Pages

Thursday, June 16, 2011

Ketuk ketampi: KDN jalankan inkuiri segera



KUALA LUMPUR 15 Jun - Kementerian Dalam Negeri akan menjalankan inkuiri dengan segera berhubung kes penahanan dua warga Singapura oleh Jabatan Imigresen di Johor Bahru pada 9 Jun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inkuiri itu bukan sahaja membabitkan Jabatan Imigresen, malah turut membabitkan pihak polis dan Jabatan Penjara.
Namun, katanya, insiden ketuk ketampi itu bukan dilakukan oleh pegawai imigresen di barisan hadapan, sebaliknya dilakukan oleh mereka yang berada di depot tahanan imigresen.
''Biarlah kes ini disiasat oleh inkuiri dengan lebih mendalam dan ia akan dibuat dengan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai isu dua warga Singapura yang mendakwa diarahkan ketuk ketampi sampil berbogel minggu lalu.
Hishammuddin dalam pada itu berkata, kes ketuk ketampi membabitkan Jabatan Imigresen tidak pernah dilaksanakan sebelum ini dan dakwaan itu merupakan yang pertama diketahuinya.
Katanya, kebanyakan tindakan yang diambil oleh Jabatan Imigresen adalah berdasarkan standard prosedur yang ditetapkan.
''Sekiranya prosedur itu tidak lagi bersesuaian dengan keadaan sekarang, maka ia perlu diubah.
"Namun pindaan tersebut biarlah disandarkan kepada inkuiri yang dilakukan oleh ketiga pihak berkenaan," katanya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

SINGAPURA
LAYANAN BURUK IMIGRESEN JB
Dua wanita mahu buat aduan rasmi
Oleh
Nurul Dayana Simangoon

KEDEDUA wanita yang dihumban ke dalam pusat tahanan dan diarah ketuk ketampi dalam keadaan berbogel gara-gara pasport tidak dicap akan mengemukakan aduan secara rasmi kepada Jabatan Imigresen Malaysia.Salah seorang wanita itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Lim, ejen hartanah berusia 20-an tahun, menyatakan demikian ketika dihubungi Berita Harian semalam.Pada awal pagi Khamis lalu, Cik Lim memandu ke Johor Bahru bersama rakannya, Cik Chang, lewat 30-an tahun, dengan pasport masing-masing tidak dicap ketika melalui kaunter imigresen.Selepas 48 jam disoal oleh pegawai-pegawai imigresen Malaysia, digari, ditahan selama satu malam dan diarahkan ketuk ketampi sebanyak 10 kali tanpa berpakaian atas dakwaan cuba masuk ke Malaysia secara tidak sah, mereka diberi amaran dan diizin pulang ke Singapura.'Kementerian Ehwal Luar (MFA) memberitahu kami mereka akan menyampaikan aduan kami kepada pihak Imigresen Malaysia dan mendapatkan penjelasan daripada mereka,' ujar Cik Lim.Seorang jurucakap MFA, ketika dihubungi semalam, mengesahkan kededua wanita itu bertemu pegawai konsular MFA awal petang.Mereka menyatakan niat mengemukakan aduan secara rasmi kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia.'MFA akan menyampaikan aduan mereka kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura sebaik sahaja kami menerimanya,' ujar jurucakap MFA itu lagi.Dalam kejadian sekitar 1.30 pagi pada Khamis lalu itu, Cik Lim berkata beliau memandu ke laluan imigresen yang berlampu hijau, namun kaunternya tidak dijaga pegawai.Beliau terus memandu ke depan kerana menyangka akan melalui kaunter sistem pengimbas cap jari.Mereka serta-merta berpatah balik setelah menyedari tiada kaunter di depan dan menjelaskan kepada pegawai tentang kesilapan mereka.Namun, mereka dibawa ke bilik mesyuarat dan diberitahu akan dibebaskan jika setiap seorang membayar denda RM3,000 ($1,200).Selepas menunggu tiga jam, mereka dibawa ke Pusat Tahanan Pontian. Mereka bermalam bersama 50 lagi wanita di tempat yang menurut mereka dipenuhi nyamuk dan lipas.Selepas melalui pengalaman itu, Cik Lim berkata: 'Saya tidak akan melangkah ke Malaysia lagi. Buat selama-lamanya.'Cyberita Online Singapura

Anak Ecclestone beli rumah paling mahal di AS



Petra Ecclestone membeli rumah agam milik Aaron Spelling berharga AS$150 juta di Los Angeles. - REUTERS


LOS ANGELES 15 Jun - Rumah paling mahal di Amerika Syarikat (AS) telah dijual kepada waris perempuan Formula 1, lapor The Wall Street Journal hari ini.
Rumah yang terletak di Holmby Hills, Los Angeles itu telah dijual oleh balu penerbit Hollywood legenda, Aaron Spelling lebih dua tahun lalu.
Candy Spelling membelanjakan sebanyak AS$150 juta (RM454 juta) untuk memiliki rumah yang berkeluasan 5,700 meter persegi ini.
Rumah itu turut memiliki lorong boling, sebuah salun kecantikan dan tempat meletak kereta untuk 100 buah kereta.
Petra Ecclestone, 22, anak perempuan kepada ketua Formula 1, Bernard Ecclestone yang membeli rumah itu merancang untuk membahagikan masa antara rumah agam tersebut dengan rumahnya di London yang bernilai AS$90 juta (RM272 juta).
Aaron Spelling dikenali sebagai orang yang menerbitkan rancangan televisyen yang terkenal seperti Charlie's AngelsDynasty dan Beverly Hills 90210. - dpa

Penduduk Greece lancar mogok



Penduduk Greece bertempiaran menyelamatkan diri setelah polis antirusuhan melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk yang mengadakan mogok di luar bangunan Parlimen di Athens, semalam. - AFP


ATHENS 15 Jun - Pejabat-pejabat ditutup dan perkhidmatan pengangkutan awam darat dan laut di seluruh Greece terganggu hari ini apabila penduduk negara ini melancarkan mogok umum besar-besaran bagi menentang pelan berjimat-cermat oleh kerajaan.
Beratus-ratus penunjuk perasaan terdiri daripada kumpulan protes terkenal, 'The indignants' membanjiri Dataran Syntagma, Athens di hadapan bangunan Parlimen.
Dataran itu dipenuhi rakyat Greece, bendera Sepanyol dan kain rentang yang tertulis 'bantahan' serta laungan 'ia tidak akan diluluskan'.
Penganjur protes yang berada di dataran tersebut sejak tiga minggu lalu berkata, rantaian manusia akan dibentuk mengelilingi Dewan Perundangan tersebut ketika ahli-ahli Parlimen mula berdebat tentang rancangan pemotongan belanjawan sebagai langkah berjimat-cermat.
Awal hari ini, polis mendirikan sekatan jalan raya menuju ke bangunan Parlimen dan berpuluh-puluh van polis diletakkan di hadapan laluan untuk membenarkan ahli-ahli Parlimen memasuki bangunan tersebut.
Beberapa jalan utama di sekitar Parlimen turut ditutup dan pusat bandar dikawal ketat polis.
Ketegangan semakin memuncak di Greece sejak beberapa hari lalu apabila penunjuk perasaan menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pelan kerajaan untuk memotong belanjawan dan kenaikan cukai.
Langkah berjimat-cermat itu untuk menjamin bantuan kewangan daripada peminjam dan debat berhubung pemotongan belanjawan tersebut akan diadakan secara terbuka di Parlimen Greece.
Tinjauan pendapat menunjukkan kebanyakan rakyat Greece hilang keyakinan terhadap kerajaan, sistem politik serta badan kehakiman yang sering dilihat gagal membasmi korupsi. - AFP

Tentera Syria kukuh penguasaan



DAMSYIK 15 Jun - Tentera Syria meningkatkan penguasaan di wilayah bergolak di barat laut negara ini, ketika komuniti global mengecam tindakan keras pihak berkuasa ke atas penunjuk perasaan antirejim Presiden Bashar al-Assad, yang setakat ini telah mengorbankan 1,297 penduduk awam.
Aktivis hak asasi manusia berkata, tentera terus memperkukuhkan kedudukan mereka di kampung-kampung dan pekan berhampiran bandar Jisr al-Shughur di wilayah Idlib, sehingga memaksa penduduk tempatan melarikan diri ke Turki.
"Tentera kini menuju ke Maaret al-Numan dan mereka datang dari bandar Aleppo dan Hama," kata ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman.
Menurut saksi, tentera menghalang penduduk meninggalkan wilayah Idlib dan dilaporkan menembak mereka yang cuba mengelak daripada diperiksa di pusat pemeriksaan tentera.
Penunjuk perasaan menyifatkan operasi itu sebagai kempen 'bumi hangus', manakala segelintir anggota tentera Syria turut melarikan diri ke Turki meninggalkan tugas mereka dengan mendakwa mereka dipaksa bertindak kejam ke atas penunjuk perasaan.
"Seramai enam orang terkorban dalam tempoh beberapa jam lalu di Ariha," kata seorang aktivis di timur Jisr al-Shughur kepada AFP di Nicosia.
Mengikut Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia semalam, seramai 1,297 penduduk awam telah terbunuh sejak ketegangan tercetus di negara ini sejak pertengahan Mac lalu. - AFP, utusan

Jepun temui radioaktif pada paus



TOKYO 15 Jun - Pemburu paus di Jepun menemui kesan-kesan bahan radioaktif caesium dalam badan dua ekor mamalia raksasa tersebut yang ditangkap baru-baru ini di perairan negara ini di Lautan Pasifik.
Dua ekor paus jenis minke yang ditangkap dekat pulau Hokkaido, utara Jepun menunjukkan bacaan 31 becquerel dan 24.3 becquerel caesium sekilogram, kata seorang pegawai agensi perikanan hari ini.
Puncanya dipercayai daripada kebocoran bahan radioaktif di loji nuklear Fukushima, katanya.
Paras itu masih jauh di bawah had selamat maksimum yang ditetapkan baru-baru ini bagi makanan laut iaitu 500 becquerel sekilogram.
Air radioaktif dari loji nuklear Fukushima Daiichi bocor ke Lautan Pasifik sejak dilanda gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu, yang merosakkan sistem pendingin lalu mencetuskan kecairan reaktor dan letupan.
Rakyat Jepun dan pakar hidupan laut melahirkan kebimbangan bahan radioaktif di laut boleh berkumpul dalam badan haiwan marin yang besar dan hidup lama. - AFP

Jakim sahkan HP Sauce, Tabasco Pepper Sauce mengandungi DNA babi



KUALA LUMPUR 15 Jun - Semua pemegang dan pemohon baru Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce diarahkan menukarnya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan.
Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sazali Harun, mereka juga diminta melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing kepada Jakim.
"Jakim sebelum ini telah mengambil sampel produk tersebut dan keputusan Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan terdapat DNA babi di dalamnya.
"Mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan resit pembelian produk baru kepada pihak kami," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan yang berasingan, beliau turut memberitahu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi Syarikat Lucky Food Processing Sdn. Bhd., ditarik balik berkuat kuasa serta-merta berikutan penemuan DNA babi dalam produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage keluarannya.
Penarikan sijil halal terhadap syarikat tersebut dilakukan berdasarkan keputusan mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia yang diadakan pada 22 April lalu.
utusan

Banjir di China: 55,000 dipindahkan



Seorang lelaki mengangkut seorang wanita bersama cucu perempuannya menggunakan jentolak meredah banjir di sebatang jalan utama di Xianning, wilayah Hubei, semalam. - REUTERS


BEIJING 15 Jun - China yang dilanda hujan pada musim panas terpaksa melakukan pemindahan 55,000 orang penduduk dan turut memberi amaran akan terus menerima hujan lebat, lapor media tempatan hari ini.
Menurut agensi berita Xinhua, kebanyakan pemindahan penduduk dilakukan di Xianning, wilayah Hubei.
Kerajaan China menyatakan jumlah mereka yang disahkan terkorban dalam tempoh seminggu banjir dan tanah runtuh yang berlaku akibat hujan yang turun mencurah-curah itu kini melebihi 100 orang.
Beberapa tempat yang paling teruk terjejas akibat hujan lebat tersebut sebelum ini mengalami kemarau buruk tetapi hujan yang turun tanpa henti diramalkan akan berterusan sehingga Jumaat ini.
China dilanda hujan lebat musim panas setiap tahun.
Pada tahun 2010, hujan lebat yang turun di seluruh China menyebabkan berlakunya banjir yang paling teruk di China dalam dekad ini dan menyebabkan lebih 4,300 orang terkorban atau hilang. - AFP

Filipina cabut penanda



Gambar yang diambil oleh agensi berita Vietnam dan dikeluarkan pada 14 Jun lalu merakamkan pemandangan di pulau Phan Vinh di Kepulauan Spratly. Vietnam turut memperkuatkan tenteranya di pulau itu berikutan ancaman China ke atas Kepulauan Spratly yang mencetuskan ketegangan di Laut China Selatan. - AFP


MANILA 15 Jun - Tentera laut Filipina mencabut penanda yang didirikan oleh pihak yang tidak dikenali di tiga terumbu dan beting di kawasan perairan yang menimbulkan pertikaian di Laut China Selatan.
Tindakan mencabut tiang-tiang kayu itu dilakukan pada Mei lalu, sejurus sebelum kerajaan secara rasmi membantah apa yang didakwa sebagai pencerobohan oleh tentera laut China di perairan Filipina, kata jurucakap tentera laut Filipina, Leftenan Kolonel Omar Tonsay, hari ini.
"Tiang-tiang itu adalah penanda asing kerana tidak didirikan oleh tentera atau kerajaan kami, dan kami mencabutnya kerana perairan berkenaan adalah sebahagian daripada wilayah Filipina," katanya.
Manila, baru-baru ini menuduh China mendirikan tiang-tiang dan meletakkan sebuah boya di kawasan perairan yang dituntut oleh Filipina, tetapi Tonsay berkata, tentera laut belum dapat memastikan siapa yang mendirikan tiang-tiang kayu yang dicabut pada Mei lalu itu.
"Tidak ada label atau cap 'Buatan China' pada tiang-tiang itu, tetapi hanya nombor yang tertera padanya," ujar beliau.
Penanda tersebut ditempatkan di Terumbu Boxall di Kepulauan Spratly, dan di Beting Amy Douglas dan Beting Reed berhampiran, kesemuanya terletak di perairan Laut China Selatan yang dituntut oleh Filipina dan China.
Ketegangan berhubung pertikaian berpanjangan itu meningkat sejak beberapa bulan lalu berikutan dakwaan Filipina dan Vietnam bahawa China semakin agresif dalam menyuarakan tuntutannya ke atas kawasan terlibat.
Filipina pada bulan ini menuduh China mengancam keamanan dan kestabilan di Asia dengan menghantar kapal-kapal tentera lautnya dekat Beting Reed untuk menakut-nakutkan bot dan kapal negara lain yang turut membuat tuntutan, dan memasang tiang dan boya di kawasan berdekatan.
Manila juga membantah berhubung beberapa insiden dari Februari hingga bulan lepas, dengan menuduh tentera laut China melepaskan tembakan ke arah nelayan Filipina dan mengancam sebuah kapal cari gali minyak negara ini.
Presiden Filipina, Benigno Aquino meningkatkan lagi ketegangan itu semalam apabila beliau membuat kenyataan bahawa negara ini memerlukan bantuan daripada sekutu lamanya, Amerika Syarikat (AS) dalam perbalahan dengan China. - AFP. utusan

Abu Bakar Bashir mangsa konspirasi


Biayai pengganas: Abu Bakar Bashir dipenjara 15 tahun

16/06/2011 4:29pm

JAKARTA 16 Jun - Guru radikal agama, Abu Bakar Bashir dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun kerana membiayai kumpulan pengganas yang merancang serangan ke atas rakyat Barat dan pemimpin politik. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

12 penumpang bas terbunuh serangan NATO

RABAT 16 Jun - Kira-kira 12 penumpang terbunuh apabila serangan udara NATO meletupkan sebuah bas di pekan Kikla, Libya, lapor siaran televisyen tempatan hari ini.
Bagaimanapun, stesen televisyen tersebut tidak memberikan maklumat lanjut.
NATO tidak memberi maklum balas berhubung kejadian tersebut. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Terkini

Gempa bumi kuat landa Papua New Guinea

KUALA LUMPUR 16 Jun — Gempa bumi kuat bermagnitud 6.6 pada skala Richter melanda Papua New Guinea (PNG) pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, gempa bumi pada pukul 8.03 pagi di PNG New Britian Region itu berlaku di 605 km timur laut Port Moresby dan 3,863 km barat daya Kunak Sabah.
Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, kata kenyataan jabatan itu di sini. — Bernama
Utusan Malaysia Online - Terkini

Tawar organ RM1 juta!



MAHU JUAL ORGAN...Fatimah mengadu nasib kepada wartawan.
MAHU JUAL ORGAN...Fatimah mengadu nasib kepada wartawan.

JOHOR BAHRU: “Ini ikhtiar akhir, saya mahu jual buah pinggang atau mata pada harga RM1 juta untuk melunaskan hutang along,” demikian luah ibu kepada dua anak berusia 35 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah di sini, semalam.
Suami Fatimah dikenali sebagai Ahmad, 39, terpaksa menanggung kadar bunga mencecah RM54,000 sejak September lalu melalui pinjaman RM30,000 untuk memulakan perniagaan, sudah tidak tahan lagi diganggu lelaki tidak dikenali yang sering datang ke kediamannya di Larkin di sini, bagi menuntut hutang terbabit.

Fatimah yang tidak bekerja berkata, dia sedar perbuatan menjual organ tubuh salah di sisi undang-undang, tetapi beranggapan ia jalan terakhir mampu dilakukannya bagi melunaskan hutang secepat mungkin.

“Saya melakukannya kerana tidak sanggup melarikan diri daripada buruan along selain kasihan dengan ibu yang sering menjadi mangsa maki-hamun lelaki tidak dikenali.

“Harga diletakkan pula memang tinggi kerana saya beranggapan selepas menjual organ, saya mungkin berdepan masalah kesihatan dan wang itu akan digunakan untuk membiayai kos sepanjang hayat,” katanya.myMetro | Tawar organ RM1 juta!

Lihat anak lemas



ANGKAT...anggota penyelamat mengangkat mayat mangsa. Gambar kecil, Heng Choon Keng.
ANGKAT...anggota penyelamat mengangkat mayat mangsa. Gambar kecil, Heng Choon Keng.
SABAK BERNAM: Menyayat hati apabila seorang nelayan tempatan ditemui lemas selepas bot dinaikinya terbalik dirempuh sebuah kapal besar dalam kejadian awal pagi semalam, kira-kira sembilan batu nautika dari pesisir pantai Sekinchan, Sungai Besar, di sini.
Sebelum kejadian, mangsa, Heng Choon Keng, 29, bersama bapanya, Heng Keng Sooi, 54, dan abangnya, Heng Choon Ming, 32, serta dua pekerja warga Indonesia keluar ke laut menangkap ikan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 10.51 pagi daripada adik mangsa.
“Polis menerima laporan bot kelas B milik Keng Sooi dinaiki lima nelayan yang menangkap ikan dirempuh kapal besar kira-kira jam 3.30 pagi pada kedudukan kira-kira sembilan batu nautika dari pesisir pantai Sekinchan.

“Rempuhan itu menyebabkan bot dinaiki lima nelayan itu terbalik lalu karam. Semua mangsa terhumban ke laut sebelum seorang daripada mereka lemas selepas terperangkap dalam bot yang terbalik manakala empat lagi berjaya menyelamatkan diri.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira jam jam 11 pagi oleh penyelam dan anggota penyelamat dalam bot karam berkenaan sebelum dibawa naik di Pantai Redang, Sekinchan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat,” katanya.
Keng Sooi yang ditemui berkata, mereka berlima turun ke laut untuk menangkap ikan kira-kira jam 2.30 pagi.
“Ketika kejadian, keadaan kabus tebal dan Choon Keng tidur di tingkat dua bot. Dia sukar menyelamatkan diri apabila bot terbalik dan mula karam.
“Saya tak berdaya membantunya kerana perlu menyelamatkan diri dengan berenang dan berpaut pada bot yang karam. Saya hanya melihat anak saya itu masih terkial-kial,” katanya.

Abang mangsa, Choon Ming berkata, ketika kejadian, semua mereka langsung tidak menyedari kehadiran kapal besar terbabit kerana kabus tebal.
myMetro | Lihat anak lemas

50 sen amat bernilai

FAYOUM: Selepas menjelajah kawasan peranginan orang kaya di Mesir, kami ingin menjengah pula lokasi pilihan golongan kebanyakan di negara ini dan agak terkejut apabila mendapat tahu ia ialah di kawasan individu paling kaya pada zaman dulu iaitu Qarun yang terkenal dengan kisah istananya ditenggelami Allah menjadi tasik, iaitu Tasik Qarun.
Terletak kira-kira 120 kilometer dari Kaherah, perjalanan ke situ melalui dua pos kawalan yang hanya memerlukan kita mengangkat tangan (tidak seperti ke Dahab, Taba, Sinai sebelum ini dikawal dan diperiksa rapi) dan anggota keselamatannya pula lebih murah dengan senyuman.

Selepas melepasi bangunan di Kaherah, kelibat Gurun Sahara mula kelihatan dan belum pun keterujaan melihat padang pasir berakhir, kami memanjat kesyukuran kerana dapat menikmati pandangan kawasan dipenuhi pasir halus itu.
Saya dan jurugambar ditunjukkan satu lagi kekuasaan Allah apabila melihat satu perkampungan yang begitu subur dengan pelbagai tanaman.

Sebenarnya Fayoum atau Qayyum paling subur dan dijadikan kawasan pertanian di Mesir dengan kebanyakan hasil tani dibawa ke Kaherah.

Kawasan itu turut terjejas ketika pemerintahan Hosni Mubarak apabila Kabinetnya menggubal undang-undang membolehkan tanah petani di kawasan berkenaan diambil dan dijual kepada pihak tertentu tanpa disedari, sekali gus menyebabkan mereka turut memberontak di Dataran Tahrir pada 28 Januari lalu.
Apa yang menarik di perkampungan yang menempatkan orang kaya paling bongkak satu ketika dulu kini dipenuhi orang Arab miskin paling berbudi bahasa dan cukup berbeza dengan masyarakat Arab yang saya temui di Kaherah atau kawasan lain sebelum ini.

Sikap itu memudahkan jurugambar menjalankan tugas kerana tidak kisah gambar mereka dirakamkan, malah ketika dihulurkan sedikit wang, mereka akan menolak dengan penuh sopan. Dalam hati terdetik mungkin mereka keturunan Qarun yang terselamat daripada azab Allah dan belajar daripada kesilapan kaum berkenaan.
myMetro | 50 sen amat bernilai

Tentera Syria terus tekan tunjuk perasaan prodemokrasi


DAMSYIK: Tentera Syria semalam meneruskan gerakan menekan penunjuk perasaan prodemokrasi di utara negara itu ketika lebih ramai kematian orang awam dilaporkan.
Aktivis berkata, tentera rejim Presiden Bashar al-Assad melakukan operasi menyeluruh berhampiran bandar Jisr al-Shughur yang ditawan mereka pada Ahad lalu.

Katanya, enam orang awam maut dalam tempoh beberapa jam di timur Jisr al-Shughur. - AFP

myMetro | Tentera Syria terus tekan tunjuk perasaan prodemokrasi

Nato jamin dana mencukupi untuk operasi di Libya


BRUSSELS: Nato memberi jaminan pertubuhan itu memiliki sumber mencukupi untuk meneruskan kempen serangan udara ke atas Libya walaupun Muammar Gaddafi terus berdegil mempertahankan kuasa pemerintahannya.
Jurucakap Nato, Oana Lungescu, berkata pertubuhan itu akan terus mengekalkan kekerapan operasi di Libya selama tiga bulan seperti dirangka sebelum ini.

“Adalah jelas Nato memiliki sumber mencukupi untuk terus memberi tekanan kepada rejim Gaddafi.

“Nato tahu kempen ini memakan masa,” katanya kepada media, semalam.

Jaminan itu dibuat beberapa hari selepas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, menegur Nato dan mengingatkan, kekurangan bajet mengancam masa depan Libya dan pertubuhan berkenaan.


“Sejujurnya, banyak sekutu Nato tidak terbabit dalam operasi Libya bukan kerana tidak mahu, sebaliknya kerana mereka memang tak mampu,” katanya.

Sebagai contoh, minggu lalu Norway mengumumkan untuk mengurangkan pembabitan tenteranya dalam operasi ke atas Libya.

Denmark juga dilaporkan kekurangan bom dan terpaksa meminta bantuan Belanda menambah bekalan. - AFP

myMetro | Nato jamin dana mencukupi untuk operasi di Libya

Peluang makan tengah hari bersama pengasas WikiLeaks


LONDON: Lapan peminat pengasas WikiLeaks, Julian Assange, ditawarkan menikmati makan tengah hari eksklusif bersama pujaan mereka pada bulan depan dengan bayaran RM1,725 seorang.
Pengumuman itu disiarkan di laman sesawang eBay semalam.

Menurut eBay, makan tengah hari selama tiga jam untuk mengumpul dana itu akan diadakan pada 2 Julai ini di satu daripada restoran terbaik di London.

Assange akan ditemani ahli akademik Slovania, Slavoj Zizek, yang dilabel Wikipedia sebagai tokoh radikal berhaluan kiri.

Hasil kutipan makan tengah hari itu akan digunakan untuk “faedah WikiLeaks, tetapi tiada butiran lanjut diberi. - Reuters

myMetro | Peluang makan tengah hari bersama pengasas WikiLeaks

Ujian UKM sahkan Barbican bebas alkohol



UJIAN pengesanan halal UKM mendapati produk Barbican bebas daripada elemen alkohol baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Keputusan ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebuah makmal swasta di sini mendapati minuman jenama Barbican bebas daripada elemen alkohol.
Pengarah Suria Wholesaler Sdn. Bhd., Ahmad Al Yateem berkata, laporan itu diterima pada 7 Jun selepas syarikat itu menghantar sampel minuman edaran pihaknya ke UKM pada 1 Jun lalu.
“Perkembangan positif ini membuktikan Barbican bebas alkohol dan selamat diminum oleh pengguna beragama Islam.
“Saya harap orang ramai terutama pengguna yang beragama Islam tidak perlu bimbang lagi untuk meminum Barbican,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan, syarikat tersebut menjadi syarikat kedua selepas Malaysia Iranian Corporation Sdn. Bhd. yang tampil menegaskan bahawa produk edaran mereka bebas alkohol dan boleh diminum oleh pengguna beragama Islam.
Kosmo! Online - Negara

Bapa gagal dikesan





SALAH seorang kanak-kanak kurus yang diserahkan bapa mereka kepada JKM masih dirawat di Hospital Melaka.


MELAKA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri kini sedang mengesan bapa kepada tiga kanak-kanak termasuk sepasang kembar yang masih dirawat di Hospital Melaka ekoran tubuh badan mereka yang kurus kering.
Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM negeri, Saidatul Aini Jafri berkata, selepas bapa mereka yang berusia 34 tahun itu menghantar tiga anaknya di JKM Ayer Keroh, lelaki itu terus hilang dan gagal dihubungi.
"Kami kini cuba mengesan bapa kanak-kanak ini bagi membantu siasatan. Setakat ini, dia tidak menjawab panggilan telefon yang kami dilakukan," katanya ketika dihubungi Kosmo!semalam.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai sepasang kanak-kanak kembar berusia empat tahun yang diserah oleh bapa mereka kepada JKM negeri. Keadaan mereka bagaimanapun menimbulkan tanda tanya apabila fizikal tiga adik-beradik tersebut terlalu kurus sehingga menampakkan tulang badan.
Kosmo! Online - Negara

Saida tetap mahu bercerai

KUALA LUMPUR – Siti Nursaida Tarudin, kakak penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, meminta maaf kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam kerana menolak pelawaan umrah oleh suami dan tetap dengan keputusannya mahu bercerai.
“Saya minta maaf, saya bukan nak hal ini berpanjangan tapi saya juga tidak mahu ia berlaku. Saya tetap dengan keputusan saya (cerai),” kata bekas peserta Akademi Fantasia 6 itu kepada Hakim Syarie Mohd. Suhaily Rosdi.
Saida, 35, selaku plaintif membuat permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 pada 6 Oktober tahun lalu dan menamakan suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Fikri selaku defendan kes.
Terdahulu, peguam syarie Amli Embong yang mewakili Mohd. Ghazali memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir pada prosiding semalam kerana ibunya baru meninggal dunia pada 4 Jun lalu.
Kosmo! Online - Negara