Pages

Thursday, July 21, 2011

Kes Strauss-Kahn hadapi tuduhan cubaan rogol semakin serius


Anne Mansouret
Anne Mansouret


PARIS: Skandal cubaan rogol membabitkan bekas ketua pengarah Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn menjadi semakin serius semalam, selepas ibu kepada salah seorang wanita yang mendakwanya, mengaku dia juga pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki itu sebelum ini.

Wanita terbabit, Anne Mansouret, seorang pegawai di pejabat Parti Sosialis memberitahu beberapa media di Perancis bahawa dia melakukan hubungan seks dengan Strauss-Kahn pada 2000 di sebuah pejabat milik Pertubuhan Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), yang juga tempat kerjanya.
Berita itu dilaporkan buat kali pertama oleh majalah mingguan L’Express, yang menyatakan Mansouret mengesahkan perkara itu dalam soal siasat dengan pegawai yang menyiasat dakwaan cubaan rogol dikemukakan anak perempuannya, Tristan Banon.
Mansouret, 65, juga mengesahkan kepada akhbar harian Liberation bahawa berlaku satu insiden di pejabat OECD tetapi enggan memberi butiran terperinci dan berkata ia hanya berlaku sekali.

Banon mendakwa Strauss-Kahn cuba merogolnya pada 2003, ketika beliau mahu menemuramahnya untuk sebuah buku. Mansouret mengaku dia tidak menggalakkan Banon mendakwa Strauss Kahn berikutan bimbang menjejaskan kerjayanya sebagai wartawan.

Strauss-Kahn menafikan dakwaan itu dan menyifatkan kenyataan Banon sebagai ‘khayalan’.

Beliau berada di New York bagi menghadapi dakwaan melakukan serangan seksual dan cuba merogol seorang pekerja hotel di bandar raya itu. –AFP
Berita Harian Online | Kes Strauss-Kahn hadapi tuduhan cubaan rogol semakin serius

Masjidil Haram sedia 500,000 lagi tempat solat

MAKKAH: Dua menara baru akan ditambah di Masjidil Haram, Makkah sebagai sebahagian daripada projek pembesaran tempat ibadat yang menjadi tumpuan umat Islam di seluruh dunia itu.

Kedua menara terbaru itu adalah sebahagian daripada pintu pagar gergasi di bahagian utara masjid terbabit.
Keseluruhannya kelak Masjidil Haram akan mempunyai 11 menara apabila kerja pembinaan terbabit siap, lapor Gulf News daripada sumber yang rapat dengan kerajaan Makkah.
Setakat ini hampir 25 peratus daripada kerja pembesaran sudah siap. Penambahan berkenaan akan mengubah wajah kawasan Masjidil Haram seperti yang diarahkan Raja Abdullah Bin Abdul Aziz pada Januari 2008.

Ia akan memudahkan penempatan bagi tambahan 500,000 jemaah dengan mewujudkan lebih banyak ruang solat di bahagian utara dan barat laut masjid terbabit.

Dengan penambahan baru itu yang akan membabitkan kawasan seluas 370,000 meter persegi, masjid berkenaan akan mempunyai keseluruhan kapasiti untuk memuatkan lebih 1.2 juta jemaah pada satu masa.

Lawatan Gulf News ke kawasan pembinaan mendapati kerja pembinaan di kawasan bawah tanah hampir siap. Dengan bantuan peralatan yang lebih moden termasuk kren gergasi dan forklif, beribu-ribu pekerja bersama jurutera dan juruteknik dilihat bekerja selama 24 jam untuk menyiapkan projek terbabit.
Menurut sumber, satu daripada menara baru akan sedia untuk digunakan menjelang permulaan Ramadan pada 1 Ogos ini.

Letupan kawasan pergunungan berbatu berhampiran Jabal Al Kaaba turut dilakukan sebagai usaha untuk membolehkan kerja pembinaan di kawasan sempadan baru bagi meluaskan masjid terbabit.

Sumber terbabit memberitahu projek perluasan itu akan menjadi entiti berasingan dan dihubungkan dengan struktur utama Masjidil Haram melalui empat jambatan gergasi. Jemaah boleh memasuki kawasan sekitar di Kaabah melalui bahagian utara. – Agensi
Berita Harian Online | Masjidil Haram sedia 500,000 lagi tempat solat

Perarakan 1 juta bagi Palestin

Sokong undian dapatkan keanggotaan sebagai sebuah negara di PBB

RAMALLAH (Tebing Barat): Pemimpin yang dipenjarakan, Marwan Barghouti meminta rakyat Palestin mengadakan perarakan besar-besaran September ini bagi menyokong undian untuk mendapatkan keanggotaan sebagai negara Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Barghouti, tokoh dihormati di kalangan rakyat Palestin berkata langkah membawa negara Palestin menjadi anggota PBB adalah sebahagian daripada strategi baru yang boleh membuka pintu kepada penentangan aman dan popular.
“Saya menyeru rakyat di tanah air dan di luar untuk keluar secara aman, mengadakan perarakan yang disertai jutaan rakyat semasa minggu undian PBB pada September,” kata Barghouti dalam kenyataan ditulis dari penjara di Israel.

Dengan rundingan damai yang masih buntu, rakyat Palestin yang disokong Liga Arab memutuskan mendapatkan penyertaan penuh PBB sebagai sebahagian daripada apa yang mereka jelaskan pendekatan baru untuk perjuangan nasional.

Israel bimbang undian pada September akan mencetuskan bantahan yang diilhamkan dengan kebangkitan di rantau itu.

Seorang panglima tentera Israel yang enggan namanya disiarkan kelmarin berkata Israel akan memperkukuhkan kawalan sempadan berikutan cadangan bantahan itu.
Amerika Syarikat yang juga menjadi penaja utama rundingan damai sejak dua dekad lalu, menolak langkah diplomatik Palestin berkenaan, sebaliknya mengusahakan semula rundingan damai yang menemui jalan buntu berikutan keengganan Israel menghentikan pembesaran penempatan Yahudi.

Tel Aviv berkata langkah Palestin itu bertujuan memencil dan mengharamkan negara Israel.

Kuasa veto Amerika di Majlis Keselamatan mungkin menggagalkan usaha Palestin untuk mendapatkan keanggotaan penuh PBB dengan negara Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, serta timur Baitulmaqdis.

Bagi mengelak veto berkenaan, Palestin menyatakan pihaknya akan membentangkan resolusi itu di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bagi mendapatkan keanggotaan negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum Perang Enam hari pada 1967.

Mereka menjangkakan langkah itu boleh berjaya, berikutan sokongan yang sudah dinyatakan 120 negara yang jumlahnya dijangka meningkat sekurang-kurang 130 negara.

Barghouti, tokoh pergerakan Fatah yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas, menggesa semua pihak bersatu padu melancarkan serangan diplomatik untuk berhadapan dengan kuasa veto Zionis Amerika.

Bagi ramai rakyat Palestin, Barghouti kekal sebagai simbol perjuangan negara mereka. Penyokongnya menyifatkannya sebagai Nelson Mandela Palestin, tokoh yang berkarisma yang mampu menyatukan Palestin dan merangsang usaha untuk mendapatkan negara.

Beliau disabitkan dengan pembunuhan kerana peranannya dalam serangan ke atas Israel dalam kebangkitan Palestin atau intifada dan dihukum penjara seumur hidup oleh Israel pada 2004.

Wakil Palestin di PBB, Riyad Mansour berkata kenaikan taraf status Palestin akan membawa faedah termasuk membenarkan Palestin mendapat keanggotaan agensi PBB. – Reuters
Berita Harian Online | Perarakan 1 juta bagi Palestin

Terkejut bil telefon tertunggak RM966.05

MOHD. SHUKRI menunjukkan laporan polis dan bil telefon tertunggak berjumlah RM966.05 yang didaftarkan atas namanya ketika ditemui di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang eksekutif jualan terkejut apabila dimaklumkan mempunyai tunggakan bil telefon bimbit berjumlah RM966.05 menerusi penggunaan dua talian di bawah pakej telefon pintar iPhone yang didakwa didaftarkan atas namanya.

Mohd. Shukri Hamad yang merupakan kakitangan Jabatan Pemasaran Utusan Melayu di sini mendakwa, perkara itu diberitahu kepadanya oleh seorang petugas kaunter ketika dia mahu menukar talian telefon bimbitnya daripada pelan prabayar kepada pascabayar di sebuah syarikat telekomunikasi di ibu negara pada Rabu lalu.

“Saya terkejut diberitahu bahawa saya ada bil tertunggak berjumlah RM966.05 sedangkan saya tidak tahu menahu tentang dua talian telefon yang didaftarkan di bawah pakej iPhone ini.

“Apa yang menghairankan saya adalah bagaimana pendaftaran talian ini boleh dilakukan menggunakan nama saya kerana biasanya MyKad pemohon mesti dikemukakan sewaktu pendaftaran sedangkan saya tidak pernah kehilangan MyKad sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara

Warkah buat Lin dari penjara


CHE KU ZAIMAH (dua dari kiri) bersama Lin dan dua lagi anaknya membaca surat Mat Haizan di Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU – Ungkapan maaf kini tidak lekang daripada mulut Mat Haizan Mat Yassin iaitu orang yang bertanggungjawab menyebabkan wajah anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda cacat dan keluarganya menderita.

Malah, bapa kepada empat orang anak itu yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 10 tahun di Penjara Marang juga amat berharap agar wajah anak keduanya itu yang lebih mesra dengan panggilan Lin dapat dipulihkan.

Ungkapan itu dinyatakan dalam satu surat yang dihantar kepada bekas isterinya, Che Ku Huzaimah Che Ku Awang, 29, sebagai balasan selepas menerima sepucuk surat beserta gambar daripada keluarganya itu.

“Saya pinta awak supaya dapat usahakan untuk pulihkan wajah Lin semula, kasihanilah masa depannya,” katanya melalui surat yang ditunjukkan Che Ku Huzaimah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu dekat sini semalam.

Melalui surat itu juga, Mat Haizan, 33, memberitahu, dia sihat namun rindu pada bekas isterinya itu serta anak-anak dan berterima kasih kerana Che Ku Huzaimah telah mengirim gambar dia dan anak-anak kepadanya di penjara.

Kosmo! Online - Negara

Nelayan rakam imej raksasa di Alaska

KEPALA raksasa (kiri) yang berjaya dirakamkan oleh seorang nelayan di Teluk Cadboro, British Columbia.


TELUK CADBORO, British Columbia - Imej seekor raksasa yang mempunyai bonggol di bahagian belakang berjaya dirakamkan di sini oleh seorang nelayan pada 2009 dekat Alaska, lapor sebuah akhbar semalam.

Imej itu disiarkan dalam program Discovery Channel kelmarin.

Bekas ketua di Jabatan Bumi dan Sains Lautan, Paul LeBlond berkata, dia tertarik dengan video tersebut.

"Walaupun dirakamkan semasa hujan dalam kapal yang bergoyang, ia amat asli," katanya. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Bingkai iPhone berbentuk makanan

iPHONE dihiasi dengan bingkai telur dan daging.


TOKYO - Bingkai telefon iPhone kini berbentuk pelbagai jenis makanan seperti mi, telur, sushi dan coklat, lapor sebuah akhbar semalam.

Ia kini menjadi kegilaan terbaharu di Jepun.

Namun, terdapat sedikit masalah pada bingkai tersebut kerana ia menghalang lubang kamera pada telefon bimbit itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Helikopter dijadikan karavan

SALAH satu ruang yang terdapat dalam helikopter milik Tim Johnson.


SUFFOLK - Seorang bapa anak tiga, Tim Johnson membeli sebuah helikopter yang pernah digunakan Tentera Laut Diraja Britain pada harga £5,000 (RM24,180) untuk dijadikan karavan, lapor sebuah akhbar semalam.

Karavan itu dilengkapi dengan katil dan kerusi dan disewa pada harga £60 (RM290.15) semalam ditambah dengan caj antara £5 (RM24.17) dan £9 (RM43.52) setiap seorang.

Kawasan karavan itu yang terletak di tempat perkhemahan Blackberry Wood dekat Ditchling di sini dikelilingi suasana seperti kem tentera dan dilengkapi beg pasir.

"Pada asalnya, saya mahu mencari sebuah jet peribadi tetapi saya tidak berpendapat ia akan menjadi pengalaman yang amat baik untuk tinggal di dalam jet," kata Johnson.- Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Harimau bintang amuk di kampung

SEEKOR harimau bintang menyerang seorang pegawai hutan di sebuah rumah tinggal di Kampung Prakash Nagar, India kelmarin.


KAMPUNG PRAKASH NAGAR, India - Seekor harimau bintang seberat 90 kilogram melompat ke arah belakang seorang pegawai jabatan perhutanan di sini kelmarin.

Sebelum ini harimau itu sudah mencederakan lima orang selepas haiwan tersebut tersesat memasuki sebuah kampung dari taman negara berdekatan.

Pegawai itu cedera namun seorang pegawai perhutanan berjaya menembak ubat pelali ke atas haiwan itu menyebabkan ia lemah sekali gus dapat ditangkap dengan mudah oleh tiga anggota polis yang bersenjatakan pistol dan baton.

Sejumlah penduduk kampung menyaksikan detik-detik cemas itu.

Harimau itu dibawa ke sebuah pusat haiwan di Sukna tetapi ia mati akibat kecederaan.

Sebelum pegawai hutan itu dicederakan, haiwan berkenaan mencederakan lima orang lagi semasa penduduk kampung cuba mengejar untuk menangkapnya. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Kapal mewah Roman Abramovich untuk disewa

KAPAL layar Eclipse milik Roman Abramovich.


LONDON - Sebuah kapal mewah milik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich sepanjang 162.45 meter kini ditawarkan untuk disewa pada harga £1.25 juta (RM6 juta) seminggu, lapor sebuah akhbar semalam.

Kapal itu disewa enam bulan selepas kapal tersebut yang berharga £300 juta (RM1.45 juta) dihantar kepadanya untuk digunakan.

Abramovich yang merupakan seorang bilionair Rusia dikatakan hanya menghabiskan masa selama beberapa jam di atas kapal berkenaan.

Kapal itu yang diberi nama Eclipse mempunyai 70 kakitangan, sistem pertahanan peluru berpandu dan tingkap kalis peluru.

Jika kapal itu diceroboh, penumpang boleh melarikan diri dengan menggunakan sebuah kapal selam yang terdapat pada kapal tersebut.

Kapal selama itu mampu menyelam pada kedalaman 45.72 meter.

Isian penuh minyak kapal itu melibatkan kos £400,000 (RM1.93 juta).

Abramovich yang memiliki tiga lagi kapal layar menempah Eclipse pada 2006.

Ia belayar buat kali pertama dari dermaga Blohm Voss, Hamburg, Jerman pada Jun 2009. - Agensi


Kosmo! Online - Dunia

ASEAN tingkat kerjasama di Laut China Selatan

GAMBAR menunjukkan Pulau Pang-asa yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly di Laut China Selatan semalam.


NUSA DUA, Indonesia - Negara-negara Asia Tenggara dan China menyatakan ia membuat kemajuan yang besar berhubung kerjasama bagi mengawal Laut China Selatan.

Kenyataan itu dibuat ketika Filipina dan China saling perang saraf berhubung pertikaian Kepulauan Spratly di laut China Selatan.

Selepas hampir 10 tahun mengadakan rundingan, kedua-dua pihak mengumumkan garis panduan yang ditetapkan semasa menjalankan aktiviti bersama di kawasan tuntutan.

Walaupun garis panduan itu dipuji namun diplomat seolah-olah memperkecilkan usaha tersebut.

Masih terdapat perbezaan pendapat berhubung kawasan mana di Laut China Selatan yang menjadi perbalahan selepas China membuat tuntutan keseluruhan Kepulauan Spratly manakala Filipina menyatakan ia akan mengemukakan kes di mahkamah antarabangsa berhubung isu berkenaan. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Isteri Rupert tumbuk pelempar pai

ISTERI, Rupert Murdoch (berbaju merah) mendekati pelempar pai itu sebelum menumbuknya.


LONDON - Bilionair kontroversi, Rupert Murdoch berdepan situasi memalukan apabila seorang lelaki cuba menampar mukanya dengan menggunakan sepinggan pai tetapi dihalang oleh isterinya, Wendi Deng ketika mereka hadir di hadapan sebuah jawatankuasa Parlimen Britain di sini kelmarin.

Bilionair berusia 80 tahun itu hadir bersama isteri dan anak lelakinya, James untuk memberi keterangan berhubung skandal penggodaman telefon melibatkan tabloid News of The World miliknya yang sudah ditutup.

Tabloid milik Murdoch itu ditutup pada minggu lalu selepas ia beroperasi selama 186 tahun.

Suasana semasa sesi soal jawab selama tiga jam itu menjadi tegang apabila seorang lelaki melompat dari galeri awam dan cuba menampar muka Murdoch dengan menggunakan sepinggan pai kastard kelmarin di Parlimen Britain.

Seorang wanita yang duduk di belakang Murdoch cuba menghalang lelaki berkenaan.

Namun, isteri Murdoch yang turut duduk di belakang suaminya bagaimanapun menumbuk kepala penyerang itu dan menolak pinggang pai kastard berkenaan ke mukanya.

Wendi Deng yang berketurunan Cina dan berusia 42 tahun dan merupakan isteri ketiga Murdoch, bergelut dengan lelaki berkenaan sebelum seorang anggota polis tiba dan menangkapnya.

Penyerang itu kemudian dikenal pasti sebagai aktivis dan pelawak, Jonathan May-Bowles, 26.

Anggota-anggota jawatankuasa berkenaan memohon maaf berhubung serangan yang dihadapi oleh Murdoch dengan seorang anggotanya, Tom Watson mengakhiri sesi soal siasat berkenaan dengan berkata: "Isteri anda memiliki tumbukan kiri yang hebat."

Murdoch yang memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat dan kekayaan mencecah AS$6.3 bilion (RM18.8 bilion) tersenarai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Wednesday, July 20, 2011

9 Golongan Bersolat

Bismillahirrahmanirrahim.

Percaya ke kita bila disebutkan bahawa hanya 1 atau 2% sahaja umat Islam yang sembahyang? Kalau kita tak percaya maknanya mungkin kita belum faham makna sembahyang. Bila kita tanya budak kecil apa itu sembahyang, dia jawab, sembah Tuhanlah!.Betullah tu, pandai pun dia jawab.

Kita tanya pula diri kita yang dah dewasa ini, betul ke kita dah sembah Tuhan bila kita sembahyang? Sebagai panduan, berikut adalah 9 golongan manusia dalam hal sembahyang. Yang betul-betul boleh dikira sembahyang ialah kategori 7,8 dan 9 sahaja. Yang lain itu hakikatnya termasuk dalam golongan 98 atau 99% yang tak sembahyang...takut juga kita dibuatnya


1. Golongan yang langsung tidak bersembahyang dan menolak perintah sembahyang.


Mereka ini namanya saja Islam, tetapi memang tak mahu sembahyang. Malah tak tahu pun macam mana hendak sembahyang dan tak ambil peduli langsung tentang sembahyang. Mengikut Hadis, mereka ini dihukum sebagai kufur. Kalau dah kufur...confirmlah kekal selama-lamanya dalam Neraka...nauzubillah.


2.Golongan yang bersembahyang tanpa ilmu sembahyang.

Mereka ini sembahyang sebab terikut-ikut orang lain sembahyang.Tetapi yang sebenarnya, tak tamat ilmu sembahyang pun. Mereka ini tidak tahu yang mana satu rukun dan yang mana satu sunat. Bacaan pun tak betul, yang panjang jadi pendek dan yang pendek jadi panjang. Sah batalnya tidak tahu, bab bersuci pun tidak beres lagi. Sembahyang begini tentulah tidak diterima ALLAH SWT. Macamlah orang yang bagi jawapan tak betul dalam exam, mana cikgu nak luluskan. Tak passlah jawabnya!


3.Golongan yang ada ilmu sembahyang tetapi tak kuat nak lawan nafsu.


Mereka ini lulus subjek Pengetahuan Agama Islam, kadang-kadang boleh score A1 lagi. Tapi bila Brazil masuk World Cup final, sembahyang pun qada'.Kadang-kadang terlepas waktu kerana sibuk sangat buat kerja nak cari duit. Kalau sembahyang pun, sembahyang exercise sahaja. Tonggang tonggek untuk lancarkan peredaran darah tapi fikiran mereka boleh round seluruh dunia. Mereka ini golongan yang fasik atau zalim. Untuk mudah nak faham, mereka ini golongan Islam yang jahat. Macam mana yang dikatakan jahat? Mengadap Tuhan boleh lagi nak main-main...kalau depan raja pun orang dah kata biadap, inikan pula depan Tuhan, Raja segala raja.Mereka ini kalau tak merayu minta ampun, alamatnya akan dihalau dari istana raja (kalau dengan Tuhan - Syurgalah) Kalau dah dihalau dari Syurga, kemana agaknya kita kena pergi, sudah tentu semua dah maklum!


4. Golongan yang lalai dalam sembahyang


Mereka ini satu tangga lebih baik dari yang tadi. Mereka dah tak main qada' sembahyang. Kadang-kadang bila frust atau dalam keadaan stress, cukup rajin pula sembahyang jemaah dimasjid atau di surau. Orang sangka mereka ini orang baik-baik, tetapi sebenarnya belum lagi. Kalau kita nak tahu, diwaktu sembahyang hati dan fikiran mereka selalu melayang teringatkan problem yang masih tak selesai. Contohnya bergaduh dengan isteri, ceti dah datang, kunci hiang dll. Kadang-kadang sungguh hebatnya sampai teresak-esak menangis dalam sembahyang. Bukan tangiskan dosa dan takutkan Tuhan tapi sebab melayan perasaan sendiri. Dan ada dikalangan mereka yang lebih hebat lagi, bila bagi salam, kunci pun dapat! Memang tepatlah kalau mereka ini dikatakan golongan yang lalai.Mereka ini termasuk juga golongan yang biadap dengan Tuhan, macam orang yang berdepan dengan raja tapi buat hal sendiri. Raja tetap marah kerana tidak dihormati. Di Akhirat nanti, tempat mereka ialah di Neraka Wail, waliauzubillah.


5.Golongan yang sembahyang tarik tali.

Mereka ini lebih baik sikit dari yang di atas iaitu sentiasa tarik tali antara ingat bacaan sembahyang dengan tidak. Kadang-kadang ingat, kadang-kadang lalai. Macamlah orang yang ada penyakit amnesia (hilang ingatan). Kejap sedar, kejap tak sedar. Baru cakap separuh jalan, dah pengsan. Kalau raja rasa yang penyakit ini dah teruk, tentu raja suruh dia tinggal di hospital agar penyakitnya boleh di"rawat ".Kalau masih terkawal, ada peluang juga tinggal di kalangan tetamu raja. Jadi, golongan ini walaupun bersembahyang tapi belum selamat. Sebab terpulanglah kepada Tuhan, macam mana Than nak beri 'markah'. Golongan ini bila sedar, hendaklah banyak meminta ampun kepada ALLAH, moga-moga ALLAH terima mana-mana bahagian sembahyang yang dia ingat, manakala yang lalai tidak dikira. Disamping itu, hendaklah mereka terus tingkatkan kualiti sembahyang mereka.


6.Golongan yang tidak memahami sepenuhnya maksud bacaan dalam sembahyang.

Mereka ini fikirannya tidak lagi melilau-lilau atau bertarik tali dalam sembahyangnya. Mereka dah boleh beri tumpuan pada bacaan-bacaan dan lafaz-lafaz yang diucap dalam sembahyang. Sembahyang mereka pun nampak cantik dan sempurna. Kalau baca Fatihah, kalah lidah orang Arab, tetapi tak ubah macam duit palsu sahaja. Nampak macam yang original tapi tak ada nilai apa-apa. Mereka ini sebenarnya tak faham apa yang dibaca...dan tak nak pula belajar makna bacaan sembahyangnya. Nak khusyuk macam mana?... memanglah impossible! Inilah golongan awamul muslimin. Golongan ini juga belum selamat. Kalau di depan raja, mereka ini ibarat burung kakak tua yang tak faham apa yang diperkatakannya. Manusia yang berperangai burung kakak tua didepan Tuhan, manalah Tuhan suka!


7.Golongan yang selamat.


Mereka bersembahyang dengan tepat sebagaimana yang dikehendaki ALLAH. Selain sembahyangnya tepat secara zahir, fikiran dan hatinya dapat ditumpukan sepenuhnya kepada sembahyang. Faham pula apa yang diucapkan dalam sembahyang.
Kalau di istana, mereka inilah yang layak jadi tetamu raja. Mereka berkelakuan sopan dan pandai menghormati raja. Raja pun suka pada mereka.Raja tidak berat hati nak offer duduk lama-lama dalam istananya. Golongan ini selamat di dunia dan di Akhirat dan dapat masuk Syurga.Mereka inilah yang dikatakan orang-orang soleh.


8.Golongan muqarrabin


Mereka bukan sahaja khusyuk dalam sembahyang, tetapi dapat juga rasa lazat dalam sembahyang, lebih lazat dari makan sate Kajang. Bila baca tentang azab ALLAH, kecut hati dan perut mereka.Bila baca tentang rahmat ALLAH, hati mereka cukup tenang dan gembira. Mereka benar-benar dapat menjiwai sembahyang mereka. Darjat mereka ini lebih tinggi dari golongan 7. Kalau di istana raja, mereka ibarat pekerja-pekerja yang setia dengan raja. Bukan saja mereka memuliakan raja, bahkan semua titah raja dilaksanakan dengan sungguh-sungguh dan rasa seronok. Tak bagi gaji pun tak apa, asalkan dapat berkhidmat kpd raja. Orang begini, memanglah boleh terus menerus duduk di dalam istana. Nak keluar masuk istana, tak payah soal siasat. Cukup tunjukkan punch card. Malah raja bagi pula kemudahan-kemudahan istimewa untuk mereka. Di Akhirat nanti, mereka bukan sahaja selamat, tetapi tidak banyak dihisab di Padang Mahsyar. Mereka ini bukan sahaja tidak melakukan perkara yang haram dan makruh, malah yang harus juga dijadikan ibadah.


9. Golongan siddiqin


Golongan ini golongan yang luar biasa. Mereka ini bukan kena paksa diri untuk sembahyang tetapi betul-betul seronok nak sembahyang. Bukan rasa lazat sahaja, tetapi sangat terhibur dan begitu asyik mahsyuk kpd ALLAH sewaktu sembahyang (macam orang yang sedang memadu cinta) Mereka ini terdiri dari kalangan para rasul dan anbia' ALLAH. Mereka ini ibarat menteri-menteri dan panglima raja. Mereka boleh rasa terhibur kalau terpaksa gadaikan nyawa sendiri untuk selamatkan raja. Mana raja tak sayangkan mereka!. Keluar masuk istana langsung tidak diperiksa. Malah banyak keistimewaan yang dianugerahkan raja kpd mereka.Nasib mereka di Akhirat tak payahlah nak dicerita. Merekalah yang menjadi wakil Tuhan untuk selamatkan manusia.

Begitulah 9 kategori golongan manusia dan sembahyangnya...dimana kita agaknya? Bila diperiksa sembahyang kita agaknya belum lulus lagi. Ingatkan rasa lega dah tunaikan sembahyang, rasa dah cukup baik tetapi rupa-rupanya belum selamat lagi. Rupa-rupanya masih derhaka dan sangat biadap dengan Tuhan. Masya-ALLAH tak sedar yang kita derhaka dalam buat taat!. Marilah kita berusaha sungguh-sungguh untuk meningkatkan sembahyang ke peringkat 7 atau 8 kalau kita sayangkan diri kita. (Peringkat 9 memang tak boleh untuk orang macam kita). Moga-moga kita selamat di dunia dan Akhirat. Amin ya Rabbal 'alamin
Makna Solat & 9 Golongan Bersolat - CERITA CERITA

Beli merpati dibayar dengan Proton Wira

MERPATI MEMBAWA REZEKI: Encik Ahmad bersama kereta Proton Wira yang ditawarkan kepadanya bagi merpati Pomeranian Pouter yang dibela di rumahnya di Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu, kelmarin. -- Foto BHM

KUALA TERENGGANU: Gara-gara burung merpati belaan Encik Ahmad Hashim daripada jenis eksotik, seorang peminat burung merpati sanggup menyerahkan kereta Proton Wiranya bernilai RM20,000 ($8,094) dan menambah wang tunai RM1,000 bagi mendapatkan dua pasang burung itu Mac lalu.

Bagaimanapun, Encik Ahmad, 44 tahun, berkata dua pasang merpati yang ditukar dengan kereta itu bukan sembarangan burung, kerana ia baka Pomeranian Pouter, yang diimport dari Amerika Syarikat dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi antara RM2,000 hingga RM2,500 seekor bagi anak burung tersebut yang berumur kurang empat bulan.

'Seorang peminat burung merpati sanggup menyerahkan kereta Proton Wira bernilai RM20,000 dan menambah wang tunai RM1,000 bagi mendapatkan dua pasang burung merpati eksotik yang saya bela, Mac lalu,' kata beliau.

Menurutnya, walaupun harga burung tersebut tidak semahal ayam serama, yang boleh mencecah RM30,000 seekor, ia mempunyai keunikan tersendiri dan dikatakan lebih hebat dan cantik berbanding ayam serama, terutamanya apabila merpati itu membonjolkan dadanya seperti bola dan bulunya mengerbang melindungi kaki yang panjangnya mencecah sehingga 12 sentimeter itu.

Encik Ahmad berkata beliau memelihara merpati dari Eropah, Amerika dan Pakistan sejak lima tahun lalu sebagai hobi, yang secara sambilan menjadi sumber pendapatan tambahan baginya.

'Saya tidak menghadapi masalah memasarkan burung ini kerana turut menggunakan Internet, selain promosi mulut ke mulut di kalangan pelanggan saya.

'Saya mampu menjual dua hingga tiga pasang merpati baka import ini setiap bulan dengan harga antara RM2,000 hingga RM2,500 bagi sepasang anak yang ditetaskan di sini dan berumur kurang empat bulan,' dedahnya. -- BHM.

Cyberita Online Luar Negara

Wakil Gaddafi berunding dengan pegawai AS usaha ke arah dialog

TRIPOLI: Wakil-wakil pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, mengadakan rundingan dengan para pegawai Amerika Syarikat di Tunisia sepanjang hujung minggu lalu, kata seorang pegawai pemerintah Libya, sambil menyifatkan pertemuan itu sebagai langkah pertama ke arah sebuah dialog.

Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika lewat kelmarin mengesahkan pertemuan itu tetapi berkata ia hanya untuk mengemukakan mesej jelas dan kukuh bahawa Encik Gaddafi harus meletak jawatan.

Pegawai itu berkata ia bukan satu sesi rundingan dan tiada mesyuarat mendatang yang dirancangkan.

Pertemuan itu dibuat selepas satu keputusan oleh Amerika dan lebih 30 negara lain di Istanbul, pada Jumaat lalu, untuk mengiktiraf para pemberontak di timur Libya yang sedang bertempur dengan tentera Encik Gaddafi sebagai wakil-wakil sah negara itu, tambah pegawai tersebut, atas syarat namanya tidak didedahkan kerana tidak diberi kuasa mendedahkan mesyuarat itu kepada awam.

Jurucakap Libya, Encik Moussa Ibrahim, memberitahu pemberita di Tripoli bahawa pertemuan itu diadakan pada Sabtu lalu di Tunisia tetapi beliau enggan mendedahkan senarai pegawai yang terbabit dalam mesyuarat.

'Ini adalah langkah pertama dan kami mahu langkah-langkah berikutnya,' kata beliau.

'Kami tidak mahu terperangkap dalam masa lalu; kami mahu bergerak ke depan setiap masa,' kata beliau kepada pemberita di koridor sebuah hotel di tempat penginapan wartawan asing di sana.

Beliau menyifatkannya sebagai satu 'langkah pertama (ke arah) dialog' untuk memulihkan hubungan antara kedua-dua negara tersebut. -- AP.

Cyberita Online Luar Negara

Gelombang debu raksasa landa wilayah AS







GELOMBANG DEBU: Satu gelombang ribut debu sedang menuju ke kawasan Phoenix, kelmarin, sambil membentuk ‘dinding debu’ setinggi 900 meter. -- Foto AP

PHOENIX (Arizona): Satu gelombang debu raksasa melanda dan menyelubungi kawasan Phoenix, di wilayah Arizona, Amerika Syarikat, awal semalam.
Kejadian itu menjadikan warna langit bertukar kepada kecoklatan, membahayakan keadaan memandu para pemilik kenderaan dan menangguhkan jadual penerbangan.Ribut debu, juga digelar sebagai haboob dalam bahasa Arab, melanda sekitaran Arizona, terbentuk di Pinal County dan menuju ke arah timur laut, yang mana ia sampai di Phoenix sekitar 5.30 petang (waktu tempatan) kelmarin.'Dinding debu' itu setinggi kira-kira 900 meter dan membawa angin kencang selaju 40 hingga 48 kilometer sejam, dengan angin meniup kencang secara tiba-tiba sehingga 64 kilometer sejam, kata Encik Austin Jamison, seorang pakar meteorologi dengan agensi cuaca di sana.Darjah penglihatan adalah kurang daripada 400 meter di beberapa kawasan, kata beliau.'Anda secara tiba-tiba mengalami darjah penglihatan yang rendah yang turut diiringi debu tebal di ruang udara,' kata Encik Jamison.'Dengan darjah penglihatan yang rendah yang membahayakan keadaan memandu, ia memberikan kesan yang amat besar,' ujarnya lagi.Tiada kemalangan di jalan- jalan raya yang telah dilaporkan kerana ribut itu mulai reda dalam masa sejam.Jabatan Keselamatan Awam Arizona tidak segera menjawab pertanyaan mengenai keadaan jalan-jalan raya.Beberapa penerbangan yang sepatutnya berangkat di Lapangan Terbang Antarbangsa Sky Harbour Phoenix, bagaimanapun, tertangguh akibat ribut tersebut, kata seorang jurucakap lapangan terbang, Encik Julie Rodriguez.Penerbangan menuju ke lapangan terbang berkenaan dari bandar-bandar berdekatan termasuk Los Angeles, ditangguhkan sehingga ribut reda, katanya.Beliau, bagaimanapun, tidak dapat tahu berapa banyak penerbangan telah ditangguhkan atau sama ada ia dibatalkan.Satu lagi ribut debu pernah melanda Arizona pada 5 Julai lalu, hingga menarik perhatian seluruh dunia.Ribut itu yang membentuk 'dinding debu' setinggi hampir 1.6 kilometer menjejas penerbangan, mengganggu bekalan kuasa elektrik bagi ratusan orang dan menjadikan kolam-kolam renang seakan seperti kolam- kolam lumpur. -- AP.Cyberita Online Luar Negara

Bekas jaguh jimnastik China mengemis di jalanan

BEIJING: Seorang ahli jimnastik China paling berbakat ditemui meminta sedekah di jalan raya selepas menjual dua pingat emasnya dengan harga RM50.

Zhang Shangwu, 28, diyakini akan meraih pingat emas Olimpik Athens 2004 sebelum kariernya berakhir akibat kecederaan.


Dia kini terpaksa meminta sedekah di jalan raya selepas memperoleh sejumlah kecil bayaran daripada kerajaan dan mendapati dirinya tidak boleh bekerja.

Keadaannya mengejutkan rakyat China, sebuah negara yang menghargai pemenang Olimpik dan keluarga mereka dengan memberi hadiah.


Ia juga mendorong kecaman terhadap sistem sukan ala-Soviet yang ketat yang diamalkan China.


Pengkritik berkata, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima melihat sejumlah besar atlit yang terpaksa bersara dibiarkan hidup dalam kesusahan.

Di negara itu, bintang sukan menjalani program latihan sejak usia muda.

Selagi berjaya, mereka akan menerima gaji bulanan dan pelbagai ganjaran. Tetapi jika kalah, mereka akan dibiarkan begitu saja.

Chang dilahirkan dalam sebuah keluarga petani di Baoding, wilayah Hebei. Pada usia lima tahun, dia dihantar berlatih selama tujuh tahun di sebuah akademi gimnastik.


Dia dipilih mewakili pasukan kebangsaan China pada 2001 dan menang dua pingat emas pada Sukan Universiti dunia.


Dia dilihat hampir pasti memenangi sukan Olimpik Athens pada 2004 tetapi gagal bertanding apabila mengalami kecederaan pada tendon Achilles.


Zhang tidak pulih daripada kecederaan itu dan terpaksa bersara pada 2005 dengan menerima bayaran sebanyak RM18,250 daripada kerajaan China.


“Wang itu bermakna pasukan tempatan tidak perlu menanggung masa depan saya. “Selepas saya meninggalkan sukan itu, saya mendapat pekerjaan sebagai budak penghantar makanan. “Tidak lama kemudian, kecederaan saya bertambah teruk sehinggga saya tidak boleh berlari atau berjalan untuk tempoh masa yang lama,” katanya. Apabila kehabisan wang simpanan dan datuknya pula mengalami pendarahan otak, Zhang beralih kepada jenayah dan pada 2007, ditangkap kerana mencuri di Beijing.


Dia dibebaskan dari penjara April lalu dan mendapati dirinya terpaksa mengemis untuk hidup. - AP

myMetro | Bekas jaguh jimnastik China mengemis di jalanan

Bom motosikal meletup, 18 cedera

YALA: Lapan belas orang, termasuk tiga pelajar cedera apabila sebuah motosikal meletup di depan sebuah sekolah di daerah Banang, Yala, pagi tadi.

Menurut laporan akhbar, polis bertindak pantas menangkap seorang suspek.


Letupan beraku kira-kira jam 11 pagi (waktu tempatan), bertentangan dengan Sekolah Ban Tao Poon.

Sebuah pikap rosak teruk sementara sebuah trak GMC tentera terhumban ke dalam longkang berhampiran, akibat letupan itu.


Polis mengumpulkan serpihan motosikal terbabit dan bom di tempat kejadian sebagai bahan bukti untuk menjalankan siasatan.


Tingkap cermin sekolah berkenaan berkecai dan beberapa motosikal milik guru juga rosak. - The Nation

myMetro | Bom motosikal meletup, 18 cedera

Iran rancang hantar kapal perang ke Lautan Atlantik

TEHERAN: Tentera laut Iran merancang menghantar kapal perang ke Lautan Atlantik sebagai sebahagian program untuk membuat rondaan di perairan antarabangsa, kata Laksamana Muda Habibollah Sayari dalam satu kenyataan, semalam.

Namun, komander tentera laut itu, seperti dipetik daripada akhbar Kayhan, masih menunggu ‘kelulusan akhir’ sebelum melancarkan operasi itu.


“Selepas diluluskan (projek itu) armada tentera laut akan dihantar ke (Lautan) Atlantik,” kata Habibollah tanpa memberi maklumat lanjut mengenai di kawasan mana Lautan Atlantik armada itu akan dihantar. “Kehadiran (kapal dan kapal selam) di Laut Mediteranean, Terusan Suez dan lautan Hindi dan perairan antarabangsa masih dalam agenda tentera laut,” katanya. Menurutnya, kapal perang yang ditugaskan untuk misi jarak jauh itu dilengkapi dengan peluru pelayaran Noor. “Kapal yang ditugaskan untuk sesuatu misi dilengkapi peluru berpandu bumi ke bumi Noor yang berjarak 200 kilometer,” katanya. - AFP

myMetro | Iran rancang hantar kapal perang ke Lautan Atlantik

Tragedi pegawai muda TUDM


NGERI...keadaan kereta yang dinaiki Mohd Zulhelmi hancur selepas merempuh pembahagi jalan, semalam. Gambar kecil, Mohd Zulhelmi
NGERI...keadaan kereta yang dinaiki Mohd Zulhelmi hancur selepas merempuh pembahagi jalan, semalam. Gambar kecil, Mohd Zulhelmi


ARAU: Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang baru tiga hari ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (KTU) Kepala Batas, Alor Setar, Sabtu lalu, maut dalam satu kemalangan ngeri apabila kereta dipandunya terbelah dua di Kilometer 21, Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, berhampiran Kampung Katong di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa, Mohd Zulhelmi Mohd Yusof, 21, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Dalam kejadian itu, tiga rakan mangsa iaitu Muhammad Amir Mohamed Ariffin, 21; Melati Kamarudin, 20; dan Ku Shahida Ku Shali, 22, parah selepas patah kaki dan cedera di muka.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, mangsa yang berasal dari Teluk Intan, Perak, dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Kangar untuk menghantar Melati dan Ku Shahida.

Mohd Zulhelmi dan Muhammad Amir baru ditauliahkan sebagai pegawai TUDM, manakala dua rakan wanita itu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri itu.


“Mereka dipercayai baru selesai menghadiri majlis jamuan bagi meraikan pentauliahan itu di Sungai Petani, malam kelmarin,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd Nadzri berkata, mangsa yang memandu kereta Perodua Viva itu dipercayai mengantuk sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Katanya, keadaan kereta mangsa hancur di sebelah kanan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kecederaan bahagian dalaman, manakala dua lagi rakannya patah kaki dan seorang lagi cedera di muka.
“Mangsa yang cedera parah akibat rempuhan kuat di sebelah kanan kereta itu disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke HTF.

“Rakan mangsa juga dihantar ke HTF bagi mendapat rawatan susulan dan sehingga semalam keadaan ketiga-tiga mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Menurut Nadzri, keluarga mangsa dan pihak TUDM sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan sebaik selesai urusan bedah siasat, jenazah mangsa dituntut pihak TUDM bagi urusan selanjutnya tengah hari semalam.

“Kereta pegawai tentera itu akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
myMetro | Tragedi pegawai muda TUDM