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, December 1, 2013

Keluarga berkongsi sarapan dengan unta



UNTA jantan berusia enam tahun, Joe gemar mencelah di tingkap untuk bersarapan bersama Nathan, isterinya, Charlotte dan dua anak mereka.


STAFFORDSHIRE, Britain - Sebuah keluarga di Britain berkongsi sarapan pagi mereka dengan seekor unta, lapor sebuah akhbar baru-baru ini.
Unta jantan berusia enam tahun itu, Joe akan melawat kediaman keluarga Anderson-Dixon yang tinggal di sebuah ladang di sini pada setiap pagi.
Haiwan itu akan memasukkan kepalanya melalui tingkap dan memakan pisang dan lobak merah yang dihidangkan di meja sarapan oleh Nathan, 34 dan isterinya Charlotte, 31.
"Unta ini datang sesuka hati selepas ia mencelah kepalanya di tingkap untuk makan sarapan kami pada suatu hari," kata Nathan.
Memiliki ketinggian 1.7 meter, Joe juga tidak cerewet kerana akan memakan roti, bijirin dan buah-buahan lain yang dihidangkan oleh keluarga tersebut.
Walaupun Nathan dan isterinya memiliki tiga unta betina namun hanya Joe sahaja yang gemar bersarapan pagi bersama mereka.
Keluarga berkenaan membela sebanyak 74 haiwan lain yang digunakan untuk iklan televisyen dan penggambaran filem. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2mAyS7GDf 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, November 30, 2013

Lelaki fanatik burger


Lelaki fanatik burger“Saya menghias katil dan telefon berbentuk burger dan keju. Motosikal saya juga digelar Hamburger Harley kerana dihiasi dengan kentang bersama sos tomato,” katanya.

Katil dan bilik beliau juga dihias menggunakan konsep burger dan makanan ringan lain.

Lelaki fanatik burger
Sperl bersama Hamberger Harley di rumahnya.
SEORANG penggemar burger dari Amerika Syarikat (AS) sanggup mengubah rumahnya menjadi muzium burger dan beberapa makanan segera lain.

Harry Sperl, 57, mengumpul koleksi Burgerbilia selama 23 tahun sebelum dipamerkan di rumahnya di Daytona Beach, Florida.

Menurutnya, terdapat lebih 1,000 cendera hati dan hiasan dalaman berkonsepkan burger.

“Walaupun dilahirkan di Wettenberg, Jerman, makanan penduduk AS itu amat sebati dengan diri saya,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, kini beliau terpaksa mengurangkan pengambilan burger kerana mengalami masalah kolesterol.

“Masalah kolesterol bukan penghalang untuk saya berhenti menikmati burger. Saya hanya mengurangkan tabiat pengambilan burger iaitu hanya tiga kali sehari,” katanya dipetik dari laporan  DailyMail

‘Bandar terapung’ bakal dibina


Kapal persiaran Freedom Ship yang dilengkapi pusat beli-belah, galeri kesenian, taman akuarium dan lapangan terbang persendirian, bakal mendapat jolokan ‘bandar terapung’. - AGENSI
FLORIDA 29 Nov. - Kebiasaannya, kapal persiaran mewah hanya belayar ke sesetengah destinasi yang ditetapkan untuk membawa pelancong.
Namun, keadaan itu mungkin sedikit berlainan apabila para pelancong kini bakal belayar ke seluruh dunia dengan hanya menaiki satu kapal persiaran sahaja.
Freedom Ship atau Kapal Kebebasan bakal merealisasikan impian para pelancong yang menginginkan percutian serba lengkap dan mewah.
Selain menjadi satu-satunya kapal persiaran yang akan belayar ke serata dunia, Kapal Kebebasan juga mendapat jolokan ‘bandar terapung’ pertama di dunia.
Hal ini kerana, kapal tersebut akan menempatkan pusat beli-belah, tempat meletak kereta, kasino, galeri kesenian, taman akuarium dan lapangan terbang persendirian.
Pengarah dan juga Naib Presiden syarikat perkapalan Freedom Ship International, Roger M Gooch berkata, kapal itu menjadi kapal persiaran terbesar yang akan dibina.
“Syarikat kami menganggarkan dana sebanyak AS$6 bilion (RM19.2 bilion) diperlukan untuk membina kapal tersebut.
“Sejak enam bulan lalu, syarikat semakin yakin dengan projek tersebut dan kami berharap dana sebanyak AS$1 bilion (RM3.2 bilion) dapat diperolehi bagi memulakan kerja-kerja pembinaan," katanya.
Gooch juga menyatakan bahawa Kapal Kebebasan itu akan menghabiskan kira-kira 70 peratus masanya belayar ke bandar-bandar utama di seluruh dunia dan selebihnya belayar di antara negara termasuk Afrika, Australia, Eropah, Asia Barat, Amerika Utara dan Amerika Selatan.
Kapal yang boleh memuatkan kira-kira 50,000 penumpang dalam satu-satu masa itu akan dibina setinggi 25 tingkat dan dijana dengan tenaga solar serta kuasa ombak. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131130/lu_13/Bandar-terapung-bakal-dibina#ixzz2m6Zwap00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Janda 13 tahun dinasihat lapor polis

Janda 13 tahun dinasihat lapor polisSukaGuam tawar khidmat selesai kes babitkan pasangan ini.

SHAH ALAM –  Janda berusia 13 tahun, yang dicerai talak tiga 11 November lalu dinasihat membuat laporan polis berhubung dakwaan dirinya dianiaya dalam perkahwinan.

Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, berdasarkan laporan media termasuk dakwaan remaja itu dirogol empat bulan sebelum perkahwinannya tahun lalu, ada kemungkinan berlaku penganiayaan dan dia berhak mendapat pembelaan.

“Kami melihat kes ini sebagai satu diskriminasi hak kemanusiaan di mana daripada cerita dilaporkan media, ada pihak mengambil kesempatan atas sikap tolak ansur pihak perempuan yang pada awalnya sanggup menggugurkan laporan dakwaan rogol sebelum dia dikahwinkan bertujuan untuk menutup aib.

“Namun setelah hampir setahun berkahwin, remaja perempuan itu dikatakan tidak mendapat layanan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, jika laporan itu benar, pembelaan seharusnya diberikan.

“Kalau benar perkara ini berlaku, kami anggap ia sebagai tragedi kepada remaja perempuan tersebut dan dia perlu diberi pembelaan apatah lagi melibatkan kes rogol secara berkumpulan,“ katanya.

Dalam pada itu, SukaGuam turut menawarkan khidmat sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kes ini.

“Walaupun ia dianggap sebagai satu perkara serius, namun tidak wajar perkara ini diperbalahkan secara terbuka kerana ia mengaibkan tambahan pula ia melibatkan keluarga Islam,” katanya.

Kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulang tahun pertama perkahwinan pasangan tersebut disahkan bercerai talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim.

Akhbar The Star dalam laporan eksklusifnya semalam menyiarkan kenyataan bapa remaja perempuan tersebut mendakwa anaknya itu telah membuat laporan polis pada 15 Julai 2012 mengadu dia telah dirogol oleh tiga lelaki.

Selamat datang ke Pulau Kucing

Selamat datang ke Pulau KucingKucing-kucing ini dipercayai boleh meramal cuaca melalui perlakuan seharian.

PULAU Tashirojima di Jepun amat dikenali sebagai Pulau Kucing oleh pencinta haiwan.

Ini kerana populasi masyarakatnya hanya sekitar 100 orang yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan, lebih rendah dari jumlah kucing yang terdapat di situ.

Seorang pelancong berkata, puluhan kucing boleh dijumpai merata tempat sekitar bandar  dan kawasan perumahan.

Menurutnya, mengikut cerita penduduk tempatan, kehadiran awal kucing di kawasan itu adalah untuk memburu tikus di ladang-ladang sutera. Namun, selepas industri tersebut gulung tikar, ramai penduduk mula meninggalkan pulau berkenaan.

“Kucing-kucing liar itutetap dipelihara penduduk tempatan. Pertambahan haiwan itu kini menjadikan pulau tersebut sebagai tarikan pelancong kalangan pencinta haiwan,” katanya mdipetik dari laporan MailOnline.

Kebanyakan nelayan percaya, kucing-kucing ini 'membantu' untuk ramalan cuaca.

“Jika kucing mula membuat bising atau mencari tempat persembunyian dengan memasuki rumah penduduk, ini  bermakna cuaca kurang baik dan nelayan tidak akan turun ke laut,” kata seorang penduduk.

Remaja hampir botak akibat tabiat cabut rambut


Rebecca Brown kini hampir botak berikutan tabiat gemar mencabut rambut ketika tertekan. - Agensi
LONDON 29 Nov. - Seorang remaja perempuan yang menghidap penyakit trichotillomania iaitu tabiat suka mencabut rambut, bulu kening atau bulu mata setiap kali mengalami tekanan, menjadi wira kepada beratus-ratus ribu pengidap penyakit tersebut, selepas mereka melihat rakaman videonya di Internet.
Rebecca Brown, 20, gemar mencabut rambutnya setiap kali dia mengalami tekanan sejak berusia 12 tahun lagi.
Tabiat berkenaan berterusan sehingga kepala Brown hampir-hampir botak ketika dia berusia 16 tahun dan dia juga sering menjadi bahan ejekan rakan-rakan di sekolah.
Rasa tertekan dan kesunyian dengan keadaan itu, dia mula mengambil gambar dirinya setiap hari dan memuat naik satu video di YouTube serta blog.
Tanpa disangka, video berkenaan mendapat sokongan serta komen-komen positif daripada pengunjung Internet dan sudah ditonton lebih daripada 12 juta kali.
Hasilnya kini, Brown sudah menemui semula keyakinan diri dan menjadi idola kepada beratus-ratus ribu pengidap penyakit sama dalam usaha menyembuhkan penyakit mereka.
"Saya menerima komen daripada mereka yang mengalami masalah trichotillomania, namun tidak memberitahu masalah itu kepada ibu bapa atau rakan-rakan mereka. Saya berasa gembira kerana mereka mempercayai saya.
"Sesetengah orang berkata penyakit ini disebabkan oleh trauma yang dialami ketika masih kecil, tapi bagi saya mencabut rambut merupakan satu perkara yang menenangkan. Saya lakukannya ketika saya tertekan atau sedih,'' kata Brown.
Selain itu, Brown juga percaya memuat naik video di Internet telah membantu kepada pemulihan dirinya, kerana sukar baginya untuk meluahkan perasaan kepada umum. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131130/lu_15/Remaja-hampir-botak-akibat-tabiat-cabut-rambut#ixzz2m6E2byMN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki miliki jantung di luar abdomen


Ho Zhiliang berharap dapat menjalani pembedahan segera supaya dia boleh hidup seperti insan lain. - AGENSI
BEIJING 29 Nov. - Seorang tukang gunting rambut di China yang dilahirkan dengan sindrom jantung di luar tulang rusuk, menyatakan harapan untuk menjalani pembedahan dan hidup seperti insan normal lain seusianya.
Ho Zhiliang, 24, dari wilayah Hubei, mengalami sindrom jantung terdedah, kecacatan yang kebiasaannya membunuh lebih 90 peratus pesakit sebaik-baik dilahirkan.
Ketika dia dilahirkan, ibu bapanya diberi amaran bahawa dia mungkin tidak akan hidup lama disebabkan kecacatan yang dialaminya itu.
Pesakit yang menghidap sindrom berkenaan selalunya akan mengalami sesak nafas apabila berjalan atau muka berubah menjadi biru.
Namun, ibu bapanya mengenepikan segala kemungkinan apabila berjaya membesarkan Zhiliang.
Baru-baru ini, harapan Zhiliang untuk pulih kembali bersinar apabila dia terbaca tentang seorang pesakit yang menghidap sindrom sama sepertinya, Huang Rongming.
Rongming dari wilayah Henan dapat hidup seperti biasa selepas menjalani pembedahan untuk memindahkan jantung ke tempat asal.
Zhiliang yang mendapat semangat baharu daripada kisah lelaki itu kemudiannya berhenti bekerja dan berpindah ke wilayah Wuhan dengan harapan dapat menjalani pembedahan yang sama.
“Saya tidak sangka rupa-rupanya saya berpeluang menjalani kehidupan normal seperti orang lain," katanya.
Dalam pada itu, Rongming berkata, dia juga telah hidup dengan keadaan jantung di bahagian abdomen selama 24 tahun, sama seperti Zhiliang, dan doktor memberi amaran tentang keadaannya yang semakin teruk serta memerlukan pembedahan segera.
Katanya, dia tidak mampu membiaya kos pembedahan berkenaan, namun kisahnya dalam media telah membantu dia menjalani pembedahan terbabit.
“Saya menjalani pembedahan selama 10 jam dan kini jantung saya berada di tempat yang sepatutnya.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu saya untuk menjadi manusia normal," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131130/lu_14/Lelaki-miliki-jantung-di-luar-abdomen#ixzz2m6DKdNZl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tujuh maut gempa bumi dekat loji nuklear Iran

SEBUAH kereta ditimbus runtuhan akibat gempa bumi yang berlaku di Borazjan, Iran kelmarin.


TEHERAN - Satu gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter dekat sebuah loji tenaga nuklear Iran telah menyebabkan tujuh orang terkorban dan 30 lagi cedera kelmarin, kata ketua agensi perkhidmatan kecemasan, Hassan Qadami kepada pemberita.
Gempa bumi itu berpusat dekat Borazjan yang terletak 60 kilometer dari Bushehr yang menempatkan sebuah loji tenaga nuklear yang dibina Rusia.
Iran terletak dalam kawasan garisan gempa bumi.
Pada tahun 2003, gempa bumi kuat telah menyebabkan 26,000 orang terkorban di bandar Bam, selatan Iran. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2m5FLOuDe 
Hakcipta terpelihara 

Warga Mexico berlatih guna tangan milik orang lain

GRANADOS memeluk sebiji bola semasa dia berlatih menggunakan tangan baharunya di Institut Sains Perubatan dan Nutrisi Kebangsaan, bandar raya Mexico pada Selasa lalu.


BANDAR RAYA MEXICO - Seorang warga Mexico, Gabriel Granados kini menggunakan dua tangan yang didermakan oleh orang lain untuk melakukan aktiviti harian.
Granados, 53, merupakan penduduk Latin Amerika yang pertama menerima dua tangan yang didermakan oleh seorang individu berumur 34 tahun yang mati akibat terkena tembakan.
Dia menerima dua tangan baharu itu selepas menjalani pembedahan selama 17 jam di Institut Sains Perubatan dan Nutrisi Kebangsaan di sini pada Mei 2012.
Sekumpulan doktor termasuk lima doktor bedah, tiga pakar anestesiologi, lima jururawat telah menyambung tangan baharu Granados bermula dari bawah paras sikunya.
Agensi berita Associated Press pernah melaporkan bahawa doktor-doktor yang terlibat dalam pembedahan itu melakukan ujian ke atas mayat terlebih dulu sebelum mereka menyambung tangan Granados.
Kedua-dua tangannya itu melecur teruk pada Januari 2011 selepas dia terkena kejutan elektrik ketika memberikan arahan kepada sekumpulan pekerja pembinaan.
"Ia merupakan sesuatu yang mengagumkan kerana saya dapat melihat tangan baharu selepas tiada buat seketika," kata Granados.
Dia merupakan seorang kakitangan di Unit Kewangan, Pejabat Pendakwa Raya Mexico.
Bapa kepada dua orang anak itu menjalani sesi fisioterapi dengan beberapa orang doktor di institut tersebut pada Selasa lalu.
Dia berlatih menggunakan tangan baharunya ketika menjalani sesi fisioterapi itu.
Dalam sesi itu, dia memegang beberapa objek dengan menggunakan kedua-dua tangannya itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2m5FEnprz 
Hakcipta terpelihara 

Kereta Volkswagen diperbuat daripada kayu oak

SEORANG model berdiri di tepi kereta Volkswagen yang diperbuat daripada kayu oak pada Pameran Motor di Essen, Jerman semalam.


ESSEN - Sebuah kereta Volkswagen yang diperbuat daripada kayu dipamerkan pada Pameran Motor di Essen, Jerman semalam.
Kereta itu diperbuat daripada kayu oak dan dibenarkan dipandu di jalan raya.
Kereta tersebut adalah milik Momir Bojic dari Bosnia Herzegovina.
Pameran itu berlangsung sehingga 8 Disember depan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2m5E75Zrd 
Hakcipta terpelihara 

Friday, November 29, 2013

Kisah Benar Suami Isteri Rupanya Adik Beradik

Dek kerana kesilapan 20 tahun lalu, sepasang suami isteri yang bahagia melayari rumah tangga terpaksa menerima berita yang menghancurkan hati masing-masing iaitu  mereka rupa-rupanya adik beradik.


Kisah bagai dalam drama ini berlaku di wilayah Jiangxi, China.Wei dan Qing, yang menetap di pekan sama tinggal berdekatan dan saling mengenali. Wei berusia empat tahun lebih muda daripada Qing.Punca mereka mula berkenalan seterusnya mengikat cinta juga bagai dalam drama cinta. Segala-galanya bermula apabila kawan-kawan sering mengejek mereka berdua kerana mempunyai wajah seiras.

Daripada situ Qing sering mengambil berat tentang Wei hingga mereka sama-sama jatuh cinta.Hubungan yang terjalin sejak alam remaja itu berjalan dengan baik hingga mereka memutuskan untuk berkahwin tahun lalu.Sesudah berkahwin pun, kawan-kawan dan orang sekeliling masih tidak dapat berhenti daripada menegur wajah mereka sangat seiras.

Perkara itu tidak dipedulikan dan mereka hidup bahagia sebagai suami isteri.
Hinggalah baru-baru ini, Qing dan Wei akhirnya memutuskan mereka sudah bersedia untuk menimang cahayamata.Saat berita gembira ini dikongsikan dengan keluarga, bapa Qing, Bao mula menunjukkan rasa tidak selesa dan bersikap pelik.

Akhirnya dia membuka rahsia yang selama ini menekan jiwa iaitu Wei kemungkinan besar adalah anak kandungnya juga.Hal ini kerana dia pernah menjalinkan hubungan sulit dengan mendiang ibu Wei, 20 tahun dulu.

Hubungan itu hanya terhenti selepas dia berkahwin dengan ibu Qing.
Berita ini mengejutkan Wei dan Qing lalu mereka mengambil keputusan untuk melakukan ujian DNA dengan harapan ia tidak memberitahu mereka sesuatu yang sukar diterima akal.

Tapi seperti dijangka, keputusan mengesahkan mereka adalah adik beradik.
Dr Huang Jian dari Pusat Forensik Furong mengesahkan keputusan DNA Wei dan Qing kepada media tempatan, 20 November lalu.Begitu pun, dia menyatakan tidak tahu apakah penyelesaian yang dilakukan pasangan suami isteri muda yang sangat menyayangi satu sama lain itu.Kasihan, inilah sebabnya mengapa zina diharamkan. Ia membawa akibat yang amat buruk bukan saja pada diri sendiri tapi juga keturunan. –mynewshub.my