Pages

Wednesday, October 27, 2010

113 maut gempa di Sumatera Barat



Beberapa pulau kecil dalam kepulauan Mentawai dilanda tsunami setinggi 3 meter setelah berlaku gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter 20 kilometer di bawah dasar laut, 78 kilometer ke barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai, kelmarin. – Agensi


JAKARTA 26 Okt. – Sekurang-kurangnya 113 terbunuh, manakala kira-kira 500 lagi, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, masih hilang apabila tsunami melanda kampung-kampung tepi pantai berikutan gempa bumi kuat dekat Sumatera Barat, malam tadi.
Lebih 150 buah rumah rosak dan kira-kira 2,000 penduduk melarikan diri ke kawasan tinggi dalam kejadian itu.
Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter itu berlaku 20 kilometer di bawah dasar laut, 78 kilometer ke barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai pada pukul 9.42 malam tadi (10.42 malam waktu Malaysia) dan mencetuskan ombak tsunami setinggi tiga meter yang melanda perkampungan di beberapa buah pulau.
Pegawai agensi pengurusan bencana, Ade Edward hari ini berkata, angka kematian baru mula diterima dan setakat ini, 113 mayat sudah ditemui dan kira-kira 500 orang masih hilang.
Kata pegawai Jabatan Perikanan peringkat wilayah, Hardimansyah, penduduk memberitahu pengawal di pos keselamatan tempatan bahawa mereka tidak dapat menyelamatkan anak-anak mereka yang dihanyut ombak.
Kata Hardimansyah, di kampung Malakopa yang berdekatan, sekurang-kurangnya seorang disahkan terkorban, manakala dua lagi masih hilang.
Kira-kira 80 peratus rumah di kawasan itu rosak dan bekalan makanan semakin merosot, katanya.
Polis tempatan mencari mangsa yang hilang dan mendirikan pos-pos kecemasan, kata pegawai di balai polis daerah Sikakap, Ronald.
Ketua unit gerakan bencana di Kementerian Kesihatan, Mudjiarto berkata, dua mayat telah ditemui dekat pulau Sipora, manakala tujuh orang lagi masih hilang.
Di pulau Pagai Selatan, ombak tsunami bergerak sejauh 600 meter ke dalam kampung tepi pantai, sementara di pulau Pagai Utara, ombak mencecah paras bumbung rumah, katanya.
Sebuah bot pelancong membawa antara lapan hingga 10 warga Australia terputus hubungan radio sejak gempa bumi itu berlaku, menurut kenyataan Jabatan Hal-Ehwal Luar dan Perdagangan Australia.
Situasi sebenar di Mentawai tidak diketahui selepas talian telefon dipercayai terputus.
Beratus-ratus pegawai bencana tidak dapat dihantar segera ke pulau-pulau terjejas di kepulauan Mentawai kerana ia mengambil masa selama 12 jam menggunakan bot untuk sampai ke kepulauan terbabit.
Media tempatan turut melaporkan dua buah perahu layar berlanggar di perairan tersebut menyebabkan dua orang tercampak ke dalam laut dan operasi mencari mangsa masih dijalankan.
Wilayah Acheh di Indonesia pernah dilanda gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter pada 26 Disember 2004 mencetus tsunami besar.
Tsunami itu yang turut melanda 12 negara lain di sekitar Lautan Hindi yang meragut 230,000 nyawa dengan kira-kira separuh daripadanya di Indonesia. – Reuters/AP

Tuesday, October 26, 2010

Piala Ryder jadi mangkuk sarapan





2010/10/26

FLORIDA: Pemain golf profesional, Ian Poulter mencetuskan kemarahan peminat golf apabila mengirimkan satu rakaman video menunjukkan beliau bersama anaknya memakan bijirin dalam Piala Ryder yang dimenangi pasukan Eropah baru-baru ini. 

Video itu dimuatkan dalam laman Twitter beliau menunjukkan dirinya di depan kamera dan berkata: “Ini sarapan pagi bersama Piala Ryder.”
Beliau memasukkan bijirin ke dalam piala itu, menuang susu dan berkongsi makan bersama anak, lapor Daily Telegraph. – Agensi

John Howard dibaling kasut kali kedua





2010/10/26

SYDNEY: Bekas Perdana Menteri Australia, John Howard, nyaris terkena kasut yang dibaling aktivis antiperang Iraq. 

Kejadian itu berlaku secara dramatik dan disiarkan secara langsung televisyen rasmi, mengingatkan semula kepada ‘protes paling terkenal di seluruh dunia’ yang menimpa bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush.
Aktivis terbabit berdiri dan membaling sepasang kasut yang tersasar sambil menjerit slogan antiperang dalam sesi soal jawab secara langsung televisyen ABC.
Penunjuk perasaan itu segera dibawa keluar dari dewan. Howard pula dilaporkan masih tersenyum dan tidak terkejut dengan kejadian berkenaan. 

Ia berlaku selepas satu rakaman bekas tahanan Guantanamo yang juga warga Australia, David Hicks, diperdengarkan dan selepas Howard awalnya disoal mengenai dasar pemerintahannya. 

November lalu, seorang penunjuk perasaan membaling kasut ketika Howard berucap di Universiti Cambridge, Britain. – AFP

Ketua tentera Israel bela tindakan



BAITULMAQDIS - Ketua tentera rejim Zionis memberikan sok:ongan kuat dengan membela tindakan pasukannya semasa serangan berdarah terhadap kapal Mavi Marmara pada 31 Mei lalu dengan menyatakan mereka melakukan serangan itu hanya selepas aktivis dikatakan bertindak melepaskan tembakan. 

Kejadian serangan itu menyebabkan sembilan aktivis warga Turki terkorban, sekali gus turut mencetuskan bantahan negara barat dan mendorong tentera rejim Zionis untuk mengurangkan sekatan terhadap Gaza. 

Ketua tentera Israel, Gabi Ashkenazi menjadi saksi pertama untuk memberikan keterangan dan menyatakan bahawa tenteranya ditembak di bahagian perut oleh aktivis yang berada di dalam kapal Mavi Marmara semasa kejadian itu. 

Ashkenazi berkata, bukti yang diperoleh daripada bedah siasat turut menunjukkan para aktivis itu mempunyai senjata api mereka sendiri kerana peluru yang dilepaskan untuk menembak tentera yang turun dari helikopter itu bukan milik senjata pasukannya. 

Menurutnya, pasukan itu melemparkan bom tangan untuk meleraikan sekumpulan aktivis yang berkumpul di dek tetapi mereka bertindak memukul, menikam dan melepaskan tembakan terhadap tentera Zionis tersebut.

Banjir terburuk Thailand ragut 56 nyawa





2010/10/26

BANGKOK: Banjir terburuk melanda Thailand mengakibatkan sekurang-kurangnya 56 terbunuh, tetapi Bangkok ketika ini dapat mengelakkan kemasukan bah yang memburukkan lagi keadaan. 

Ibu kota Thailand itu berada dalam situasi berjaga-jaga di mana ribuan beg pasir dan pam ditempatkan dari utara aliran air yang menyebabkan banjir.
“Situasi di Bangkok masih dalam pemerhatian rapat dan kami tidak boleh berasa selesa, khususnya di sepanjang tebing sungai Chao Phraya,” kata Perdana Menterinya, Abhisit Vejjajiva. - AFP

40 mati, lebih 300 hilang dalam tsunami di Mentawai

JAKARTA: Seramai 40 orang dilaporkan maut dan lebih 300 lagi hilang dalam bencana tsunami yang berlaku selepas gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala richter yang melanda Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, Isnin malam.
Perkara itu disahkan pegawai daerah Kepulauan Mentawai, Edison Saleleobaja.

Sehingga jam 2 petang ini, pihak Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) belum memastikan identiti korban dalam kejadian itu.

Mereka yang hilang dipercayai membabitkan 10 rakyat Australia dan Jepun yang berada dalam sebuah kapal bernama Southern Cross milik Sumatran Surfariis. Pihak kedutaan Australia di Jakarta juga yakin bahawa rakyatnya berada di dalam kapal itu. Bagaimanapun BNPB belum mengesahkan kebenaran maklumat itu.

"Maklumat itu sedang kami sahkan, belum jelas maklumat dari lokasi kejadian dan kami masih menunggu," kata Maryadi, petugas BNPB kepada Bernama. Beliau berkata, pasukan daripada badan itu belum berada di Mentawai kerana sedang memberi tumpuan kepada ancaman letusan Gunung Merapi di sempadan Yogyakarta dan Jawa Tengah serta banjir di Wassior (Papua Barat).

"Tsunami itu berketinggian tiga meter dan meluap hingga 400 meter ke darat," katanya. Media Online Nasional melaporkan dua perkampungan disapu bersih oleh tsunami yang berlaku di kawasan penggemar sukan luncur air itu, namun Maryadi belum dapat mengesahkan perkara itu.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengumumkan gempa bumi berukuran 7.2 pada Skala Richter berlaku pada jam 9.42 malam Isnin, pada kedudukan 78 kilometer Barat Daya Pagai Selatan, Mentawai Sumbar, pada kedalaman 10 kilometer.

Badan itu mengeluarkan amaran potensi tsunami kepada masyarakat sejurus selepas gampa itu, namun menarik balik amaran ancaman itu kemudiannya. -Bernama

Lagi pertempuran berlaku di Baitulmaqdis



BAITULMAQDIS - Seorang saksi menyatakan, sekumpulan pemuda Palestin bertempur dengan pasukan polis Israel di wilayah Baitulmaqdis timur selepas pegawai bandar itu mengeluarkan arahan untuk merobohkan rumah penduduk, kelmarin. 

Salah seorang aktivis, Fakhri Abu Diab berkata, pemeriksa bandar bersama sekumpulan besar pasukan polis dan pengawal sempadan mengedarkan surat perintah untuk merobohkan penempatan kepada keluarga yang tinggal di kawasan Al-Bustan. 

Fakhri berkata, sekumpulan pemuda Palestin bertindak melontarkan batu kepada mereka yang kemudiannya dibalas semula oleh pasukan keselama- tan Israel dengan melemparkan bom gas pemedih mata sebelum beredar. 

Polis tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dengan kejadian itu dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. 

Kawasan petempatan itu adalah sebahagian daripada timur Baitulmaqdis yang diduduki Israel pada 1967 semasa Perang Enam Hari dan tidak diiktiraf oleh negara antarabangsa.

600 perumahan baru Israel mula dibina




BAITULMAQDIS - Kerja-kerja membina 600 rumah baru penduduk Israel sudah dimulakan di Tebing Barat sejak kerajaan Zionis memutuskan untuk meneruskan pembinaan penempatan tersebut selepas dibekukan selama 10 bulan oleh permintaan Palestin. 

Agensi media The Associated Press melaporkan sekurang-kurangnya 350 tapak rumah teres sudah mula digali manakala pembinaan 250 rumah lagi dalam peringkat permulaan. 

Rundingan damai di antara pemimpin Israel dan Palestin terpaksa ditangguhkan kerana Netanyahu memutuskan untuk meneruskan semula pembinaan tersebut. 

Sekurang-kurangnya 300,000 penduduk Israel menetap di Tebing Barat dan 200,000 lagi di timur Baitulmaqdis.

Gunung Merapi mula meletus, 20 cedera kena debu panas


MANGSA gunung berapi Merapi, diusung kakitangan hospital di Pakem, daerah Sleman, Jogjakarta, hari ini. Gunung Merapi mula meletus petang semalam. 



26/10/2010 9:02pm

GUNUNG MERAPI, Indonesia 26 Okt. - Ahli sains tempatan mengesahkan gunung berapi yang terletak di Daerah Sleman, Yogyakarta, Gunung Merapi, sudah mula meletus.
Sekurang-kurang 20 orang penduduk cedera disebabkan terkena debu panas ketika letusan permulaan Gunung Merapi sebentar tadi.
Seorang wartawan agensi berita AP menyaksikan sehingga 20 orang terpaksa dibawa ke hospital selepas cedera terkena debu panas tersebut.
Ketua ahli vulkanologi kawasan itu, Subandriyo berkata, Gunung Merapi memulakan letusan pertamanya hanya kira-kira selepas senja.
Sebelum itu kata beliau, gunung berkenaan berderam-derum dan berkeriut selama beberapa jam. - AP

23 terbunuh gempa di Mentawai, tsunami 3 meter





26/10/2010 7:19pm

JAKARTA 26 Okt. – Dipercayai 23 orang terbunuh dalam kejadian gempa dengan kekuatan 7.7 skala Richter di Mentawai, Sumatera Barat malam tadi.
Pengurus Pusat Pengendalian Bencana Sumatera Barat, Ade Edward berkata, mereka yang terkorban ditemui di Kampung Malakopak, Kecamatan Pagai Selatan dan di Pulau Pagai Utara.
Gempa bumi yang berpusat di Mentawai dilaporkan menyebabkan tsunami setinggi 3 meter di beberapa daerah. - Agensi

Sotong kurita peramal Piala Dunia 2010 mati



26/10/2010 9:17pm

BERLIN 26 Okt. - Sotong kurita, Paul yang dikenali kerana ketepatan ramalannya berhubung keputusan pertandingan Piala Dunia di Afrika Selatan Julai lalu, mati di akuarium yang menempatkannya di Jerman.
“Pihak pengurusan dan kakitangan di Pusat Hidupan Laut Oberhausen sedih selepas mendapati haiwan yang terkenal dengan ramalan tepatnya semasa Piala Dunia lalu itu, mati malam tadi.
“Paul mengagumkan dunia apabila berjaya meramal tepat pemenang perlawanan melibatkan pasukan Jerman, begitu juga dengan keputusan perlawanan akhir. Kejayaannya merupakan cerita yang lebih besar daripada Piala Dunia itu sendiri,” kata pengurus pusat hidupan laut itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan. - AFP

Malika Sherawat jadi ratu ular




Setelah 24 tahun, produksi filem Bollywood tidak memaparkan kisah Naagin yang merupakan kisah ular jadian, tahun hadapan bakal menyaksikan Naagin kembali beraksi. 

Aktres Malika Sherawat, yang diberikan peranan sebagai dewi ular begitu optimis dengan watak tersebut. Biarpun takut dengan ular, namun kerana watak itu, aktres jelita ini sanggup mencubanya. 

Sebagai persediaan, Malika ke kuil Mannarasala, Alappuzha, Kerala hanya untuk mendekati ular dan untuk membiasakan dirinya dengan reptilia tersebut.

Rumah teres dua tingkat bernilai RM4.78




GAMBAR menunjukkan rumah teres dua bilik tidur yang bernilai £1 (RM4.78) di Holmside, Durham.


HOLMSIDE, Durham - Seorang pemilik rumah teres dua bilik tidur berharga £86,000 (RM418,975) di Britain, Paul Rooney terkejut apabila sebuah agensi penilaian hartanah tempatan menyatakan harga pasaran rumah itu cuma £1 (RM4.78) menyebabkan dia tidak layak memperoleh pinjaman bank, lapor sebuah akhbar semalam.
Rooney, 42, menghabiskan £10,000 ($8,703) membuat pengubahsuaian termasuk di dapur kediaman selepas dia membeli rumah itu pada 2007 dan berharap untuk menjualnya pada harga yang lebih tinggi.
Namun apabila dia memohon pinjaman perumahan, ahli perniagaan itu terkejut apabila diberitahu oleh beberapa pegawai sebuah agensi penilaian hartanah bahawa nila hartanahnya cuma £1.
Sebelum ini nilai pasaran rumah berkenaan adalah £120,000 (RM584,309) manakala kediaman yang sama dianggarkan berharga £130,000 (RM632,936) selepas kerja pengubahsuaian selesai dilakukan.
Laporan penilaian terbaru itu membayangkan pasaran hartanah Britain yang terjejas teruk ekoran krisis ekonomi global yang melanda dunia pada tahun lalu di negara tersebut. Namun, Rooney yang membayar pinjaman sebanyak £550 (RM2,694) sebulan bimbang dia perlu menjual lebih banyak hartanah pada harga lebih rendah jika pihak bank enggan memberikan pinjaman. - Agensi

Remaja genius matematik pecah rekod kuiz televisyen




GAMBAR menunjukkan Jack Hurst (kiri) menentang Jonathan Welti pada kuiz Countdown di stesen televisyen Channel 4 di Manchester pada Jumaat lalu.


MANCHESTER - Seorang remaja genius matematik, Jack Hurst memecah rekod tertinggi program kuiz menduga akal, Countdowntyang disiarkan di sebuah televisyen Britain pada Jumaat lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang merupakan pelajar Universiti Cambridge berusia 18 tahun dari Desford, Leicestershire itu memperoleh markah terkumpul 946 mata iaitu yang tertinggi sepanjang 28 tahun program berkenaan disiarkan oleh stesen televisyen Channel 4 selepas seminggu dia menyertainya.
"Dia telah menonton program itu selama tujuh tahun dan berlatih di laman web Countdown. Justeru, kami tahu dia akan berjaya," kata abangnya, Josh, 22.
Kuiz itu memerlukan peserta mencipta perkataan daripada huruf yang dipilih.
Hurst menewaskan saintis penyelidikan Jonathan Welti dengan memberikan jawapan potatoes, petunias and idolise.
Pada bulan depan, Hurst akan memasuki pusingan akhir kuiz itu bersama tujuh peserta lain yang memperoleh markah tertinggi sepanjang tahun ini untuk merebut hadiah utama yang merupakan satu set 29 buah kamus bersalut emas.
Rekod sebelum ini dibuat oleh pelajar ekonomi Universiti Warwick, Andrew Hulme pada Julai, 2009 dengan markah cuma 930 mata. - Agensi

Video Lady Gaga ditonton satu bilion kali



LADY GAGA



LONDON - Penyanyi pop Amerika Syarikat (AS) yang kerap mencetuskan kontroversi, Lady Gaga mengetepikan penyanyi Justin Bieber apabila video-videonya telah ditonton sebanyak satu bilion kali di YouTube lapor beberapa buah akhbar semalam.
Bagaimanapun, Lady Gaga perlu melindungi statusnya kerana penyanyi remaja dari Kanada, Justin Bieber mengikutinya dengan rapat dengan keseluruhan videonya telah ditonton sebanyak 962,726,797 di YouTube sehingga kelmarin.
Ramai pihak yang menganggap Bieber akan mengatasi Lady Gaga dalam tempoh seminggu.
Bieber mungkin dapat mengatasi Lady Gaga kerana kandungan video penyanyi wanita itu tidak dibenarkan disiarkan di kebanyakan negara atas isu hak cipta.
Sementara itu, Bieber turut memegang rekod video muzik yang paling banyak ditonton di YouTube iaitu 366 juta menerusi lagu Baby.
Bagaimanapun, Lady Gaga yang terkenal dengan lagu Bad Romancememegang gelaran sebagai individu yang mempunyai ramai pengikut di Twitter.
Dia kini mempunyai hampir tujuh juta pengikut mengatasi Bieber dan penyanyi Britney Spears. - Agensi

Kuda paling kecil di dunia




GAMBAR menunjukkan kuda setinggi 53.3 sentimeter (kanan), Bella Contessa di Dakota Utara, Amerika Syarikat baru-baru ini.


DAKOTA UTARA, Amerika Syarikat - Seekor kuda bernama Bella Contessa mungkin merupakan kuda yang paling kecil di dunia kerana ia setinggi 53.3 sentimeter (cm) dan seberat 25.4 kilogram (kg), lapor sebuah akhbar semalam.
Baru berusia enam bulan, tinggi Bella tidak melebihi sebiji labu yang bersaiz normal.
Bella kini tinggal bersama pemiliknya, Alison Smith.
Kuda itu dikatakan sering menghabiskan masa di kandangnya bersama seekor lagi kuda yang diberi nama Lilly dan dua ekor kambing.
Ketika dilahirkan, Bella hanya setinggi 38.1sm dan seberat 4.08 kg, tidak jauh bezanya dengan berat bayi manusia biasa. Pada kebiasaannya, kuda kecil yang lain setinggi 45.7sm hingga 55.9sm bergantung kepada jantinanya dan seberat 9.97 kg.
"Ramai doktor veterinar memberitahu bahawa Bella ialah kuda paling kecil yang sempurna dan tidak mempunyai ciri-ciri seekor kuda kerdil. Ia juga tidak mengalami masalah kesihatan dan sangat comel," kata Alison. - Agensi

Mogok rugikan Perancis RM1.72 bilion sehari




BEBERAPA pekerja menyekat laluan ke sebuah depot minyak yang dikawal polis di Fos sur Mer dekat Marseille, selatan Perancis semalam.


PARIS - Mogok besar-besaran yang berlaku di Perancis telah menyebabkan negara itu mengalami kerugian mencecah AS$557 juta (RM1.72 bilion) setiap hari, jelas Menteri Kewangan Perancis, Christine Lagarde.
Kerugian itu berlaku berikutan protes berterusan para pekerja yang menutup beberapa loji penapisan minyak dan mesin memproses sampah.
Para penunjuk perasaan itu memprotes sejak hampir dua minggu lalu bagi membantah tindakan pemerintah yang melanjutkan usia persaraan dari 60 tahun kepada 62 tahun untuk mengurangkan bajet defisit. Sampah sarap yang mula mereput dan mencecah 9,000 tan menjadi ancaman kesiharan di Marseille selepas ia tidak dikutip. Para pekerja pelabuhan dilihat masih menghalang kapal-kapal yang cuba untuk menyalurkan minyak.
Sebanyak 12 loji penapisan minyak telah ditutup selama hampir dua minggu.
Justeru, pihak berkuasa mengarahkan sebahagian daripada loji itu memastikan bekalan tetap ada.
Undang-undang persaraan itu sudah diluluskan Dewan Senat minggu lalu.
Sementara itu, sebahagian pekerja bersetuju untuk menamatkan mogok di salah sebuah loji penapisan minyak berikutan amaran pemerintah bahawa bekalan minyak yang tidak mencukupi akan menjejaskan ekonomi Perancis.
Loji penapisan minyak di Reichstett yang dikendalikan oleh Petroplus akan memulakan operasinya mulai minggu depan.
"Kami ingin menunjukkan niat baik kami kepada orang ramai. Kami juga mahu membekalkan rantau ini dengan produk minyak yang terbaik," kata seorang wakil kesatuan pekerja, Jean-Luc Bildstein. - AP

Askar Israel hina tahanan




GAMBAR menunjukkan gelagat kurang ajar seorang askar Israel di belakang seorang wanita Palestin di sebuah rumah.


BAITULMUQADDIS - Sebuah kumpulan hak asasi manusia Israel, Breaking the Silence menyiarkan gambar-gambar terbaru yang menunjukkan askar Israel bergambar dengan tahanan dan merosakkan rumah orang Palestin yang dirakamkan dalam Perang Gaza 2008 hingga 2009.
Dalam satu gambar, seorang askar mengacukan raifal ke arah muka seorang tahanan yang matanya ditutup.
Sementara itu, seorang askar lain menconteng dinding sebuah rumah dengan lambang Star of David dan menulis ayat yang bermaksud dia akan datang sekali lagi.
Dalam gambar yang lain, beberapa orang askar kelihatan tersenyum dan bergaya di dalam sebuah rumah milik seorang penduduk Palestin.
Satu lagi gambar menunjukkan seorang askar menunjukkan aksinya di belakang seorang wanita bertudung yang memasak di dapur.
Tentera Israel bagaimanapun tidak memberi sebarang komen segera mengenai gambar-gambar itu.
Pendedahan gambar-gambar itu dibuat selepas satu siri insiden yang sama berlaku dalam laman web sosial di Internet.
Pengasas Breaking the Silence, Yehuda Shaul enggan mendedahkan sumber gambar-gambar itu diperoleh.
Namun dia menjelaskan pihaknya telah menerima puluhan gambar yang menunjukkan bahawa tindakan kurang ajar askar Israel itu semakin berleluasa.
"Ia sudah menjadi norma pasukan tentera Israel. Ia adalah kesan langsung di kawasan yang kamu (Israel) kuasai setiap hari. Kamu (Israel) menjadi korup dan tidak lagi mampu melihat mereka (orang Palestin) sebagai manusia," kata Shaul.
Shaul memberitahu, pihaknya masih cuba untuk menentukan lokasi gambar-gambar itu dirakamkan.
Pada Ogos lalu, gambar-gambar di laman sosial Facebook menunjukkan seorang askar wanita bergambar dengan beberapa orang tahanan Palestin.
Satu klip video di laman perkongsian video YouTube turut menunjukkan seorang askar menari di sebelah tahanan wanita Palestin yang memakai tudung. - AFP

Jururawat aniaya pesakit

JADI BUKTI...Violetta dirakam mematikan mesin sokongan hayat Merrett sebelum ia dipulihkan 21 minit kemudian.
JADI BUKTI...Violetta dirakam mematikan mesin sokongan hayat Merrett sebelum ia dipulihkan 21 minit kemudian.
LONDON: Kecuaian seorang jururawat mematikan alat sokongan hayat pesakitnya berjaya dirakamkan melalui kamera tersembunyi dan membolehkan siasatan ke atasnya dijalankan.
Melalui rakaman berkenaan, jururawat itu, Violetta Aylward, dilihat mematikan suis alat yang disambung kepada Jamie Merrett dan lelaki terbabit terpaksa bertarung nyawa sebelum pasukan paramedik tiba membantu.

Mengalami lumpuh dari leher ke bawah, Merrett, 37, memasang kamera itu kerana bimbang terhadap layanan diberikan ke atasnya.


Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas kamera itu dipasang tanpa pengetahuan Violetta.

Rakaman itu menunjukkan Violetta mengusik-usik alat sokongan hayat itu beberapa ketika sebelum terdengar bunyi amaran kuat menandakan ia dimatikan kedengaran.

Merrett kemudian kelihatan tercungap-cungap sebelum keadaan itu disedari Violetta.

Melihat keadaan itu, jururawat dari Reading itu segera cuba memulihkannya sebelum pasukan paramedik tiba untuk membantunya dan menghidupkan semula mesin berkenaan.

Bagaimanapun, bantuan itu hanya tiba 21 minit selepas mesin sokongan hayat itu dimatikan, menyebabkan Merrett mengalami kerosakan otak.

Kakak Merrett, Karren Reynolds, berkata sejak insiden itu hidup lelaki terbabit berubah sama sekali.

Sebelum kejadian pada Januari 2009 itu, katanya, Merrett boleh bergerak menggunakan kerusi roda serta berkomunikasi menggunakan komputer yang dikawal melalui suara.

“Kini Merrett tidak mempunyai kehidupan sepatutnya dan dia seperti seorang kanak-kanak,” katanya.

Untuk berkomunikasi dengan Merrett kini, kata Karren, ahli keluarga terpaksa menggunakan bahasa mudah bagi membantu pemahamannya.

Sementara itu, peguam Merrett, Seamus Edney, berkata setakat ini kes kecuaian itu adalah paling serius membabitkan jururawat.

“Tetapi tiada siapa tampil mengaku salah walaupun selepas dua tahun kejadian berlaku,” katanya, semalam.

Sementara siasatan dijalankan oleh Majlis Jururawat dan Bidan Britain, Violetta kini digantung tugas. - Agensi

Pakai skirt, dedah tubuh di Itali boleh didenda RM2,000

NAPLES: Sebuah bandar di pesisir pantai selatan Itali bercadang melarang pemakaian skirt pendek atau pakaian menjolok mata dalam usaha pentadbirannya menjaga akhlak penduduk setempat.
Datuk Bandar Castellammare di Stabia, Luigi Bobbio, berkata jika peraturan itu dilanggar, pesalah boleh dikenakan denda di antara RM97 dan RM2,000.

“Peraturan ini dikhususkan kepada individu yang gemar berperangai buruk atau sukar mengawal diri sendiri,” katanya, semalam.

Castellammare di Stabia adalah bandar terbaru di Itali yang cuba mengawal perlakuan penduduknya daripada kegiatan tidak bermoral, seperti meminum arak di jalanan, bermain bola sepak di tempat awam atau menghina tuhan.

Turut bakal dilarang adalah berjemur di pantai.

Di beberapa bandar lain, amalan bercium dalam kenderaan, memberi makan kucing terbiar dan memotong rumput pada hujung minggu turut dilarang. - Agensi