Pages

Wednesday, November 23, 2011

Remaja hilang dua hari mengaku dinodai kekasih

KAJANG: Kehilangan seorang remaja perempuan selama dua hari terjawab apabila dia bersama teman lelakinya terserempak dengan abang kandungnya ketika sedang bersarapan di sebuah restoran di Batu 9, Cheras, di sini, kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Lebih mengejutkan, adiknya yang berusia 15 tahun mengaku dia dirogol teman lelakinya itu di rumah sewa lelaki berkenaan di Bukit Belimbing, di sini, sejak melarikan diri Sabtu lalu.


Berang dengan pengakuan itu, abang mangsa kemudian membawa adiknya itu membuat laporan di Balai Polis Batu 9, Cheras sebelum teman lelakinya berusia 20 tahun ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, sebelum ditemui, mangsa dilaporkan melarikan diri dari rumah keluarganya dan usaha mengesannya dilakukan keluarganya.


Mangsa dikatakan terpedaya dengan ayat manis teman lelakinya yang mengajak bermalam di rumahnya dan meminta mangsa agar tidak bimbang.


“Termakan dengan pujuk rayu suspek, mangsa akhirnya bersetuju bermalam di rumah suspek tanpa memaklumkan kepada keluarganya.

“Melihat mangsa memasuki ‘jerat’, suspek kemudian mengambil kesempatan merogol mangsa sebanyak dua kali sepanjang mangsa berada di rumah sewanya,” katanya.


Beliau berkata, selepas merogol mangsa, suspek merayu kepada mangsa agar perbuatan terkutuknya itu tidak dimaklumkan kepada sesiapa terutama kepada keluarga mangsa kerana bimbang akan ditahan polis.

Bagaimanapun, usaha suspek menyembunyikan perbuatan kejinya itu tidak kesampaian apabila dia ditahan selepas abang mangsa memaksa mangsa untuk menceritakan kejadian sebenar sepanjang dia melarikan diri.


“Mangsa akhirnya akur dan mengaku dirogol suspek sebelum mangsa membuat laporan polis.


“Suspek kini ditahan reman selama empat hari kerana kesalahan merogol gadis bawah umur dan kini di tempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

myMetro | Remaja hilang dua hari mengaku dinodai kekasih:

'via Blog this'

Tunjuk parang ditegur buat dosa

GOMBAK: Seorang suami bukan saja bersekedudukan dengan kekasih gelapnya di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, malah sanggup memukul dan mengugut dengan parang selepas cuba menasihatinya, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 35 tahun bersama isteri lelaki berkenaan berusia 20-an datang ke kediaman berkenaan untuk berbincang dan menasihatinya supaya berubah.


Menurut sumber, mangsa hanya mengetahui kejadian itu selepas adiknya yang hilang sabar dengan sikap suaminya tinggal bersama teman wanita barunya itu datang ke rumahnya dan mengadu mengenai masalah rumah tangga yang menimpanya.

“Terkejut dan simpati mendengar cerita itu, mangsa mengajak adiknya bersemuka dengan suaminya itu untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya.


Sumber berkata, sebaik tiba, adiknya menyuruh mangsa pergi ke kediaman suaminya terlebih dahulu sementara dia berjumpa dengan ahli jawatankuasa penduduk bagi meminta bantuan.


“Mangsa kemudian mengetuk pintu rumah sebelum dibuka teman wanita adik iparnya itu. Mangsa kemudian terus bertindak memarahi wanita itu,” katanya.

Menurutnya, suami adiknya yang mendengar kekecohan itu terus melihat apa berlaku di luar rumah sebelum terkejut melihat mangsa.


“Sebaik melihat adik iparnya itu, mangsa terus menegur perbuatannya yang sanggup berlaku curang dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.

“Lelaki itu yang berang kakak iparnya campur tangan terus memarahi mangsa dan memintanya tidak mencampuri urusan rumah tangga mereka,” katanya.


Sumber itu berkata, pertengkaran itu berlangsung beberapa minit sebelum tiba-tiba bertukar ganas apabila lelaki itu yang berang menolak mangsa hingga terjatuh.


“Akibat kejadian itu, anak mangsa bersama anak adiknya terlepas daripada tangannya dan turut terpelanting menyebabkan mereka menangis kesakitan.


“Tidak cukup dengan itu, lelaki itu yang hilang kawalan turut mengambil parang dan mengacukannya ke arah mangsa supaya tidak masuk ke dalam rumah,” katanya.


Menurut sumber, lelaki terbabit kemudian terus membawa kekasihnya meninggalkan mangsa yang cedera di tangan.


“Mangsa yang bimbang dengan keselamatan dirinya membuat laporan di Balai Polis Desa Jaya,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

myMetro | Tunjuk parang ditegur buat dosa:

'via Blog this'

Menangis teresak-esak di sisi mayat isteri

IPOH: Seorang suami tergamam sejurus melihat isterinya maut dalam keadaan mengerikan apabila digilis dan diseret sebuah treler berhampiran persimpangan Jalan Raja Musa Aziz, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi, mangsa yang juga jururawat, Liew Suet Foong, 50, membonceng motosikal bersama suaminya ke tempat kerja.


Kejadian ngeri itu menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian, manakala suaminya, Cheow Seng Yee, 62, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata kemalangan berlaku apabila pemandu treler terbabit tidak menyedari kehadiran motosikal pasangan itu sebaik membelok masuk di tempat kejadian.


“Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Silibin ke tempat kerja di sebuah klinik swasta di Jalan Raja Ekram bergesel dengan tayar lori treler terbabit.


“Akibatnya kedua-dua mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh. Ketika itu mangsa yang tidak sempat bangun dirempuh bahagian belakang treler itu menyebabkan dia diseret,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang parah di beberapa bahagian anggota tubuh termasuk kepala maut di tempat kejadian.


“Suami mangsa bagaimanapun terselamat dan hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu treler berusia 46 tahun ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. Polis meminta saksi kejadian tampil memberi maklumat atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2542222 bagi membantu siasatan,” katanya.

myMetro | Menangis teresak-esak di sisi mayat isteri:

'via Blog this'

Tak serik mencuri

RAMPAS...kereta dan peralatan yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...kereta dan peralatan yang dirampas daripada suspek.
pix_topright

KLANG: Ketua kumpulan curi kereta digelar Geng Ah Boy yang baru dibebaskan dari penjara dua minggu lalu dicekup semula bersama empat lelaki dan dua wanita dipercayai ahli kumpulan itu dalam tiga serbuan berasingan, Sabtu, Ahad dan kelmarin.

Ahli kumpulan terbabit pakar mencuri kereta yang lengkap dengan sistem keselamatan penggera canggih dalam tempoh lima hingga 10 minit. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, berkata polis memberkas tujuh suspek berusia 19 hingga 34 tahun itu termasuk ketua kumpulan Geng Ah Boy yang baru dua minggu dibebaskan dari penjara atas kesalahan sama.


“Semua suspek ditahan dalam serbuan tiga hari. Serbuan pertama Sabtu lalu, dua suspek lelaki ditahan ketika memandu Proton Perdana V6 di Jalan Tiara, Bandar Baru Klang.

“Susulan itu, sehari kemudian polis menahan empat suspek, dua lelaki dan dua wanita bersama sebuah Toyota Vios di sebuah rumah di Sungai Putus, Klang.


“Suspek yang terakhir ditangkap kelmarin di Taman Gembira, Klang, yang menaiki sebuah Proton Waja,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.


Menurutnya, dalam serbuan berikutan maklumat awam itu, polis merampas empat kereta dipercayai dicuri iaitu dua Proton Perdana V6, sebuah Toyota Vios dan sebuah Proton Waja. Semua kereta itu dianggarkan bernilai RM150,000. Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti saki-baki kumpulan itu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.

myMetro | Tak serik mencuri:

'via Blog this'

30 maut pertempuran di Mesir

KAHERAH: Angka kematian akibat pertempuran antara penunjuk perasaan dengan anggota polis di Mesir kini mencecah 30 orang, demikian angka terbaru dikeluarkan Kementerian Kesihatan apabila keganasan terbaru memasuki hari keempat hari ini.

Dua lagi maut di Kaherah semalam, menurut kenyataan yang dipetik agensi berita MENA selepas kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan polis di perkarangan ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri yang berhampiran dengan Dataran Tahrir.
Polis dikerah untuk mengawal keadaan selepas penunjuk perasaan menuntut agar Mesir dibebaskan daripada pemerintahan tentera.
Lebih 10,000 penunjuk perasaan berkumpulan di Dataran Tahrir untuk menuntut peralihan kuasa tentera kepada awam. - AFP
Berita Harian Online | 30 maut pertempuran di Mesir:

'via Blog this'

Lelaki dipenjara 315 tahun kerana hasilkan pornografi kanak-kanak

WASHINGTON: Seorang lelaki di Indiana, Amerika Syarikat dijatuhkan hukuman penjara 315 tahun kerana menghasilkan dan mengedar pornografi kanak-kanak, kata Jabatan Kehakiman hari ini.

Penolong Peguam Negara, Lanny Breuer dan Bahagian Jenayah, Jabatan Kehakiman, berkata tertuduh, David Bostic, 25, melakukan penderaan seksual yang kejam terhadap insan paling lemah di dalam masyarakat kita.
Sementara itu, ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Michael Welch pula berkata, kes itu adalah antara kes pornografi kanak-kanak paling signifikan pernah disiasat. - AFP
Berita Harian Online | Lelaki dipenjara 315 tahun kerana hasilkan pornografi kanak-kanak:

'via Blog this'

Mangsa banjir di Kelantan kini 235, pusat pemindahan Kota Bharu dibuka

KOTA BHARU: Berikutan hujan lebat yang melanda Kelantan sejak tiga hari lalu, jumlah mangsa banjir yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara meningkat kepada 235, berbanding 26 yang direkodkan semalam.

Dua daerah di negeri itu kini dilanda banjir iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, di Pasir Puteh, pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang dibuka sejak semalam.
"Di Kota Bharu, dua pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Mulong dan Sekolah Kebangsaan Tiong, dibuka malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Paras air di empat sungai utama di Kelantan berada pada tahap berjaga-jaga manakala Sungai Golok di Jenob dan Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras amaran. - BERNAMA
Berita Harian Online | Mangsa banjir di Kelantan kini 235, pusat pemindahan Kota Bharu dibuka:

'via Blog this'

Kelantan pula dilanda banjir

SHARIPAH ABDULLAH, 73 (kiri) membantu jirannya Midah Hamzah, 80, meredah banjir untuk  ke pusat pemindahan di Kampung Tasek, Setiu semalam.
SHARIPAH ABDULLAH, 73 (kiri) membantu jirannya Midah Hamzah, 80, meredah banjir untuk ke pusat pemindahan di Kampung Tasek, Setiu semalam.
Hujan berterusan sejak dua hari lalu

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Johor, Melaka dan Terengganu, kelmarin, merebak ke Kelantan apabila 21 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang, Pasir Puteh, petang semalam.
Mengikut portal rasmi eBanjir Negeri Kelantan sehingga 7 petang semalam, SK Bukit Awang mula menempatkan mangsa banjir pada jam 5 petang selepas kawasan rendah ditenggelami air akibat hujan berterusan sejak dua hari lalu.
Portal itu juga melaporkan paras air di Sungai Golok berada pada aras berjaga-jaga iaitu di Jenob dengan bacaan 21.87 meter (m), manakala Rantau Panjang pula merekodkan 7.53 m.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Kelantan, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, berkata 729 pusat pemindahan disediakan mampu menampung kapasiti sehingga 150,700 orang bagi menempatkan mangsa banjir.

Di KUALA TERENGGANU: Jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di tiga daerah di Terengganu kini meningkat kepada 373 orang daripada 84 keluarga.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, penduduk yang dipindahkan ialah 175 orang di Besut, Setiu (115) dan Hulu Terengganu 83 orang. Beliau berkata, sehingga jam 6 petang sebanyak lapan pusat pemindahan dibuka iaitu masing-masing tiga di Besut dan Hulu Terengganu, manakala dua di Setiu.

Seramai 83 mangsa di Hulu Terengganu dipindahkan ke Masjid Kampung Sekayu, Balai Raya Kampung Chering dan Balai Raya Kampung Pelandan. Bagaimanapun, setakat ini hanya satu laluan ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Kuala Berang-Sungai Tong selepas dinaiki air sedalam 0.6 meter.

Seorang ibu muda yang masih dalam pantang bersama bayinya, Batrisha Sofea Mohd Saiful Anuar, yang baru berusia 27 hari adalah antara mangsa banjir yang dipindahkan di Kampung Merbau Menyusut kira-kira jam 3 pagi kelmarin, selepas kediaman mereka dinaiki air.

“Saya sudah biasa menghadapi banjir. Bagaimanapun ini pengalaman paling getir kerana saya masih dalam pantang,” kata Yati Berahim, 25, yang ditempatkan sementara di masjid kampung itu.

Di JASIN: Semua 24 mangsa banjir membabitkan lima keluarga di Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai dekat sini, masih belum dibenarkan pulang selepas paras banjir di kediaman mereka tidak menunjukkan tanda surut.

Bagaimanapun, sebahagian besar mangsa di Parit Lampong dan Paya Laboh di Tehel sudah pulang ke rumah masing-masing sejak tengah hari semalam.

Tinjauan Berita Harian mendapati ada di kalangan mangsa banjir di Tehel sudah mula membersihkan kediaman mereka dan ada juga yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel.

Di BATU PAHAT: Seramai 23 mangsa dari Kampung Parit Sagil dan Kampung Cahaya Baru masih ditempatkan pusat pemindahan sejak kelmarin.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Portal Banjir semalam mengeluarkan peringatan kepada penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan banjir.

Penduduk di kawasan berisiko banjir juga dinasihatkan supaya membuat persediaan mencukupi termasuk menyimpan barangan penting dan berharga di tempat yang selamat.
Berita Harian Online | Kelantan pula dilanda banjir:

'via Blog this'

Arroyo kena saman pula

Keluarga mangsa bunuh 2009 tuntut RM1.03j

MANILA: Saudara mara 57 mangsa pembunuhan beramai-ramai di selatan Filipina pada 2009 menyaman bekas Presiden Gloria Macapagal Arroyo semalam berhubung pembunuhan itu yang didakwa mereka boleh dihalang.
Sekurang-kurangnya dua sekutu Arroyo, termasuk bekas gabenor wilayah autonomi Islam itu, antara 100 suspek yang dibicarakan atas tuduhan bunuh dalam pertumpahan darah bermotifkan politik paling buruk di negara itu.
Mangsa termasuk 32 pekerja media, menjadikan kejadian itu pembunuhan wartawan paling buruk di dunia.

Arroyo ditahan minggu lalu atas dakwaan mengarahkan bekas gabenor, Andal Ampatuan Sr, dan seorang lagi pegawai melakukan penipuan dalam pilihan raya dua tahun sebelum pembunuhan itu berlaku.

Arroyo mengutuk pembunuhan itu dan menafikan mengetahui mengenainya tetapi peguam plaintif, Harry Roque berkata, dia sepatutnya tahu Ampatuan dan anaknya memang berbahaya.

Roque memfailkan saman semalam, menuntut ganti rugi 15 juta peso (RM1.03 juta) menuduh Arroyo sengaja tidak mempedulikan pencabulan hak asasi manusia selama sedekad di wilayah itu dan sebaliknya menjalin hubungan baik dengan Ampatuan yang terbukti penting untuk dia terus berkuasa dalam politik.
Wartawan, pemandu dan pembantu mengiringi keluarga dan penyokong saingan politik Ampatuan dalam perjalanan memfailkan pencalonan dalam pilihan raya wilayah apabila sekumpulan lelaki bersenjata diketuai bekas datuk bandar Andal Ampatuan Jr menahan dan membawa mereka ke bukit berhampiran sebelum dibunuh dan ditanam beramai-ramai.

Keluarga Ampatuan adalah sekutu politik Arroyo tetapi selepas pembunuhan itu, mereka disingkirkan daripada partinya. Arroyo turut mengisytiharkan undang-undang tentera di wilayah Maguindanao, membolehkan tentera dan polis menangkap suspek dan cuba memulihkan keamanan.

Roque berkata, walaupun tiada bukti Arroyo adalah dalang di sebalik pembunuhan beramai-ramai itu, bekas pemimpin itu bukan saja membiaya dan memberi senjata kepada keluarga Ampatuan tetapi turut melindungi mereka. – AP
Berita Harian Online | Arroyo kena saman pula:

'via Blog this'

Penduduk dakwa banjir kilat akibat sistem perparitan tidak sempurna



Perumahan Taman Seri Mulong Kota Bharu digenangi air, semalam.


KOTA BHARU 22 Nov. - Penduduk di Taman Perumahan Sri Mulong di sini mendakwa, banjir kilat yang melanda kawasan terbabit disebabkan ketiadaan sistem perparitan sempurna sehingga menyebabkan rumah mereka dinaiki air separas lutut.

Mereka mendakwa, banjir kilat itu juga berpunca daripada projek pembangunan di Bandar Baru Tunjung yang sedang giat dijalankan, menyebabkan 113 orang penduduk daripada 20 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Mulong (1).

Seorang penduduk, Nor Azhan Mohamad, mendakwa, ketiadaan sistem perparitan dan saliran yang sempurna menyebabkan air hujan bertakung dan membanjiri rumah penduduk.

"Sebelum ini, tidak pernah berlaku banjir kilat, tetapi sejak tahun lepas masalah ini baru berlaku disebabkan ketiadaan sistem perparitan dan saliran sempurna," dakwanya ketika ditemui di pusat penempatan banjir itu hari ini.

Seorang lagi penduduk, Zainal Abidin Yusoff, 30, mendakwa, dia telah menetap hampir lima tahun di kawasan perumahan itu dan ini kali kedua kawasan berkenaan dilanda banjir kilat.

"Sebelum ini setiap kali hujan lebat, kawasan perumahan di sini memang dinaiki air tetapi penduduk tidak perlu berpindah kerana paras air tidak berbahaya.

"Namun segalanya berubah sejak tahun lalu, apabila penduduk terpaksa berpindah setiap kali hujan lebat gara-gara tiada sistem perparitan sempurna selain pelaksanaan projek pembinaan berdekatan yang menyekat aliran air," dakwanya.

Sementara itu, Fatihah Ismail, 25, pula memberitahu, ini pengalaman pertamanya berdepan situasi tersebut dan berasa terkilan apabila semua barangan elektrik serta perabot rosak tanpa dapat diselamatkan.

"Masa saya keluar ke tempat kerja paras air berada di paras rendah. Saya jangkakan paras air tidak akan meningkat, tiba-tiba pukul 10 pagi saya menerima panggilan telefon daripada suami memberitahu rumah kami dinaiki air.

"Air naik terlalu cepat dia tak sempat menyelamatkan barangan. Sebelum ini saya tidak pernah terlibat dengan banjir dan inilah pengalaman pertama," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Banjir di Terengganu makin buruk



Keadaan jalan yang ditutup akibat banjir di Kampung Pengkalan Ajar Hulu Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 22 Nov. - Banjir di Terengganu semakin buruk apabila 373 mangsa dipindahkan hari ini berbanding 44 orang petang semalam.

Banjir melibatkan tiga daerah iaitu Besut dengan 175 orang daripada 39 dipindahkan, manakala Setiu melibatkan 115 mangsa daripada 30 keluarga berbanding semalam hanya 26 mangsa daripada lapan keluarga.

Daerah Hulu Terengganu pula mencatatkan peningkatan mangsa apabila 83 orang daripada 15 keluarga dipindahkan berbanding semalam hanya 18 orang daripada lima keluarga.

Kesemua mangsa ditempatkan di lapan pusat pemindahan antaranya Masjid Kampung Merbau Menyusut dan Balai Raya Kampung Tasek bagi daerah Setiu, manakala masjid dan Balai Raya Kampung Ceting, Kampung Pelandan dan Sekayu di Hulu Terengganu serta masjid dan Balai Raya Keruak dan Kampung La bagi daerah Besut.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, sehingga pukul 7 petang ini, hanya sebatang jalan ditutup untuk kenderaan berat iaitu di Kampung Jak, Hulu Terengganu kerana ditenggelami air sedalam 0.6 meter, manakala Jalan Sungai Tong/Pelong (Kampung Pengkalan Merbau), Setiu ditutup kepada kenderaan ringan sahaja.

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran negeri memaklumkan dua sungai telah melepasi paras berbahaya iaitu Sungai Besut di Kampung La setinggi 20.59 meter (paras bahaya 19.20 meter) manakala Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu setinggi 8.85 meter (paras bahaya 8.80 meter).

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia ke daerah Hulu Terengganu mendapati sebahagian penempatan penduduk di tiga buah kawasan mula dinaiki air, bagaimanapun rata-rata penduduk masih tidak berpindah biarpun air sungai berdekatan telah mula menenggelami sebahagian jalan raya.

Selain itu, ibu bapa juga dilihat membiarkan anak-anak mereka bermain air tanpa kawalan.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa menasihati ibu bapa supaya lebih berwaspada dengan ketibaan musim hujan ini tidak membiarkan anak-anak kecil bermain di luar rumah walaupun air banjir cetek.

Di KELANTAN, hujan lebat yang berlarutan sejak tiga hari lalu menyebabkan tiga kampung di daerah Pasir Puteh iaitu Kampung Bukit Awang, Gong Kala dan Gong Keding mula dilanda banjir.

Banjir yang menenggelamkan beberapa buah rumah di Kampung Bukit Awang menyebabkan 26 orang daripada tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang setakat pukul 5.30 petang ini sebagai langkah keselamatan.

Di daerah Kota Bharu pula, seramai 113 orang daripada 20 keluarga di kawasan Mulong dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Mulong (1) selepas rumah mereka dinaiki air.

Di Kuala Krai, sebuah jalan kampung difahamkan telah ditutup buat sementara waktu kepada kenderaan ringan kerana turut ditenggelami air.

Data terkini paras air sungai yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri setakat pukul 5.30 petang ini menunjukkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang telah melebih tahap amaran, manakala sungai-sungai lain berada di atas paras normal.

Sungai Golok di Rantau Panjang menunjukkan kedalaman 7.45 meter melebihi paras amaran iaitu tujuh meter manakala bacaan Sungai Golok di Jenob, Pasir Mas di paras 21.87 meter iaitu menghampiri paras amaran 21.50 meter.

Bacaan paras air Sungai Kelantan di pusat bacaan Kuala Krai, Kusial dan Jeti Kastam telah melebih paras biasa dan menghampiri tahap amaran iaitu masing-masing pada kedalaman 18.10, 10.32 dan 0.91 meter.

Di Pasir Puteh, Sungai Semarak menunjukkan bacaan 1.47 meter melebihi paras normal iaitu 0.4 meter, manakala Sungai Galas di Dabong pula mencatatkan bacaan 29.30 meter menghampiri paras amaran pada kedalaman 32 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Kelantan, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim pada sidang akhbar di sini petang ini menyatakan, jawatan kuasa tersebut kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi musim banjir.

Jelas beliau, sebanyak 729 buah pusat pemindahan banjir telah disiapkan yang mampu menempatkan sehingga 150,700 mangsa dalam satu-satu masa, manakala 170 pangkalan hadapan telah dibuka.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah membekalkan makanan terdiri daripada beras, sardin, biskut, minyak masak, gula, teh dan kopi yang keseluruhannya bernilai RM495,000 dan tambahan bantuan bernilai RM600,000 lagi akan diberi jika keadaan semakin serius.

"Kelengkapan logistik semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga sudah ada, manakala seramai 4,800 kakitangan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bersedia menjalankan misi menyelamat," tambahnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Tali barut CIA kena cekup

Hizbullah, Iran guna alat perisik AS kesan pembelot

WASHINGTON: Amerika Syarikat mendapat tamparan hebat apabila pergerakan Hizbullah berjaya mengenal pasti dan menahan pemberi maklumat di kalangan anggotanya yang bekerja untuk Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Selain itu, dalam perkembangan berasingan di Teheran, pegawai di Iran turut berjaya membongkar identiti beberapa orang yang didakwa menjadi pemberi maklumat CIA.
Bekas pegawai Amerika berkata, pemberi maklumat CIA, dipercayai direkrut di kalangan rakyat tempatan berjaya dikenal pasti disebabkan kecuaian dalam prosedur kerja dikenali dalam dunia penyamaran sebagai ‘tradecraft’ yang digunakan agensi berkenaan.

Oleh itu, bekas pegawai operasi CIA, Bob Baer, yang bukunya dijadikan filem Hollywood, Syriana, berkata kemampuan Hizbullah tidak boleh dipandang rendah.

“Sistem keselamatan Hizbullah setanding dengan agensi lain di dunia. Ia lebih baik daripada agensi perisikan Russia, KGB,” kata Baer.

Satu sebab Hizbullah berjaya membongkar pengintip ialah kerana ia mempunyai pengaruh besar hingga dapat memaksa pasukan keselamatan Lubnan menyerahkan komunikasi sulit dan peralatan pengintipan dibekalkan Amerika.
Ia kemudian menggunakan peralatan itu untuk mengenal pasti dan mengesan pemberi maklumat CIA. – Reuters
Berita Harian Online | Tali barut CIA kena cekup:

'via Blog this'

Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes

PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak  gas pemedih mata ketika menyertai protes  di Dataran Tahrir, semalam.
PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak gas pemedih mata ketika menyertai protes di Dataran Tahrir, semalam.
Desak majlis tentera yang memerintah serah kuasa

KAHERAH: Rakyat Mesir beramai-ramai menuju ke Dataran Tahrir semalam untuk perhimpunan besar-besaran menuntut menamatkan pemerintahan tentera, meningkatkan ketegangan selepas pertempuran selama beberapa hari dianggap mengancam pilihan raya perundangan minggu depan.
Aktivis Perikatan Revolusi Belia dan gerakan 6 April menggesa protes bermula di Dataran Tahrir pada 4 petang waktu tempatan (12 tengah malam di Malaysia).
Kerajaan awam yang dilantik tentera mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin tetapi televisyen memetik sumber Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) sebagai berkata, ia ditolak tentera.

Keputusan kerajaan dan tindakan SCAF disusuli pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan dekat bangunan Kementerian Dalam Negeri.

Pencegah rusuhan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menggunakan batu dan bom petrol.

Penunjuk perasaan lain membantu mereka yang cedera untuk mendapatkan rawatan di ambulans dekat situ.
Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, pusat demonstrasi yang menumbangkan pemerintahan Hosni Mubarak Februari lalu, melaungkan slogan mengecam SCAF dan polis.

“Kementerian Dalam Negeri pembunuh,” laung penunjuk perasaan menjelang perhimpunan beramai-ramai itu.

Pasukan perubatan berkata, dua terbunuh awal semalam, menjadikan angka yang terkorban akibat pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan sejak Sabtu lalu meningkat kepada 28.

Dalam usaha menangani krisis itu, SCAF menjemput semua parti politik dan kebangsaan menyertai rundingan penting semalam, lapor media.

Pertubuhan Ikhwanul Muslimin berkata, ia akan mengambil bahagian dalam rundingan itu tetapi tiada petunjuk sama ada pihak yang menggesa bantahan itu akan hadir.

Amerika Syarikat berkata, ia amat bimbang dengan keganasan dan mendesak pilihan raya demokratik manakala Amnesty International menuduh rekod SCAF mencabul hak asasi manusia lebih buruk daripada era Mubarak.

SCAF berkata, ia meminta Kementerian Kehakiman menubuhkan jawatankuasa menyiasat keganasan dan menggesa semua pihak dan rakyat berusaha mengembalikan keamanan, dan mewujudkan persekitaran stabil dengan matlamat mengadakan proses politik. – AFP
Berita Harian Online | Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes:

'via Blog this'

Perut jururawat terburai digilis treler


IPOH – Seorang suami tidak dapat menahan kesedihan apabila isterinya yang membonceng motosikal yang ditungganginya untuk dihantar bekerja di sebuah klinik di sini maut digilis sebuah treler di Jalan Raja Musa Aziz di sini semalam.

Dalam tragedi menyayat hati pada pukul 8.50 pagi itu, Liew Suet Foong, 50, mati dalam keadaan mengerikan dengan sebahagian perut sebelah kiri badannya terburai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, semasa kejadian, mangsa yang membonceng motosikal suaminya, Cheow Seng Yee, 62, dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah klinik swasta di Jalan Raja Ekram di sini dari rumah mereka di Silibin di sini.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Ops Tiong tahan Awang Hitam



Lelaki Afrika yang ditahan dalam Ops Tiong di sekitar ibu negara malam kelmarin digari dengan rantai besi.


KUALA LUMPUR – Pergerakan aktif dan licik Awang Hitam yang menjadikan negara ini sebagai pusat kegiatan penipuan terutamanya melalui Internet digempur polis menyebabkan 76 orang, kebanyakannya warga Afrika, ditahan dalam Ops Tiong di sini kelmarin.

Dalam operasi besar-besaran selama enam jam bermula pada pukul 11.30 malam itu, sebahagian daripada warga asing yang ditahan itu didapati terlibat dalam jenayah seperti penipuan Internet, black money dan penghantaran bungkusan.

Ops Tiong melibatkan tiga kawasan iaitu di Sentul, Kepong dan Ampang yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa dijalankan selepas risikan selama hampir tiga bulan sejak Ogos lalu.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Maut sewaktu tonton bola



AHMAD FAUZI meninggal dunia ketika menonton perlawanan bola sepak Malaysia menentang Indonesia di Restoran Pak Mid, Guar Cempedak, Yan malam kelmarin.


YAN - Seorang peminat bola sepak meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dia dan rakan-rakan menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26 yang cukup dramatik antara Malaysia dan Indonesia di sebuah restoran di sini malam kelmarin.

Ahmad Fauzi Ismail, 42, pengsan di restoran Pak Mid di pekan Guar Chempedak di sini kira-kira pukul 10.50 malam sebelum dikejarkan ke Hospital Yan kira-kira 10 minit kemudian.

Dia disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital tersebut.

Seorang saksi kejadian yang merupakan pembantu kedai makan, Hasli Ishak, 29, memberitahu, Ahmad Fauzi adalah pelanggan tetap kedai dan ketika kejadian dia sedang menikmati nasi goreng sambil menonton perlawanan bola sepak.

"Sebelum dia pengsan, saya nampak dia lemah dan menyuap makanan masuk ke mulutnya dengan perlahan sebelum dia rebah di atas kerusi," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Razis hidup dalam buaian



MOHD. RAZIS masih menggunakan buaian di rumahnya di Sik, Kedah meskipun usianya sudah 19 tahun.


SIK – Dalam usianya yang sudah menginjak 19 tahun, Mohd. Razis Ilias dari Kampung Kenangan, Jeneri di sini mungkin sedang menuntut di sebuah universiti atau sudah bekerja untuk menyara kehidupan keluarga.

Namun, disebabkan penyakit saraf yang dihadapinya sejak bayi, anak bongsu kepada pasangan suami isteri penoreh getah itu hanya mampu terbaring lesu di dalam buaian seperti seorang bayi.

Mohd. Razis dikatakan mengalami sawan yang menyebabkan kekejangan saraf ketika berusia tiga bulan selepas diserang demam panas.

Lebih menyedihkan apabila susuk tubuhnya seperti kanak-kanak berusia lima tahun dengan kedua-dua belah kaki dan tangannya semakin membengkok akibat kekejangan.

Bapanya, Ilias Saad, 52, berkata, Mohd. Razis gemar menghabiskan masanya di dalam buaian kerana sekiranya diletakkan di atas tilam, dia akan merengek kerana kesakitan.

“Mungkin disebabkan kaki dan tangannya bengkok, dia tidak dapat berbaring dengan betul menyebabkannya berasa sakit," katanya di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Tuanku Mizan tinjau pusat saintifik Antartika


YANG di-Pertuan Agong (kanan) bergambar berhampiran sekumpulan penguin maharaja di Scott Base, Antartika semalam. Di tengah ialah Ongkili manakala Salleh bergaya di kiri.


SCOTT BASE, Antartika - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam melakukan lawatan khas ke pusat-pusat saintifik di Antartika dengan menaiki helikopter.

Helikopter jenis Aerospace EC130 itu dipandu oleh Kapten Rob McPhail, seorang juruterbang berpengalaman selama 20 tahun melakukan penerbangan di Antartika.

Turut sama dalam tinjauan udara itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd. Nor dan Ketua Eksekutif Antartika New Zealand, Lou Sanson.

Helikopter yang pada asalnya dijadual berlepas dari Scott Base, sebuah pusat penyelidikan yang dikendalikan oleh New Zealand di Pulau Ross pada 9 pagi Selasa ditangguh akibat cuaca berubah-ubah dengan salji yang turun serta tiupan angin yang kuat di kawasan lawatan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Melabur untuk kubur tersayang



SEORANG kakitangan kawasan perkuburan Lac Hong Vien di Vietnam membakar colok bagi pihak pelanggannya pada 5 November lalu.


KY SON, Vietnam - Kawasan perkuburan Lac Hong Vien di sini menjual tempahan lot kubur dan perkhidmatan eksklusif untuk si mati.

Kawasan perkuburan seluas 98 hektar itu terletak 50 kilometer ke barat Hanoi di wilayah Hoa Binh.

Setiap satu meter persegi tanah perkuburan itu dijual pada harga AS$400 (RM1,271) manakala sebuah keluarga membelanjakan AS$71,500 (RM227,271) untuk plot kubur seluas 200 meter persegi.

Perkhidmatan menghantar pelbagai hadiah untuk si mati seperti bunga, mata wang tiruan, ayam yang direbus dan minuman keras yang mahal juga disediakan.

Para kakitangan kawasan perkuburan itu akan membawa barang-barang itu ke kubur yang diminta oleh para pelanggan pekerja-pekerja itu turut menghantar rakaman video dan gambar hadiah tersebut menerusi e-mel kepada keluarga si mati .

Tempahan hadiah itu boleh dibuat menerusi online.

Seorang akauntan, Bui Mai Phuong, 53, berkata, dia menimbang untuk melabur sebanyak AS$24,000 (RM76,257) untuk kawasan perkuburan seluas 30 meter persegi.

"Kami perlu mengambil berat mengenai roh keluarga kami," katanya. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Bieber buat ujian DNA



JUSTIN BIEBER membuat persembahan pada majlis Anugerah Muzik Amerika Kali Ke-39 di Los Angeles pada Ahad lalu.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Penyanyi remaja, Justin Bieber telah melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada Jumaat lalu berhubung saman paterniti oleh seorang wanita, menurut satu laporan semalam

Wanita berkenaan, Mariah Yeater sebelum ini mendakwa bahawa Bieber ialah bapa kandung bayi lelakinya, Tristan.

Laman web hiburan TMZ melaporkan penyanyi kelahiran Kanada itu menyerahkan sampel DNA di sebuah makmal di New Jersey dan kini tiba giliran Yeater untuk menyerahkan sampel DNA bayinya.

Yeater, 20, yang berasal dari negeri California mendakwa dia hamil setelah menjalin hubungan seks selama 30 saat dengan Bieber di belakang pentas selepas konsert bintang remaja itu diadakan di sini pada tahun lalu.

Laman TMZ turut melaporkan bahawa Bieber tidak akan membincangkan sebarang bayaran nafkah dengan Yeater melainkan bayi tersebut terbukti adalah zuriatnya. Malah, jika keputusan DNA menunjukkan bahawa dia bukan bapa Tristan, Bieber mengancam akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Yeater.

Yeater menarik balik samannya terhadap Bieber tetapi penyanyi itu berkeras mahu menjalani ujian DNA bagi menutup kontroversi tersebut buat selama-lamanya.

Pengurus Bieber, Scooter Braun memberitahu media AS baru-baru ini bahawa mereka mahu mengajar Yeater jika terbukti dakwaan wanita itu palsu.

"Kami tidak mahu ada orang lain meniru tindakan Yeater pada masa akan datang. Kami tidak mahu ada orang menganggap tidak mengapa untuk berkata, saya hamilkan anak Bieber atau saya melahirkan anak Bieber," kata Braun. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'