Pages

Tuesday, September 18, 2012

Iran ada penasihat di Syria, Lubnan


Iran ada penasihat  di Syria, Lubnan
Mohamm ad Al i Jafari
TEHERAN - Komander Pengawal Revolusi Iran, Mejar Jeneral Mohammad Ali Jafari, memberitahu bahawa Pengawal Revolusi Iran mempunyai penasihat peringkat tinggi di Syria dan Lubnan sekali gus akan mencampuri urusan kerajaan Syria, jika perlu berbuat demikian.

Dipetik laporan AFP, beliau berkata, Pasukan Quds iaitu ejen Pengawal Revolusi yang beroperasi di luar negara, kini berada di Lubnan dan Syria.

“Anggota pasukan itu tidak menyediakan bantuan ketenteraan, tetapi memberi nasihat, pendapat dan bantuan kewangan,” katanya.

Menurutnya,  ejen Pasukan Quds akan campur tangan dan memberikan bantuan ketenteraan ke Syria mengikut keadaan tertentu memandangkan Iran mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan masalah keganasan di beberapa negara.

“Kami bangga mempertahankan Syria, yang merupakan rintangan kepada kedudukan Zionis,” katanya.

Sementara itu, akhbar Lubnan melaporkan kenyataan itu hanya akan meningkatkan tekanan ke atas pemimpin Hizbullah Lubnan, Sayyed Hassan Nasrallah sekali gus mewujudkan lebih geseran antara etnik dan politik yang berbeza di negara itu.

Mac lalu, gabungan parti politik dan bebas yang menentang rejim Assad dan Hizbullah Lubnan, mengemukakan cadangan kepada Presiden Lubnan, Michel Suleiman supaya menghantar Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unifil) di sempadan timur dan utara negara itu untuk menghalang kuasa asing daripada mencampuri urusan dalam kerajaan.

Sementara itu, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat berhubung program nuklear Iran, Amerika Syarikat pulan semakin giat melakukan latihan dan persediaan ketenteraan di perairan Teluk hingga ke Lautan Hindi dengan 12 kapal perang dari 30 negara , bersiap sedia di kawasan itu.

Menurut Washington, latihan itu juga melibatkan gerakan pengesanan periuk api, kecekapan pelaksanan senjata darat dan udara serta ujian perkakas senjata yang baru dibeli.

Lima kanak-kanak maut serangan helikopter Syria


Lima kanak-kanak maut serangan helikopter Syria
Sebuah bangunan musnah selepas diserang pagi kelmarin.
BEIRUT - Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak termasuk seorang wanita maut dalam serangan helikopter tentera Syria ke atas bandar Kafr Aweid di utara Syria, pada hari pertama persekolahan, kelmarin.

Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, video di laman YouTube menunjukkan imej mengenai keadaan yang menyayat hati kanak-kanak berkenaan termasuk seorang lelaki mendukung budak perempuan berbaju biru tanpa kepala.

“Allahu akbar!” Adakah ini reformasi dilakukan Presiden Bashar al-Assad, hanya Tuhan yang boleh menolong kami,” demikian tangisan yang kedengaran di dalam klip video berkenaan.

Menurut pengarah badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman, serangan berdarah itu berlaku sehari selepas lima lagi kanak-kanak maut di Saraqeb dalam wilayah sama.

Lebih daripada 27,000 orang terbunuh sejak pemberontakan menentang pemerintahan Assad tercetus pada Mac tahun lalu.-AP

Ketua keselamatan Benghazi dipecat

BENGHAZI 18 Sept. - Menteri Dalam Negeri Libya telah memecat ketua keselamatan bandar ini selepas serangan berdarah ke atas konsulat Amerika Syarikat (AS) minggu lalu
Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk wilayah timur, Wanis al-Sharef, dan ketua keselamatan kebangsaan Benghazi, Hussein Bou Hmida telah digantikan, kata dua kenyataan berasingan bertarikh 12 September, sehari selepas serangan.
Duta AS, Chris Stevens dan tiga rakyat Amerika terbunuh setelah konsulat Amerika di Benghazi diserang dengan pelancar roket bom tangan semasa demonstrasi membantah filem anti-Islam yang dibuat di Amerika. - AFP

Gempa bumi sederhana landa Sumatera pagi ini

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda barat laut Sumatera, Indonesia pukul 11.23 pagi hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pusat gempa bumi itu terletak di 249 kilometer (km) di barat laut Bandar Lampung, Indonesia dan 901 km selatan Pontian, Johor.
“Bagaimanapun ia tidak membawa ancaman tsunami," demikian menurut kenyataan itu.- BERNAMA

Pakistan lancar peluru berpandu



Peluru berpandu Hatf-VII Babur mampu terbang lebih rendah, boleh menyerang sasaran sama ada di laut atau darat dengan ketepatan yang tinggi. - AGENSI
ISLAMABAD 17 Sept. - Pakistan hari ini, melancarkan ujian peluru berpandu nuklear yang dilengkapi dengan ciri-ciri 'sukar dikesan radar' menerusi latihan ketenteraan pertama negara ini sejak Jun lalu.
Menurut pihak ketenteraan Pakistan, peluru berpandu Hatf-VII Babur mampu terbang lebih rendah, boleh menyerang sasaran sama ada di laut atau darat dengan ketepatan yang tinggi dalam rangkaian jarak hingga 700 kilometer.
Hatf-VII Babur dilancarkan menggunakan Kenderaan Pelancar Roket (MLV) bagi meningkatkan keupayaan sasarannnya.
Pada Jun lalu, Pakistan melancarkan lima ujian peluru berpandu dalam tempoh enam minggu.
Kekerapan pelancaran tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati India sehingga negara itu menjalankan ujian peluru berpandu jarak jauh, Agni V, yang mampu mengenai sasaran hingga ke China.
India dan Pakistan yang telah tiga kali berperang sejak memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1947, sering melakukan ujian peluru berpandu sejak kedua-dua negara mempamerkan keupayaan senjata nuklear masing-masing pada 1998. - AFP

Hassan cadang protes seminggu

BEIRUT: Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah, menggesa umat Islam Lubnan mengadakan protes seminggu membantah sebuah filem mempersenda Islam sebagai simbol campur tangan Amerika Syarikat (AS).

Kata Hassan, seluruh dunia perlu melihat sendiri kemarahan “pada wajah, genggaman tangan dan laungan” umat Islam ekoran penerbitan filem berkenaan.

Menurutnya, dia sengaja menangguhkan gesaan itu sehingga pemimpin tertinggi Kristian, Pope Benedict XVI, meninggalkan Lubnan selepas mengadakan lawatan bersejarah selama tiga hari ke situ.

Dalam lawatan berkenaan, Pope Benedict turut mendoakan pemimpin Timur Tengah berusaha mencapai keamanan dan perpaduan.

Hassan berkata, umat Islam di seluruh dunia juga perlu membantah filem berkenaan yang dianggapnya sebagai “serangan paling buruk ke atas Islam.” “Ia jauh lebih jahat berbanding novel Satanic Verses karangan Salman Rushdie, pembakaran al-Quran di Afghanistan dan lakaran kartun di media Eropah,” katanya. Ekoran penerbitan filem Innocence of Muslims, umat Islam sedunia bangkit menyatakan kemarahan atas penghinaan pembuatnya. Di Kabul, Afghanistan, kira-kira 1,000 orang turun ke jalan raya sambil melontar batu ke arah pangkalan tentera AS sambil melaungkan kutukan terhadap negara berkenaan. Dua kereta polis juga dibakar di sebatang jalan di Jalalabad, yang menempatkan pangkalan tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Kenyataan Hassan semalam dikeluarkan selepas pertubuhan al-Qaeda Di Semenanjung Arab (AQAP) menggesa lebih banyak keganasan dilakukan ke atas misi diplomatik AS di Timur Tengah dan Afrika.

AQAP juga menggesa serangan dilakukan ke atas kepentingan AS di Barat. - AFP

Gaji amah Filipina mahal

SINGAPURA: Sekiranya majikan terpaksa membayar upah tinggi kepada pembantu rumah Filipina, mereka terpaksa mencari pembantu rumah dari negara lain.

Ini bermakna, agensi yang membawa pembantu rumah dari Filipina mungkin terpaksa menutup perniagaan mereka.
Isu bayaran tinggi timbul selepas Kedutaan Filipina meminta agensi pekerjaan menuruti peraturan oleh Pengurusan Pekerjaan Luar Negara Filipina, bulan lalu.

Peraturan itu menyebut, gaji pembantu rumah sekurang-kurangnya AS$400 (RM1,218) sebulan. Pembantu rumah juga dapat satu hari seminggu dan tidak dikenakan bayaran penempatan.


Wakil daripada sekurang-kurangnya 50 agensi pekerjaan menghadiri perbincangan dengan Persatuan Agensi Pekerjaan (Singapura) (AEAS), semalam.


Presiden persatuan, K Jayaprema berkata, beliau telah menulis kepada Kedutaan Filipina meminta syarat yang dikenakan Manila dikaji semula. - ST

Kereta ‘terbang’ rempuh rumah

LAKARAN artis menunjukkan bagaimana kemalangan berlaku.
LAKARAN artis menunjukkan bagaimana kemalangan berlaku.
JURUTERA memeriksa struktur rumah selepas dirempuh.
JURUTERA memeriksa struktur rumah selepas dirempuh.
LONDON: Satu kemalangan membabitkan dua kenderaan bukan saja mencemaskan orang ramai, malah turut menyebabkan mereka kehairanan.
Dalam kejadian awal pagi semalam itu, sebuah kereta Lexus berwarna perak melayang sebelum merempuh dinding bilik tidur sebuah rumah di tingkat satu yang terletak kira-kira 24 meter dari situ.

Menurut saksi, sebelum itu, pemandu kereta Lexus berkenaan terbabas sebelum merempuh sebuah kereta lain yang diletakkan di kawasan sama. Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta terbabit melambung dan melayang merempuh rumah berkenaan.

Rempuhan itu menyebabkan dinding tingkat atas rumah berkenaan berlubang. “Penghuni rumah itu sedang tidur apabila kereta berkenaan merempuh bangunan mereka kira-kira jam 3 pagi,” katanya. Bagaimanapun, pasangan suami isteri serta dua anak mereka yang ada di situ ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu kereta Lexus itu pula, katanya, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Dua lelaki yang jadi penumpang juga dihantar ke hospital kerana kecederaan ringan,” katanya. Sementara itu, jurucakap polis Epsom di Surrey berkata, selain bilik tidur utama, bilik air di sebelahnya juga rosak. “Lima kereta, satu peti surat dan pagar juga rosak,” katanya. Seorang jurutera struktur menyiasat tempat kejadian bagi memastikan bangunan itu selamat ketika polis menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana ia boleh berlaku. - TS

100 kedai baju dalam diarah tutup

Riyadh: Kementerian Buruh Arab Saudi mengarahkan sekurang-kurangnya 100 kedai pakaian dalam di ibu negara supaya ditutup kerana mengambil lelaki sebagai sebahagian pekerjanya, lapor akhbar di sini semalam.

Akhbar Al-Eqtisadiah memetik seorang pegawai kementerian sebagai berkata, semua kedai yang melanggar peraturan menetapkan pekerjaan tertentu hanya membabitkan jantina khusus akan ditutup. Langkah yang diambil menutup kedai terbabit bertujuan mewujudkan keadaan lebih selamat bagi wanita yang bekerja, katanya.
Pada awal tahun ini, kementerian berkenaan melarang jurujual lelaki bekerja di kedai pakaian dalam wanita diikuti dengan perintah bahawa hanya wanita boleh menjual alat kosmetik di kedai mekap.

Kurangkan kadar penganggur

Pada Jun 2011, pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah mengumumkan peraturan bahawa hanya wanita tempatan boleh bekerja di kedai pakaian.

Ia bertujuan mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi di kalangan wanita Arab Saudi yang dianggarkan 30 peratus.
Pihak berkuasa Arab Saudi melarang pergaulan di kalangan wanita dan lelaki bukan muhrim yang dianggap antara faktor menyebabkan ramai wanita tidak diambil bekerja di banyak sektor.

Dalam perkembangan lain, wanita Arab Saudi dibenarkan bertanding dalam pilihan raya tempatan mengikut syarat sama dengan lelaki.

Akhbar Al-Watan memetik pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Perbandaran dan Tempatan sebagai berkata:

Semua syarat seperti dikenakan kepada lelaki juga sama kepada wanita yang mahu bertanding, kata Pengarah Hal Ehwal Majlis Perbandaran di kementerian berkenaan, Jidaie bin Nahar Al-Qahtani.

Katanya, sistem yang diamalkan majlis perbandaran tidak membezakan antara lelaki dan wanita dari segi penyertaan mereka dalam pengundian.
Agensi

Dua gunung berapi Indonesia meletus

Jakarta: Dua gunung berapi paling aktif di Indonesia meletus semalam, memaksa pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk dekat kawasan berkenaan berjaga-jaga.

Gunung berapi Lokon di Sulawesi Utara dan Gamalama di Ternate, Maluku Utara mula meletus semalam, lapor Agensi Bantuan Bencana Nasional (BNPB). Lokon memuntahkan abu setinggi 1,500 meter selain lahar manakala Gamalama mengeluarkan abu yang menyelimuti sebuah bandar berdekatan.
Lokon yang terletak di daerah Tomohon meletus pada 7 malam kelmarin, kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho.

Letusan Lokon

Letusan itu memecahkan tingkap sebuah pos pemantauan dekat situ, katanya.
BNBP sudah memberi amaran kepada pentadbir tempatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk penduduk setempat, katanya lagi.
Penduduk tidak perlu dipindahkan buat masa ini tetapi mereka tidak boleh dekati kawasan lima kilometer dari gunung berapi, kata Sutopo.

BNPB juga meminta pentadbir Tomohon memberi maklumat terkini kepada penduduk.

Abu lonjak ke udara

Sementara itu, letusan Gamalama menyaksikan abu melonjak ke udara selama 15 minit pada jam 11 malam sebelum angin membawanya ke ibu kota Maluku Utara, Ternate.

Abu Gamalama menyelimuti kota itu dan mengurangkan jarak penglihatan kepada 50 meter, kata Sutopo.

Katanya, anggota pejabat BNPB di situ sudah mengunjungi kawasan berkenaan dan membentuk empat pusat bantuan bagi membantu penduduk jika letusan lebih besar berlaku.

Di sini juga kami belum dapati ada keperluan memindahkan penduduk. Tetapi, kami akan terus berjaga-jaga, katanya lagi.

Lokon sudah beberapa kali meletus. Kali terakhir ia meletus pada Julai 2011 yang memaksa lebih 5,200 penduduk dipindahkan.

Ia memuntahkan abu setinggi 3,500 meter. Pada 1991, letusannya menyebabkan seorang pelancong Switzerland maut.
Agensi

70 ekor cacing tanah dikahwinkan

TAIPEI - Sejumlah 70 cacing tanah dikahwinkan pada majlis perkahwinan besar-besaran di selatan Taiwan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dan masalah hakisan tanah, kata pihak penganjur semalam.
Semua cacing tanah itu tiba di Taman Takang di bandar Tainan kelmarin.
Persatuan Pembangunan Komuniti Takang yang menganjurkan perkahwinan tersebut menyatakan, haiwan itu tiba dengan menaiki sebuah kereta yang dihias kain merah untuk disatukan dengan tanah-tanih di taman berkenaan.
"Upacara perkahwinan ini dilakukan menurut budaya tradisional Taiwan," kata ketua kumpulan persatuan itu, Huang Sen-nan.
"Kami mahu meningkatkan kesedaran orang awam berhubung keperluan untuk melindungi tanah tempat kita tinggal," katanya.
Hakisan tanah yang menyebabkan tanah runtuh apabila ribut taufan melanda merupakan antara masalah alam sekitar utama di Taiwan.
Kehadiran cacing tanah itu dapat membantu menghalang hakisan dengan meningkatkan struktur dan aliran air dalam tanah. - AFP

Kedutaan AS dilempar bom petrol



BEBERAPA penunjuk perasaan membaling batu ke arah Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta semalam.



JAKARTA - Sejumlah penunjuk perasaan melontar bom petrol dan bertempur dengan polis Indonesia di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini semalam selepas tunjuk perasaan membantah sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW bertukar menjadi ganas.
Beratus-ratus orang di Indonesia menunjuk perasaan pada Jumaat dan Sabtu lalu kerana membantah filem bajet rendah, Innocence of Muslims yang menghina agama Islam tetapi bantahan tersebut berlangsung secara aman.
Namun, demonstrasi yang diadakan semalam bertukar ganas apabila sejumlah penunjuk perasaan melontar bom petrol dan melaungkan slogan anti-AS.
Polis pencegah rusuhan bertindak balas dengan menembak meriam air dan melepaskan tembakan amaran ke udara dalam usaha menyuraikan sekitar 700 penunjuk perasaan.
Anggota-anggota polis turut dilihat menendang dan menyeret beberapa penunjuk perasaan ketika asap hitam daripada bom-bom petrol itu menyelubungi udara.
Seorang anggota polis yang cedera di muka dibawa meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki ambulans.
"Amerika, Amerika pergi jahanam!" laung beberapa penunjuk perasaan dengan sebahagian mereka membawa sepanduk yang menyatakan, "hapuskan Amerika" dan "penggal kepala mereka yang menghina Islam".


BEBERAPA penduduk Islam membakar bendera Amerika Syarikat dan Israel di bandar Marawi, Pulau Mindanao semalam.



Sebelum ini, seorang lelaki yang dikatakan penulis skrip filem itu, Nakoula Basseley Nakoula mengaku dia membocorkan sebahagian kandungan filem itu disiarkan di laman YouTube.
Filem itu telah mencetuskan tunjuk perasaan di kebanyakan negara sejak Rabu lalu sehingga mengakibatkan tujuh orang terbunuh termasuk di Lebanon.
Pada minggu lalu, agensi berita melaporkan filem itu dihasilkan oleh sebuah kumpulan agama Kristian di AS yang dikenali sebagai Media for Christ.
Ia melaporkan filem tersebut diarahkan oleh seorang pengarah filem lucah, Alan Roberts yang berusia 65 tahun.
Roberts pernah mengarahkan filem lucah seperti Young Lady Chatterley II.
Filem bajet rendah itu yang mana para pelakonnya bertutur dengan menggunakan loghat AS menampilkan orang Islam sebagai tidak bermoral dan ganas.
Ia memperlekehkan Nabi Muhammad dan menyentuh tentang tema homoseks serta fidofilia.
Filem tersebut menunjukkan Nabi Muhammad tidur bersama beberapa wanita, bercakap mengenai pembunuhan kanak-kanak dan merujuk keldai sebagai "haiwan Islam yang pertama".
Beberapa tunjuk perasaan turut berlaku semalam di Yemen, India. Filipina, Pakistan dan penduduk Islam di London. - Agensi

Dua firma Jepun tutup operasi



DUA penunjuk perasaan merosakkan sebuah pasar raya Jepun di Shenzhen, selatan China kelmarin.



BEIJING - Sekurang-kurangnya dua firma utama Jepun menggantung operasinya di China ekoran peningkatan protes anti-Jepun pada hujung minggu lalu, kata kedua-dua syarikat berkenaan semalam.
Kakitangan kilang Canon Inc. di bandar Zhoushan, dalam wilayah Guangdong di selatan China diberikan cuti dua hari bermula semalam selepas berlaku tunjuk perasaan yang berlaku di berpuluh-puluh buah bandar di negara berkenaan berhubung pembelian tiga kepulauan kecil oleh kerajaan Jepun.
Pulau-pulau berkenaan turut dituntut oleh Beijing.
"Notis yang diterima menyatakan kami diberikan dua hari cuti dan akan mula bekerja pada 19 September ini," kata seorang kakitangan kilang Canon.
Menurutnya, cuti tersebut diberikan "kerana hal ehwal dalaman" pihak pengurusan kilang tersebut.
Seorang kakitangan kilang firma Panasonic Corp. di bandar Zuhai yang terletak berdekatan Zhoushan pula memberitahu bahawa mereka diberikan cuti sehingga esok.
Pekerja Panasonic itu yang dikenali sebagai Liao menyatakan beberapa pekerja kilang berkenaan melancarkan mogok berhubung pemilikan tiga kepulauan kecil tersebut.


SEORANG penunjuk perasaan mengibarkan bendera China di depan Kedutaan Jepun di Beijing semalam.



Gugusan pulau berkenaan dikenali sebagai Diaoyu di China dan Senkaku di Jepun.
"Sekitar 12 pekerja China melancarkan mogok kerana isu kepulauan Diaoyu," kata Liao.
"Anda tahu, kami marah berhubung isu ini (pembelian kepulauan berkenaan oleh kerajaan Jepun," tambahnya.
Media Jepun pula melaporkan Canon menggantung operasinya di dua kilang lain di China semalam.
Media negara berkenaan menyatakan, peruncit Jepun, Muji telah menggantung jualan di beberapa kedainya di sini manakala beberapa kedai dan restoran berkaitan Jepun di bandar raya ini turut ditutup semalam.
Serangan ke atas beberapa kereta buatan Jepun dan kedai serta restoran berkaitan Jepun turut dilaporkan di sini dan beberapa bandar raya lain pada hujung minggu lalu.
Dalam usaha mengawal bantahan tersebut, polis dan media China semalam menggesa penunjuk perasaan supaya bertindak secara rasional dan mematuhi undang-undang serta mengelak daripada menyerang hartanah dan rakyat Jepun. - dpa

Monday, September 17, 2012

Gempa bumi sederhana melanda kepulauan Filipina

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Gempa umi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter berlaku di kepulauan Filipina pada pukul 5.46 pagi hari ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gegaran terletak di 188 kilometer (km) timur laut bandar raya Surigao dan 1,116 km timur laut Sandakan, Sabah. - BERNAMA

AS arah kakitangan beredar



Penunjuk perasaan mencurahkan minyak tanah sebelum membakar karikatur Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semasa satu demonstrasi membantah penyiaran sedutan filem menghina Nabi Muhammad SAW di Kabul, Afghanistan, semalam. - AFP
WASHINGTON 16 Sept. - Amerika Syarikat (AS) mengarahkan kakitangan diplomatik mereka di Sudan dan Tunisia yang kurang penting untuk meninggalkan kedua-dua negara itu ekoran peningkatan bantahan ganas anti-AS berhubung penerbitan filem menghina Islam Innocence of Muslims.
AS turut memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke negara tersebut.
Sementara itu, pihak berkuasa Libya hari ini turut menahan kira-kira 50 orang suspek berhubung kes pembunuhan Duta AS, Chris Stevens dalam serangan penunjuk perasaan di Benghazi pada minggu lalu.
Empat orang maut dan 49 lagi cedera dalam serangan di Kedutaan AS di Tunisia kelmarin, manakala dua terbunuh di Sudan selepas penunjuk perasaan yang berang dengan penerbitan filem anti-Islam menyerang dan membakar Kedutaan Jerman, Britain dan AS di negara itu.
Jabatan Negara AS turut menggesa rakyat negara ini ‘mengelak sebarang demonstrasi awam dan perhimpunan politik’ kerana tunjuk perasaan yang dilihat aman boleh bertukar ganas.
Semalam, kumpulan al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) menggesa supaya lebih banyak keganasan dilancarkan terhadap diplomat AS di Asia Barat dan Afrika selain serangan ke atas kepentingan negara ini di Barat, menurut Kumpulan Perisikan SITE.
Ekoran situasi tegang itu juga, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton turut membuat panggilan telefon kepada rakan sejawatnya di Mesir, Arab Saudi, Turki, Britain dan Perancis, selain Libya dan Somalia dalam usaha untuk meraih sokongan.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard hari ini mengecam filem yang menghina Islam itu, tetapi menegaskan bahawa bantahan ganas di Sydney semalam tidak akan dimaafkan.
Beliau menyifatkan filem itu sebagai ‘menjijikkan’ dan menyatakan nilai kebebasan Australia menghormati semua agama.
Bangladesh turut mengecam filem itu dan menyatakan filem yang memburuk-burukkan Islam serta Nabi Muhammad S.A.W. itu bukan sahaja ‘menyakitkan hati tetapi juga melampau’.
Dalam pada itu, suspek penerbit filem kontroversi tersebut, Nakoula Basseley Nakoula, 55, dilaporkan bersembunyi selepas dia disoal siasat oleh penguatkuasa undang-undang, semalam.
“Selepas soal siasat selama setengah jam itu, dia dihantar ke satu tempat yang tidak didedahkan sebelum menghilang. Kami kini tidak tahu di mana dia berada. Apa yang pasti dia tidak pulang ke rumah," katanya. - AFP

Petanda Besar Kiamat: NASA Sahkan Matahari Sudah Terbit Dari Barat

Sains astronomi ada menyebut bahawa kelajuan putaran planet Marikh sedang perlahan sedikit demi sedikit ke arah laluannya ke timur. Para saintis agensi angkasa lepas kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) pula mendapati pergerakan planet itu terhenti ke arah laluan tersebut.

NASA kemudian mendapati planet Marikh telah menukar laluannya ke arah yang bertentangan, iaitu ke arah Barat, ini bermakna matahari akan terbit dari arah barat Marikh. Fenomena yang ganjil itu disebut sebagai “retrograde motion”. Kebanyakan saintis Barat berpendapat bahawa semua planet akan melalui fenomena yang serupa dan ini termasuklah planet Bumi. Apabila ianya berlaku, maka matahari akan terbit dari Barat!

Subhanallah! Kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawa salah satu tanda besar yang hari kiamat akan tiba ialah apabila matahari terbit dari Barat.

Pihak NASA telahpun mendapati tanda-tanda matahari akan terbit dari Barat semasa ahli sains astronominya mengkaji pergerakan planet Marikh. Yang mereka tidak dapat pastikan ialah tempoh masa yang bakal diambil sehinggalah semua planet melalui fenomena yang serupa. 

Dapatan sains oleh NASA itu semestinya memperkukuhkan lagi iman umat Islam akan tanda-tanda kiamat. Manusia tidak tahu bila ianya akan berlaku walaupun sudah ada banyak tanda-tandanya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

15 maut letupan bom di timur laut Pakistan

TIMERGARAH - Sekurang-kurangnya 15 orang yang menaiki van terkorban dan 12 lagi cedera apabila bom meletup di timur laut Pakistan, berhampiran sempadan Afghanistan pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lower Dir, Ejaz Abid berkata,  bom itu ditanam di jalan raya yang menghubungkan perkampungan antara Jandol dan Munda.

“Kami belum mengesan siapa yang bertanggungjawab tetapi serangan itu adalah perkara biasa di negara berkenaan di mana pejuang Pakistan dan Afghanistan bergerak aktif.

Menurutnya, penumpang yang cedera dikejarkan ke hospital, di mana ada yang dalam keadaan serius.

Beliau menambah, serangan bom dan senjata di seluruh sempadan kawasan itu dipercayai dilakukan oleh militan tempatan.- AP

Disebat angkara cinta terlarang


Disebat angkara cinta terlarang
Remaja berkenaan disebat di khalayak ramai selepas didakwa menjalinkan hubungan sulit.
GHAZNI - Seorang remaja Afghanistan disebat di khalayak umum, manakala kekasihnya didenda AS$1,600 (RM4,824)  selepas didakwa menjalin hubungan sulit.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Wanita Wilayah, Shukuria Wali berkata, remaja dikenali sebagai Sabera, 16, kini di bawah jagaan Jabatan Hal Ehwal Wanita, manakala teman lelakinya ditempatkan di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, remaja itu kini menghadapi gangguan mental dan fizikal sejak disebat pada 9 September lalu di Jaguri.

“Sabera diselubungi dengan kain putih kemudian disebat lalu disaksikan penduduk kampung dan ahli keluarga,” katanya.

Afghanistan merupakan sebuah negara konservatif Islam, di mana wanita belum berkahwin dilarang menjalinkan hubungan dengan lelaki luar serta pergerakan mereka terbatas.

Hukuman di khalayak umum atau sebatan kepada penzina adalah hukuman biasa yang dilaksanakan di bawah pemerintahan rejim Taliban 1996 hingga 2001.-AFP

12 individu di sebalik filem hina Nabi dan Islam


Nakoula Basseley Nakoula
Seorang lelaki disyaki menghasilkan filem Innocense of Muslims dibawa keluar dari rumahnya oleh pihak berkuasa AS, semalam. – Foto ihsan
BEBERAPA individu sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dengan filem kontroversi anti-Islam dan menghina Nabi Muhammad SAW,Innocence of Muslimsmenerima protes daripada umat Islam seluruh dunia sehingga membawa kematian seorang duta Amerika Syarikat (AS).

Treler filem amatur yang berdurasi 13 minit itu dikenal pasti sebagai salah satu sebab di sebalik demonstrasi anti-AS di Timur Tengah yang membawa kepada kematian Duta AS ke Libya, Christopher Stevens dan tiga yang lain di Benghazi, Libya, awal  minggu lalu.

Berikut adalah beberapa perkara yang kita perlu tahu mengenai pelakon watak filem berkenaan setakat ini:


Sam Bacile

Julai lalu, individu ini dilaporkan memuat naik treler filem ini di YouTube dengan menggunakan nama samaran ini.

Selasa lalu, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Sam Bacile mengakui sebagai pembikin filem itu selepas bercakap kepada Associated Press (AP) dan Wall Street Journal (WSJ).

Bacile memperkenalkan dirinya sebagai pemaju hartanah yang berpangkalan di California, sama ada berusia 52 atau 56 tahun, mendakwa beliau merupakan penulis dan pengarah filem itu.

Sebelum ini, dia memberitahu pemberita AP dan WSJ di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan, agama Islam seperti satu barah dan menyatakan filemnya itu ialah sebagai satu sentimen provokatif politik dengan tujuan mengutuk ajaran agama Islam.

Bacile turut mengakui sebagai rakyat Amerika Israel telah menghasilkan filem dua jam ini tahun lalu di California dan pembiayaan untuk filem bernilau AS$5 juta (RM15.2 juta) ini datangnya daripada 100 penderma Yahudi.

Berdasarkan laporan awam oleh TIME dan beberapa carian lain, tidak ada sebarang maklumat mengenai individu yang bernama Sam Bacile Sam di California, yang kemudiannya membawa kepada kesimpulan bahawa nama itu adalah nama samaran.

Sementara itu, Kerajaan Israel turut menafikan mempunyai rekod Bacile sebagai seorang warganegara.

"Lelaki ini benar-benar tanpa nama. Pada ketika ini, tiada siapa yang boleh mengesahkan dia memegang kerakyatan Israel, dan walaupun dia, kita tidak terlibat, " jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor kepada CNN.

Filem ini menunjukkan pencabulan kesucian agama Islam dan Nabi Muhammad SAW apabila menggambarkan perlakuan seks Baginda.

Umat ​​Islam percaya, adalah tidak boleh untuk menggambarkan Nabi Muhammad SAW dengan mana-mana keadaan, terutama perkara-perkara yang menghinakan.

(Pada tahun 2005, sebuah akhbar Denmark menerbitkan karikatur Nabi Muhammad SAW yang mencetuskan rusuhan di banyak negara-negara Timur Tengah.)

Treler filem mula mendapat tentangan di Timur Tengah minggu lalu selepas Bacile memuat naik ke akaun YouTube dalam terjemahan bahasa Arab.


Nakoula Basseley Nakoula

Khamis lalu, pegawai penguat kuasa undang-undang telah mengesahkan Nakoula sebagai orang di sebalik pembikinan filem kontroversi anti-Islam dan menghina Nabi Muhammad SAW, Innocence of Muslims.

Dia mula dijejaki AP Rabu lalu berada di rumahnya di Los Angeles di mana laporan sebelum ini mengatakan dia memperkenalkan dirinya sebagai Nakoula.

Apabila AP meminta untuk melihat lesen memandunya untuk pengesahan, Nakoula kemudiannya menunjukkan ibu jarinya pada nama tengah beliau, Basseley – signifikan dengan nama samaran Bacile.

Dalam temu bual itu, Nakoula menafikan mempunyai apa-apa hubungan dengan atau mengenali Bacile dan dia hanya mengakui menyediakan logistik untuk filem itu.

Sebelum ini, seorang wartawan AP mendapati nombor telefon bimbit yang digunakan oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Bacile mendaftar di alamat berkenaan.

Menurut kertas laporan mahkamah persekutuan, nama lain yang digunakannya termasuklah Nicola Bacily dan Erwin Salameh. Ada pada satu ketika, dia menggunakan nama Abanob sebagai nama pertama.

Salah seorang pelakon yang bekerja dalam filem itu memberitahu sebuah organisasi portal berita, BuzzFeed, ceknya telah ditandatangani dengan nama itu.

Ia agak mungkin nama anaknya, ataupun dia menggunakan nama Nakoula untuk menutup identiti sebenarnya.

Terdahulu, Nakoula juga dilaporkan mempunyai sejarah dengan undang-undang.

Menurut peguam persekutuan, dia telah terlibat dalam skim penipuan dengan menubuhkan akaun bank palsu yang menggunakan nombor Keselamatan Sosial yang dicuri.

Beliau kemudian akan mengeluarkan wang dari akaun dan memindahkan ia ke akaun palsu lain.

Pada 2010, dia telah didakwa atas tuduhan menipu bank dan diperintahkan membayar AS$790,000 (RM2.4 juta).

Dia dijatuhi hukuman 21 bulan di penjara persekutuan dan diharamkan daripada menggunakan komputer atau Internet selama lima tahun.

Laporan The Daily Beast kelmarin menyebut Nakoula sebelum ini pernah ditangkap pada tahun 1997 dan didakwa dengan niat untuk mengeluarkan wang haram. Selepas mengaku bersalah, beliau dipenjarakan setahun di Los Angelas.


Steve Klein

Klein mendakwa bahawa dia adalah perunding skrip filem Innocence of Muslims dan dia tidak tahu nama sebenar Bacile, tetapi dia telah diminta oleh pembikin filem misteri itu untuk membantunya dalam membuat filem.

Namun, sebab utama Klein digugurkan dari filem itu juga masih tidak jelas dan kemungkinan disebabkan oleh hubungannya dengan kumpulan pelampau Kristian di selatan California.

Menyifatkan dirinya sebagai veteran Vietnam, Klein merupakan pengasaskan Kesatuan Kesetiaan Kristian, anti-Mormon, anti-Islam dan organisasi saksi anti-Jehovah pada tahun 1977.


Cindy Lee Garcia

Seorang pelakon dari Bakersfield, California, yang mempunyai peranan kecil dalam filem itu, Garcia memberitahu Gawker bahawa skrip yang diberikan kepadanya dan pelakon lain adalah untuk filem yang dipanggil ‘Desert Warrior’.

Katanya, sebelum penggambaran bermula, tidak ada sebarang petunjuk bahawa ia akan menjadi sebuah filem seperti ini - skrip tidak pernah menyebut Nabi Muhammad SAW atau lain-lain perkara mengenai agama Islam semasa pasca penerbitan.

Nama watak utama dalam skrip asal ialah Master George dan bukannya Nabi Muhammad SAW manakala Garcia memainkan watak seorang wanita muda yang diserahkan oleh ibunya kepada Nabi Muhammad SAW untuk berkahwin.

"Saya tidak mempunyai apa-apa kaitan mengenai muslihat filem ini.

"Sekarang, seseorang telah mati kerana filem ini yang saya juga adalah salah seorang daripada pelakonnya.  Ia membuatkan saya sakit," katanya kepada Gawker.

Menurut Garcia, berdasarkan makluman awal yang diterimanya, Desert Warrior, digambarkan sebagai sebuah drama sejarah padang pasir yang terletak di Timur Tengah dan bakal diarahkan oleh Alan Roberts.

Filem yang membabitkan 59 pelakon dan kira-kira 45 orang petugas di belakang kamera itu juga dijadualkan ditayangkan pada minggu ketiga bulan Ogos 2011, di Los Angeles.

Pelakon yang menerima tawaran itu juga masih tidak menerima bayaran.

Garcia turut memberitahu Gawker bahawa dia telah bertemu Nakoula di set penggambaran; Nakoula mengakui dirinya berasal dari Mesir, bukannya Israel.

Katanya, lelaki berambut putih itu fasih berbahasa Arab dengan beberapa orang yang berkaitkan dengan filem itu.

"Beliau kelihatan tenang. Dia hanya duduk di sana dan hanya memberitahu krew perkara tertentu yang perlu dibuat," katanya.


Tim Dax

Seorang lagi pelakon ‘Innocence of Muslims’, Dax mudah dikenali kerana keseluruhan kepalanya yang botak itu dipenuhi.

Melalui blog Joe My God, dia mengakui seronok berlakon dalam filem itu tetapi mengakui dia juga telah ditipu - dia berkata, terpilih untuk membintangi filem bertajuk ‘Desert Storm’ dan wataknya adalah berbeza sama sekali dari apa yang telah muncul dalam treler YouTube.

"Watak saya dipanggil Sampson di atas kertas dan saya akan mendapat skrip setiap hari apabila tiba di set.

“Kami tidak pernah menerima skrip penuh atau dialog pengucapan sebelum penggambaran.

“Banyak persoalan yang timbul mengenai skrip dan dialog. Penerbitnya, Sam yang saya pasti bukan orang Mesir itu sentiasa meminta kami hanya fokus terhadap lakonan jika ditanya mengenai skrip,” katanya yang digambarkan sebagai pelakon gay dalam filem itu melalui e-emel yang ditulis kepada blog terbabit.

Dia menambah, suara yang dialih suara juga sudah diubah dan suara itu bukan miliknya.


Alan Roberts

Disenaraikan sebagai pengarah, Alan Roberts mungkin atau tidak hanya sebagai  nama samaran. Tetapi tumpuan telah beralih kepada Roberts selepas Nakoula - dianggap orang yang sama sebagai Sam Bacile yang enggan mengakui sebagai pengarah filem penuh kontroversi itu.

Ketika diwawancara Gawker, Eric Moers mengaku telah diupah petugas grip dan juruelektrik untuk filem Desert Warrior.

"Alan bekerja di bawah Sam," katanya.

"Tetapi Alan mengarah filem, terdapat ada soalan tentang hal itu," katanya.

Kedua-dua Moers dan Dax menyifatkan pengarah filem itu sebagai lelaki berbangsa Inggeris putih dan berusia 50-an.

Menurut laman web ini, Roberts telah mengarahkan sembilan filem, termasuk filem pada 1994,  Save Me.


Terry Jones

Terdahulu, dunia Islam digemparkan dengan tindakan membakar al-Quran, Jones telah mengetuai Dove World Outreach Center di Gainesville, Florida.

Dia dikenali kerana anti-Islam dan penyokong filem Innocence of Muslims walaupun tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan dia adalah penyalur kewangan pembikinan filem itu.

Jones, bagaimanapun, turut menonton treler filem itu, Selasa lalu sempena ulang tahun ke-11 serangan 11 September.

Dalam satu kenyataan kepada TIME, Jones berkata, "Kami telah dihubungi oleh pengeluar filem untuk membantu mengedarkan ia."


Morris Sadek

Seorang aktivis Kristian Koptik, Sadek memuat naik trailer filem itu di laman blog beliau.

Aktivis yang berasal dari Mesir yang berpangkalan di Washington memberitahu AP, dia memaparkan filem itu kerana ia ‘menerangkan’ masalah Kristian Koptik yang dihadapi dari umat Islam.

Sadek, sekutu Pastor Jones, telah merancang untuk menyebarkan mesej filem itu dan dipertanggungjawabkan membantu menyiarkan filem itu di stesen televisyen Mesir.

Sadek adalah seorang aktivis anti-Islam dan ahli utama Perhimpunan Kebangsaan Amerika Koptik.

Bercakap kepada Reuters, beliau menjelaskan matlamat dia dalam mempromosikan filem itu adalah untuk mengambil perhatian nasib orang-orang Kristian yang mencakupi 10 peratus daripada penduduk Mesir.

Selepas dia mula mempromosikan klip itu di laman web beliau, Mesir mula merancang demonstrasi besar-besaran di kedutaan AS di Kaherah tetapi, protes menjadi lebih prolifik dan terkenal.


Jimmy Israel

Israel juga disebut dalam dokumen prapenerbitan.

Katanya, dia memang bekerja dalam filem itu untuk mencuba peranan kecil dalam filem ini tetapi akhirnya menetap untuk menjadi penerbit.

Beliau menjelaskan, dia adalah seorang bekas penulis lakon layar dan dia tidak menghabiskan masa lama untuk menghasilkan skrip filem Desert Warrior.

"Saya menyiapkan skrip ini hanya dua hari sahaja," katanya kepada BuzzFeed.

Katanya, kualiti filem itu tidak sepadan dengan jumlah wang yang dibelanjakan.

Tambah Israel, Bacile yang hanya pada nama sebagai pengarah tetapi telah membelanjakan wang sebanyak AS$5 juta (RM15.2 juta).


Vine Theater

Sebuah produksi filem kecil di Boulevard Hollywood, Vine dikatakan yang sepatutnya menayangkan filem anti-Islam dan menghina Nabi Muhammad SAW ; Innocence of Muslims pada akhir bulan Jun.

Seorang pekerja, yang tidak mahu dikenali memberitahu AP, ketika filem itu ditayangkan tidak ramai yang datang menonton.

Katanya, seorang lelaki yang dikenali sebagai Sam telah meminta mereka untuk menayangkan ia.

Polis kemudiannya telah dihantar untuk memantau panggung itu.


John Walsh

Seorang blogger yang berpusat di Los Angeles, Walsh orang yang mencetuskan kebencian agama dalam filem itu.

Pada bulan Jun lalu, beberapa hari sebelum filem ditayangkan di Teater Vine, Walsh menyatakan dalam blognya tentang kebimbangan mengenai filem itu.


Sheik Khaled Abdalla

Seorang pengacara TV Mesir, Abdalla dilaporkan telah mencetuskan kemarahan ramai apabila dia menyiarkan klip treler filem itu.

Selepas beliau menunjukkan video itu pada 8 September  lalu, Wire Atlantik melaporkan jumlah rating di YouTube semakin meningkat.

Menurut Guardian, Abdalla dilaporkan telah mencetus kemarahan di kalangan penonton terutamanya yang beragama Islam.


* Dipetik dari portal newsfeed.time.com

Masjid jadi kedai arak


Sheikh Raed Salah
Sheikh Raed Salah - Foto Rosli Taib
Masjid jadi kedai arak
Seorang lelaki Palestin berdiri berhampiran askar Israel yang mengawal sebuah masjid di Ramallah, Tebing Barat, Jun lalu. - Foto Reuters.
Sheikh Raed Salah. Nama yang paling digeruni rejim Israel. Aktivis dan ahli politik Palestin ini pernah menjadikan dirinya sebagai perisai manusia untuk menghalang orang Yahudi memasuki dan mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa.

Beliau juga pernah dipenjarakan dua tahun oleh Israel kerana keberaniannya berjuang mempertahan tanah air. Sheikh Raed yang berada di Malaysia sejak 4 September lalu, menceritakan situasi sebenar dan penderitaan luar biasa orang Palestin yang bermula sejak 1948, selepas penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin.

Ikuti sesi soal jawab bersama tokoh hebat ini ketika majlis ramah mesra yang dianjurkan pertubuhan Aman Palestin di Shah Alam, awal bulan ini.

Bagaimana keadaan di Palestin dulu dan sekarang?

Sejak 1940-an, Israel memusnahkan 1,200 masjid dan tempat bersejarah Islam. Kini, hanya 50 masjid masih ada di Tebing Barat. Tetapi Israel mengubah masjid tersebut menjadi kedai arak, pub dan kandang haiwan.

Ada juga yang dijadikan tempat tari menari, synagogue (tempat ibadat Yahudi) dan muzium yang diletakkan patung Yahudi.

Mereka mencabuli kesucian masjid kita! Selain itu, Israel membongkar kubur orang Islam, membuang tulang ke dalam laut kemudian mendirikan rumah serta jalan raya.

Di Tel Aviv, ada taman dan hotel yang cantik, semuanya dibina di atas kubur orang Islam. Kalau ini bukan kezaliman, maka apa lagi? Baru-baru ini kami membuat demonstrasi selepas

Universiti Tel Aviv mengumumkan akan membina bangunan tambahan di atas kubur orang Islam. Saya tanya kepada mereka, tamadun apa yang benarkan kita aniaya orang mati?

Berapa banyak tanah yang masih dimiliki orang Palestin?

Kini, hanya tiga peratus tanah Palestin dimiliki orang Islam, selebihnya dirampas Yahudi dengan bantuan Britain (yang menjajah Palestin sebelum 1948). Ribuan orang Islam Palestin hidup di antara langit dan bumi.

Israel mencabut pokok zaitun kami, dan gunakan pesawat untuk bakar kebun kami. Kalau anda nak tahu, ada sebuah kampung di Naqab, Tebing Barat, yang telah dihancurkan 40 kali oleh Yahudi. Setiap kali dimusnahkan, kami bina semula.

Itulah pendirian orang Palestin, kami tidak akan menyerah kalah.

Bagaimana keadaan Masjid Al-Aqsa sekarang?

Sejak akhir kurun ke-18 lagi, (Perdana Menteri pertama Israel) David Ben Gurion berkata, tiada nilai bagi Israel tanpa Baitulmaqdis, dan tiada nilai bagi Baitulmaqdis tanpa Masjid Al-Aqsa.

Kini Israel mahu umumkan pembahagian Al-Aqsa, satu kepada Palestin, satu kepada Yahudi. Apabila mereka dapat bahagian mereka dengan sokongan dunia antarabangsa, mereka akan runtuhkan Al-Aqsa.

Saya mahu sampaikan tiga mesej penting kepada orang Islam seluruh dunia mengenai Al-Aqsa:

i. Isu Al-Aqsa adalah isu al-Quran. Jika kita baca al-Quran, kita tahu Al-Aqsa perlu dipertahankan.

ii. Isu ini bukan hanya milik Palestin, tetapi semua orang Islam. Tentu kita tidak benarkan orang menceroboh masuk rumah kita, jadi begitulah kita perlu pertahan Al-Aqsa.

iii. Kita tahu Israel ada semua kekuatan tetapi mereka akan kalah. Sejarah menunjukkan setiap penjajahan ke atas Al-Aqsa gagal. Yang kekal adalah orang Palestin, pemilik sebenar tanah itu.

Israel memberitahu dunia Masjid Al-Aqsa dibina di atas tapak kuil paling suci ajaran Yahudi. Apa pendapat anda?

Mengenai dakwaan itu, Israel sendiri telah mengorek terowong selama 40 tahun untuk buktikan kewujudan kuil itu yang kononnya berada di tapak Al-Aqsa, tetapi sampai sekarang mereka tidak temui sebarang bukti.

Ya, cita-cita akhir mereka adalah untuk membina kuil itu (dianggap tempat beribadat paling suci dalam ajaran Yahudi) selepas meruntuhkan Al-Aqsa. Matlamat ini tidak pernah berubah.

Apabila wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pergi melawat Al-Aqsa, Unesco melaporkan Israel menggali jaringan terowong di bawah Al-Aqsa menggunakan bahan kimia. Tujuan utama adalah untuk runtuhkan Al-Aqsa.

Anda pernah ditahan di penjara Israel. Boleh kongsi pengalaman?

Pada masa ini, Israel sedang penjarakan lebih 500,000 orang Palestin. Ada yang syahid semasa dalam tahanan, ada yang mati ketika disiasat atau akibat sakit. Ada wanita hamil ditahan sehingga melahirkan anak di dalam penjara.

Kanak-kanak yang umurnya kurang 10 tahun juga dipenjarakan. Mana ada penjara di dunia yang menahan kanak-kanak? Hanya Israel yang buat begitu.

Lelaki yang dipenjarakan seumur hidup tidak mungkin dapat berjumpa keluarganya. Mereka hanya akan jumpa anak mereka, apabila anak itu juga dipenjarakan kerana menentang kezaliman Israel.

Revolusi dunia Arab tahun lalu, apa kesannya kepada Palestin?

Apabila orang Arab mendapat pemerintahan yang sah, dipilih oleh rakyat sendiri, ia akan membantu membebaskan Palestin dan Al-Aqsa.

Israel sebolehnya mahu semua diktator ini kekal di bumi Arab supaya mereka boleh mengawal orang Arab daripada memberi bantuan kepada Palestin.

Tetapi kini rakyat Arab telah bebas, dan mereka ini akan mainkan peranan membantu Palestin. Pembebasan Kaherah dan Damsyik adalah jalan kepada pembebasan Palestin.

Bagaimana layanan kerajaan Mesir terhadap Palestin sekarang?

Mohamed Morsi adalah presiden pertama dipilih rakyat dalam sejarah Mesir. Beliau berdepan banyak masalah besar, seperti kemiskinan, pengangguran dan tekanan daripada tentera.

Morsi juga terpaksa berdepan dengan perjanjian lalu yang ditandatangani presiden sebelum ini. Saya percaya beliau boleh lakukan perubahan bukan saja untuk Mesir tetapi dunia Arab kerana dia mempunyai akhlak yang baik serta bijaksana.

Ini tentu sekali akan memberi kesan positif kepada Palestin, terutama wilayah Gaza. Namun buat masa ini, kita perlu beri peluang kepada beliau untuk menyelesaikan lebih banyak masalah besar di negaranya sendiri.

Pendapat mengenai peranan dunia Islam dalam membantu Palestin.

Saya banyak kali ke ibu pejabat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan cerita mengenai keadaan Palestin, Baitulmaqdis dan Al-Aqsa. Memang OIC mahu menolong dan janji akan tunai kewajipan untuk bantu Al-Aqsa.

Cuma masalahnya, kita belum sampai tahap kesatuan Islam secara rasmi. Semua orang Islam cintakan Al-Aqsa dan mahu bantu, tetapi tiada dasar politik tetap di peringkat antarabangsa dalam kalangan negara Islam untuk sokong isu Palestin.

Tidakkah penyatuan orang Palestin sendiri menjadi kunci kepada penyelesaian konflik ini?

Ya, semua rakyat Palestin mahu Baitulmaqdis, termasuk Al-Aqsa, menjadi ibu negara. Tetapi Israel dan Amerika Syarikat (AS) telah berikan kesan buruk kepada rakyat Palestin.

Mereka ingin gagalkan penyatuan Hamas dan Fatah (dua kumpulan Islam utama di Gaza dan Tebing Barat). Israel beri kata dua kepada Fatah, “sama ada kamu buat perjanjian dengan Hamas, atau kita hentikan perjanjian damai”.

AS dan Eropah pula kata “kamu berdamai dengan Hamas, kami hentikan bantuan”. Ini meletakkan kami dalam keadaan sukar. Apa yang pasti, penyatuan rakyat Palestin hanya akan tercapai apabila Fatah berani menolak tekanan Israel dan AS.

Nasihat anda kepada orang Malaysia.

Saya merasa tenang dan timbul perasaan harapan apabila tiba di Malaysia. Saya mahu kejayaan Malaysia dibawa kepada negara Islam lain dan dijadikan contoh.

Hanya penyatuan umat Islam dapat memberi kekuatan kepada Palestin. Berpeganglah kepada tali ALLAH SWT dan jangan berpecah-belah.

Apabila kita berpecah-belah, kehebatan umat Islam akan hilang dan agenda Zionis akan berleluasa di negara Islam.