Pages

Saturday, November 30, 2013

Warga Mexico berlatih guna tangan milik orang lain

GRANADOS memeluk sebiji bola semasa dia berlatih menggunakan tangan baharunya di Institut Sains Perubatan dan Nutrisi Kebangsaan, bandar raya Mexico pada Selasa lalu.


BANDAR RAYA MEXICO - Seorang warga Mexico, Gabriel Granados kini menggunakan dua tangan yang didermakan oleh orang lain untuk melakukan aktiviti harian.
Granados, 53, merupakan penduduk Latin Amerika yang pertama menerima dua tangan yang didermakan oleh seorang individu berumur 34 tahun yang mati akibat terkena tembakan.
Dia menerima dua tangan baharu itu selepas menjalani pembedahan selama 17 jam di Institut Sains Perubatan dan Nutrisi Kebangsaan di sini pada Mei 2012.
Sekumpulan doktor termasuk lima doktor bedah, tiga pakar anestesiologi, lima jururawat telah menyambung tangan baharu Granados bermula dari bawah paras sikunya.
Agensi berita Associated Press pernah melaporkan bahawa doktor-doktor yang terlibat dalam pembedahan itu melakukan ujian ke atas mayat terlebih dulu sebelum mereka menyambung tangan Granados.
Kedua-dua tangannya itu melecur teruk pada Januari 2011 selepas dia terkena kejutan elektrik ketika memberikan arahan kepada sekumpulan pekerja pembinaan.
"Ia merupakan sesuatu yang mengagumkan kerana saya dapat melihat tangan baharu selepas tiada buat seketika," kata Granados.
Dia merupakan seorang kakitangan di Unit Kewangan, Pejabat Pendakwa Raya Mexico.
Bapa kepada dua orang anak itu menjalani sesi fisioterapi dengan beberapa orang doktor di institut tersebut pada Selasa lalu.
Dia berlatih menggunakan tangan baharunya ketika menjalani sesi fisioterapi itu.
Dalam sesi itu, dia memegang beberapa objek dengan menggunakan kedua-dua tangannya itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2m5FEnprz 
Hakcipta terpelihara 

No comments: